Thursday, March 20, 2014

Lawatan sosial ke Ho Chi Minh City @ Saigon

Ho Chi Minh @ Saigon Syurga Membeli-Belah
Trip : 28 Feb - 2 Mac 2014
Bahagian Satu (1) 

 
Seramai lebih kurang 7 orang pensyarah jabatan Pengurusan dan Pemasaran UiTM Johor yang disertai bersama lebih kurang 15 orang ahli keluarga telah berangkat ke Kota Saigon pada 28 Februari yang lalu. Penerbangan selama lebih kurang 2 jam dari LCCT menuju Tan Son Nhat Airport.

 
Cuaca agak baik sepanjang penerbangan. Kami disajikan dengan nasi lemak Pak Nasser yang paling sedap di atas awan. Kapal terbang bertolak jam 9.10 pagi dengan pesawat bernombor AK1450.

 
Agak mudah ke Saigon kerana anda tidak perlu mengisi borang visa. Ini kerana mereka menggalakkan pelancong-pelancong untuk ke Negara Vietnam. Jadi, ketika sampai di lapangan terbang, kami tidak perlu mengisi apa-apa borang...hanya cop passport di kaunter Imigresen.



Balai ketibaan agak penuh sesak. Kami tiba jam 10.05 pagi di lapangan terbang. Dan urusan di imigresen dan mengambil bagasi selesai setengah jam kemudian. Kaunter Imigresin jugak agak banyak dan mudah.

 
Sebaik tiba, kami menaiki bas untuk ke Duna Hotel. Kedudukan Duna Hotel yang strategik dan dekat dengan jalan utama. Anda boleh layari web site ini untuk tempahan. http://dunahotel.com.vn/ Untuk ke Ben Thanh Market , ianya lebih kurang RM5 jika menaiki teksi. Namun anda juga boleh memilih untuk berjalan kaki sahaja kerana ianya sekitar 15minit berjalan dari pasar tersebut.



Kebanyakan penduduk Bandar ini menaiki motosikal. Mungkin kerana harga motosikal yang lebih murah di sini. Dan kebanyakan pemandu dan pembonceng akan memakai penutup mulut/hidung yang pelbagai corak yang menarik.

 
Di tepi kiri kanan jalan, kami disajikan dengan kedai-kedai pakaian Muslimah. Walaupun penduduk di sini bukan beragama Islam, namun terdapat banyak kedai-kedai pakaian yang menjual jubbah, baju kurung, tudung dan telekung di sini. Dan sesetengah papan tanda turut menampilkan banner "Selamat Datang" untuk pengunjung-pengunjung dari Malaysia.
 

 
Sampai di Duna Hotel, kami sempat mandi dan menukar pakaian. Kami bergegas turun semula ke lobi untuk makan tengahari di sekitar Ben Thanh market.



Ada banyak kedai-kedai atau restoran Halal di sini. Memang mudah untuk mendapatkan makanan halal dan selera orang Melayu. Kerana ada juga Restoran di sini milik anak Malaysia. Namun harga makanan di sini amat mahal. Contohnya mee goreng mamak sekitar 100,000 Dong atau RM16.

 
Kebanyakan restoran ini menyajikan citarasa masakan Melayu. Ada nasi ayam, nasi goreng, nasi lemak, roti canai.. dan masakan ala Thai seperti Tom Yam, Paprik dan Daging masak merah.



Selesai makan tengahari, kami ke Ben Thanh Market yang jaraknya 100 meter dari Restoran 1 Malaysia. Ini lah syurga membeli belah bagi rakyat Malaysia. Sehinggakan ramai peniaga di sini pandai bertutur dalam bahasa Melayu. Ada pula yang fasih menyanyikan lagu-lagu Melayu. Peniaga di sini amat ramah dan mesra.


Untuk membeli-belah di sini anda boleh menggunakan matawang Dong, atau US Dollar atau pun Ringgit Malaysia. Mereka amat cekap dalam pertukaran matawang.

 
Kebanyakan rombongan cik Kiah dari Malaysia, atau usahawan dari Malaysia akan membeli kain pasang cotton, kain baju kurung bermanik, kain jubbah, kain sutera Vietnam, baju jersey, telekung, baju gaun kanak-kanak, dan sebagainya. Harga yang diletak adalah agak tinggi, namun pengunjung perlu menawar sehingga 70% daripada harga asal.
 

Malah di sini juga pengunjung boleh membeli cenderamata seperti key chain, alatulis, beg duit kecil, batu permata, barang-barang kraftangan dan sebagainya.

Pengunjung juga boleh membeli jeruk asam, pelbagai jenis kopi yang amat sedap dan makanan ringan untuk di bawa pulang ke tanahair.




 
Pasar Ben Thanh ini akan tutup pada jam 5 petang. Dan selepas itu kebanyakan peniaga yang sama akan mula berniaga di pasar malam yang terdapat di sekeliling Ben Thanh market ini. Harga di pasar malam jauh lebih murah jika dibandingkan dengan di dalam Ben Thanh market. Namun pembeli harus berhati-hati jika membeli di pasar malam ini. Mereka harus memastikan pertukaran wang yang diberi setelah membeli barang adalah tepat. Kerana terdapat beberapa kejadian penipuan terutamanya bila kita membeli dalam US Dollar, dan mereka akan memulangkan dalam matawang Dong. Kita akan kerugian jika tidak berhati-hati.

Kopi susu ais ini adalah antara kegemaran rakyat Malaysia. Ada beberapa orang peniaga menggunakan  motosikal untuk menjual Kopi Susu Ais ini. Harganya sekitar 20,000 Dong. Amat ''kawww'' dan lazat. Pastikan anda mencubanya jika ke sana.

Menara telur
 
Setelah penat membeli-belah, kami menikmati hidangan makan malam. Antara yang menarik adalah menu 'menara telur' yang tinggi ini. Unik tapi sedap untuk dinikmati.
 
Ketemu lagi di ruang akan datang untuk laporan hari kedua dan ketiga di kota Saigon..
 
Bersambung...
 
Tips: Anda boleh membuat pertukaran duit di lapangan terbang, atau money changer di sekitar Ben Thanh market. Anda boleh menukar sedikit dalam matawang Dong. Atau anda juga boleh membayar dalam Ringgit Malaysia. Beza waktu di Vietnam adalah satu jam lewat dari Malaysia.