Saturday, December 10, 2011

Nak Bersalin Di Mana? Hospital Swasta atau Kerajaan?

Ketika bersalin anak sulung di hospital kerajaan
“Nak bersalin di mana?”

Itu antara soalan yang kerap ditanya kawan-kawan atau saudara mara bila jumpa ibu mengandung atau bakal ibu yang akan melahirkan anak. Sama ada bersalin di hospital kerajaan atau di pusat perubatan atau hospital swasta, bagi saya kedua-dua nya ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Saya pernah melalui dan merasai pengalaman bersalin di kedua-dua tempat tersebut. Anak sulung bersalin di hospital kerajaan kerana kes kecemasan (uri lekat dan air ketuban pecah di rumah, jadi terpaksa menaiki ambulan ke hospital). Anak kedua bersalin di pusat perubatan swasta di Muar (tak sempat ke Pusat Perubatan Naluri di Wangsamaju kerana sakit bersalin awal dan bayi songsang ).

Dari segi kewangan, memang la lebih murah kosnya bila bersalin di hospital kerajaan. Bagi saya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan, dengan adanya GL (Guarantee Letter dari majikan), saya layak duduk wad kelas pertama. Malah bayaran hospital pun ditanggung sepenuhnya oleh majikan..Kosnya tak sampai pun RM100.

Namun bila bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta, kosnya agak mahal. Ketika bersalin anak kedua, kosnya lebih kurang RM5,000 (kerana bersalin melalui pembedahan dan 5 hari di tahan di wad kerana anak terkena jangkitan kuman). Biasanya kalau bersalin secara normal, kosnya antara RM1,000 hingga RM2,000 (bergantung kepada ibu samada nak ambil epidural atau tidak ketika bersalin).

Dari segi Islam dan aurat, kalau di hospital kerajaan, kita tak boleh pilih doktor atau pegawai perubatan perempuan ketika di bilik bersalin atau bilik pembedahan. Dan dari pengalaman saya, yang mengadap dan menyambut bayi saya adalah 3 orang doktor pelatih lelaki dan seorang doktor pakar sakit puan lelaki…huhuhu..malu bukan kepalang rasanya. Malah bila dah jadi kes sebab uri lekat, ada lebih kurang 20 orang pula jururawat pelatih yang datang melihat dan mengadap dalam bilik bersalin tu. Itu yang tak best sebab dah jadi bahan tontonan mereka pula. Dalam Islam pun digalakkan untuk memilih doktor perempuan, jika diberi pilihan.

Jadi, itulah antara sebabnya untuk anak kedua, saya memilih doktor perempuan di Pusat Perubatan Naluri Wangsamaju. Cuma bukan nak jadi rezeki anak tu dilahirkan di situ (tak nak jadi orang KL kot) sebab dah ada tanda –tanda dan sakit bersalin awal, saya memaksa suami membawa saya ke pusat bersalin swasta di Muar (boleh la nak paksa suami ke swasta sebab keluar duit poket sendiri.. kalau tak, ikutkan orang lelaki ni, nak free je..hantar hospital kerajaan je la). Nasib baik tak bersalin di dalam kereta sebab perjalanan ke Muar mengambil masa sejam dari Jementah. Walaupun doktor yang melakukan pembedahan tu doktor lelaki, tapi hanya seorang je doktor lelaki yang terlibat. Pakar bius adalah doktor perempuan.Malah 6 orang jururawat dalam bilik bedah tu semuanya perempuan. Sekurang2nya tak ada la rasa malu sangat dan aurat pun masih boleh dijaga.

Bila bersalin di hospital kerajaan,si ibu mesti menyusukan bayi sendiri. Bayangkan jika pesakit tu baru sudah menjalani pembedahan, pasti sukar untuk si ibu bangun ke bilik air atau menyusukan bayi. Tapi di hospital kerajaan, mereka perlu bangun sendiri ke bilik air (bergantung kepada jururawat – tapi ada juga nurse yang ringan tulang, nak juga tolong hantar ke bilik air) dan bangun menyusukan bayi sendiri. Bukan senang nak bangun sendiri bila dah kena bedah… Dan si ibu juga perlu menjaga sendiri bayi tersebut sebaik sahaja bayi dilahirkan. Bayangkan kesukaran yang dihadapi jika ianya anak pertama dan baru selesai menjalani pembedahan. Malah, tiada sesiapa baik emak atau suami dibenarkan untuk menjaga si ibu yang baru melahirkan anak ini tadi. Mereka hanya boleh melawat ketika waktu melawat tengahari atau petang sahaja.

Tapi kalau di pusat perubatan swasta ni, bayi akan dijaga oleh jururawat dan diberi minum susu formula sementara menunggu susu ibu. Tak dapat dinafikan susu ibu tu penting untuk bayi. Tapi nurse akan nasihatkan ibu untuk memerah susu ke dalam botol dan susu tersebut akan diberi kepada nurse untuk diberi kepada bayi. Jadi, ibu tak perlu bersusah payah nak bangun dari katil dan fikir tentang bayi sebab jururawat akan menjaga bayi sepenuhnya. Bila dah dua atau tiga hari atau dah kuat sikit, boleh la si ibu menyusukan bayi. Malah, mak atau suami atau anak atau siapa sahaja boleh menjaga atau tidur di pusat perubatan atau hospital swasta tersebut pada bila-bila masa (untuk bilik seorang atau berdua – tapi kalau bilik ramai-ramai, mungkin sukar dan tiada privasi).



Semuanya diuruskan dengan cepat dan efisien di pusat perubatan swasta..hanya sediakan wangnya sahaja..
Apa-apapun, ianya bergantung kepada kemampuan seseorang samada nak bersalin di hospital kerajaan (lebih jimat dan murah kosnya) atau pun mahukan layanan yang hebat jika bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta. Ada kalanya kelengkapan di hospital kerajaan lebih banyak jika dibandingkan di pusat perubatan swasta. Jika ada kes-kes atau masalah yang lebih besar berlaku, pusat perubatan swasta akan merujuk kes tersebut ke hospital kerajaan juga.

Malah, kadangkala ada juga berlaku di mana perkhidmatan dan layanan baik yang kita harapkan dari pusat perubatan atau hospital swasta tidak seperti yang kita harapkan atau impikan. Walau pun wang beribu telah dihabiskan, namun layanan yang diberi tidak setimpal dengan kosnya. Malah pernah juga terdengar desas-desus dari kawan-kawan yang mengatakan kalau kita ke pusat perubatan swasta, kebanyakan ibu-ibu yang akan bersalin akan dibedah (mungkin sebab kosnya lebih mahal dan lebih keuntungan– bersalin secara normal kosnya sekitar RM1000 – RM1500 biasanya). Namun jika di hospital kerajaan, jururawat atau doktor akan cuba memastikan ibu dapat bersalin secara normal, kecuali kes-kes tertentu, maka pembedahan adalah jalan terakhir.

Walau dimana pun tempat pilihan si ibu untuk bersalin, yang penting adalah keselamatan si ibu dan juga bayi tersebut.Malah, jika kita berkemampuan, tidak salah rasanya untuk kita mengeluarkan duit lebih sedikit untuk bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta asalkan perkhidmatannya lebih hebat dan efisien. Namun sebagai seorang Islam, kita perlu menjaga aurat kita ketika bersalin. Seboleh-bolehnya dapatkan doktor atau pegawai perubatan perempuan serta jururawat perempuan ketika bersalin.

Oleh itu, kepada bakal-bakal bapa dan suami, jika ada rezeki lebih, apa salahnya berhabis lebih sikit keluarkan duit untuk isteri bersalin di pusat perubatan swasta. Setelah penat bekerja bertahun-tahun, ianya juga seumpama hadiah buat si isteri. Malah, sekurang-kurangnya ia dapat membantu memulihkan isteri (dari segi moral) dan sebagai tanda sokongan suami buat isteri tercinta kerana sedikit sebanyak terubat juga kesakitan yang ditanggung oleh isteri. Hargailah isteri anda, wahai para bapa/ayah/papa/daddy....

Saturday, December 3, 2011

Kelahiran Cahayamata kedua...18.11.2011

Kelahiran secara pembedahan disebabkan kedudukan yang songsang dalam rahim ibu

Syukur Alhamdulillah di atas anugerah dan amanah Allah sempena kelahiran anakanda kedua pada tanggal 18 November 2011 jam 1.52 petang di Tey Maternity Specialist, Muar, Johor. Bayi seberat 2.8 kg diberi nama Arissa Qairina (yang bermaksud azam yang kuat dan kebaikan).


Kelahiran awal dari tarikh yang dijangka. Bayi yang baik dan tidak banyak ragam.

Semoga dengan kelahiran puteri kedua ini akan menambah lagi kebahagiaan dan keceriaan kami sekeluarga. Mudah-mudahan anakanda Arissa Qairina menjadi seorang anak yang baik, yang solehah, menyenangkan hati ibu dan ayah serta berjaya di dunia dan akhirat. AMin..

Friday, November 18, 2011

Khidmat Masyarakat - Community Service by UiTM Segamat students

Membersihkan tanah perkuburan sebelum Hari Raya Haji

Tanggal 26 Oktober 2011 (Rabu) merupakan hari yang sungguh bermakna bagi pelajar-pelajar degree Islamic Banking dari UiTM Segamat ini. Ketika orang lain sedang enak berehat dan bersantai kerana cuti Deepavali, mereka pula kena berkhidmat untuk masyarakat di Kg Durian Chondong, Muar.
Dah habis kerja, kita makan pulak...makan pagi dan tengahari ditaja oleh Masjid

Walaupun program ini merupakan salah satu tugasan bagi mereka untuk menyempurnakan penilaian bagi subjek 'Personal Development', namun keikhlasan mereka mencurahkan tenaga dan bakti untuk aktiviti gotong royong ini harus lah dipuji.. Bukan sekadar membersihkan masjid, mereka juga turut membersihkan tanah perkuburan berdekatan dan balai raya di situ.


Membersihkan kolah air di masjid

Kerja amal seperti ini memerlukan keikhlasan hati  dari setiap peserta yang terlibat.Malah semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh setiap peserta menambat hati penduduk kampung. Rata-rata penduduk kampung yang ditemui memuji usaha murni seperti ini dan mereka amat berpuas hati. Malah, pelajar2 ini turut menyumbangkan (sponsor) surah Yassin serta tiga buah almari bertingkat untuk menyimpan buku2 agama bagi kegunaan jemaah di masjid tersebut.
ISB -2293A yang sentiasa ceria bergambar di Masjid Durian Chondong

Turut bersama membantu aktiviti gotong-royong pada hari tersebut adalah KMC (Kapcai Motor Club) serta geng Anak Melayu Durian Chondong. Selain itu, JKKK Kg Durian Chondong yang diketuai oleh En Anuar Bin Hamzah, serta AJK Masjid Kg Durian Chondong turut bersama-sama membantu.
Bergambar kenangan di hadapan Muzium Bukit Kepong
Selain daripada itu, apa yang menariknya, Kak Ayu (Setiausaha Masjid) turut mengatur lawatan bagi pelajar-pelajar ini ke Muzium dan Balai Polis Bukit Kepong yang terletak kira-kira 3km dari Kg Durian Chondong. Lawatan ini sedikit sebanyak dapat membuka minda dan mata pelajar-pelajar akan sejarah dan peristiwa Bukit Kepong. Semoga semangat patriotik pejuang-pejuang tanahair negara turut membakar dalam hati dan jiwa pelajar-pelajar ini kerana merekalah harapan bangsa dan bakal pemimpin negara di masa hadapan.

Saturday, October 22, 2011

Bercuti di Kota Bandung




Sebut sahaja Bandung...mungkin ada yang teringatkan mee bandung...atau sirap bandung... tapi bandung yang dimaksudkan adalah kota Bandung di Pulau Jawa, Indonesia. Walaupun namanya Bandung, tapi tak jumpa pulak mee bandung atau sirap bandung di kota Bandung ni.

Jalan Cihampelas, Jalan Dago yang penuh dengan factory outlet
Agak lama juga saya menyimpan gambar hasil lawatan ke kota Bandung ini. Dok tersimpan sebagai draft je dalam box.... asyik lupa je nak update dan publish. Kunjungan kali ini ke kota Bandung bersama suami dan anak. 4 atau 5 tahun lepas saya pernah sampai ke Jakarta dan Bandung bersama parents dan adik2, tapi kali ni ekslusif kami tiga beranak je yang pergi makan angin ke sana. Dan trip kali ni memang betul2 last minute...booking tiket flight pun di saat2 terakhir...kebetulan ada pulus lebih dan kelapangan masa sebab tak tahu nak pi jalan mana cuti panjang masa tu... So, akhirnya kami buat keputusan untuk ke kota Bandung.
Pertunjukan anak2 jalanan

Lawatan 4 hari ke Kota Bandung memang padat. Selain shopping di Pasar Baru (tempat paling popular di kalangan rakyat Malaysia untuk shopping telekung, kain pasang, baju kurung, jubah dan sebagainya), Kota Bandung juga popular di kalangan rakyat Malaysia untuk membeli belah di factory outlet. Terlalu banyak factory outlets di sini...cakap je nak beli apa...kasut, beg tangan berjenama, seluar jeans, baju kanak2 berjenama, barangan kulit dan macam2 ada di jual di factory outlet dengan harga yang murah... Empat atau lima kali juga saya terpaksa minta driver hantar ke ATM machine Maybank atau CIMB di sana untuk keluarkan duit..huhuhu..boleh gila dibuatnya...

Shopping di Pasar Baru, Bandung
Seharian kami tiga beranak menikmati dan menjelajahi  Taman WIsata Alam, Gunung Tangkuban Perahu. Ada kisah sedih yang menarik disebalik lagenda Tangkuban Perahu ini. Cuma ada dua perkara yang tak tahan bila ke sana.
Pertama, ramai sangat penjaja yang menjual souvenir atau cenderamata yang akan cuba menarik perhatian kita...kalau tak beli, kesian pulak... Dan kesemua mereka datang dari daerah2 lain, maksudnya mereka bukan penduduk tempatan kota Bandung.. Ketika saya datang ke sini 5 tahun lepas, keadaan lagi tidak terkawal.. rasa amat kurang selesa kerana mereka akan mengekori kita ke mana sahaja kita pergi sehingga kita naik bas atau kenderaan. Kekadang seakan memaksa pulak kita untuk membeli barangan tersebut.. tu yang tension nya.. tapi kali ini, keadaan amat berbeza..mungkin mereka telah diberi amaran oleh pihak berkuasa yang bertanggung jawab agar tidak mengganggu pengunjung...

Kedua, bau belerang atau sulfur yang amat menyucuk hidung...bau seakan bau kentut..nak muntah pun ada bila terbau belerang yang kuat ni... kurang menyenangkan.. tapi apa kan daya, itulah hakikat yang perlu diterima bila berada di puncak gunung berapi yang masih lagi aktif... Cuma kali ini lebih adventure untuk kami tiga beranak sebab kami amik risiko untuk menuruni denai ke kawah gunung berapi... namanya Kawah Domas...  Pemandangan dari puncak gunung ini amat cantik dan menarik...flora dan fauna nya amat unik...bila bercakap, mulut akan berasap sebab sejuk...

Bersama tourist guide yang menemani kami

Kami juga turut membeli 8 biji telur untuk direbus di Kawah Domas ini. Telur rebus tersebut dimakan atau dicicah dengan garam... Selain itu, bagi yang berkesempatan, boleh juga membuat terapi iaitu menyapu mud atau lumpur di kawah gunung berapi ini..atau pun merendam kaki atau mandi di kawah ini....

Pokok batik yang dijadikan hiasan kraftangan

Mungkin ini bukan lawatan kami yang terakhir. Insya Allah, kami akan ke sini lagi untuk membeli belah... dan melawat tempat2 menarik yang tidak sempat dikunjungi.


Lumpur atau mud dari kawah gunung berapi untuk awek muda dan penyakit kulit


Wednesday, October 19, 2011

Berakhirnya Semester Mei-Okt 2011....UiTM


Mesyuarat Jabatan Pengurusan dan Pemasaran (PDP) di adakan semalam bersama Koordinator Program dan semua pensyarah PDP. Ia adalah mesyuarat yang diadakan sekali setiap semester bagi membentangkan laporan akademik pelajar2 Diploma yang baru sahaja selesai menjalani peperiksaan akhir.. Semester ini nampaknya akan ada 6 orang pelajar dari DBS (Business Studies) yang akan menerina ANC (anugerah Naib Cancelor). Tahniah kepada mereka.. Dan yang pasti, mereka ini juga adalah bekas pelajar2 saya Part 6 yang baru saja mengambil subjek Personal Selling (MKT361).


Antara kreativiti dan kesungguhan pelajar untuk menarik pelanggan ke gerai jualan mereka... Gambar: Nor Faizie (among best students)
Tiada apa yang paling mengembirakan cikgu, pensyarah atau pendidik selain kejayaan anak murid atau students mereka. Itu lah yang saya rasakan...berkongsi ilmu dengan mereka dan akhirnya berkongsi kejayaan mereka, adalah saat yang paling indah... Apatah lagi mereka ini sedang menuju puncak kejayaan. Cuma pesanan bagi mereka, apabila sudah berjaya dan berada di puncak kejayaan, jangan mudah lupa diri...

Group Alif (students account) yang mendapat tempat ke3 dalam pertandingan iklan
Dan yang paling menarik pada semester lepas adalah beberapa aktiviti yang dirancang dan dijalankan oleh pensyarah2 untuk pelajar2 MKT243 (Fundamentals of Marketing) dan MKT361 (Principles of Selling). Bagi pelajar2 yang belum pernah bekerja atau berniaga sebelum ini, mereka didedahkan dengan aktiviti jualan sempena MARKETING DAY. Sebanyak 21 gerai jualan dibuka pada hari tersebut. Dan macam2 ragam dapat dilihat ketika mereka memikat pelanggan ke gerai jualan mereka serta pelbagai promosi turut disediakan. Secara tidak langsung, pelajar2 dapat pengalaman sebenar bagaimana menghadapi karenah pelanggan serta aplikasi kepada 4P's dalam Pemasaran.



Amat bersemangat dan teruja untuk mempromosikan produk kepada pelanggan

  Malah, tugasan wajib bagi pelajar MKT243 adalah menghasilkan iklan komersial. Produk yang perlu mereka iklankan adalah sabun basuh kain. Ternyata mereka ini amat kreatif dalam mempromosikan produk dan bukan senang bagi panel hakim untuk memilih pemenang2.



Kumpulan pertama yang tiba di Melaka untuk latihan praktikal jualan .


Bagi pelajar2 tahun akhir (part 6) untuk subjek Personal Selling pula, mereka amat bertuah kerana dapat mengikuti hands on working experience atau latihan praktikal selamat sehari (beberapa jam) di pasaraya besar (hiper) di Melaka ketika bulan Ramadahan yang lalu. Walaupun ianya merupakan cabaran yang amat besar bagi mereka, namun kesemua mereka dapat mengikuti latihan praktikal ini dengan cemerlang hasil bimbingan serta tunjuk ajar dari kakitangan sebuah syarikat pengeluar air berkarbonat yang terkemuka (multinasional) di Malaysia. 


Ternyata pelajar2 ini yang pada mulanya malu2 untuk berkomunikasi dan mempromosikan produk kepada pelanggan, mampu memikat dan menarik pelanggan untuk membeli. Kesemua 6 pasaraya yang terlibat kehabisan stok air setelah tiga hari mereka bekerja di situ. Secara tidak langsung, ia meningkatkan jualan produk tersebut dan pelajar2 juga dapat mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari di dalam kelas tutorial.

Bersama pensyarah pengiring, Ms Lina dan Ms Mazlina di Jusco Bandaraya Melaka

Walaupun ia amat memenatkan bagi saya dan rakan2 pensyarah yang mengiring bagi memantau pelajar2 tersebut, namun hasilnya dan feedback yang diterima amat positif, baik dari pelajar2 sendiri maupun dari kakitangan syarikat mutlinasional tersebut. Mereka amat berpuashati dengan kerjasama yang diberikan serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka ketika mempromosikan produk tersebut.

Semoga mereka memperoleh dan dapat menimba ilmu dan pengalaman yang berguna untuk dijadikan bekalan di masa hadapan ketika mereka bekerja kelak. Sekurang2nya, sijil yang mereka perolehi dapat meningkatkan saham  diri mereka dan membantu dalam meningkatkan nilai resume (CV) mereka nanti.

Thursday, October 13, 2011

Susu Ibu atau Susu Formula?

Susu Pediasure coklat yang dibancuh dalam cawan



Kini genap sebulan Annisa Qaisara berhenti minum susu ibu.... Bukan senang rupanya nak berhentikan baby ni dari terus menyusu badan.... Annisa dapat menikmati susu ibu sehingga usia 1 tahun lima bulan.... yang selebihnya stok bekalan untuk bakal adik yang akan lahir tak lama lagi.

Terima kasih juga kepada PEDIASURE (perasa coklat) kerana dapat menggantikan susu ibu...walaupun khasiatnya tidak 100 peratus sebaik khasiat susu ibu, tapi sekurang2nya Annisa nak juga minum susu ni..Dah pelbagai jenis susu, botol dan puting getah yang telah diberi kepada Annisa. Tapi nampaknya tidak berjaya. Hasil cadangan dan atas nasihat Dr Ellyza di Bentong, setelah diberi susu Pediasure ni, nampaknya Annisa boleh terima...tapi bila tukar kepada susu lain, Dutch Lady dan Dugro perasa coklat, dia tak mahu pulak.. Huhuhu... nak susu mahal je...

Asalkan Annisa nak minum susu (900 gram sekitar RM69.00 untuk bekalan seminggu) pun, dah kira bagus...

Ini kerana banyak perubahan yang dapat disaksikan... Antaranya:
1) semakin bertambah berat badan Annisa...dari 6.6kg kepada 7.1kg...
2) semakin berselera untuk makan terutamanya nasi, buah2an, biskut dan lain2.
3) membantu Annisa untuk pertumbuhan tulang dan gigi ...gigi dah makin banyak..ada dalam 12 batang... kaki dan lutut pun dah mula kuat untuk berjalan...
4) baik untuk penghadaman....lawas buang air besar...
5) makin nakal, aktif dan cerdik... banyak perkataan2 yang Annisa dah pandai sebut...mendengar arahan ibu dan ayah serta pantas berfikir.
6) kenyang ketika tidur...tidak kerap bangun di tengah malam. Kalau dulu sejam sekali nak kena bangun susukan Annisa, sekarang 2 hingga 4 kali sahaja Annisa akan bangun menyusu.

Mungkin bagi ibu bapa di luar sana yang tengah mencari2 susu formula yang paling baik untuk anak2 yang cerewet memilih susu, saya syorkan untuk anda mencuba susu ini... harga agak mahal, tapi amat berbaloi dengan hasilnya.....

Friday, July 15, 2011

Happy Birthday Annisa Qaisara (tanggal 9 April)


Selamat Ulang Tahun Pertama buat Permata Hatiku Annisa Qaisara...

Untuk pertama kali nya Annisa potong kek.. alhamdulilliah, Annisa semakin besar...sambutan ulang tahun disambut bersama atok Sahari di Bentong...

Semoga Annisa menjadi anak yang baik, mendengar kata ibu bapa, sentiasa sihat dan dilindungiNya selalu...Amin..