Tuesday, June 21, 2016

Makan Angin ke Hat Yai dengan Tren ETS ( Part 2)

Trip to Hatyai via ETS
22-25 April 2016
 
Hari Kedua: 23 April 2016
 
Pemandangan sekitar Bandar Hatyai dari hotel
 Sawadeekap... Selamat pagi dari Hatyai...

Nun jauh di sana... Bukit ini lah yang menyediakan cable car dan di kaki bukit ini terdapat Hatyai Wonders Land
 
 
Tujuan utama trip ke Hatyai ini adalah kerana menghadiri persidangan akademik anjuran IPN (International Postgraduate Network) Education Group.
 





Selepas seharian bersidang dari pagi hingga 5.30 petang membuat pembentangan , selesailah sudah tujuan utama kedatangan ke sini. Anak-anak ditinggalkan dengan suami dan Atok serta Wan di bilik hotel.
 
Waktu Lunch tengah hari sementara nak menunggu sidang petang, kami sempat keluar dari hotel menaiki Tuk Tuk untuk ke pasar/bazar membeli belah pakaian. Tak ingat pula apa nama bazar ni..tapi orang-orang di Hatyai ni tahu bazar ni.. Setiap kali naik Tuk-tuk bayaran adalah 20 Baht atau RM2 seorang.
 Bersebelahan dengan Bazar ini ada satu bangunan lama dua tiga tingkat. Kami menaiki tingkat atas sekali untuk makan tengahari. Makan tengahari di sini jauh lebih murah.. tapi kurang selesa dan laluan tangga tersebut agak kotor. Kita boleh ambil macam-macam lauk pauk di sini dan nasi putih. Jauh lebih murah dari Restoran Hamid. Menu pun lebih kurang macam kita di Malaysia.
First time naik anak-anak naik Tuk Tuk
Sekitar jam 6 petang, kami mencari kenderaan untuk ke Floating Market dan juga Hatyai Ice Dome. Anak-anak dah teruja bila nak datang ke sini untuk bermain salji di Ice Dome. Pihak Hotel kata Ice Dome ditutup untuk pengubahsuaian. Tapi bila bertanya kepada driver kenderaan Tuk-Tuk mereka kata masih dibuka.
 
Setelah berunding dan tawar menawar dengan seorang driver Tuk Tuk di depan hotel, kami menaiki Tuk Tuk untuk ke Ice Dome ini. Pada mulanya driver Tuk Tuk minta 1200 Baht untuk kedua tempat ini. Setelah menawar kami membayar 800 Baht atau RM80.00 untuk kedua-dua tempat ini. Driver ini akan menghantar dan menunggu kami di kedua-dua tempat ini serta menghantar kami pulang ke hotel kemudian. So, bermula lah pengembaraan kanak-kanak riang ini menaiki Tuk Tuk buat pertama kalinya.
Di sini pintu masuk untuk ke 4D letaknya Wonders Land, I-City Park dan Cable Car
Di Entrance 4D Wonders Land

Bergambar kenangan dulu dengan penguin Coke


Bila sampai di sini, kami agak kehairanan... oh..rupa-rupanya betul lah Ice Dome telah ditukar menjadi 4D Hatyai Wonders Land. Tak pasti kenapa mereka dah tukar tempat tu.. mungkin juga maintenance yang tinggi atau kurang sambutannya. Kecewa kanak-kanak Ribena ni bila kata tiada snow di sini.. Dah siap bawa stokin dan baju sejuk lagi..


Kebetulan waktu tu ada promosi tiket. Warga emas berumur 70 tahun ke atas masuk percuma. Untuk kanak-kanak bayar 100 Bath (RM10) - harga promosi. Untuk dewasa bayar 200 Bath atau RM20 (harga promosi). Untuk penumpang Air Asia ada juga harga promosi...

Sebenarnya ada satu lagi 3D Magic Art Musem di Hatyai ni. Ianya terletak di sebuah shopping complex yang baru. Agak menarik juga di sini.. Yang itu lebih kepada lukisan mural di dinding. Tapi di Wonders Land ini 4 D adalah lampu-lampu terang yang penuh graphic. Untuk melihat kesan sebenar lampu ini, kita akan diberi cermin mata 4D. Staf-staff Wonders Land akan membantu kita macam mana nak mengambil gambar. Kerana ianya sedikit tricky dan susah untuk menggambarkan image tesebut. Bila dilihat kesan cahaya dalam camera atau handphone, baru Nampak 4D effect tersebut. Baru Nampak WOW... cantiknya.. Dalam tu Nampak gelap sahaja..dan tak jelas pun image apa... Nak ambil gambar pun ada teknik. Kena tukar mode camera dulu kepada night mode. Mereka akan bekalkan lampu suluh.. bila lampu suluh difokuskan kepada muka kita, baru snap camera atau handphone tu.. mula2 memang la confuse sikit nak buat pun tak tahu..
 
Macam-macam image dalam tu ... ada kesan bunyi sekali... Tapi bila bawa budak-budak ini... ada ruang gambar yang menggerikan gambar alien dan hantu...mula la ajak keluar nak balik..
 
So, ni adalah antara beberapa gambar cun yang sempat dirakamkan.... Memang tak ada langsung pengunjung masa tu...mungkin sebab dah nak malam agaknya..Dan tempat ini pun baru siap ubahsuai daripada Ice Dome kepada 4D wonders land.. jadi seronok la berlari-larian dalam ni..
 

Gambar pertama... tak tahu apa image ni sebab gelap dalam tu.. bila dalam hp baru Nampak image cube ni. Duduk aje la atas lantai tu.. kena tanggal kasut masuk sini.





dah lama-lama dok dalam ni baru pandai nak berlakon..

orang dewasa pun teruja...


takutnya...gunung berapi

Kesan cahaya 4D yang sangat cantik..



macam real je baby Zara nak jatuh tu...

 
 Sebenarnya ada magic show di sini.. Tapi kami dah terlepas slot magik show tersebut. Tak pe lah..takkan nak datang semula esok... Dah selamat bergambar dan berposing dalam ni dalam setengah jam, kami pun keluar untuk ke lokasi kedua iaitu Floating Market Khlong Hae.
 
 Orang kata tak sah ke Hatyai kalau tak ke Pasar Terapung ni... Pasar ini dibuka pada hujung minggu sahaja katanya.. dari hari Jumaat hingga Ahad. Dari Hatyai Wonders Land tadi, kami menaiki Tuk Tuk yang disewa khas ke sini. Meninggalkan Hat Yai Muncipal Park, perjalanan agak jauh juga lebih kurang 20 minit.




Terdapat banyak gerai-gerai menjual hasil kerja tangan, cenderamata, makanan exotic sepanjang jalan menuju Pasar Terapung ini. Pengunjung perlu berjalan kira-kira 300-400 meter dari jalan besar untuk ke sini. Di bawah jambatan di tepi sungai kelihatan lampu-lampu yang cukup meriah di Pasar Terapung atau Floating Market Khlong Hae ini.


Floating market dari atas jambatan

lebih kurang 40-50 sampan kecil yang menjual perlbagai makanan tempatan
Hampir kesemua peniaga di sini adalah kaum wanita. Mereka adalah wanita Muslim yang menjual makanan-makanan tempatan. Ada lebih kurang 30-40 buat sampan kecil di sini. Pasar terapung ini dibuka pada hujung minggu sahaja Jumaat- Ahad dari jam 5 petang hingga tengah malam.





 Apa yang menarik adalah cara pembayaran dibuat. Peniaga akan menghulur kayu atau pendayung yang diikatkan bakul kecil. Duit akan dimasukkan ke dalam bakul kecil ini.

Jagung manis


Air buah manga dan kelapa
 
 Air buah dijual dalam pasu-pasu comel. Ada gambar Hello Kitty juga. Jika air kelapa dalam buluh, ianya berharga 20Baht. Jika dalam pasu harganya dalam 30Baht atau 40Baht. Kita boleh ambil dan bwa pulang pasu tersebut setelah minum.

Telur puyuh




Samosa dan keropok goreng

Setelah membeli dan menikmati makanan tempatan di sini kira-kira sejam, kami pun beredar untuk pulang ke hotel.

Pengalaman manis dan baru yang sukar dilupakan melihat kesungguhan kaum wanita berniaga di sini demi sesuap nasi... Cenderamata juga banyak dijual di bazar atau gerai-gerai di atas tebing di sini. T-shirt, key chain, barangan cenderamata lain turut dijual murah di sini. Namun kita kena pandai menawar harga di sini untuk mendapatkan pada harga yang berpatutan.

Selesai urusan di sini, kami pulang ke hotel. Disarankan jika pengunjung hendak ke sini, anda perlu menyewa Tuk Tuk untuk menyewa atau menghantar pergi dan balik dari hotel kerana agak sukar untuk mendapatkan Tuk Tuk ke sini terutama pada sebelah malam.

Sambungan Part 3...


 


Makan Angin ke Hat Yai dengan Tren ETS

Trip to Hatyai via ETS
22 - 25 April 2016
 
 

Trip ke Hatyai kali ini amat berbeza kerana  perjalanan kali ini menaiki keretapi KTM ETS (keretapi laju) perkhidmatan antara Bandar. ETS adalah singkatan kepada Electric Train Service. Ia berkelajuan sehingga 150 km/jam. Ia menghubungkan Malaysia - Thailand iaitu dari Gemas sehingga ke Padang Besar. Tiket keretapi ETS boleh dibeli seawal sebulan awal kerana tiket ETS amat laris dan jualan amat memberangsangkan terutama untuk hujung minggu. Untuk info lanjut jadual ETS sila klik di sini. Jadual ETS.



22 April 2016
Perjalanan kami bermula dari Bentong seawal 5.30 pagi. Kami berhenti di R&R Gombak untuk solat subuh dan sarapan pagi. Trip kali ini disertai oleh mak dan Abah yang ingin merasai pengalaman tren ETS. Kami meninggalkan kenderaan di tempat letak kereta di Jalan Pekeliling Stesyen Titiwangsa untuk 3 malam. Satu malam dicaj RM5 untuk menyimpan kenderaan di parking teksi Genting (berdekatan foodcourt stesyen bas).
 
Kami menaiki monorel jam 8.10 pagi dari  Stesyen Titiwangsa. Anak-anak kecil ini amat teruja menaiki monorel. Ini adalah pengalaman pertama mereka menaiki monorel. Melihat kesibukan kota dengan manusia dan kenderaan yang bertali arus demi mencari rezeki di awal pagi.

Apa tu??

Seronok baby Zarra naik choo choo Monorel
 
 
Tiba di stesyen KL Sentral kira-kira jam 8.45 pagi. Berjalan di dalam KL Sentral ke platform KTM ETS. Ada banyak platform di sini. Ada platform LRT, Komuter dan ERL di sini. Agak jauh juga berjalan untuk ke platform di sini dan kita perlu pastikan tiba setengah jam awal sebelum waktu berlepas.
 


Sementara menunggu panggilan masuk menaiki ETS di KL Sentral - ada beberapa buah kedai pertukaran wang di sini

Selepas ke bilik air dan membuat pertukaran wang di Money Changer yang ada di KL Sentral tersebut, kami menunggu untuk ETS yang akan bergerak jam 9.30 pagi. Sebelum itu ETS ke Ipoh dan Butterworth bergerak terlebih dahulu. Setelah dipanggil dengan pembesar suara, kami menaiki ETS jam 9.30 pagi. Agak penuh juga tren tersebut menuju ke utara.

Masa pergi kedudukan kerusi mengadap ke hadapan - sampai di Butterworth mengundur pula
 Ramai pula rombongan mak jemah dan mak kiah nak ke Pulau Langkawi dalam tren tersebut. Dan ada rombongan pesara-pesara Jabatan Penjara dari KL juga. Dah macam rumah sendiri dibuatnya. Tahan je lah mata dan telinga mendengar riuh rendah rombongan cik Kiah ni.

Ruang tempat duduk penumpang dalam ETS

Harga tiket tren ETS berbeza mengikut klasifikasi tren. Ada tiga jenis semuanya iaitu Platinum, Gold dan Silver. Yang membezakan tren dan harga tren ini adalah perhentiannya. Platinum lebih cepat, kurang berhenti mengambil penumpang dan jarak masa yang singkat. Silver lebih lama masa perjalanannya kerana banyak stop/berhenti untuk mengambil penumpang. Bagi warga emas dan OKU serta pelajar juga boleh mendapat harga tiket yang istimewa/ konsesi. Dari KL Sentral ke Padang Besar, harga tiket orang dewasa sehala adalah RM80  dan kanak-kanak RM44 (Emas/Gold pakej). Tiket boleh dibeli di semua stesyen KTM atau secara online juga. Boleh dapatkan info di sini juga : ETS info

Pemandangan indah sawah padi di Kedah/ Perlis

Sedikit info....:Dalam tren tersebut amat selesa. Ada jualan makanan di café yang disediakan. Tapi agak mahal juga. pakej air dan nasi lemak adalah lebih kurang RM9.00. Murah sedikit daripada nasi lemak dalam Air Asia. LED TV juga disediakan di dalam tren. Kalau boring boleh la menonton movie yang ada. Masa tu tren menghidangkan cerita "Lord of the Ring".  Tandas bersih dan mesra "OKU".  Tempat duduk selesa dan jarak kaki yang luas. Sila bawa baju sejuk ya kerana dalam tren tu teramatlah sejuk nya sampai nak tidur pun menggigil. Tren ETS ni tiada tempat tidur macam tren KTM ekspress yang lain. Jadi semuanya tempat duduk. Di setiap gerabak kerusi yang paling depan akan ada meja khas. Senang untuk meletak makanan. Terasa 'jakun' pula pertama kali merasai pengalaman menaiki ETS ini. Beg/bagasi pun boleh diletakkan di ruang bagasi besar yang dikhaskan.


Info di skrin LED TV

Perjalanan dari KL Sentral menaiki tren ETS Gold ini adalah selama 5 jam lebih. Kami tiba di Stesyen Padang Besar jam 3.20 petang. Mengikut jadual tren dijangka tiba jam 3.10 petang. Kelajuan maksima adalah sekitar 141km/jam. Tak de lah selaju keretapi laju di Jepun atau Europe.. tapi tetap laju daripada kereta... Dalam setiap gerabak separuh kerusi akan mengadap ke hadapan...sebahagian lagi mengadap ke belakang. Jadi jika dari KL sentral kerusi kita mengadap ke hadapan, bila tiba di Stesyen Butterworth nanti kita akan mengundur pula... so memang nak ke tak nak akan menghadap ke depan dan juga duduk mengundur naik tren ini.

Ruang Bagasi

Sebaik tiba di Stesyen Padang Besar kami rehat sebentar kerana menunggu dan ingin berjumpa mak saudara yang kebetulan menetap di Changloon. Jika anda ingin terus ke Hatyai, ada keretapi ekspress antarabangsa Thailand terus ke Hatyai. Tiket boleh dibeli di stesyen keretapi Padang Besar ini.
 
Jika anda ingin menaiki kereta untuk masuk ke Hatyai, ada juga kereta sewa di sini. Kami menyewa sebuah MPV dengan bayaran RM100 untuk ke Hatyai. Ketika melalui sempadan Malaysia -Thai, pusat Imigresen Malaysia, semua penumpang perlu turun untuk cop passport. Di Imigresen Malaysia mudah urusannya dan cepat. Naik semula kenderaan dan kira-kira 600 meter kemudian akan melalui imigresen pihak Thailand pula. Jadi kami perlu turun semula dari kenderaan dan beratur untuk cop passport di sini. Dan kita perlu sediakan RM2 untuk setiap passport. RM1 untuk upah orang menulis borang masuk ke Thailand dan RM1 lagi diselitkan dalam passport ketika cop passport tersebut. Balik pun kena buat yang sama.. selitkan RM1 dalam passport tapi tiada borang lagi yang perlu diisi. Cuma perlu pastikan keratan borang putih tu ada dikepilkan bersama passport.
 


Dua single dan tambah satu lagi extra Bed

Waktu di Thailand adalah lewat sejam dari Malaysia. Setelah sejam perjalanan menaiki kereta sewa, kami tiba di hotel Regency Hatyai. Pengunjung boleh walk in atau booking online untuk menempah bermalam di sini. Info tentang Hotel :  Hotel Regency Hatyai . Cuma yang tak berapa nak bestnya perlu melalui satu gerai kecil yang menjual khinzir panggang di situ. Kalau tak nak lalu depan gerai BBQ ni pun boleh iaitu melalui pintu kecil restoran Hotel.

Kedudukan Hotel Regency Hatyai ini amat strategik kerana berdekatan dengan salah satu Restoran Halal yang terkenal di sana iaitu Restoran Hamid. Keluar dari Hotel ini dan jalan kaki dalam 80 meter adalah Lee Garden Plaza- tempat shopping. Dan sekitar plaza ini banyak gerai-gerai jualan pakaian dan makanan. Di sini ada beberapa gerai Muslim yang menjual makanan halal seperti Nasi Lemak, Teh Tarik, Mee Goreng , Ayam Goreng dan sebagainya dengan harga yang murah.

Wajib ambil gambar bilik air juga

Restoran di dalam Hotel Regency yang juga menyajikan  tarian tradisional Thai
(belakang tu gerai yang menjual VaVi Panggang)

Restoran Hamid yang popular
Setelah berehat di Hotel sebentar, malam tu kami menikmati makan malam di Restoran Hamid. Restoran Hamid ini amat terkenal kerana antara restoran Halal Muslim yang awal di Hatyai. Kami order Tom Yam, Paprik Ayam, Telur Bungkus dan Sotong Goreng. Harga agak mahal tapi amat sedap dan servis cepat.

 


Selepas makan, kami jalan-jalan di dalam Plaza Lee Garden dan sekitarnya. Untuk Makluman, plaza ini pernah dibom beberapa tahun dahulu. Ketika untuk memasuki plaza ini, pengunjung akan melalui scanner di pintu masuk demi keselamatan pengunjung lain. Ada juga ditempatkan balai polis bergerak di depan plaza ini bagi memastikan kawasan ini selamat.

Pengunjung boleh cuci-cuci mata pelbagai barangan di sini sehingga jam 1 pagi. Keesokkan paginya peniaga lain pula yang akan menjual barangan lain di kaki lima depan Lee Garden Plaza ini. Setiap hari beginilah aktiviti di sini..

Kami balik rehat dan aktiviti tidur seterusnya..... sebab baby dah penat travel naik Encik Thomas hari ni..

Sambungan Part 2...untuk hari Kedua.