Sunday, March 4, 2012

Ambil Cuti Bersalin 60 hari atau 90 hari?

Jika sebelum ini kakitangan awam hanya dibenarkan dan layak mendapat 60 hari cuti bersalin bergaji penuh, namun mulai penghujung 2010 cuti bersalin ini ditambah kepada 90 hari.

Ianya merupakan khabar gembira buat ibu-ibu di Malaysia. Mana tidaknya, kebanyakan negara lain sudah lama memberi hak keistimewaan dan kemudahan ini kepada ibu-ibu. Malah ada sesetengah negara, bapa turut diberi cuti yang panjang untuk menemani isteri dan menolong isteri menjaga bayi yang baru lahir.

Sebagai contoh, Indonesia, Thailand, China dan Korea telah lama memberi kemudahan cuti bersalin bergaji penuh 90 hari. Manakala di sesetengah negara, mereka memberi lebih lama cuti bersalin kepada ibu-ibu. Contohnya di Estonia (18 bulan), Slovenia (12 bulan), Portugal (120 hari), Norway (46 minggu), Denmark (52 minggu), Bulgaria (1 tahun/ 52 miggu), Japan, Singapore dan New Zealand (14 minggu), Vietnam (4-6 bulan), dan South Africa (4 bulan).

Namun ada juga beberapa negara yang memberi cuti bersalin untuk tempoh yang pendek seperti Tunisia (30 hari), Bahrain dan UAE (45 hari), Qatar (50 hari),dan Nepal (52 hari).

Kalau dilihat secara keseluruhannya, negara Eropah memberi kemudahan cuti bersalin untuk tempoh yang panjang untuk ibu-ibu yang bekerja. Manakala negara-negara Arab dan Asia memberi kemudahan cuti bersalin untuk tempoh yang singkat dan pendek.

Malah di UK, pekerja wanita layak mendapat cuti bersalin selama 52 minggu (39 minggu bergaji penuh). Selain itu, di Estonia, bakal ibu juga boleh memohon cuti awal selama 70 hari sebelum kelahiran.

Di sesetengah negara, bapa turut mendapat kemudahan cuti bersalin (parental leave). Malah ada juga negara yang memberi bonus, dan incentive kepada ibu-ibu yang melahirkan anak dan membiayai  perbelanjaan bayi tersebut untuk tempoh 1-3 tahun. Begitu la kedudukan wanita dan kemudahan yang diperolehi oleh ibu-ibu berbeza mengikut pemimpin dan negaranya.

Di Malaysia pula, cuti bersalin 90 hari ni baru je berkuat kuasa 15 Oktober 2010 (Pekeliling Perkhidmatan Bil 14/2010). Jika dahulunya kakitangan awam wanita yang mengambil cuti bersalin layak mendapat 60 hari, kini mereka boleh mendapat 90 hari cuti bergaji penuh. Manakala jumlah keseluruhan cuti bersalin yang layak dimohon adalah 300 hari (maksima) sepanjang mereka berkhidmat.

Sebagai kakitangan kerajaan, pada kelahiran anak kedua tahun lepas (November 2011), saya menggunakan kemudahan cuti bersalin 90 hari ni. Kelahiran anak pertama pada 9 April 2010 yang lalu saya menggunakan kemudahan 60 hari cuti bersalin bergaji penuh.

Pada pendapat saya, memang wajar dan tepat sekali kerajaan memberi kemudahan tersebut kepada kakitangan wanita. Banyak kebaikan yang diperolehi. Berdasarkan pengalaman saya, tempoh 90 hari tu memberi peluang kepada ibu-ibu untuk pulih sepenuhnya, terutamanya macam kes saya yang menjalani pembedahan semasa kelahiran bayi kedua. Sekurang-kurangnya mental dan fizikal sudah kuat untuk bekerja semula,dan beransur sihat untuk buat kerja-kerja lasak. Manakala untuk bayi pula, mereka sudah semakin stabil dan besar, serta semakin kenal dan rapat dengan ibu sebab dapat susu ibu secara langsung (direct) dari ibunya. Malah adik-beradik yang lain pun sudah boleh menerima kehadiran ahli keluarga baru ini dan mula menyesuaikan diri dengan persekitaran dan suasana baru.

Itu lah antara kebaikan yang saya lihat setelah melalui pengalaman tersebut. Kalau dulu cuti 60 hari, hubungan si ibu dan si kecil agak kurang kerana di hantar ke rumah pengasuh ketika ibu pergi bekerja. Bagi ibu yang bersalin normal, mereka akan sembuh dalam tempoh 2 bulan tersebut. Namun bagi ibu yang bersalin secara pembedahan, ianya kurang sesuai kerana kadang-kala kesakitan akan berulang dan terasa lagi.

Walau apa pun keputusan yang dibuat oleh pemimpin, saya tetap menyokong kerajaan. Namun sekurang-kurangnya hak kaum wanita terjaga dan terpelihara, malah ianya dapat mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Untuk maklumat  lanjut, anda juga boleh layari: http://en.wikipedia.org/wiki/Parental_leave

Friday, March 2, 2012

Menangkap Ketam di Port Dickson ( Hotel Lexis)

Ketam pertama yang masuk sangkar..ketam bunga
Anda pernah menangkap ketam? Tak kira la ketam batu ke..ketam bunga ke... asalkan namanya ketam...

Ini merupakan pengalaman pertama seumur hidup saya menangkap ketam di laut. Selama ni hanya tau beli ketam di pasaraya dan masak ketam je. Tak pernah terfikir pun nak tangkap ketam sendiri. Masa kecik-kecik dulu mak selalu masak ketam masak lemak cili padi. Tapi tak berapa pedas sangat sebab kami sekeluarga tak makan pedas. Atau pun buat ketam goreng...wow..memang sedap...

Especially bila balik kampung di Sitiawan, beli pulak ketam fresh yang baru naik dari laut, lagi la terangkat bila makan ketam goreng tu...
 
Yang bestnya, tak susah nak tangkap ketam kat depan mata ni. Sewa je sangkar ketam tu (tak ingat apa nama sangkar ketam ni), lepas tu masukkan umpan yang sungguh istimewa untuk menarik perhatian ketam tu. Dan ikat sangkar tu kemas-kemas sebelum turunkan atau campakkan sangkar tu ke dalam air. Sangkar ketam tu boleh je dimasukkan atau dicampakkan ke dalam laut dari balkoni bilik hotel tu..

Tak percaya boleh campakkan sangkar ketam dan joran (pancing) dari balkoni bilik je? Ya...ada....sungguh....dan tak tipu... Dulu macam tak percaya je bila orang bercerita...tapi bila dah pergi, baru percaya.
 
Lepas first trip tu ( awal Januari - selepas habis berpantang), pergi trip kali kedua dalam bulan yang sama (hujung Januari 2012)  dan bawa famili, mak abah dan adik2 serta anak saudara pulak sebab nak buktikan kat mereka... masing-masing amat teruja .... Trip kali pertama (4 beranak) kami sewa Deluxe Lower Water Chalet -Full Seaview (mengadap laut). Cuma kali ni sebab pergi dengan group yang lebih ramai, kami ambil dua unit Premium Water Chalet (setiap unit ada 1 katil King size dan 1 katil Queen Size) yang sebelah menyebelah. Cuma kedudukannya tak berapa best, dekat sangat dengan darat... So, bila air surut, tempat tu la yang paling awal surutnya, dan tak boleh nak memancing dan pasang perangkap ketam dari balkoni bilik. Kena pulak jalan sikit ke wakaf tengah yang disediakan.

Banyak jenis chalet disediakan. Pilih la yang mengadap laut.
 Umpan apa nak tangkap ketam ni? Special sangat ke? hmm..kalau kari kepala ikan kita biasa makan kan... tapi ketam ni makan kepala ayam pulak....agaknya itu menu yang paling lazat bagi sang ketam.. manusia nak makan ikan di laut...ketam pulak teringin nak makan ayam di darat... hmm...pelik-pelik... memula tergelak juga dan terkejut bila diberi kepala ayam untuk umpan ketam.. tapi bila umpan dah mengena...sangkar dah masuk ketam...huhuhu..terkejut dibuatnya...dan baru la percaya kehebatan kepala ayam ni.
Lantai kaca yang lutsinar dan bathtub yang besar
Bukan setakat boleh pancing dari balkoni bilik hotel je...malah boleh tengok air laut dari lantai bilik. Lagi la terkejut dan kagum dengan design bilik hotel ni..macam-macam yang unik dan menarik rupanya disediakan oleh pihak hotel untuk menarik minat pengunjung dan penyewa.

Mula-mula masuk bilik, dah nampak cermin atau kaca besar kat lantai yang boleh nampak air laut kat bawah hotel tu. Baby Annisa pun takut nak pijak atas lantai kaca tu.. bukan budak je takut, orang tua pun rasa seriau (kata orang utara) atau ngeri, takut, bimbang dan khuatir nak pijak lantai yang lutsinar ni...Waktu malam, nampak gelap je bila tinjau dari atas ke bawah. Bila siang, baru la nampak air pasang, air surut atau ketam berlari-larian (ketam berlari ke atau jalan mengiring?) dan ikan yang berenang-renang.
Enak beradu kedua-dua beradik.Macam tak nak bangun dah.. King size bed
Memang agak selesa di bilik ni. Dah la sejuk (sebab ada air cond). Angin sepoi-sepoi bahasa pulak. Tapi pada waktu malamnya hujan pulak. Bagi kaum ibu, tak perlu risau kalau ayah atau si suami nak memancing. Letak je joran kat balkoni..duduk la bertapa lama-lama di situ pun tak pe. Tak perlu risau pukul berapa suami nak balik atau anak menangis kat bilik. Malah, boleh join sama ngan suami untuk memancing dan check sangkar ketam.
Muka sedih sebab kena jaga joran ayah... ketam dapat 11 ekor je,,
Bath tub dalam bilik pun special. Boleh muat dua atau  tiga orang dewasa. Kalau kanak-kanak, empat atau lima orang pun boleh masuk. Memang besar dan boleh berendam lama-lama.
dah nak balik... ada chalet yang dua tingkat juga..
Mengadap laut.. merenung masa hadapan...
Unik nya lantai. Nampak ikan dan ketam..serta air pasang surut..

Mama...mama...fish...
Nasib kami baik sebab jumpa laman sesawang yang offer special price untuk sewa bilik hotel ni. Kalau nak sewa direct dari hotel, agak mahal jugak. Tapi boleh aje sewa direct kalau berkemampuan. Tapi kalau dapat yang lagi murah dan servis serta kemudahan yang diberi lebih kurang sama je, lebih baik ambil yang murah. Klik je kat laman ni:  http://www.legendwaterchalets.net/
 
Bagi yang nak mencari ketenangan jiwa, nak cari ilham buat lagu ke, buat research ke atau berbulan madu, boleh la duduk sini.. cari bilik yang hujung dan mengadap laut (sea view). Memang amat berbaloi keluar duit lebih sikit untuk dapatkan bilik ni. Ada banyak jenis bilik yang ditawarkan. Ada premium chalet, executive chalet, deluxe lower atau deluxe upper.Tapi yang mengadap laut ni lebih privacy, sebab tu harga mahal sikit. Untuk kaki pancing, ambil bilik hujung ni sebab kalau dekat dengan darat, air surut dah tak boleh memancing atau tangkap ketam.
 
Dari tingkap bilik boleh nampak joran... 24 jam joran di balkoni...

Bawa la segala keperluan... joran pun boleh, tak ada sapa nak marah.. pukat atau jaring pun boleh..
 Bila nak balik, terasa sayang pulak nak tinggalkan tempat ni. Hati meronta-ronta untuk datang kembali ke sini. Insya Allah, kalau ada rezeki, kami pasti kembali.
 
Dari balkoni kelihatan awan nano mendung menandakan hari akan hujan..

TIPS:
 1. Untuk kaki pancing yang nak memancing 24 jam, sewa je Deluxe Lower Water Chalet yang mengadap laut (full seaview) sebab bila air surut, tak terjejas langsung kedudukan joran anda. Malah, tak perlu risau kes-kes seperti tersangkut tali joran dan sebagainya.
2. Pastikan umpan yang anda bawa mencukupi kerana kalau dah tengah malam kehabisan stok umpan, susah nak cari umpan lagi di sini.
3. Bawa bekalan ubat nyamuk sebab ada kalanya nyamuk banyak. Dalam sesetengah bilik turut disediakan kipas dan ubat nyamuk.
4. Boleh booking dulu joran dan sangkar ketam dari owner chalet/person in charge, jika takut sangkar tersebut kehabisan. Kalau tak puas hati, booking dua sangkar ketam. Insya Allah, pasti mengena...
5. Bawa sendiri stok makanan yang mencukupi ke bilik. Dapat menjimatkan wang dan mengurangkan masa untuk keluar makan sebab masa yang berkualiti lebih banyak dihabiskan di bilik untuk memancing dan jaga sangkar ketam tu.
 

Berakhirnya Semester Nov 2011- April 2012

Hari ini merupakan hari terakhir pengajian bagi pelajar-pelajar UiTM untuk Semester Nov 2011- April 2012. Bagi pelajar-pelajar part 6 Diploma (semester 6 = semester terakhir), ini merupakan hari terakhir mereka bergelar pelajar diploma (itu pun kalau tak repeat paper next semester). Mereka la orang yang paling gembira...dan tak sabar-sabar nak pulang ke kampung halaman...

Bagi pensyarah pula, di minggu terakhir ni adalah minggu yang paling busy...sebab masa tu la nak menilai individual atau pun group presentation pelajar. Ada juga yang buat kuiz dan test di saat-saat akhir. Malah ada juga yang buat program atau aktiviti pelajar di minggu terakhir ni. Apa-apa pun, raw score atau carry mark pelajar untuk course work akan dikeluarkan minggu hadapan ( minggu study week). Masa tu lagi la pensyarah ni sibuk. Hari ni juga jam 10 pagi saya akan menilai pelajar2 final semester untuk projek ENT (keusahawanan).

Saya hanya sempat berjumpa dengan pelajar2 saya untuk 2 minggu ni sahaja (sebab baru mula bekerja setelah 90 hari bercuti - iaitu cuti bersalin). Minggu depan dah mula kelas students degree. Saya akan mengajar subjek Personal Development lagi. Manakala 24 hb Mac dah mula menanda kertas peperiksaan untuk subjek Marketing dan Personal Selling.

Minggu depan (10 hb Mac)  juga saya akan ke Bandung bersama keluarga.. Tapi trip kali ini bertujuan untuk bentangkan kertas kerja bagi pengesahan jawatan. Mudah-mudahan urusan perjalanan kami ke sana kali ini dipermudahkan dan saya dapat bentangkan dua paper dengan baik...

Monday, December 26, 2011

Pantang dan Bentan

Lauk pauk orang dalam 'hari' (pantang)

Hari ni genap 39 hari saya dalam pantang (bersalin anak kedua). Dan setiap hari la kena makan ikan haruan. Ada pil ikan haruan, sup ikan haruan dan ikan haruan segar. Sampai dah kembang dah tekak ni makan ikan haruan. Kadangkala ikan haruan segar ni digoreng, dibuatkan sup, dimasak gulai masak lemak dan juga dibakar dengan daun kunyit.

Tujuannya untuk menyembuhkan luka dalaman terutamanya orang yang baru lepas bersalin dan selepas pembedahan. Selain tu ikan tenggiri dan ikan bilis adalah menu harian. Sayurnya pula adalah sayur sawi..hari-hari makan sawi bersama dengan nasi putih yang panas dan air kosong yang suam atau panas. Takut salah makan, nanti boleh jadi bentan.. kata orang-orang tua, tak boleh makan makanan sejuk. Takut baby kembung pulak nanti..atau pun ibunya bentan nanti.

Lagi beberapa hari lagi nak menghabiskan 'zaman darurat' nie... dah tak sabar nak merdeka pada 1 Januari ni...terutama nya tengah musim buah ni.. hari-hari tengok je la orang makan rambutan, manggis dan juga DURIAN yang diambil dari kebun.

Tak pe,..tinggal beberapa hari lagi.. sabar...... menyambut tahun baru 2012, baru la merdeka... Selamat Tahun Baru 2012...

Saturday, December 17, 2011

Kursus sambil bercuti


Imbau kembali bulan November tahun lepas saya telah menghadiri kursus induksi selama dua minggu di Pusat Latihan UiTM di Kg Gajah. Di mana tempat nie? Yang pasti di negeri Perak. Agak terpencil juga dan tersorok. Ianya juga tidak jauh dari tempat bersejarah Pasir Salak, Perak.

Antara peserta kursus (pensyarah) induksi UiTM dari seluruh Malaysia
 Di sebabkan bayi saya ketika itu berusia tujuh bulan dan masih menyusu, terpaksalah saya bawa sekali suami dan anak ke tempat kursus tersebut. Pening jugak suami nak melayan karenah anak. Dan bayangkan tempat terpencil macam tuh, mana ada tempat nak berjalan..hari-hari dok dalam bilik, layan TV je.


Bila ada masa terluang, kami ke Kompleks sejarah Pasir Salak. Malah, ada satu hari yang free (selepas exam), sekitar jam 2 petang, saya ajak suami ke Cameron Highlands. Ingatkan macam dekat je bila tengok Google Map dari Kg Gajah ke Cameron Highlands, bila dah drive, amik masa dekat 3 jam jugak.Pergi ikut Simpang Pulai, balik plan ikut Tapah. Dah la balik hari je, bila sampai di Cameron pun dah jam 5 petang..sempat la melawat taman rama-rama dan ladang strawberry bersama Annisa. Sekitar jam 7.30 malam, kami bertolak balik dari Cameron ke Kg Gajah..sampai di Pusat latihan sekitar jam 10.30 malam.. agak bahaya juga lalu di jalan yang bengkang-bengkok menuruni Tapah dari Cameron Highlands pada waktu malam.Itu kali pertama saya drive ke Cameron Highlands.

Strawberry Park

Alhamdulillah, saya telah berjaya dalam peperiksaan ketika kursus induksi tersebut. Sebab itu adalah salah satu syarat untuk pengesahan jawatan. Kalau tak lulus peperiksaan, kena datang lagi kursus tersebut selama dua minggu..huhu..tak ada peserta kursus yang mahu menduduki semula exam tersebut..
Taman Rama-rama
Selesai kursus induksi, kami menjelajah ke utara Semenanjung pula. Kami ke Penang. Dari Penang, kami menaiki pesawat ke P.Langkawi.. cuti-cuti satu utara... di Langkawi tiga hari dua malam... banyak jugak la shopping, penuh la satu kereta dengan barang2 dan  pinggan mangkuk dari Duty Free Shop, Idaman Suri dan Hj Ismail shop.. Itu antara tempat-tempat shopping yang wajib dilawati oleh suri rumah dan ibu-ibu... kami juga sempat menaiki cable car di Gunung Mat Cinchang.. tapi kali ni cable car agak stabil dan tidak berayun sangat macam yang saya pergi tahun sebelum ni..

Menaiki pesawat Penang- Langkawi-Penang
Nasihat saya, bagi yang ada anak kecil, tapi masih berkeinginan nak shopping pinggan-mangkuk, lebih baik naik kapal terbang kerana kita tak perlu bawa dan pegang barang yang berat menaiki feri. Cuma bila tempah flight, kena tempah/bayar lebih untuk berat beg/luggage. Kalau nak, boleh je ambil maksima 30kg. Boleh la angkut barang2 Vision, Corning Ware, Vantage, Corelle dan lain-lain. jangan lupa tampal pelekat "Fragile" atau "Mudah  Pecah" pada barang2 tersebut. Selamat membeli-belah !!!

Monday, December 12, 2011

Sales and Marketing Hero

Ketika majlis perpisahan di Bukit Gambang Resort, Kuantan

Bakat semulajadi atau Skil yang boleh dipelajari?


Tuan Haji Yunus Abd Wahab seorang mentor dan 'guru' kepada saya sepanjang saya bekerja di bahagian 'sales and marketing' di F&N Coca-Cola Sdn Bhd ketika di Kuantan. Dari seorang yang tidak tahu langsung selok-belok jualan (sales) dan pemasaran (marketing), saya telah dilatih dan diajar cara-cara menguruskan jualan dan pemasaran produk. Bukan senang untuk menjual sesuatu produk walaupun ianya dari sebuah organisasi multinasional (MNC) yang besar dan ternama di dunia. Semuanya memerlukan skil jualan, kesabaran, jati diri, azam yang kuat, persediaan dari segi mental dan fizikal bila berhadapan dengan pelanggan (customer) dan rakan kongsi (partner) serta consumer (pengguna).

Walaupun saya mempunyai ijazah dalam bidang pemasaran, tetapi bukan senang untuk mempraktikkannya. Kerana apa yang dipelajari sebelum ini adalah secara teori sahaja. Oleh itu saya perlu bekerja lebih keras dan berkali ganda untuk mempraktikan apa yang telah dipelajari dalam dunia realiti yang sebenar. Namun berbeza bagi Tuan Haji Yunus kerana beliau tidak belajar di Universiti. Beliau bekerja dari bawah dan mempelajari selok-belok perniagaan berdasarkan pengalaman kerja beliau sahaja. Ada orang memang berbakat dan dianugerahkan Tuhan dengan kebolehan semulajadi menjadi 'salesperson'. Tapi ada orang perlu mempelajari dan menuntut ilmu dalam bidang tersebut, kemudian mempraktikkannya.Saya tergolong dalam kumpulan kedua ini.

Hampir dua tahun saya 'menuntut ilmu' dengan Tuan Haji Yunus. Pengalaman yang beliau perolehi sepanjang tempoh hampir 30 tahun bekerja di syarikat bekenaan amat berguna bagi orang-orang baru seperti saya. Beliau tidak lokek ilmu untuk bekongsi pengalaman dan pengetahuan dengan pekerja di bawah seliaan beliau. Walaupun kadang-kala muka jadi merah padam dan telinga dah jadi tuli dengan leteran dan kena marah dengan beliau, namun beliau tidak menyimpannya di dalam hati.

Sebagai ketua dan majikan, apa yang beliau lakukan adalah untuk kepentingan dan kebaikan pekerja serta syarikat. Ianya bagi membantu menaikkan jualan(sales) syarikat serta market share produk tersebut. Tuan Haji Yunus amat komited dengan kerja beliau. Jarang benar saya lihat beliau mempunyai masa lapang. Sebagai Pengurus Wilayah Kawasan Pantai Timur (Regional Manager - East Coast), beliau sentiasa bekerja keras untuk mencapai sasaran jualan (sales target) bulanan bagi ketiga-tiga negeri (Pahang, Terengganu dan Kelantan). Di bawah pengurusan beliau, wilayah ini berjaya melonjak naik jualan produk serta meningkatkan  market share bagi wilayah Pantai Timur. Amat membanggakan kerana beliau merupakan satu-satunya Pengurus Wilayah (Regional Manager) Melayu di syarikat ternama ini. Dan setiap tahun, beliau dan team beliau pasti akan menaiki pentas menerima pengiktirafan dan anugerah prestij syarikat ketika "Annual Sales Convention" yang diadakan oleh syarikat di luar negara.

Tanda ingatan dan tulus ikhlas bagi menghargai jasa beliau
 Saya masih ingat lagi ketika bekerja di bawah beliau sebagai Eksekutif Pemasaran bagi wilayah Pantai Timur, kami perlu bertolak sekitar jam 3 pagi dari Kuatan ke Kota Bahru, setiap kali ada pelancaran produk baru. Ini bagi memastikan beliau akan tiba di pejabat di Kota Bharu sebelum jam 8.00 pagi. Ketepatan masa amat penting bagi seorang pemimpin dan orang 'sales'. Jika kita lambat, mungkin pelanggan kita akan 'dicuri' oleh pesaing. Dan bila kita tidak tepati masa, pelanggan juga akan lari. Itu antara yang saya pelajari dari beliau.

Oleh kerana komitmen beliau terhadap kerja begitu tinggi, beliau juga bekerja 7 hari seminggu. Ini kerana dari hari Isnin hingga Sabtu, pejabat di Kuantan beroperasi. Manakala di Kota Bharu dan Kuala Terengganu hanya cuti pada hari Jumaat. Dan kadang-kala beliau turut turun padang melihat dan menyertai team pemasaran yang mengadakan event tertentu pada hujung minggu.

Tuan Haji Yunus telah bersara dari syarikat dua tahun lepas. Namun khidmat beliau masih diperlukan oleh syarikat dan beliau dilantik bekerja semula secara kontrak untuk menerajui pasaran dan jualan negara Timur Tengah (Middle East). Walaupun saya telah meninggalkan syarikat ini kira-kira 5 tahun lepas, namun baru-baru ini saya turut bersama-sama sales team dan kakitangan syarikat tersebut untuk majlis perpisahan Tuan Haji Yunus di Bukit Gambang Resort, Kuantan. Secara peribadi, beliau merupakan idola, rakan, ayah, dan guru saya yang telah banyak membantu saya dalam karier yang mencabar ini. Mungkin rezeki saya serta usaha beliau juga, saya berjaya menjawat jawatan Pengurus Pemasaran Wilayah Selatan (Regional Marketing Services Manager -South  Region) ketika berusia 26 tahun. Tidak salah saya katakan, saya adalah pengurus perempuan Melayu yang termuda menjawat jawatan tersebut di syarikat minuman gergasi bekenaan. Beliau juga merupakan contoh anak Melayu yang berjaya kerana kedudukan beliau disanjung dan dihormati oleh semua pekerja, malah dapat duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa asing yang telah berjaya di syarikat ternama dan terkemuka di dunia.

Saturday, December 10, 2011

Nak Bersalin Di Mana? Hospital Swasta atau Kerajaan?

Ketika bersalin anak sulung di hospital kerajaan
“Nak bersalin di mana?”

Itu antara soalan yang kerap ditanya kawan-kawan atau saudara mara bila jumpa ibu mengandung atau bakal ibu yang akan melahirkan anak. Sama ada bersalin di hospital kerajaan atau di pusat perubatan atau hospital swasta, bagi saya kedua-dua nya ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Saya pernah melalui dan merasai pengalaman bersalin di kedua-dua tempat tersebut. Anak sulung bersalin di hospital kerajaan kerana kes kecemasan (uri lekat dan air ketuban pecah di rumah, jadi terpaksa menaiki ambulan ke hospital). Anak kedua bersalin di pusat perubatan swasta di Muar (tak sempat ke Pusat Perubatan Naluri di Wangsamaju kerana sakit bersalin awal dan bayi songsang ).

Dari segi kewangan, memang la lebih murah kosnya bila bersalin di hospital kerajaan. Bagi saya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan, dengan adanya GL (Guarantee Letter dari majikan), saya layak duduk wad kelas pertama. Malah bayaran hospital pun ditanggung sepenuhnya oleh majikan..Kosnya tak sampai pun RM100.

Namun bila bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta, kosnya agak mahal. Ketika bersalin anak kedua, kosnya lebih kurang RM5,000 (kerana bersalin melalui pembedahan dan 5 hari di tahan di wad kerana anak terkena jangkitan kuman). Biasanya kalau bersalin secara normal, kosnya antara RM1,000 hingga RM2,000 (bergantung kepada ibu samada nak ambil epidural atau tidak ketika bersalin).

Dari segi Islam dan aurat, kalau di hospital kerajaan, kita tak boleh pilih doktor atau pegawai perubatan perempuan ketika di bilik bersalin atau bilik pembedahan. Dan dari pengalaman saya, yang mengadap dan menyambut bayi saya adalah 3 orang doktor pelatih lelaki dan seorang doktor pakar sakit puan lelaki…huhuhu..malu bukan kepalang rasanya. Malah bila dah jadi kes sebab uri lekat, ada lebih kurang 20 orang pula jururawat pelatih yang datang melihat dan mengadap dalam bilik bersalin tu. Itu yang tak best sebab dah jadi bahan tontonan mereka pula. Dalam Islam pun digalakkan untuk memilih doktor perempuan, jika diberi pilihan.

Jadi, itulah antara sebabnya untuk anak kedua, saya memilih doktor perempuan di Pusat Perubatan Naluri Wangsamaju. Cuma bukan nak jadi rezeki anak tu dilahirkan di situ (tak nak jadi orang KL kot) sebab dah ada tanda –tanda dan sakit bersalin awal, saya memaksa suami membawa saya ke pusat bersalin swasta di Muar (boleh la nak paksa suami ke swasta sebab keluar duit poket sendiri.. kalau tak, ikutkan orang lelaki ni, nak free je..hantar hospital kerajaan je la). Nasib baik tak bersalin di dalam kereta sebab perjalanan ke Muar mengambil masa sejam dari Jementah. Walaupun doktor yang melakukan pembedahan tu doktor lelaki, tapi hanya seorang je doktor lelaki yang terlibat. Pakar bius adalah doktor perempuan.Malah 6 orang jururawat dalam bilik bedah tu semuanya perempuan. Sekurang2nya tak ada la rasa malu sangat dan aurat pun masih boleh dijaga.

Bila bersalin di hospital kerajaan,si ibu mesti menyusukan bayi sendiri. Bayangkan jika pesakit tu baru sudah menjalani pembedahan, pasti sukar untuk si ibu bangun ke bilik air atau menyusukan bayi. Tapi di hospital kerajaan, mereka perlu bangun sendiri ke bilik air (bergantung kepada jururawat – tapi ada juga nurse yang ringan tulang, nak juga tolong hantar ke bilik air) dan bangun menyusukan bayi sendiri. Bukan senang nak bangun sendiri bila dah kena bedah… Dan si ibu juga perlu menjaga sendiri bayi tersebut sebaik sahaja bayi dilahirkan. Bayangkan kesukaran yang dihadapi jika ianya anak pertama dan baru selesai menjalani pembedahan. Malah, tiada sesiapa baik emak atau suami dibenarkan untuk menjaga si ibu yang baru melahirkan anak ini tadi. Mereka hanya boleh melawat ketika waktu melawat tengahari atau petang sahaja.

Tapi kalau di pusat perubatan swasta ni, bayi akan dijaga oleh jururawat dan diberi minum susu formula sementara menunggu susu ibu. Tak dapat dinafikan susu ibu tu penting untuk bayi. Tapi nurse akan nasihatkan ibu untuk memerah susu ke dalam botol dan susu tersebut akan diberi kepada nurse untuk diberi kepada bayi. Jadi, ibu tak perlu bersusah payah nak bangun dari katil dan fikir tentang bayi sebab jururawat akan menjaga bayi sepenuhnya. Bila dah dua atau tiga hari atau dah kuat sikit, boleh la si ibu menyusukan bayi. Malah, mak atau suami atau anak atau siapa sahaja boleh menjaga atau tidur di pusat perubatan atau hospital swasta tersebut pada bila-bila masa (untuk bilik seorang atau berdua – tapi kalau bilik ramai-ramai, mungkin sukar dan tiada privasi).



Semuanya diuruskan dengan cepat dan efisien di pusat perubatan swasta..hanya sediakan wangnya sahaja..
Apa-apapun, ianya bergantung kepada kemampuan seseorang samada nak bersalin di hospital kerajaan (lebih jimat dan murah kosnya) atau pun mahukan layanan yang hebat jika bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta. Ada kalanya kelengkapan di hospital kerajaan lebih banyak jika dibandingkan di pusat perubatan swasta. Jika ada kes-kes atau masalah yang lebih besar berlaku, pusat perubatan swasta akan merujuk kes tersebut ke hospital kerajaan juga.

Malah, kadangkala ada juga berlaku di mana perkhidmatan dan layanan baik yang kita harapkan dari pusat perubatan atau hospital swasta tidak seperti yang kita harapkan atau impikan. Walau pun wang beribu telah dihabiskan, namun layanan yang diberi tidak setimpal dengan kosnya. Malah pernah juga terdengar desas-desus dari kawan-kawan yang mengatakan kalau kita ke pusat perubatan swasta, kebanyakan ibu-ibu yang akan bersalin akan dibedah (mungkin sebab kosnya lebih mahal dan lebih keuntungan– bersalin secara normal kosnya sekitar RM1000 – RM1500 biasanya). Namun jika di hospital kerajaan, jururawat atau doktor akan cuba memastikan ibu dapat bersalin secara normal, kecuali kes-kes tertentu, maka pembedahan adalah jalan terakhir.

Walau dimana pun tempat pilihan si ibu untuk bersalin, yang penting adalah keselamatan si ibu dan juga bayi tersebut.Malah, jika kita berkemampuan, tidak salah rasanya untuk kita mengeluarkan duit lebih sedikit untuk bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta asalkan perkhidmatannya lebih hebat dan efisien. Namun sebagai seorang Islam, kita perlu menjaga aurat kita ketika bersalin. Seboleh-bolehnya dapatkan doktor atau pegawai perubatan perempuan serta jururawat perempuan ketika bersalin.

Oleh itu, kepada bakal-bakal bapa dan suami, jika ada rezeki lebih, apa salahnya berhabis lebih sikit keluarkan duit untuk isteri bersalin di pusat perubatan swasta. Setelah penat bekerja bertahun-tahun, ianya juga seumpama hadiah buat si isteri. Malah, sekurang-kurangnya ia dapat membantu memulihkan isteri (dari segi moral) dan sebagai tanda sokongan suami buat isteri tercinta kerana sedikit sebanyak terubat juga kesakitan yang ditanggung oleh isteri. Hargailah isteri anda, wahai para bapa/ayah/papa/daddy....