Friday, April 5, 2013

BELI RUMAH: Rumah Baru atau Rumah Second Hand?

 
Pilihan Anda...
Rumah Baru atau Rumah Siap yang telah lama didiami/sewa?
 

Gambar Hiasan Sahaja: Rumah Idaman

Sudah beberapa bulan saya tidak mengemaskini entri di blog ini. Kengkangan masa yang amat sangat membuatkan saya tidak berkesempatan melakukannya. Namun dalam facebook, saya selalu mengemaskini aktiviti2 semasa. Anak pun makin nakal dan membesar, dan mereka memerlukan lebih perhatian selain tugasan di tempat kerja yang agak banyak.


Gambar Hiasan : Contoh rumah yang telah siap dan didiami

Dua tiga bulan kebelakangan ini saya sibuk menguruskan pinjaman perumahan kerana membeli sebuah rumah. Dilema bagi saya untuk memilih rumah kerana beberapa perkara.
 
Pertama: Nak beli rumah baru ke? Kalau Ya.. di mana? Adakah di Jementah atau di Segamat? Dan semestinya saya bercadang dan telah lama berangan-angan untuk memiliki rumah teres atau semi D (berbandung) ..yang pastinya landed property.. Dah survey rumah di sekitar Jementah, ada satu lot bumiputera yang tinggal iaitu rumah teres dua tingkat lot tepi (end lot) berharga RM255K. Rumah tersebut mempunyai 4 bilik dan 3 bilik air. Berdekatan dengan sekolah dan kemudahan lain.
 
Kedua: Samada membeli rumah Second Hand iaitu rumah yang saya sewa sekarang dari tuan rumah? Sebab tuan rumah tersebut ada menawarkan kepada saya untuk menjual rumah tersebut. Rumah tu rumah teres setingkat dan corner lot..agak luas jugak rumah tepi ni..boleh bercucuk-tanam dan berkebun... Harga di antara RM160K ke RM180K. Lot bumiputera dan mempunyai 3 bilik dan dua bilik air.


Setelah pergi ke pejabat Penilaian Harta bagi meminta khidmat nasihat berkenaan dengan harga rumah tersebut kami diberitahu bahawa harga rumah sewa yang ditawarkan tu agak tinggi jika dibandingkan dengan harga pasaran/semasa. Malah rumah tersebut basic atau kosong sahaja ...tiada tiles/mosaic dan lain-lain. Jadi ianya memerlukan duit jugak nanti untuk repair atau renovate rumah tersebut.
 
Bukan mudah nak buat pilihan. Ini adalah  rumah ni tergolong dalam kategori Complex Product : iaitu produk yang mahal, berisko dan jarang-jarang dibeli.... Mungkin kita berpeluang membeli rumah sekali atau dua kali seumur hidup. Oleh itu, ianya memerlukan penelitian yang lebih dan mengambil masa yang panjang untuk membuat keputusan membeli rumah.
 
Memandangkan saya telah membeli sebuah apartment di Johor Bahru beberapa tahun lepas dan rumah tersebut adalah rumah second hand (rumah tersebut telah 4 tahun saya diami sebelum membelinya dari tuan rumah), jadi saya membuat keputusan untuk membeli sebuah rumah baru yang masih dalam proses pembinaan di Jementah. Ianya dijangka siap pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
 
Dalam entri yang akan datang, saya akan berkongsi info tentang proses membeli rumah menggunakan kemudahan pembiayaian /pinjaman perumahan perbendaharaan (loan kerajaan) pula...

Note: Sebagai pengguna bijak, kita kena memikirkan baik buruk membeli rumah baru atau rumah second hand ini... atau pun rumah lelong... kerana ianya investment jangka masa panjang. Namun tidak rugi membeli rumah kerana harga rumah akan sentiasa naik dan tidak berkurangan macam kereta.




Tuesday, October 23, 2012

Bercucuk-tanam di halaman rumah


Terung dan lada hijau yang membuahkan hasil

Kelebihan Bercucuk tanam
Sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah:
قال الرسول e : مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرَسًا إِلا كَانَ مَا أُكِلَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَمَا سُرِقَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَلا يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إِلا كَانَ لَهُ صَدَقَةً – رواه مسلم
Maksudnya: Tidak ada daripada seorang muslim yang menanam satu tanaman kecuali apa saja yang dimakan daripadanya itu melainkan menjadi sedekah. Apa saja yang dicuri orang daripadanya juga menjadi sedekah. Dan tidak diambil daripadanya oleh seseorang kecuali semuanya itu menjadi sedekah.

Bersedekah kepada jiran-jiran
Saya bukan lah seorang yang obses berkebun. Banyak kali saya cuba tanam pokok bunga, namun pokok bunga tersebut akan mati. Ada orang kata, tangan panas sebab tu kalau tanam pokok, pokok akan mati. Saya tak pasti sejauh mana kebenarannya.

Pokok buah markisa yang ditanam oleh auntie jiran setaman
 Sebenarnya, nak berkebun ni perlukan sifat rajin. Kalau malas siram pokok atau pokok bunga, pasti pokok tersebut akan layu dan mati. Kalau malas nak buang rumput-rumput di sekitar pokok tersebut, pasti semak kawasan tersebut. Ada pulak nanti nak ambil serai, tersalah ambil daun lalang... Yang penting, kena rajin..baru la pokok tu tak merajuk..
Pokok mangga yang pertama kali membuahkan hasil, berusia 2 tahun 8 bulan (umur Annisa)

Suami saya sangat suka menanam pokok.. Pokok serai, pandan, halia, kunyit, limau purut, bunga kesidang, bunga melor, suami saya yang tanam. Sejak pindah dan menyewa di rumah yang kami duduki ini, ada beberapa pokok buah yang turut ditanamnya. Antaranya adalah pokok mangga (seperti gambar di atas) yang pertama kali berbuah setelah dua tahun lebih menanamnya (seusia anak sulung - Annisa). Saya tak pasti apa nama buah mangga tersebut.. ada orang kata Harum Manis.. Tapi yang menariknya, buah mangga tersebut berwana hijau dan kemerah-merahan.. Suami saya kata buah tu pakai alat make-up (pemerah pipi).
 
Buah mangga ni pulak, hanya berbuah 4 biji sahaja. Yang tiga di atas tu konon-kononya saya dan dua orang anak perempuan yang punya. Ada satu biji yang terasing di sebelah atas tu, suami yang punya. Hari-hari suami saya duduk mengadap buah ni.. Suka sangat dia bila tengok pokok mangga ni sempat berbuah..kerana dah dua tiga kali juga batang pokok mangga ini ditetak, kerana kecewa masih belum berbuah.
 
Antara pokok lain yang ditanam di kawasan dalam pagar rumah adalah pokok pisang, yang telah 3 atau 4 kali berbuah. Pokok mata kucing dan rambutan masih belum berbuah lagi (baru berusia setahun - seusia Arissa).
 
 
Dalan riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tiada seorang muslim menanam dan bertani maka hasil pertaniannya itu dimakan oleh manusia, binatang dan sebagainya melainkan dia akan menerima ganjaran pahala sedekah – dalam riwayat yang lain: “melainkan dia akan menerima pahala sedekah hingga hari Kiamat”.

(Hadis riwayat Muslim)

Antara jiran yang suka menolong bercucuk-tanam
Yang membuatkan suami saya teruja menanam pokok dan sayur-sayuran di sekeliling kawasan rumah adalah kerana dua orang auntie berbangsa Tiong Hua yang suka sangat bercucuk-tanam. Dari sekadar suka-suka sahaja, ianya dah jadi hobi yang semakin serius. Kalau kami balik kampung tiga empat hari, auntie ni akan tolong siram bunga. Ada masanya, auntie ni akan mencangkul untuk menerangkan rumput-rumput yang panjang. Itu lah bagusnya ada jiran yang sama hobi dan rajin macam ni.

Kami pun tak kisah...kami suruh auntie ni tanam apa-apa pokok sayur yang dia nak tanam di halaman tepi rumah kami ni sebab rumah mereka tiada tanah atau kawasan lapang untuk bercucuk-tanam. Pokok buah markisa, keledek, cili, kacang bendi, pokok bunga raya, pokok bunga keembong dan pokok ati-ati, auntie ni yang tanam.
Puas... Petik hasil tangan sendiri...
Sekurang-kurangnya dengan aktiviti tanaman dan pertanian seperti ini, ianya akan memberi banyak manfaat. Antaranya:
1) Hobi di masa lapang - dapat mengurangkan kebosanan bila tengok hasil yang menjadi
2) Kesihatan lebih terjamin - dapat mengeluarkan peluh dan ala-ala exercise/senaman especially bila pegang cangkul
3) Jimat - boleh menjimatkan duit untuk beli sayur-sayuran..suatu kepuasan yang tak terhingga dapat petik sendiri sayur2an dan hasil dari titik peluh kita.
4) Segar - dapat makan dan masak sayur-sayuran segar yang kita sendiri pasti tidak menggunakan racun dan bahan2 lain pada pokok.
5) Sedekah - dapat bersedekah kepada jiran-jiran dan kawan-kawan bila hasil tu banyak. Ada jugak binatang-binatang yang tumpang makan sama...

Semoga ianya mendapat manfaat dan ganjaran yang besar dikurniakan dariNya.

Nota: Sewaktu saya kecil, seusia 7-10 tahun, mak dan abah saya akan bawa saya berkebun di tanah tepi sungai tidak jauh dari rumah saya di Bentong. Kami berempat beradik akan membuat batas sendiri dan setiap orang akan menanam sejenis tanaman di batas tersebut. Kalau ada empat batas, ada empat jenis tanaman. Yang seronoknya, saya tanam kacang tanah dan ianyaberhasil. Bila dapat kutip hasilnya dan rebus kacang tersebut, memang amat menggembirakan kami empat beradik... dan kini, setelah 25 tahun berlalu, tiap kali tiba musim durian, abah akan bagitau kami..pokok durian siapa yang dah berbunga dan dah berbuah.... itu lah seronoknya bila ada menanam pokok sendiri..hasilnya kini dapat dinikmati hingga ke anak cucu..

Tuesday, October 2, 2012

Ketemu Penulis Buku 'Tika Bidadari Berbisik'

Bersama kawan sekerja (Pensyarah Pengurusan & Pemasaran), Siti Farrah dengan buku motivasi beliau " Tika Bidadari Berbisik"

Petikan dari buku "TIKA BIDADARI BERBISIK".... penerbit Karangkraf.

Wanita adalah ciptaan terhebat. Andai di syurga ada bidadari sebagai penyinar maka di dunia ada wanita solehah sebagai perhiasan duniawi. Sehingga ada yang mengatakan andai mereka tidak wujud, sepilah dunia ini. Jika itu hakikatnya, tidak berbanggakah kita dicipta sebagai wanita? Ya... daripada kitalah lahirnya seorang bijaksana dan daripada kita juga wujud seorang Rasul pemimpin dunia! Maka, benarlah sabda Nabi, wanita itu lebih baik daripada bidadari syurga.

Fitrahnya... kita sebagai wanita tidak akan sepi dengan cubaan. Semakin menjauh semakin pula ia mendekat. Andai demikian, bangunlah segera. Carilah punca dan berusahalah memurnikannya sebelum ia membakar diri. Ingatlah, wanita hebat ialah apabila seluruh hatinya diserahkan kepada si Pemilik, bukan hanya meratapi takdir yang tertulis. Teruslah menjadi insan terhebat yang dapat menggoncang dunia, menggenggam bara walau diuji bertubi-tubi.



Walaupun selalu boleh jumpa dengan Farrah, nak jugak sign autograf beliau..


KEKECEWAAN dan pahit derita pasti pernah datang dalam hidup tetapi kita tidak harus selamanya tinggal di dalam perasaan itu. Anggaplah kekecewaan lampau seperti sebuah album. Disimpan dan diletakkan di satu tempat yang selamat.
 
Apabila ingin mengimbas kembali kenangan itu, buka dan tatapilah sebentar sahaja dan tutuplah semula supaya kita tidak asyik menatap dan mengenangnya. Kenangan itu perlu sebagai lakaran pementasan hidup supaya ia menjadi sempadan di antara kedukaan dan kebahagiaan.
 
TIKA BIDADARI BERBISIK, sebuah naskah yang dipersembahkan sebagai pengukuh keyakinan agar hati tidak mati. Juga buat mereka yang sedang berusaha mempertahankan jati diri sebagai seorang bidadari dunia. Teruskanlah hidup bernafaskan kalimah syahadah walau badai menghempas diri. Sememangnya bukan mudah namun akal yang diberi haruslah bijak dikemudi...


Tika Bidadari Berbisik – Pesanan Buat Seorang Suri dan Miss Single
 
Saya tertarik dengan isi kandungan buku ini (baru sempat membaca hampir separuh buku sahaja walau dah 10 hari membaca buku ni - agaknya bila la boleh habis baca). Di dalamnya terkandung kisah-kisah kehidupan serta pengalaman yang berlaku di sekeliling kita. Malah, ianya memberi pedoman, maksud tersirat dan tersurat,  pengajaran, motivasi dan panduan untuk kita menangani masalah yang biasa melanda wanita, suri rumah, ibu, atau anak perempuan. Mungkin ianya adalah catatan dan coretan berdasarkan pengalaman si penulis itu sendiri. Gabungan karya dan idea dua orang penulis yang melihat dari perspektif yang berbeza. Siti Farrah adalah kenalan dan rakan sekerja saya di jabatan yang sama iaitu Fakulti Pengurusan Perniagaan, dan masih lagi single. Manakala Puan Noraini Ismail adalah pensyarah undang-undang di UiTM Johor ini juga yang merupakan seorang ibu kepada empat orang cahaya mata. Bagi Siti Farrah, ini bukan lah hasil pertama beliau. Sebelum ini, beliau juga telah menulis beberapa buah novel.
 
Teruskan lah berkarya wahai rakan-rakan ku sekalian..semoga ianya memberi manfaat, pedoman dan renungan bagi kami, kaum hawa... yang sentiasa diduga dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang kadangkala tak terduga dek akal, tak tertanggung dek bahu, tak tersimpan dek hati. Tapi itu lah tanggungjawab yang perlu digalas kerana kita adalah insan-insan yang hebat yang telah dipilih olehNya.
 
Nota: Kadangkala saya akan beli buku-buku agama atau motivasi atau bahan bacaan yang sesuai untuk dihadiahkan kepada mak dan abah saya. Macam bidalan atau proverb omputih "What goes around, comes around". Masa kecil-kecil dulu, mak selalu belikan saya buku cerita, buku penyiasatan dan buku novel atau cerpen sebagai hadiah jika saya dapat antara No 1 - 5 dalam peperiksaan akhir tahun. Harga buku tu mungkin murah je, tapi amat besar nilainya bagi saya ketika itu dan ianya adalah pencetus motivasi untuk saya buat yang terbaik dalam peperiksaan akhir.

Thursday, September 27, 2012

Kursus PhD Research Methodology di UiTM Melaka

Antara pensyarah UiTM Segamat yang menghadiri kursus 3 hari ini
 
Penting ke buat PhD? Kenapa bersusah-payah nak cari masalah buat PhD? Apa bagusnya kalau ada title Dr. bila dah dapat PhD? Banyak ke gaji naik bila dah ada PhD? Kalau nak buat PhD, nak buat topik apa? Nak buat di Universiti mana? Macam mana nak cari supervisor ?Itu antara persoalan yang selalu bermain di fikiran dan sering ditanya oleh calon-calon PhD.
Antara bahan kursus...tajuk Qualitative or Quantitative Methods?
PhD...apa itu PhD? Ada yang mengatakan ianya adalah singkatan kepada Permanent Head Damage (Kerosakan Kepala yang Kekal) . Mungkin ianya betul. Sebetulnya, ia adalah singkatan kepada Doctor of Philosophy (PhD).
happy hour bersama keluarga menyusuri Sungai Melaka
Nak buat ke tak nak buat PhD? Sebahagian dari jiwa dan perasaan saya nak sambung belajar ke peringkat PhD ni, namun sebahagian yang lain rasa macam tak nak buat. Tapi kalau tak buat, mungkin akan datang kena buat juga. Sebabnya kerajaan target untuk capai 60,000 rakyat Malaysia yang mempunyai PhD bagi tahun 2023.
 
 Sekarang ni kebanyakan orang bersaing untuk mencapai tahap pendidikan yang tertinggi..bersaing untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin...bersaing untuk meningkatkan pengetahuan seberapa yang boleh mengikut kemampuan mereka. Ada yang muda-muda lagi berusia 30 tahun dah sambung buat PhD...straight selepas tamat Master degree. Ada pula dah bercucu...dah berusia 50 tahun pun, masih mengejar buat PhD. Saya pula? Anak dah dua ni (masih kecil..sulung berusia dua tahun 5 bulan dan yang kecil usia 10 bulan), mampu ke nak sambung buat PhD? Ada orang, anak dah lapan pun, sanggup belajar lagi.

"Reward" Pizza Hut untuk keluarga kakak ipar yang membantu suami menjaga dua orang anak
Pendek kata, tepuk dada, tanya hati. Apa niat dan tujuan kita untuk sambung belajar ni? Ramai kawan-kawan yang telah mendapat PhD atau sedang menyambung PhD ni  menyatakan bahawa bila sambung buat PhD ni, ianya melibatkan dan berhubungkait dengan seluruh ahli keluarga, bukan perubahan diri seorang sahaja. Kenapa? Jadual kerja seharian mungkin akan berubah, rutin hidup mungkin berubah, tanggungjawab pun akan berubah dan makin bertambah sebab dah bergelar pelajar, malah masa bersama keluarga pun akan turut terjejas. Macam mana la agaknya nak menanganinya? Saya tiada jawapannya sebab saya belum bergelar pelajar PhD lagi.
 
Tapi yang menakutkan saya, dalam kursus PhD Zon Selatan baru-baru ni di UiTM Melaka, penceramah ada menyatakan ada kawan2 mereka yang sama-sama sambung buat PhD menghadapi krisis rumahtangga dan ada yang sampai bercerai-berai. Huhuhu... dahsyat juga penangan sambung PhD ni rupanya.. itu yang negatifnya. Yang positif nya pun banyak....untuk jangka masa panjang, saya yakin pasti banyak ganjaran dan imbuhannya...
Bawa Annisa dan Arissa menaiki tren di bandar Hilir setelah kebosanan seharian di rumah
 
Kesian suami saya...selama tiga hari kursus tersebut, beliau terpaksa bercuti dan menjaga dua orang anak yang masih kecil. Nasib baik tiga hari sahaja...(itu pun dah masam muka dan muncung)..kalau lama lagi, agak2nya boleh sampai barah otak tahap 4 atau terjun bangunan agaknya. Pening melayan karenah anak2. Dalam hati saya berkata... ohh...baru tahu macam mana susah dan mencabarnya jaga anak sorang-sorang....

Itu baru sikit cabaran nya..baru tiga hari...bayangkan la kalau nak complete PhD dalam masa 3-5 tahun..macam mana la agaknya suami dan anak-anak yang akan ditinggalkan...
Muka Annisa happy sangat sebab dapat jalan-jalan di Bandar Hilir
Nasib baik juga kami tidak menginap di hotel. Kami menumpang tinggal di rumah kak ipar supaya suami dapat bantuan dari kakak ipar beliau jika anak2 meragam. Saya pun tak berapa yakin kalau budak-budak ni tinggal bertiga je dengan ayah mereka untuk tempoh yang lama. Ada nanti anak tak makan atau ayahnya yang tak sempat nak makan... : )

River Cruise di bandar Melaka



Sebagai ganjaran kepada keluarga kakak ipar yang menolong saya tengok-tengokkan anak-anak saya, saya bawa mereka menaiki river cruise di Sg Melaka pada sebelah malamnya. Nasib baik kursus habis sekitar jam 7 malam, jadi dapat la saya beriadah bersama famili pada sebelah malam. Jadual yang agak padat, tapi sangat informatif.
 
Begitulah kisahnya dan dilema buat PhD. Namun saya masih menunggu peluang terbaik andai ada tawaran dan kelapangan masa untuk buat PhD. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan berikan yang terbaik untuk saya sekeluarga serta bloggers di luar sana..


Monday, September 24, 2012

Berjumpa Penulis Buku dan Blog Terkenal di UiTM Johor

Bergambar bersama penulis buku Bukan Sekadar Resipi ( Kak Roza)

28 Jun yang lalu (sebelum Ramadan) saya membawa ahli keluarga saya dan juga ibu bapa saya ke UiTM Johor. Kebetulan pada hari tersebut, penulis buku dan blog "Kehidupan Ringkas tapi Signifikan" http://muhdkamil.org/ iaitu Prof Kamil dan isteri beliau, kak Roza menjejakkan kaki semula ke UiTM Johor.
Kedua-dua mereka adalah bekas warga kerja UiTM Johor. Prof Kamil adalah boss saya (beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah/Rektor UiTM Johor) dahulu , manakala Kak Roza adalah rakan setugas iaitu pensyarah Pengurusan di jabatan yang sama. Prof Kamil adalah antara panel yang menemuduga saya di sesi terakhir ketika saya menghadiri temuduga kerja untuk jawatan pensyarah di UiTM Johor ini. Dan Allah telah buka kan hati beliau untuk memilih saya (antara banyak2 calon temuduga tersebut) sebagai salah seorang kakitangan dan pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Pemasaran di sini. Syukur Alhamdulillah.
Bergambar kenangan bersama penulis buku Travelog Haji dan Bersyukur Saat Diuji (Prof Dr Kamil)
 Dan pada hari tersebut, 28 Jun juga adalah hari yang amat menggembirakan saya. Selain dapat membawa bersama kedua ibu bapa saya berjumpa dengan Prof Kamil dan Kak Roza, hari tersebut adalah hari lahir/ ulangtahun saya. Selain itu, saya juga telah menerima surat pengesahan jawatan dari UiTM Shah Alam. SYukur dipanjatkan kepada Yang Esa di atas NikmatNya... Dan pada hari tersebut (ketika sesi menandatangani autograf buku), saya tunjuk surat pengesahan jawatan tersebut kepada Prof Kamil. 3 tahun menunggu untuk pengesahan jawatan... (standard biasa).
 
Saya masih ingat lagi ketika sesi temuduga kerja fasa terakhir bersama Prof Kamil, beliau ada bertanya, tak menyesal ke gaji yang UiTM tawarkan jauh berbeza dengan gaji yang saya perolehi ketika bekerja dengan syarikat Multinasional swasta.. Walaupun jauh di sudut hati, agak berat untuk meninggalkan pekerjaan dan jawatan terakhir di sektor swasta, saya redha dan pasrah andai itu rezeki yang Allah berikan kepada saya. "No turning back", detik hati kecil saya. Pasti akan ada hikmahnya..
Kak Roza sedang sibuk menandatangani Autograf
Kini setelah tiga tahun setengah berkhidmat sebagai pensyarah di UiTM Johor, saya bersyukur dengan kerjaya ini. Memang amat ketara perbezaan gaji nya jika diukur dari segi materialistik, namun saya pasti kalau kita ikhlas dengan apa yang kita lakukan, pasti kelak kita akan mendapat ganjarannya, baik di dunia maupun di akhirat. Malah kita sendiri juga akan mendapat kepuasan yang tersendiri, bergantung kepada niat kita. Mudah-mudahan Allah permudahkan segala urusan saya dan lapangkan masa dan kesihatan saya supaya dapat berkhidmat dan menabur jasa untuk anak bangsa.
Mak duduk bersebelahan dengan penulis buku tersebut (Kak Roza) sedang membelek2 helaian buku
 
Pertemuan Kak Roza dan Prof Kamil bersama dengan kedua ibubapa saya adalah pertemuan yang kedua. Mereka pernah berkunjung ke rumah kak Roza (Rumah Kecil di Jabal Uhud) di Madinah beberapa minggu sebelum Kak Roza kembali ke tanahair. Semoga pertemuan tersebut mendapat keberkatanNya.
Buat Prof Kamil dan Kak Roza, berkaryalah walau di mana anda berada kerana ilmu dan pengalaman anda yang mahal itu amat bermakna bagi kami yang mungkin tidak melaluinya, namun sampai-sampaikan kepada kami di sini agar kami tidak lalai... Terima kasih kepada kedua-dua mereka.. Dan semoga Allah sentiasa memberikan ide 2yang baik kepada mereka...
Tahniah kepada kak Roza dan Prof Kamil di atas pelancaran buku terbaru mereka...
Entah bila la agaknya saya dapat menulis buku seperti mereka..

Friday, August 3, 2012

Puasa dan Ramadan 2012

Kuih musang berjanggut yang dimakan dengan kuah kacang

Selamat berpuasa kepada pembaca-pembaca blog semua. Hari ini merupakan hari ke 14 kita berpuasa. Pejam celik pejam celik dah hampir setengah bulan kita berpuasa. Bulan puasa tahun ni agak mencabar kerana kita diduga dengan cuaca yang amat panas. Mula la anak-anak dan satu famili tak sihat, demam, batuk dan selsema.
Kuih badak berendam yang masih belum dikukus (inti/ isi nya adalah gula Kabong dari Dong)

Bagi ibu-ibu dan kaum hawa, bila tiba waktu petang, mereka la yang amat sibuk...asyik memandang jam je....mula la mencari atau memasak juadah untuk berbuka puasa. Nak ringkas dan mudah, beli je dari gerai atau di bazar Ramadan. Nak lagi sedap, masak sendiri dan air tangan tu la yang menambat hati si suami dan anak-anak (walaupun simple je menunya).


Anak saudara turut dilatih dari kecil untuk menolong di dapur

Bagi saya, air tangan mak memang yang paling sedap. Tiap kali tiba bulan Ramadhan, mak akan bertanya kami (anak-anak) nak makan apa. Sebut je menu nya, pasti mak akan masak dan sediakan juadah kuih-muih favorite kami untuk berbuka puasa.

Tak ketinggalan, tahun ini , ketika balik kampung pada minggu lepas, awal-awal lagi mak dah telefon bertanyakan saya nak makan apa buka puasa nanti. Kuih favorite saya kuih lopez.. adik no 2 (Ngah) pula kuih badak berendam.. adik bongsu (Ijai) kuih musang berjanggut..

Buka puasa beramai-rami di garaj kereta di Dong

Bila imbau kenangan berpuasa di bulan Ramadhan, pasti saya akan terkenangkan saat-saat manis dan pengalaman berpuasa ketika di asrama penuh di Balik Pulau tahun 1991-1992 dulu.. 20 tahun yang lalu, hampir dua hari sekali dalam bulan Ramadhan, saya akan menelefon mak (guna telefon awam berhadapan pondok pak guard kat main entrance MRSM BP).

Soalan favorite yang saya akan tanya tiap kali bercakap dengan mak ialah " Mak, hari ini mak masak apa untuk buka puasa?"... tersentuh hati ibu setiap kali anak bertanyakan soalan macam tu. Kekadang mak akan jawab, "masak biasa je... yang mudah2 je.. tak de apa yang special pun... "Mungkin itu jawapan yang paling selamat untuk menyejukkan hati si anak (tanggapan saya).

Bila tiba masa buka puasa di dewan makan asrama, kami akan sentiasa terbayang-bayang saat buka puasa dengan famili di kampung. Pasti penuh hidangan lauk-pauk dan kuih-muih satu meja.. Tapi di asrama, makan dengan kawan2 je dan terpaksa makan apa saja rezeki yang ada depan mata. Kalau tak berselera dengan menu nya, kena telan jugak la daripada kelaparan. Apa la yang lazat sangat kalau diingatkan nasi dan gulai kawah kat dewan makan tu..tapi syukur la dengan apa yang diperolehi ketika itu.

Bila dah balik bercuti ke kampung, mula la macam2 permintaan akan diajukan kepada kat mak.. dan mak akan masak macam-macam makanan kesukaan saya. Adik-adik pun akan tumpang sekaki.

Tahun ni merasa jugak buka puasa beramai-ramai bersama ahli keluarga dan sanak saudara di kampung di Raub. Macam-macam juadah berbuka..ada nasi minyak, mi kari, mi jawa, air dah dekat 10 jenis dan macam-macam jenis kuih. Syukur Ya Allah di atas nikmat yang kami perolehi. Semoga amalan kami di bulan Ramadan ini diterima olehMu. Terima kasih ya Allah kerana masih memberi peluang kepada kami bernafas dan menghirup udara di bumi ini untuk bersama-sama ahli keluarga kami yang tercinta.

Thursday, June 21, 2012

Berkelah di kaki Gunung Ledang


Pada 9 Jun yang lepas, saya berkesempatan berkelah bersama keluarga dan pelajar2 degree Islamic Banking JBM2293B dan 3C. Mereka adalah pelajar saya bagi subjek Personal Development. Disebabkan tugasan sebelum ini iaitu Program Khidmat Masyarakat yang dikendalikan oleh kumpulan pelajar ini untuk pelajar2 SMKA Segamat telah selamat dan tamat dengan jayanya, maka kami bersepakat untuk membuat trip dan picnic ke kaki Gunung Ledang ini.

Antara mereka yang menyertai picnic di kaki Gunung Ledang
 Seramai lebih kurang 30 orang  pelajar degree Islamic Banking yang menyertai program pada hari tersebut. Agak bimbang juga kerana pada pagi tersebut, cuaca agak kurang baik. Setelah dua minggu Segamat ni tidak dibasahi hujan, namun pada hari tersebut, hujan turun dengan lebatnya. Alhamdulillah, hujan makin berkurangan pada jam 9 pagi, jadi kami teruskan juga perancangan kami untuk pergi berkelah. Mana kan tidak, ayam 10 ekor sudah diperap oleh Aqilah, Majidah dan Ain pada malam sebelumnya. Nad pula dah goreng kentang (fries). Group students dari Sabah..iaitu Noh and the geng pulak dah buat sandwich. Suami saya pula dah goreng bihun dan nasi goreng kampung. Kalau tak jadi, di mana pulak kami nak buka bekal ni semua...
Jam 11 pagi,perut mula berkeroncong dan berK-Pop
Suami dan anak2 pun ikut sekali berkelah pada hari tersebut. Sebaik tiba di pintu masuk, kami perlu membayar caj masuk iaitu RM1 setiap orang untuk orang dewasa. Kanak-kanak dikenakan bayaran RM0.50. Manakala kereta pula RM2.00 setiap kereta.

Dari tempat letak kereta ke sungai tersebut, agak jauh juga nak kena berjalan kaki. Kenderaan hanya dibenarkan masuk bagi penghuni atau tetamu resort sahaja. Bagi yang nak berkelah secara persendirian, kami kena la angkut semua barang2 makanan dan peralatan sendiri dan berjalan sejauh kira-kira 500 meter. Dah dapat tempat yang sesuai, maka aktiviti membakar ayam pun dimulakan.

Jam 10.30 pagi, masing-masing mula tak sabar nak berendam. Beberapa orang pelajar sahaja yang tinggal untuk bakar ayam. Yang paling setia menunggu untuk bakar ayam adalah Ihsan. Jenuh jugak nak bakar 10 ekor ayam ni.Group ayam yang terakhir dibakar jam 3.00 petang.

Setelah penat berendam dan bermandi-manda, jam 3.00 petang kami membuat keputusan untuk pulang.Van yang disewa untuk sebahagian pelajar dari UiTM Segamat pun telah datang untuk menghantar semula pelajar2 ini.
Azad dan Shafiq bersungguh-sungguh membakar ayam

Keseronokan terpacar di wajah masing2, mungkin kerana puas sebab dapat berendam air yang sejuk dan segar dari puncak gunung..atau kekenyangan terlebih makan .... atau sekurang2nya dapat melepaskan stress dari kesibukan belajar.
Anakanda Annisa sedang mengelamun dan tertidur di atas 'hammock' yang digantung antara dua pokok..

Apa-apa pun, bagi kumpulan pelajar ini yang esok merupakan hari terakhir mereka bagi semester ini sebelum menduduki peperiksaan pada minggu hadapan, saya doakan mereka berjaya menjawab soalan exam kelak dan mendapat keputusan yang cemerlang serta berjaya di dunia dan akhirat.. Good Luck...