Showing posts with label Makan Angin. Show all posts
Showing posts with label Makan Angin. Show all posts

Wednesday, January 6, 2016

Percutian ke Morib Gold Coast

Welcome to Gold Coast Morib International Resort

Cuti-cuti bersama keluarga sebelum cuti sekolah bermula pada bulan November yang lalu.. (2015).
Percutian keluarga Haji Sahari dan Hjh Noraini selama 3 hari 2 malam ditaja oleh Hj Sahari sendiri.Kami ambil 5 bilik biasa... Harga weekday jauh lebih murah daripada weekend rate...


Alhamdulillah... sebaik saja check in pada hari Jumaat, masuk saja ke bilik tersebut, wow... memang best. Selesa dan dekat dengan swimming pool. Yang best ada jakuzi dalam bilik.. terasa macam orang-orang kaya la pulak ada jakuzi dalam bilik.

ada tingkap yang menghubungkan bilik dan bilik air... jakuzi tepi tingkap tu
Anak-anak dah tak sabar nak mandi kolam. Tengok dari balkoni atas aje sebab hari dah lewat petang dan gelap nak hujan. Tak lama lepas tu hujan turun dengan lebatnya.

bersantai di balkoni bilik

pemandangan dari balkoni bilik
Kami ambil bilik yang siap sekali dengan 2 kupon breakfast dan 2 tag masuk ke swimming pool/water theme park. Tapi kena tambah bayar untuk breakfast kanak-kanak.. ikut nasib la..kekadang dibenarkan..ada hotel memang kena tambah .. tapi budak nak makan banyak mana pun..setakat minum susu dengan koko crunch dan buah tembikai... kekadang tak berbaloi nak beli tambah sampai RM20 untuk sekali breakfast..
ada bilik ada juga apartment dua bilik dan tiga bilik tidur

pakej pada hari biasa.. weekend amat mahal...


breakfast...makanan biasa-biasa je.. 
Keesokkannya hari nya selepas breakfast kami pun ke swimming pool. Breakfast di cafe yang disediakan. Orang punya la ramai.. maklumlah dah hujung tahun banyak syarikat yang buat family day... so memang kena tunggu la meja yang kosong.. makanan nak kata sedap sangat tak juga... biasa2 je...
SI kecik Zarra suka main air
Dah siap mandi jam 12 belas... kami pun keluar di kawasan sekitar Morib untuk mencari makan tengahari...tak jauh dari hotel tu ada pantai morib yang kebetulan ada buat karnival. Food court/ medan selera pun ada di sediakan..semua kemudahan tandas dan surau juga tersedia... bertentangan dengan tapak jualan Pantai Morib ni ada satu Masjid.


Sotong King
Antara tarikan utama di Morib ini adalah Sotong KIng.. atau Sotong gergasi.. memang besar betul sotong ni..ianya digoreng.. ada juga ketam atau seafood goreng lain yg disediakan di sini.


Pada sebelah petang kami ke pantai semula.. jalan-jalan di tepi pantai. Sukanya dapat main pasir. Tapi tak lama bersantai di situ sebab hujan lagi petang tu... hari-hari hujan..


Bila dah hujan kena la buat aktiviti indoor. So, pergi la pula karaoke lounge.. budak-budak ni suka sangat la layan layan karaoke.. asah bakat la konon-konon...

Malam tu beli makanan dan tapau aje makan di bilik ramai-ramai.. sebab dah kepenatan.. masing-masing tidur awal..
Keesokkannya selepas breakfast, bersiap sedia untuk check out...
Sebaik saja check out, kami ke Pantai Morib semula untuk makan tengahari. Macam-macam ada....

Makan tengahari.. siakap tiga rasa

Selepas makan tengahari kami bersantai di tepi pantai..angin sepoi-sepoi bahasa... main la kejap layang-layang di situ. seronok betul kanak-kanak ribena ni....

Selepas solat zohor di masjid di situ, kami masing-masing bawa haluan pulang ke rumah.. Alhamdulillah..selamat sampai di rumah jam 6.30 petang.. perjalanan pulang dari Morib kami melalui jalan Sepang dan Nilai...exit tol Seremban melalui PLUS Hiway..

Monday, September 14, 2015

Hang Tunggu Kami Mai.. Penang...

 
Ziarah Singkat Ke Penang 10 & 11 September 2015
 
 
Panorama indah dari atas bukit Balik Pulau
 
Kami bergerak dari Sitiawan sekitar jam 6 petang dan tiba di Teluk Kumbar jam 9.15 malam. Ini adalah pengalaman pertama kami menggunakan Jambatan baru iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang menghubungkan Batu Kawan di Tanah Besar dan Batu Maung di pulau. Jarak sejauh 24 kilometre ini menjadikan jambatan ini adalah yang terpanjang di  Malaysia dan Asia Tenggara Sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Jambatan_Sultan_Abdul_Halim_Muadzam_Shah

 Sebaik tiba di rumah sepupu di Teluk Kumbar, kami disajikan dengan nasi kadar dan kari kepala ikan, atas permintaan Abah. Keesokkan harinya kam dihidangkan roti canai dan nasi dagang yang dimasak sendiri oleh anak saudara Abah yang telah lama bermastautin di sana.


Keadaan di Batu Maung dan Teluk Kumbar semakin berubah. Banyak kondominium dan rumah tiga tingkat berharga sekitar RM700 ribu dan 1 juta di jual di kawasan ini. Kebanyakan rumah-rumah kayu lama dan deretan kedai-kedai lama telah diruntuhkan dan telah dibangunkan. Begitu lah pesat nya pembangunan di sini. 
 
Kami sempat ke Balik Pulau melalui jalan baru yang telah siap beberapa tahun lepas. Jalan dari Teluk Kumbar ke Balik Pulau menggunakan tiga atau 4 lorong. Kini untuk sampai ke Balik Pulau hanya mengambil masa kurang dari 10 minit dari Teluk Kumbar. Panorama yang indah dari atas bukit serta kiri kanan lereng bukit masih terdapat pokok durian dan buah pala.
 
Masa kecik-kecik dulu dok makan asam katuk ni..
 MRSM Balik Pulau adalah tempat nostalgia bagi saya kerana pernah belajar di sini selama dua tahun pada tahun 1991-1992. Kami hanya lalu di hadapan sekolah untuk mengimbau kenangan kerana kesuntukan masa. Destinasi seterusnya adalah pekan Balik Pulau. Tidak sah kalau ke Penang tanpa jeruk Pak Ali... Tidak jauh dari terminal bas yang sebaris dengan Restoran KFC terdapat sebuah kedai Jeruk Pak Ali..Sempat la kami beli sedikit buah tangan untuk saudara-mara di sini.



Kuah Rojak yang ada 3 variasi rasa - manis, pedas dan original


Rahsia Memikat Hati Bakal Mertua

Pantun Pak Ali
Makan tengahari kami disajikan pula dengan mee udang yang dimasak sendiri oleh sepupu saya, Kak Long Jah. Udangnya amat besar. Biasanya Teluk Kumbar dan Teluk Tempoyak amat popular dengan Mee Udang.
 

Famili foto dengan tuan rumah
Sekitar jam 5 petang kami bergerak pulang ke Bentong. Sepanjang perjalanan, keadaan jerebu berlaku di seluruh tempat. 
Keadaan yang berjerebu
Perjalanan pulang terpaksa ditangguhkan selama sejam di R& R Tapah kerana saya mengalami alahan kerana makan udang. Sakit kepala yang amat sangat, pitam, muntah, sakit perut,badan seram sejuk dan gatal-gatal. Alhamdulillah, akhirnya kami sampai di Bentong jam 11 malam.
 
Jambatan kedua
 


Thursday, March 20, 2014

Lawatan sosial ke Ho Chi Minh City @ Saigon

Ho Chi Minh @ Saigon Syurga Membeli-Belah
Trip : 28 Feb - 2 Mac 2014
Bahagian Satu (1) 

 
Seramai lebih kurang 7 orang pensyarah jabatan Pengurusan dan Pemasaran UiTM Johor yang disertai bersama lebih kurang 15 orang ahli keluarga telah berangkat ke Kota Saigon pada 28 Februari yang lalu. Penerbangan selama lebih kurang 2 jam dari LCCT menuju Tan Son Nhat Airport.

 
Cuaca agak baik sepanjang penerbangan. Kami disajikan dengan nasi lemak Pak Nasser yang paling sedap di atas awan. Kapal terbang bertolak jam 9.10 pagi dengan pesawat bernombor AK1450.

 
Agak mudah ke Saigon kerana anda tidak perlu mengisi borang visa. Ini kerana mereka menggalakkan pelancong-pelancong untuk ke Negara Vietnam. Jadi, ketika sampai di lapangan terbang, kami tidak perlu mengisi apa-apa borang...hanya cop passport di kaunter Imigresen.



Balai ketibaan agak penuh sesak. Kami tiba jam 10.05 pagi di lapangan terbang. Dan urusan di imigresen dan mengambil bagasi selesai setengah jam kemudian. Kaunter Imigresin jugak agak banyak dan mudah.

 
Sebaik tiba, kami menaiki bas untuk ke Duna Hotel. Kedudukan Duna Hotel yang strategik dan dekat dengan jalan utama. Anda boleh layari web site ini untuk tempahan. http://dunahotel.com.vn/ Untuk ke Ben Thanh Market , ianya lebih kurang RM5 jika menaiki teksi. Namun anda juga boleh memilih untuk berjalan kaki sahaja kerana ianya sekitar 15minit berjalan dari pasar tersebut.



Kebanyakan penduduk Bandar ini menaiki motosikal. Mungkin kerana harga motosikal yang lebih murah di sini. Dan kebanyakan pemandu dan pembonceng akan memakai penutup mulut/hidung yang pelbagai corak yang menarik.

 
Di tepi kiri kanan jalan, kami disajikan dengan kedai-kedai pakaian Muslimah. Walaupun penduduk di sini bukan beragama Islam, namun terdapat banyak kedai-kedai pakaian yang menjual jubbah, baju kurung, tudung dan telekung di sini. Dan sesetengah papan tanda turut menampilkan banner "Selamat Datang" untuk pengunjung-pengunjung dari Malaysia.
 

 
Sampai di Duna Hotel, kami sempat mandi dan menukar pakaian. Kami bergegas turun semula ke lobi untuk makan tengahari di sekitar Ben Thanh market.



Ada banyak kedai-kedai atau restoran Halal di sini. Memang mudah untuk mendapatkan makanan halal dan selera orang Melayu. Kerana ada juga Restoran di sini milik anak Malaysia. Namun harga makanan di sini amat mahal. Contohnya mee goreng mamak sekitar 100,000 Dong atau RM16.

 
Kebanyakan restoran ini menyajikan citarasa masakan Melayu. Ada nasi ayam, nasi goreng, nasi lemak, roti canai.. dan masakan ala Thai seperti Tom Yam, Paprik dan Daging masak merah.



Selesai makan tengahari, kami ke Ben Thanh Market yang jaraknya 100 meter dari Restoran 1 Malaysia. Ini lah syurga membeli belah bagi rakyat Malaysia. Sehinggakan ramai peniaga di sini pandai bertutur dalam bahasa Melayu. Ada pula yang fasih menyanyikan lagu-lagu Melayu. Peniaga di sini amat ramah dan mesra.


Untuk membeli-belah di sini anda boleh menggunakan matawang Dong, atau US Dollar atau pun Ringgit Malaysia. Mereka amat cekap dalam pertukaran matawang.

 
Kebanyakan rombongan cik Kiah dari Malaysia, atau usahawan dari Malaysia akan membeli kain pasang cotton, kain baju kurung bermanik, kain jubbah, kain sutera Vietnam, baju jersey, telekung, baju gaun kanak-kanak, dan sebagainya. Harga yang diletak adalah agak tinggi, namun pengunjung perlu menawar sehingga 70% daripada harga asal.
 

Malah di sini juga pengunjung boleh membeli cenderamata seperti key chain, alatulis, beg duit kecil, batu permata, barang-barang kraftangan dan sebagainya.

Pengunjung juga boleh membeli jeruk asam, pelbagai jenis kopi yang amat sedap dan makanan ringan untuk di bawa pulang ke tanahair.




 
Pasar Ben Thanh ini akan tutup pada jam 5 petang. Dan selepas itu kebanyakan peniaga yang sama akan mula berniaga di pasar malam yang terdapat di sekeliling Ben Thanh market ini. Harga di pasar malam jauh lebih murah jika dibandingkan dengan di dalam Ben Thanh market. Namun pembeli harus berhati-hati jika membeli di pasar malam ini. Mereka harus memastikan pertukaran wang yang diberi setelah membeli barang adalah tepat. Kerana terdapat beberapa kejadian penipuan terutamanya bila kita membeli dalam US Dollar, dan mereka akan memulangkan dalam matawang Dong. Kita akan kerugian jika tidak berhati-hati.

Kopi susu ais ini adalah antara kegemaran rakyat Malaysia. Ada beberapa orang peniaga menggunakan  motosikal untuk menjual Kopi Susu Ais ini. Harganya sekitar 20,000 Dong. Amat ''kawww'' dan lazat. Pastikan anda mencubanya jika ke sana.

Menara telur
 
Setelah penat membeli-belah, kami menikmati hidangan makan malam. Antara yang menarik adalah menu 'menara telur' yang tinggi ini. Unik tapi sedap untuk dinikmati.
 
Ketemu lagi di ruang akan datang untuk laporan hari kedua dan ketiga di kota Saigon..
 
Bersambung...
 
Tips: Anda boleh membuat pertukaran duit di lapangan terbang, atau money changer di sekitar Ben Thanh market. Anda boleh menukar sedikit dalam matawang Dong. Atau anda juga boleh membayar dalam Ringgit Malaysia. Beza waktu di Vietnam adalah satu jam lewat dari Malaysia.