Sunday, March 4, 2012

Ambil Cuti Bersalin 60 hari atau 90 hari?

Jika sebelum ini kakitangan awam hanya dibenarkan dan layak mendapat 60 hari cuti bersalin bergaji penuh, namun mulai penghujung 2010 cuti bersalin ini ditambah kepada 90 hari.

Ianya merupakan khabar gembira buat ibu-ibu di Malaysia. Mana tidaknya, kebanyakan negara lain sudah lama memberi hak keistimewaan dan kemudahan ini kepada ibu-ibu. Malah ada sesetengah negara, bapa turut diberi cuti yang panjang untuk menemani isteri dan menolong isteri menjaga bayi yang baru lahir.

Sebagai contoh, Indonesia, Thailand, China dan Korea telah lama memberi kemudahan cuti bersalin bergaji penuh 90 hari. Manakala di sesetengah negara, mereka memberi lebih lama cuti bersalin kepada ibu-ibu. Contohnya di Estonia (18 bulan), Slovenia (12 bulan), Portugal (120 hari), Norway (46 minggu), Denmark (52 minggu), Bulgaria (1 tahun/ 52 miggu), Japan, Singapore dan New Zealand (14 minggu), Vietnam (4-6 bulan), dan South Africa (4 bulan).

Namun ada juga beberapa negara yang memberi cuti bersalin untuk tempoh yang pendek seperti Tunisia (30 hari), Bahrain dan UAE (45 hari), Qatar (50 hari),dan Nepal (52 hari).

Kalau dilihat secara keseluruhannya, negara Eropah memberi kemudahan cuti bersalin untuk tempoh yang panjang untuk ibu-ibu yang bekerja. Manakala negara-negara Arab dan Asia memberi kemudahan cuti bersalin untuk tempoh yang singkat dan pendek.

Malah di UK, pekerja wanita layak mendapat cuti bersalin selama 52 minggu (39 minggu bergaji penuh). Selain itu, di Estonia, bakal ibu juga boleh memohon cuti awal selama 70 hari sebelum kelahiran.

Di sesetengah negara, bapa turut mendapat kemudahan cuti bersalin (parental leave). Malah ada juga negara yang memberi bonus, dan incentive kepada ibu-ibu yang melahirkan anak dan membiayai  perbelanjaan bayi tersebut untuk tempoh 1-3 tahun. Begitu la kedudukan wanita dan kemudahan yang diperolehi oleh ibu-ibu berbeza mengikut pemimpin dan negaranya.

Di Malaysia pula, cuti bersalin 90 hari ni baru je berkuat kuasa 15 Oktober 2010 (Pekeliling Perkhidmatan Bil 14/2010). Jika dahulunya kakitangan awam wanita yang mengambil cuti bersalin layak mendapat 60 hari, kini mereka boleh mendapat 90 hari cuti bergaji penuh. Manakala jumlah keseluruhan cuti bersalin yang layak dimohon adalah 300 hari (maksima) sepanjang mereka berkhidmat.

Sebagai kakitangan kerajaan, pada kelahiran anak kedua tahun lepas (November 2011), saya menggunakan kemudahan cuti bersalin 90 hari ni. Kelahiran anak pertama pada 9 April 2010 yang lalu saya menggunakan kemudahan 60 hari cuti bersalin bergaji penuh.

Pada pendapat saya, memang wajar dan tepat sekali kerajaan memberi kemudahan tersebut kepada kakitangan wanita. Banyak kebaikan yang diperolehi. Berdasarkan pengalaman saya, tempoh 90 hari tu memberi peluang kepada ibu-ibu untuk pulih sepenuhnya, terutamanya macam kes saya yang menjalani pembedahan semasa kelahiran bayi kedua. Sekurang-kurangnya mental dan fizikal sudah kuat untuk bekerja semula,dan beransur sihat untuk buat kerja-kerja lasak. Manakala untuk bayi pula, mereka sudah semakin stabil dan besar, serta semakin kenal dan rapat dengan ibu sebab dapat susu ibu secara langsung (direct) dari ibunya. Malah adik-beradik yang lain pun sudah boleh menerima kehadiran ahli keluarga baru ini dan mula menyesuaikan diri dengan persekitaran dan suasana baru.

Itu lah antara kebaikan yang saya lihat setelah melalui pengalaman tersebut. Kalau dulu cuti 60 hari, hubungan si ibu dan si kecil agak kurang kerana di hantar ke rumah pengasuh ketika ibu pergi bekerja. Bagi ibu yang bersalin normal, mereka akan sembuh dalam tempoh 2 bulan tersebut. Namun bagi ibu yang bersalin secara pembedahan, ianya kurang sesuai kerana kadang-kala kesakitan akan berulang dan terasa lagi.

Walau apa pun keputusan yang dibuat oleh pemimpin, saya tetap menyokong kerajaan. Namun sekurang-kurangnya hak kaum wanita terjaga dan terpelihara, malah ianya dapat mengukuhkan institusi kekeluargaan.

Untuk maklumat  lanjut, anda juga boleh layari: http://en.wikipedia.org/wiki/Parental_leave

No comments:

Post a Comment