Tuesday, October 23, 2012

Bercucuk-tanam di halaman rumah


Terung dan lada hijau yang membuahkan hasil

Kelebihan Bercucuk tanam
Sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah:
قال الرسول e : مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرَسًا إِلا كَانَ مَا أُكِلَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَمَا سُرِقَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَلا يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إِلا كَانَ لَهُ صَدَقَةً – رواه مسلم
Maksudnya: Tidak ada daripada seorang muslim yang menanam satu tanaman kecuali apa saja yang dimakan daripadanya itu melainkan menjadi sedekah. Apa saja yang dicuri orang daripadanya juga menjadi sedekah. Dan tidak diambil daripadanya oleh seseorang kecuali semuanya itu menjadi sedekah.

Bersedekah kepada jiran-jiran
Saya bukan lah seorang yang obses berkebun. Banyak kali saya cuba tanam pokok bunga, namun pokok bunga tersebut akan mati. Ada orang kata, tangan panas sebab tu kalau tanam pokok, pokok akan mati. Saya tak pasti sejauh mana kebenarannya.

Pokok buah markisa yang ditanam oleh auntie jiran setaman
 Sebenarnya, nak berkebun ni perlukan sifat rajin. Kalau malas siram pokok atau pokok bunga, pasti pokok tersebut akan layu dan mati. Kalau malas nak buang rumput-rumput di sekitar pokok tersebut, pasti semak kawasan tersebut. Ada pulak nanti nak ambil serai, tersalah ambil daun lalang... Yang penting, kena rajin..baru la pokok tu tak merajuk..
Pokok mangga yang pertama kali membuahkan hasil, berusia 2 tahun 8 bulan (umur Annisa)

Suami saya sangat suka menanam pokok.. Pokok serai, pandan, halia, kunyit, limau purut, bunga kesidang, bunga melor, suami saya yang tanam. Sejak pindah dan menyewa di rumah yang kami duduki ini, ada beberapa pokok buah yang turut ditanamnya. Antaranya adalah pokok mangga (seperti gambar di atas) yang pertama kali berbuah setelah dua tahun lebih menanamnya (seusia anak sulung - Annisa). Saya tak pasti apa nama buah mangga tersebut.. ada orang kata Harum Manis.. Tapi yang menariknya, buah mangga tersebut berwana hijau dan kemerah-merahan.. Suami saya kata buah tu pakai alat make-up (pemerah pipi).
 
Buah mangga ni pulak, hanya berbuah 4 biji sahaja. Yang tiga di atas tu konon-kononya saya dan dua orang anak perempuan yang punya. Ada satu biji yang terasing di sebelah atas tu, suami yang punya. Hari-hari suami saya duduk mengadap buah ni.. Suka sangat dia bila tengok pokok mangga ni sempat berbuah..kerana dah dua tiga kali juga batang pokok mangga ini ditetak, kerana kecewa masih belum berbuah.
 
Antara pokok lain yang ditanam di kawasan dalam pagar rumah adalah pokok pisang, yang telah 3 atau 4 kali berbuah. Pokok mata kucing dan rambutan masih belum berbuah lagi (baru berusia setahun - seusia Arissa).
 
 
Dalan riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tiada seorang muslim menanam dan bertani maka hasil pertaniannya itu dimakan oleh manusia, binatang dan sebagainya melainkan dia akan menerima ganjaran pahala sedekah dalam riwayat yang lain: “melainkan dia akan menerima pahala sedekah hingga hari Kiamat”.

(Hadis riwayat Muslim)

Antara jiran yang suka menolong bercucuk-tanam
Yang membuatkan suami saya teruja menanam pokok dan sayur-sayuran di sekeliling kawasan rumah adalah kerana dua orang auntie berbangsa Tiong Hua yang suka sangat bercucuk-tanam. Dari sekadar suka-suka sahaja, ianya dah jadi hobi yang semakin serius. Kalau kami balik kampung tiga empat hari, auntie ni akan tolong siram bunga. Ada masanya, auntie ni akan mencangkul untuk menerangkan rumput-rumput yang panjang. Itu lah bagusnya ada jiran yang sama hobi dan rajin macam ni.

Kami pun tak kisah...kami suruh auntie ni tanam apa-apa pokok sayur yang dia nak tanam di halaman tepi rumah kami ni sebab rumah mereka tiada tanah atau kawasan lapang untuk bercucuk-tanam. Pokok buah markisa, keledek, cili, kacang bendi, pokok bunga raya, pokok bunga keembong dan pokok ati-ati, auntie ni yang tanam.
Puas... Petik hasil tangan sendiri...
Sekurang-kurangnya dengan aktiviti tanaman dan pertanian seperti ini, ianya akan memberi banyak manfaat. Antaranya:
1) Hobi di masa lapang - dapat mengurangkan kebosanan bila tengok hasil yang menjadi
2) Kesihatan lebih terjamin - dapat mengeluarkan peluh dan ala-ala exercise/senaman especially bila pegang cangkul
3) Jimat - boleh menjimatkan duit untuk beli sayur-sayuran..suatu kepuasan yang tak terhingga dapat petik sendiri sayur2an dan hasil dari titik peluh kita.
4) Segar - dapat makan dan masak sayur-sayuran segar yang kita sendiri pasti tidak menggunakan racun dan bahan2 lain pada pokok.
5) Sedekah - dapat bersedekah kepada jiran-jiran dan kawan-kawan bila hasil tu banyak. Ada jugak binatang-binatang yang tumpang makan sama...

Semoga ianya mendapat manfaat dan ganjaran yang besar dikurniakan dariNya.

Nota: Sewaktu saya kecil, seusia 7-10 tahun, mak dan abah saya akan bawa saya berkebun di tanah tepi sungai tidak jauh dari rumah saya di Bentong. Kami berempat beradik akan membuat batas sendiri dan setiap orang akan menanam sejenis tanaman di batas tersebut. Kalau ada empat batas, ada empat jenis tanaman. Yang seronoknya, saya tanam kacang tanah dan ianyaberhasil. Bila dapat kutip hasilnya dan rebus kacang tersebut, memang amat menggembirakan kami empat beradik... dan kini, setelah 25 tahun berlalu, tiap kali tiba musim durian, abah akan bagitau kami..pokok durian siapa yang dah berbunga dan dah berbuah.... itu lah seronoknya bila ada menanam pokok sendiri..hasilnya kini dapat dinikmati hingga ke anak cucu..

Tuesday, October 2, 2012

Ketemu Penulis Buku 'Tika Bidadari Berbisik'

Bersama kawan sekerja (Pensyarah Pengurusan & Pemasaran), Siti Farrah dengan buku motivasi beliau " Tika Bidadari Berbisik"

Petikan dari buku "TIKA BIDADARI BERBISIK".... penerbit Karangkraf.

Wanita adalah ciptaan terhebat. Andai di syurga ada bidadari sebagai penyinar maka di dunia ada wanita solehah sebagai perhiasan duniawi. Sehingga ada yang mengatakan andai mereka tidak wujud, sepilah dunia ini. Jika itu hakikatnya, tidak berbanggakah kita dicipta sebagai wanita? Ya... daripada kitalah lahirnya seorang bijaksana dan daripada kita juga wujud seorang Rasul pemimpin dunia! Maka, benarlah sabda Nabi, wanita itu lebih baik daripada bidadari syurga.

Fitrahnya... kita sebagai wanita tidak akan sepi dengan cubaan. Semakin menjauh semakin pula ia mendekat. Andai demikian, bangunlah segera. Carilah punca dan berusahalah memurnikannya sebelum ia membakar diri. Ingatlah, wanita hebat ialah apabila seluruh hatinya diserahkan kepada si Pemilik, bukan hanya meratapi takdir yang tertulis. Teruslah menjadi insan terhebat yang dapat menggoncang dunia, menggenggam bara walau diuji bertubi-tubi.



Walaupun selalu boleh jumpa dengan Farrah, nak jugak sign autograf beliau..


KEKECEWAAN dan pahit derita pasti pernah datang dalam hidup tetapi kita tidak harus selamanya tinggal di dalam perasaan itu. Anggaplah kekecewaan lampau seperti sebuah album. Disimpan dan diletakkan di satu tempat yang selamat.
 
Apabila ingin mengimbas kembali kenangan itu, buka dan tatapilah sebentar sahaja dan tutuplah semula supaya kita tidak asyik menatap dan mengenangnya. Kenangan itu perlu sebagai lakaran pementasan hidup supaya ia menjadi sempadan di antara kedukaan dan kebahagiaan.
 
TIKA BIDADARI BERBISIK, sebuah naskah yang dipersembahkan sebagai pengukuh keyakinan agar hati tidak mati. Juga buat mereka yang sedang berusaha mempertahankan jati diri sebagai seorang bidadari dunia. Teruskanlah hidup bernafaskan kalimah syahadah walau badai menghempas diri. Sememangnya bukan mudah namun akal yang diberi haruslah bijak dikemudi...


Tika Bidadari Berbisik – Pesanan Buat Seorang Suri dan Miss Single
 
Saya tertarik dengan isi kandungan buku ini (baru sempat membaca hampir separuh buku sahaja walau dah 10 hari membaca buku ni - agaknya bila la boleh habis baca). Di dalamnya terkandung kisah-kisah kehidupan serta pengalaman yang berlaku di sekeliling kita. Malah, ianya memberi pedoman, maksud tersirat dan tersurat,  pengajaran, motivasi dan panduan untuk kita menangani masalah yang biasa melanda wanita, suri rumah, ibu, atau anak perempuan. Mungkin ianya adalah catatan dan coretan berdasarkan pengalaman si penulis itu sendiri. Gabungan karya dan idea dua orang penulis yang melihat dari perspektif yang berbeza. Siti Farrah adalah kenalan dan rakan sekerja saya di jabatan yang sama iaitu Fakulti Pengurusan Perniagaan, dan masih lagi single. Manakala Puan Noraini Ismail adalah pensyarah undang-undang di UiTM Johor ini juga yang merupakan seorang ibu kepada empat orang cahaya mata. Bagi Siti Farrah, ini bukan lah hasil pertama beliau. Sebelum ini, beliau juga telah menulis beberapa buah novel.
 
Teruskan lah berkarya wahai rakan-rakan ku sekalian..semoga ianya memberi manfaat, pedoman dan renungan bagi kami, kaum hawa... yang sentiasa diduga dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang kadangkala tak terduga dek akal, tak tertanggung dek bahu, tak tersimpan dek hati. Tapi itu lah tanggungjawab yang perlu digalas kerana kita adalah insan-insan yang hebat yang telah dipilih olehNya.
 
Nota: Kadangkala saya akan beli buku-buku agama atau motivasi atau bahan bacaan yang sesuai untuk dihadiahkan kepada mak dan abah saya. Macam bidalan atau proverb omputih "What goes around, comes around". Masa kecil-kecil dulu, mak selalu belikan saya buku cerita, buku penyiasatan dan buku novel atau cerpen sebagai hadiah jika saya dapat antara No 1 - 5 dalam peperiksaan akhir tahun. Harga buku tu mungkin murah je, tapi amat besar nilainya bagi saya ketika itu dan ianya adalah pencetus motivasi untuk saya buat yang terbaik dalam peperiksaan akhir.