Friday, December 13, 2013

Misi Kemanusiaan UiTM Johor Ke Kemboja


Melihat Kesan Sejarah Kemboja
(Sambungan bahagian terakhir )

Hari Ketiga (18 Oktober 2013)





Keesokkan harinya kami berkumpul jam 7.30 pagi untuk lawatan ke dua tempat yang sering dikunjungi oleh pelancong-pelancong dari luar. Killing Field dan S21 adalah dua tempat bersejarah yang sentiasa menjadi sebutan pelancong.
 
 
Mengikut sejarah, negeri-negeri Melayu Champa terbina antara abad ke-3 hingga abad ke-15 Masihi dengan kekuatan dan pengaruh yang meluas. Kini, Kemboja atau Cambodia mempunyai bilangan penduduk Melayu-Champa dianggarkan 800,000 daripada jumlah penduduk Kemboja 17 juta. Perjanjian damai di Peranchis pada tahun 1991 membuka era baru bagi Kemboja. Pemerintahan Liberal-Demokrasi mengamalkan sistem  Raja Berpelembagaan.
 
Mendengar taklimat dari seorang pemandu pelancong mengenai sejarah Kemboja
Antara tahun 1975-1979, Phnom Penh jatuh ke tangan komunis Khmer Rouge.  Golongan cerdik pandai dan lantang bersuara, para ulama dan mufti adalah sasaran utama kekejaman rejim Pol Pot selama hampir empat tahun memerintah Kemboja. Daripada 3 juta mangsa korban yang dibunuh oleh komunis Khmer, 90,000 adalah umat Islam Kemboja.
Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham serta mempunyai adat resam dan sejarah yang tersendiri menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Akibat peristiwa hitam tersebut dan selepas hamper 30 tahun bebas dari pemerintahan kuku besi, Islam kian diterima ramai dan mula tersebar ke seluruh daerah di Kemboja.


 
 
Walau bagaimana pun, majoriti umat Islam di sana hidup melarat, dihimpit kemiskinan, tiada  kemudahan asas seperti air, elektrik, makan dan minum serta tempat tinggal yang serba kekurangan tanpa kemudahan tandas.
S21
S21
 
Kami di bawa ke  Toul Slen Genocide Museum.Ia telah dibuka pada 19 Ogos, 1979. Ia juga dikenali sebagai bekas pejabat S-21 " Demoktratik Kampuchea" tahun 1975-1979. Kumpulan Demokratik Kampuchea diketuai oleh rejim Pol Pot. Ia dibina pada 17 April 1975 ( tarikh kemasukkan Pol Pot dan Khmer Rouge ke Phnom Penh) oleh rejim Pol Pot bagi tujuan penyeksaan orang awam, tempat kurungan tahanan dan pembunuhan.  Kawasan seluas 600 X 400 meter ini menempatkan beberapa buah bangunan dan bilik-bilik kecil. Tahanan diseksa dengan teruk di sini. Antaranya tahanan akan diikat di tiang dan diterbalikkan serta kepala mereka akan direndam di dalam tempayan air besar sehingga lemas. Asalnya ia adalah bangunan sekolah Toul Sleng Primary school dan Toul Svay Prey high school.
 
Tengkorak mangsa pembunuhan beramai-ramai
Kubur mangsa pembunuhan beramai-ramai
Seterusnya kami dibawa melawat satu lagi tempat bersejarah iaitu Padang Pembunuhan (Killing Field) Choueng Ek. Choueng Ek adalah padang pembunuhan paling terkenal dan terbesar dari lebih 300 padang pembunuhan lain di seluruh Kemboja. Di sini terdapat bilik tahanan yang gelap dan suram 301 Pol Pot dan Khmer Rouge. Antara lain, di sini pelancong akan melalui pejabat Algojo, bekas pondok istiadat, bilik simpanan bahan kimia, kubur besar yang memuatkan 450 mangsa, bilik simpanan peralatan membunuh, kubur cina, kebun longan di mana rakyat dipaksa bekerja sampai mata oleh Angkar dan beberapa buah tasik.
 
Malah di sini juga pengunjung akan menemui kubur besar untuk 166 mangsa tidak berkepala, kotak gelas pakaian mangsa pembunuhan, serpihan tulang dan gigi mangsa pembunuhan, serta pokok pembunuhan di mana kanak-kanak dan bayi akan dihempas ke batang pokok.
 
Kawasan yang agak menyeramkan dan menyedihkan ini turut menyimpan tengkorak-tengkorak mangsa pembunuhan kejam tersebut. Dikhabarkan, terdapat 20,000 orang termasuk warga asing yang telah diseksa dan dibunuh di sini.  Sebagai tanda pengingatan kepada mangsa pembunuhan di seluruh Kemboja, pusat Choeng Ek Genocidal Center ini dibuka dan dibina pada tahun 1988.
 
Selesai mengunjungi kedua-dua tempat bersejarah ini, kami pulang ke hotel sebagai persediaan untuk majlis penutup dan makan malam di atas bot Sungai Mekong.
 
Kami sangat teruja kerana berpeluang menaiki bot dua tingkat menyusuri Sungai Mekong. Semua peserta menerima sijil penyertaan dan penghargaan dari Penganjur bersama Persatuan Kebajikan Dan Pembangunan Masyarakat Kemboja (Association for Charitable Assistance and Social Development Cambodia - ACCAM).
 
Yang menariknya, kami dihidangkan dengan masakan masyarakat Kemboja yang agak unik dikenali sebagai lembu naik bukit. Ia seakan stimbot yang mempunyai sup, manakala daging lembu dan telur diletakkan di tengah-tengah periuk.
 

Gembira kerana misi terlaksana



Atas bot Sg Mekong -lepak santai

Menikmati angina malam di Sungai Mekong

Berlatarkan Sg Mekong

Peserta misi menerima sijil penyertaan



Ucapan dari ketua projek Saudara Naim



Menikmati makan malam daging lembu korban


Teruja misi berakhir dan terlaksana


Girang dan ceria




Keesokkan hari (19 Oktober ), kami pulang ke Malaysia. Gembira di hati kerana misi telah berjaya dilaksanakan walaupun terdapat pelbagai rintangan dan halangan. Ia adalah pengalaman yang sukar dilupakan dan sentiasa dikenang bagi peserta-peserta misi ini.


Kenangan bersama En Asyari Ahmad, wakil dan Pengerusi ACCAM

Tak sabar nak pulang ke Tanah air



Selamat tiba di UiTM Segamat
 
Semoga program seumpama ini dapat menyuntik semangat masyarakat terutamanya generasi muda di negara ini mensyukuri nikmat kerana dapat hidup aman dan tidak menghadapi sebarang masalah.
Di samping itu ia memberi peluang kepada peserta-peserta untuk melihat negara serantau dan dalam masa yang sama memberi kesedaran akan kemajuan dan kemakmuran negara yang harus dipertahankan.
Bagi peserta-peserta misi Kemanusiaan ke Kemboja ini, ianya adalah satu pengalaman baru yang sangat berharga dan penuh pengisian terutama dari segi konsep ‘bersyukur’, ‘berkongsi rezeki’ dan ‘keikhlasan’.
 
Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan memberi manfaat kepada semua pihak.

 

Misi Kemanusiaan UiTM Johor ke Kemboja


 
Mengajar Erti Kehidupan.. Syukuri nikmat Tuhan...
 
Sambungan Bahagian Tiga (3)

Hari Kedua : 17 Oktober 2013

Hari kedua adalah hari yang amat dinantikan oleh semua peserta. Seawal jam 7.00 pagi kami telah berkumpul di lobi hotel. Dengan memakai t-shirt biru Misi Kemanusiaan, hati kami berkobar-kobar dan bersemangat untuk menuju ke destinasi yang kami telah rancang sejak setahun lalu.


Kesemua 60 buah kotak barangan dan keperluan yang dibawa dari Malaysia, serta beg-beg beras yang dibeli di Kemboja dipunggah ke dalam sebuah bas persiaran besar  dan sebuah van yang disewa.


Memunggah barang-barang yang dibawa untuk diberi kepada penduduk kampung


Semakin teruja di dalam bas menuju ke kampung Chhnang
Perjalanan kami diteruskan lagi  menyusuri Sungai Mekong di kiri dan kanan kami. Kedudukan Kerajaan Kemboja bersempadan Thailand di barat, Laos di timur,  Vietnam di timur dan Teluk Siam di selatan. Sungai Mekong merupakan salah punca mata pencarian orang-orang Kemboja. Sungainya agak  luas, lebar dan panjang.
 
Antara pemandangan dari bas



Kehidupan seharian di jalanan
 
Dalam perjalanan ke destinasi pertama, kami sempat singgah di Masjid Batu 8. Ketika sampai di situ, penduduk dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid sedang mengadakan aktiviti korban lembu. Berhadapan dengan masjid ini, terletaknya pejabat Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kemboja (ACCAM). Di pejabat ini, kami berkesempatan untuk membeli 50 pasang telekung dan kopiah, duit sumbangan penderma dari Malaysia untuk diberi kepada masjid dan surau-surau di perkampungan Muslim Cham.
 
Pejabat ACCAM



Membeli kopiah dan telekung di pejabat ACCAM


Singgah di Masjid Batu 8. Berebut-rebut kanak-kanak ini untuk mendapatkan gula-gula 
 
Ini lah pengangkutan awam yang utama di sana. Boleh memuatkan sehingga 50 orang.
 Semakin jauh kami tinggalkan bandar Phnom Penh, semakin banyak kemajuan yang kami tinggalkan. Dari jalanraya lebar dan bertar, bas yang kami naiki mula memasuki jalan tanah merah. Laluan jalan semakin sempit dan kecil. Jika berselisih dengan kenderaan lain, bas yang kami naiki terpaksa berhenti untuk memberi laluan.


Perjalanan sejauh 70 kilometer terasa jauh kerana mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai. Hati mula berdebar bila melihatkan rumah-rumah kampung yang usang, kecil, beratap dan berdindingkan nipah, kanak-kanak yang bermain di halaman rumah tanpa alas kaki serta sawah-sawah padi yang menggunakan kudrat lembu, tanpa alatan mesin moden.
 
 

Lokasi Pertama: Kg Tavai Wilayah Kampong Chhnang

Sebaik tiba di destinasi pertama, Kg.Tavai di Kampung Chhnang, kami di sambut oleh penduduk kampung dengan suasana yang cukup meriah. Penduduk di sini dalam anggaran seramai 400-500 orang.
 
Sebaik melangkah kaki menuruni bas


Van yang disewa bagi membawa bantuan keperluan


Sebilangan lembu yang bakal dikorbankan


Kami dihidangkan dengan air kelapa muda segar
 Kami dihidangkan dengan air kelapa muda. Dalam pada itu, penduduk kampung sudah bersiap sedia dengan lembu yang hendak dikorbankan. Sebaik kami sampai, acara takbir dan aktiviti penyembelihan lembu dijalankan.



Penduduk kampung yang telah menunggu dari awal pagi
Laluan ke sebuah madrasah
 
Kami berehat di bawah madrasah yang baru dibina dan tandas yang disumbangkan oleh seorang penderma dari Amerika Syarikat. Pondok dua tingkat ini digunakan oleh penduduk kampung untuk menjalankan aktiviti mengaji dan mendalami agama Islam. Lebih kurang 100 meter dari sini sebuah masjid baru siap dibina untuk keperluan penduduk kampung hasil sumbangan para dermawan dari pelbagai negara.



Tandas yang disumbangkan oleh dermawan dari USA. Tandas ini kosnya sekitar RM1,000
 


Juga tandas /dua bilik air yang kosnya sekitar RM1,500 yang sedang dalam pembinaan hasil sumbangan dermawan.


Upacara ibadah korban sedang dijalankan
 
Antara lembu yang telah disembelih..
Ini lah rezeki buat penduduk kampung yang ada di kalangan mereka merasai daging lembu setahun sekali.





Kerja-kerja melapah lembu dilakukan oleh penduduk kampung

Selesai acara korban, kami mengagihkan pakaian dan tudung kepada golongan wanita. Kanak-kanak turut mendapat pakaian. Manakala golongan lelaki diberi kopiah dan baju. Selain itu wang ringgit dalam matawang riel diberi kepada mereka.
Memunggah kotak-kotak yang berisi pakaian terpakai untuk diagihkan kepada penduduk kampung


Pengagihan tudung dan pakaian wanita

Jika di bandar Phnom Penh majoriti masyarakatnya beragama Buddha, namun berbeza di perkampungan ini. Masyarakat Islam di sini memakai sarung atau kain batik dan pelikat seperti kita di Malaysia. Namun mereka mengenakan kaki selendang menutup kepala.


Pilih pilih...
 
Gembira ibu muda ini setelah dapat tudung


Terpacar kegembiraan di wajah mereka


Senyum lah...


Anak kecil yang langsung tidak memakai lampin pakai buang


Golongan lelaki tidak ketinggalan diberikan seluar, kain pelikat  dan jubah


Kanak-kanak dan orang dewasa mengerumuni penjual aiskrim ini setelah dibayar/ditaja oleh dermawan dari Malaysia


Peserta Misi dari UiTM Johor menghulurkan duit kepada penduduk kampung


Harapan...


Antara peserta-peserta Misi yang gembira dan kepenatan setelah mengagihkan barang-barang dan wang derma
Betapa seronoknya kanak-kanak dan golongan wanita bila diberi aiskrim percuma. Dalam masa tak sampai 10 minit licin kesemua aiskrim yang dibeli dari seorang penjual aiskrim.


Lokasi Kedua: Kg Pres Bes Wilayah Kampong Chhnang

Kampung pertama kami tinggalkan dan menuju ke destinasi kedua pula iaitu Kampung Prey Bes di Wilayah Kampong Chhnang. Penduduk di sini tidak berapa ramai, dalam anggaran seramai  200-300 orang yang hadir. Mereka berketurunan Melayu Cham dan beragama Islam.
 
Kedatangan kami disambung dengan gembira oleh penduduk kampung
 
Bersalaman menjalin ikatan ukhwah dengan saudara Muslim di sini


Air kelapa muda lagi untuk tetamu


Anak-anak kecil ini berebut-rebut untuk mendapatkan gula-gula dalam  hujan 


Golongan lelaki turut mendapat pakaian dan seluar
 
Setibanya kami di sini, hujan lebat membasahi bumi Kemboja menyambut kedatangan kami. Kami terpaksa menunggu hujan reda untuk mengangkat kota-kotak barangan yang dibawa. Aktiviti korban lembu diadakan dalam hujan renyai-renyai bagi mengejar masa. Sekali lagi, kami dihidangkan dengan air kelapa muda.

 
Apa yang sedang difikirkan oleh nenek ini?


Mereka mula beratur...
 Setelah diarahkan supaya beratur, akhirnya mereka akur. Terpacar senyuman kegembiraan di wajah mereka ketika menerima barang permainan yang diberikan. Gula-gula dan makanan ringan turut diagihkan selain pemberian wang kepada mereka. Manakan golongan lelaki diberikan seluar dan t-shirt atau kemeja. Dan golongan wanita diberi tudung dan baju kurung.


Bantuan pakaian



Wang derma turut diberikan kepada anak-anak kecil ini dan semua penduduk kampung
 Kami berteduh di bawah rumah salah seorang penduduk kampung di situ. Di dalam rumah tersebut hanya ada keperluan asas sahaja. Rumah kecil tersebut tidak mempunyai bilik. Hanya tabir atau kain yang memisahkan dapur dan ruang tamu. Hanya ada bantal, tilam, tikar serta beberapa periuk dan pinggan mangkuk sahaja. Mereka tidak mempunyai apa-apa barangan elektrik seperti TV, radio, pemain cakera padat maupun telefon bimbit. Malah di rumah mereka tiada bekalan elektrik dan air.


Barang-barang permainan turut diberi kepada kanak-kanak

Kebanyakan kanak-kanak di sini tidak berbaju dan berkaki ayam. Bayi pula tidak memakai sebarang lampin pakai buang ataupun kain lampin. Ada bayi dan kanak-kanak hanya berseluar pendek. Ketika mengagihkan barang-barang permainan kepada kanak-kanak ini daripada kotak, mereka berebut-rebut untuk mendapatkannya.


Sumbangan duit kepada penduduk kampung




Akhirnya nenek ini tersenyum setelah menerima wang, gula-gula dan 'bear'.


Anak kecil ini tidak memakai lampin

Tandas dan telaga pula terletak di bawah dan belakang rumah. Begitu lah keadaan dan suasana rumah penduduk kampung di Kemboja yang serba kekurangan seperti keadaan kita yang mundur di tahun 1960an dan 70an suatu ketika dahulu.


Setelah selesai acara korban dan juga pemberian bantuan wang derma, pakaian dan alat permainan, kami meninggalkan kampung ini untuk ke kampung seterusnya.
 
Lokasi Ketiga: Kampung Toul Pongro di Wilayah Kampong Chhnang

Destinasi ketiga dan terakhir bagi misi kemanusiaan ini adalah di Kampung Toul Pongro di Kampong Chhnang. Kami menaik bas dan perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit. Jalan tanah merah selorong ini becak selepas hujan lebat menyebabkan perjalanan semakin sukar memasuki kampung tersebut. Beberapa kali bas terpaksa berhenti dan memerlukan bantuan penduduk kampung untuk menebang pokok-pokok rimbun yang menghalang laluan bas ke kampung terpencil yang dituju.
 
Bersalaman dengan penduduk kampung
 
 
 
Sebaik tiba perkarangan masjid di kampung Toul Pongro, kami disambut bagai ketibaan VVIP dan Menteri. Penduduk kampung yang sedia menunggu dari pagi beratur di kiri kanan jalan dan bersalaman dengan kami. Mereka mengatur senyuman dan menyapa dengan mesra walaupun bahasa yang digunakan tidak difahami oleh kami. Umpama bahasa ayam dan itik, kami menyapa mereka juga kerana penduduk kampung ini kelihatan amat mesra dan seperti sudah lama kenal.
 
Kanak-kanak yang sabar menanti sekian lama

 Di hadapan masjid, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang beratur dan berbaris menunggu ketibaan kami. Golongan wanita ditempatkan di kiri masjid. Manakala golongan lelaki di tempatkan di kanan masjid.


Bantuan dari penduduk tempatan yang turut sama mengangkat kotak-kotak.

Sebaik tiba, kami dan penduduk kampung mula mengangkut dan memunggah kesemua baki kotak yang tinggal di dalam bas dan van. Semangat gotong –royong dan kerjasama serta kemesraan yang ditunjukkan oleh penduduk kampung membuatkan kami tidak berasa asing di kampung mereka.


Setelah selesai mengangkat kesemua kotak, kami mula mengagihkan wang kepada kanak-kanak, kaum wanita dan lelaki. Setelah duit diagihkan, kotak-kotak pakaian dibuka dan diagih-agihkan kepada mereka. Alhamdulillah, setiap orang mendapat ‘pakaian baru’ walaupun pakaian tersebut adalah pakaian yang telah dipakai, dan cuma bertukar pemilik baru sahaja. Ternyata mereka menerimanya dengan hati yang terbuka dan syukur.

 
Akhir sekali kami mengagihkan bantuan beras kepada golongan mualaf dan ibu tunggal.
Kami turut membawa berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi bagi kegunaan penduduk kampung kerana kebanyakan mereka kurang menekankan aspek kesihatan dan kebersihan.
 
Selesai acara tersebut, kami disajikan makanan tengahari. Walaupun perut sudah lama berkeroncong kelaparan, hati kami girang kerana amanah penderma dan penyumbang telah kami sampaikan.

Bantuan beras untuk golongan mualaf dan ibu tunggal
 
 
Kami dihidangkan dengan 3 jenis menu daging lembu korban masakan masyarakat Kemboja. Walaupun ianya pertama kali kami nikmati dan berbeza citarasa, namun disebabkan lapar, semuanya dapat menghabiskan hidangan tersebut. Selesai makan, kami solat di masjid tersebut.


Daging rebus, daging ala asam pedas dan daging masak pindang/sup serta ulam-ulaman sebagai juadah makan tengahari


Saya dan anak-anak bergambar kenangan  dengan salah seorang qariah masjid

Kami turut memberi kopiah dan telekung wakaf kepada masjid tersebut. Malah kami turut tinggalkan buku-buku surah Yassin dan Muqaddam yang dikirimkan oleh penderma dari Malaysia. Sebagai penghargaan kepada pihak masjid, kami turut agihkan duit kepada AJK masjid dan memberi sumbangan kepada tabung masjid bagi keperluan mereka menjalankan aktiviti agama.


Wang sumbangan rakyat Malaysia turut diberi kepada tabung masjid


Antara telekung yang diwakafkan kepada masjid


Tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan anak-anak kecil ini

Golongan mualaf menerima bantuan wang
 
Pemberian pakaian kepada kaum wanita




Kami berkesempatan melihat pam air atau telaga wakaf sumbangan rakyat Malaysia di sini. Menurut Imam Masjid, pam air amat diperlukan terutamanya ketika musim kemarau. Ini kerana penduduk kampung tiada bekalan air bersih dan bekalan elektrik. Telaga atau pam air ini adalah keperluan untuk mereka guna untuk air minuman, mandi dan bersuci serta minuman ternakan mereka. Kami turut menyerahkan wang derma bagi pembinaan 30 buah telaga wakaf  (kos pembinaan adalah RM700 bagi sebuah telaga) di kampung ini dan yang sekitar dengannya.

Sebelum berangkat pulang meninggalkan kampung Toul Pongro, kami singgah ke tempat aktiviti korban lembu yang terakhir. Setelah acara penyembelihan lembu yang terakhir selesai, saudara Faiz Shahru mengetuai bacaan doa selamat di situ. Kami menadah tangan bersyukur pada Yang Esa kerana perjalanan dan rancangan kami berjalan lancar, teratur dan selamat.
 




Bacaan doa selamat diketuai oleh Saudara Faiz setelah selesai acara ibadah korban dan misi kemanusiaan
Ketika bas menuju keluar dari Kampung Chhnang melewati jalan tanah merah yang becak, kami berselisih dengan tuk-tuk besar atau 'remok' (pengangkutan awam utama) yang membawa penduduk kampung yang pulang bekerja. Kebanyakan mereka adalah golongan wanita muda yang bekerja di kilang.
Selamat tinggal penduduk kampung - mereka ini pekerja kilang yang baru pulang dari kerja menaiki 'remok'
 
Dan itulah kenderaan dan pengangkutan utama mereka keluar masuk ke kampung setiap hari bagi mencari rezeki. Bagi mereka, untuk mendapatkan pendapatan sebulan RM100 pun agak sukar. Kerana itulah ada yang berganti pakaian hanya setahun sekali. Dan ada pula yang makan daging setahun sekali juga ketika hari raya Aidil Adha jika mendapat tajaan atau sedekah dari rakyat Malaysia.

Bergambar kenangan dengan seorang penduduk kampung yang menerima pakaian dari suami
Perjalanan pulang ke hotel memakan masa lebih kurang dua jam. Dek kerana kepenatan, semuanya melelapkan mata di dalam bas.
Masing-masing kepenatan
Namun kami berasa amat puas hati kerana berjaya melaksanakan misi ini. Ketibaan kami di kampung disambut dengan harapan, amanah orang kami sampaikan, bagi peserta-peserta misi ianya adalah rekod pencapaian peribadi yang sukar dilupakan.


Peserta-peserta Misi Kemanusiaan pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pemasaran
Walaupun sumbangan ini dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun bagi mereka yang menerimanya, ia adalah suatu rahmat dan nikmat kurniaan Illahi kepada mereka.
 
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (riwayat Muslim).
Jauh Berjalan Luas Pandangan Tambah Pengetahuan