Friday, December 13, 2013

Misi Kemanusiaan UiTM Johor Ke Kemboja


Melihat Kesan Sejarah Kemboja
(Sambungan bahagian terakhir )

Hari Ketiga (18 Oktober 2013)





Keesokkan harinya kami berkumpul jam 7.30 pagi untuk lawatan ke dua tempat yang sering dikunjungi oleh pelancong-pelancong dari luar. Killing Field dan S21 adalah dua tempat bersejarah yang sentiasa menjadi sebutan pelancong.
 
 
Mengikut sejarah, negeri-negeri Melayu Champa terbina antara abad ke-3 hingga abad ke-15 Masihi dengan kekuatan dan pengaruh yang meluas. Kini, Kemboja atau Cambodia mempunyai bilangan penduduk Melayu-Champa dianggarkan 800,000 daripada jumlah penduduk Kemboja 17 juta. Perjanjian damai di Peranchis pada tahun 1991 membuka era baru bagi Kemboja. Pemerintahan Liberal-Demokrasi mengamalkan sistem  Raja Berpelembagaan.
 
Mendengar taklimat dari seorang pemandu pelancong mengenai sejarah Kemboja
Antara tahun 1975-1979, Phnom Penh jatuh ke tangan komunis Khmer Rouge.  Golongan cerdik pandai dan lantang bersuara, para ulama dan mufti adalah sasaran utama kekejaman rejim Pol Pot selama hampir empat tahun memerintah Kemboja. Daripada 3 juta mangsa korban yang dibunuh oleh komunis Khmer, 90,000 adalah umat Islam Kemboja.
Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham serta mempunyai adat resam dan sejarah yang tersendiri menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Akibat peristiwa hitam tersebut dan selepas hamper 30 tahun bebas dari pemerintahan kuku besi, Islam kian diterima ramai dan mula tersebar ke seluruh daerah di Kemboja.


 
 
Walau bagaimana pun, majoriti umat Islam di sana hidup melarat, dihimpit kemiskinan, tiada  kemudahan asas seperti air, elektrik, makan dan minum serta tempat tinggal yang serba kekurangan tanpa kemudahan tandas.
S21
S21
 
Kami di bawa ke  Toul Slen Genocide Museum.Ia telah dibuka pada 19 Ogos, 1979. Ia juga dikenali sebagai bekas pejabat S-21 " Demoktratik Kampuchea" tahun 1975-1979. Kumpulan Demokratik Kampuchea diketuai oleh rejim Pol Pot. Ia dibina pada 17 April 1975 ( tarikh kemasukkan Pol Pot dan Khmer Rouge ke Phnom Penh) oleh rejim Pol Pot bagi tujuan penyeksaan orang awam, tempat kurungan tahanan dan pembunuhan.  Kawasan seluas 600 X 400 meter ini menempatkan beberapa buah bangunan dan bilik-bilik kecil. Tahanan diseksa dengan teruk di sini. Antaranya tahanan akan diikat di tiang dan diterbalikkan serta kepala mereka akan direndam di dalam tempayan air besar sehingga lemas. Asalnya ia adalah bangunan sekolah Toul Sleng Primary school dan Toul Svay Prey high school.
 
Tengkorak mangsa pembunuhan beramai-ramai
Kubur mangsa pembunuhan beramai-ramai
Seterusnya kami dibawa melawat satu lagi tempat bersejarah iaitu Padang Pembunuhan (Killing Field) Choueng Ek. Choueng Ek adalah padang pembunuhan paling terkenal dan terbesar dari lebih 300 padang pembunuhan lain di seluruh Kemboja. Di sini terdapat bilik tahanan yang gelap dan suram 301 Pol Pot dan Khmer Rouge. Antara lain, di sini pelancong akan melalui pejabat Algojo, bekas pondok istiadat, bilik simpanan bahan kimia, kubur besar yang memuatkan 450 mangsa, bilik simpanan peralatan membunuh, kubur cina, kebun longan di mana rakyat dipaksa bekerja sampai mata oleh Angkar dan beberapa buah tasik.
 
Malah di sini juga pengunjung akan menemui kubur besar untuk 166 mangsa tidak berkepala, kotak gelas pakaian mangsa pembunuhan, serpihan tulang dan gigi mangsa pembunuhan, serta pokok pembunuhan di mana kanak-kanak dan bayi akan dihempas ke batang pokok.
 
Kawasan yang agak menyeramkan dan menyedihkan ini turut menyimpan tengkorak-tengkorak mangsa pembunuhan kejam tersebut. Dikhabarkan, terdapat 20,000 orang termasuk warga asing yang telah diseksa dan dibunuh di sini.  Sebagai tanda pengingatan kepada mangsa pembunuhan di seluruh Kemboja, pusat Choeng Ek Genocidal Center ini dibuka dan dibina pada tahun 1988.
 
Selesai mengunjungi kedua-dua tempat bersejarah ini, kami pulang ke hotel sebagai persediaan untuk majlis penutup dan makan malam di atas bot Sungai Mekong.
 
Kami sangat teruja kerana berpeluang menaiki bot dua tingkat menyusuri Sungai Mekong. Semua peserta menerima sijil penyertaan dan penghargaan dari Penganjur bersama Persatuan Kebajikan Dan Pembangunan Masyarakat Kemboja (Association for Charitable Assistance and Social Development Cambodia - ACCAM).
 
Yang menariknya, kami dihidangkan dengan masakan masyarakat Kemboja yang agak unik dikenali sebagai lembu naik bukit. Ia seakan stimbot yang mempunyai sup, manakala daging lembu dan telur diletakkan di tengah-tengah periuk.
 

Gembira kerana misi terlaksana



Atas bot Sg Mekong -lepak santai

Menikmati angina malam di Sungai Mekong

Berlatarkan Sg Mekong

Peserta misi menerima sijil penyertaan



Ucapan dari ketua projek Saudara Naim



Menikmati makan malam daging lembu korban


Teruja misi berakhir dan terlaksana


Girang dan ceria




Keesokkan hari (19 Oktober ), kami pulang ke Malaysia. Gembira di hati kerana misi telah berjaya dilaksanakan walaupun terdapat pelbagai rintangan dan halangan. Ia adalah pengalaman yang sukar dilupakan dan sentiasa dikenang bagi peserta-peserta misi ini.


Kenangan bersama En Asyari Ahmad, wakil dan Pengerusi ACCAM

Tak sabar nak pulang ke Tanah air



Selamat tiba di UiTM Segamat
 
Semoga program seumpama ini dapat menyuntik semangat masyarakat terutamanya generasi muda di negara ini mensyukuri nikmat kerana dapat hidup aman dan tidak menghadapi sebarang masalah.
Di samping itu ia memberi peluang kepada peserta-peserta untuk melihat negara serantau dan dalam masa yang sama memberi kesedaran akan kemajuan dan kemakmuran negara yang harus dipertahankan.
Bagi peserta-peserta misi Kemanusiaan ke Kemboja ini, ianya adalah satu pengalaman baru yang sangat berharga dan penuh pengisian terutama dari segi konsep ‘bersyukur’, ‘berkongsi rezeki’ dan ‘keikhlasan’.
 
Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan memberi manfaat kepada semua pihak.

 

No comments:

Post a Comment