Mengajar Erti Kehidupan.. Syukuri nikmat Tuhan...
Hari Kedua : 17 Oktober 2013
Hari kedua adalah hari yang amat dinantikan oleh semua peserta. Seawal jam 7.00 pagi kami telah berkumpul di lobi hotel. Dengan memakai t-shirt biru Misi Kemanusiaan, hati kami berkobar-kobar dan bersemangat untuk menuju ke destinasi yang kami telah rancang sejak setahun lalu.
Kesemua 60 buah kotak barangan dan keperluan yang dibawa
dari Malaysia, serta beg-beg beras yang dibeli di Kemboja dipunggah ke dalam sebuah
bas persiaran besar dan sebuah van yang
disewa.
Memunggah barang-barang yang dibawa untuk diberi kepada penduduk kampung |
Semakin teruja di dalam bas menuju ke kampung Chhnang |
Perjalanan kami diteruskan lagi menyusuri
Sungai Mekong di kiri dan kanan kami. Kedudukan Kerajaan
Kemboja bersempadan Thailand di barat, Laos di timur, Vietnam di timur dan Teluk Siam di selatan.
Sungai Mekong merupakan salah punca mata pencarian orang-orang Kemboja.
Sungainya agak luas, lebar dan panjang.
Antara pemandangan dari bas |
Kehidupan seharian di jalanan |
Dalam perjalanan ke destinasi pertama, kami sempat singgah di Masjid Batu 8. Ketika sampai di situ, penduduk dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid sedang mengadakan aktiviti korban lembu. Berhadapan dengan masjid ini, terletaknya pejabat Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kemboja (ACCAM). Di pejabat ini, kami berkesempatan untuk membeli 50 pasang telekung dan kopiah, duit sumbangan penderma dari Malaysia untuk diberi kepada masjid dan surau-surau di perkampungan Muslim Cham.
Pejabat ACCAM |
Membeli kopiah dan telekung di pejabat ACCAM |
Singgah di Masjid Batu 8. Berebut-rebut kanak-kanak ini untuk mendapatkan gula-gula |
Ini lah pengangkutan awam yang utama di sana. Boleh memuatkan sehingga 50 orang. |
Perjalanan sejauh 70 kilometer terasa jauh kerana
mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai. Hati mula berdebar bila melihatkan
rumah-rumah kampung yang usang, kecil, beratap dan berdindingkan nipah,
kanak-kanak yang bermain di halaman rumah tanpa alas kaki serta sawah-sawah
padi yang menggunakan kudrat lembu, tanpa alatan mesin moden.
Lokasi Pertama: Kg Tavai Wilayah Kampong Chhnang
Sebaik tiba di destinasi pertama, Kg.Tavai di Kampung
Chhnang, kami di sambut oleh penduduk kampung dengan suasana yang cukup meriah. Penduduk
di sini dalam anggaran seramai 400-500 orang.
Sebaik melangkah kaki menuruni bas |
Van yang disewa bagi membawa bantuan keperluan |
Sebilangan lembu yang bakal dikorbankan |
Kami dihidangkan dengan air kelapa muda segar |
Penduduk kampung yang telah menunggu dari awal pagi |
Laluan ke sebuah madrasah |
Tandas yang disumbangkan oleh dermawan dari USA. Tandas ini kosnya sekitar RM1,000 |
Juga tandas /dua bilik air yang kosnya sekitar RM1,500 yang sedang dalam pembinaan hasil sumbangan dermawan. |
Upacara ibadah korban sedang dijalankan |
Antara lembu yang telah disembelih.. Ini lah rezeki buat penduduk kampung yang ada di kalangan mereka merasai daging lembu setahun sekali. |
Memunggah kotak-kotak yang berisi pakaian terpakai untuk diagihkan kepada penduduk kampung |
Pilih pilih... |
Gembira ibu muda ini setelah dapat tudung |
Terpacar kegembiraan di wajah mereka |
Senyum lah... |
Anak kecil yang langsung tidak memakai lampin pakai buang |
Golongan lelaki tidak ketinggalan diberikan seluar, kain pelikat dan jubah |
Kanak-kanak dan orang dewasa mengerumuni penjual aiskrim ini setelah dibayar/ditaja oleh dermawan dari Malaysia |
Peserta Misi dari UiTM Johor menghulurkan duit kepada penduduk kampung |
Harapan... |
Antara peserta-peserta Misi yang gembira dan kepenatan setelah mengagihkan barang-barang dan wang derma |
Betapa seronoknya kanak-kanak dan golongan wanita
bila diberi aiskrim percuma. Dalam masa tak sampai 10 minit licin kesemua
aiskrim yang dibeli dari seorang penjual aiskrim.
Lokasi Kedua: Kg Pres Bes Wilayah Kampong Chhnang
Kampung pertama kami tinggalkan dan menuju ke
destinasi kedua pula iaitu Kampung Prey Bes di Wilayah Kampong Chhnang. Penduduk di sini tidak
berapa ramai, dalam anggaran seramai 200-300 orang yang hadir. Mereka berketurunan Melayu Cham dan beragama Islam.
Kedatangan kami disambung dengan gembira oleh penduduk kampung |
Bersalaman menjalin ikatan ukhwah dengan saudara Muslim di sini |
Air kelapa muda lagi untuk tetamu |
Anak-anak kecil ini berebut-rebut untuk mendapatkan gula-gula dalam hujan |
Golongan lelaki turut mendapat pakaian dan seluar |
Setibanya kami di sini,
hujan lebat membasahi bumi Kemboja menyambut kedatangan kami. Kami terpaksa
menunggu hujan reda untuk mengangkat kota-kotak barangan yang dibawa. Aktiviti
korban lembu diadakan dalam hujan renyai-renyai bagi mengejar masa. Sekali
lagi, kami dihidangkan dengan air kelapa muda.
Apa yang sedang difikirkan oleh nenek ini? |
Mereka mula beratur... |
Bantuan pakaian |
Wang derma turut diberikan kepada anak-anak kecil ini dan semua penduduk kampung |
Barang-barang permainan turut diberi kepada kanak-kanak |
Kebanyakan kanak-kanak di sini tidak berbaju dan berkaki ayam. Bayi pula tidak memakai sebarang lampin pakai buang ataupun kain lampin. Ada bayi dan kanak-kanak hanya berseluar pendek. Ketika mengagihkan barang-barang permainan kepada kanak-kanak ini daripada kotak, mereka berebut-rebut untuk mendapatkannya.
Sumbangan duit kepada penduduk kampung |
Akhirnya nenek ini tersenyum setelah menerima wang, gula-gula dan 'bear'. |
Anak kecil ini tidak memakai lampin |
Tandas dan telaga pula terletak di bawah
dan belakang rumah. Begitu lah keadaan dan suasana rumah penduduk kampung di
Kemboja yang serba kekurangan seperti keadaan kita yang mundur di tahun 1960an
dan 70an suatu ketika dahulu.
Setelah selesai acara korban dan juga pemberian bantuan wang derma, pakaian dan alat permainan, kami meninggalkan kampung ini untuk ke kampung seterusnya.
Destinasi ketiga dan terakhir bagi
misi kemanusiaan ini adalah di Kampung Toul Pongro di Kampong Chhnang. Kami menaik bas
dan perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit. Jalan tanah merah selorong ini becak
selepas hujan lebat menyebabkan perjalanan semakin sukar memasuki kampung
tersebut. Beberapa kali bas terpaksa berhenti dan memerlukan bantuan penduduk
kampung untuk menebang pokok-pokok rimbun yang menghalang laluan bas ke kampung
terpencil yang dituju.
Bersalaman dengan penduduk kampung |
Kanak-kanak yang sabar menanti sekian lama |
Di hadapan masjid, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang beratur dan berbaris menunggu ketibaan kami. Golongan wanita ditempatkan di kiri masjid. Manakala golongan lelaki di tempatkan di kanan masjid.
Bantuan dari penduduk tempatan yang turut sama mengangkat kotak-kotak. |
Sebaik tiba, kami dan penduduk kampung mula mengangkut dan memunggah kesemua baki kotak yang tinggal di dalam bas dan van. Semangat gotong –royong dan kerjasama serta kemesraan yang ditunjukkan oleh penduduk kampung membuatkan kami tidak berasa asing di kampung mereka.
Setelah selesai mengangkat kesemua kotak, kami mula mengagihkan wang kepada kanak-kanak, kaum wanita dan lelaki. Setelah duit diagihkan, kotak-kotak pakaian dibuka dan diagih-agihkan kepada mereka. Alhamdulillah, setiap orang mendapat ‘pakaian baru’ walaupun pakaian tersebut adalah pakaian yang telah dipakai, dan cuma bertukar pemilik baru sahaja. Ternyata mereka menerimanya dengan hati yang terbuka dan syukur.
Akhir sekali kami mengagihkan bantuan beras kepada
golongan mualaf dan ibu tunggal.
Kami turut membawa berus gigi, ubat gigi dan sabun mandi bagi kegunaan penduduk kampung kerana kebanyakan mereka kurang menekankan aspek kesihatan dan kebersihan.
Selesai acara tersebut, kami disajikan makanan
tengahari. Walaupun perut sudah lama berkeroncong kelaparan, hati kami girang
kerana amanah penderma dan penyumbang telah kami sampaikan.
Bantuan beras untuk golongan mualaf dan ibu tunggal |
Kami dihidangkan dengan 3 jenis menu daging lembu korban masakan masyarakat Kemboja. Walaupun ianya pertama kali kami nikmati dan berbeza citarasa, namun disebabkan lapar, semuanya dapat menghabiskan hidangan tersebut. Selesai makan, kami solat di masjid tersebut.
Daging rebus, daging ala asam pedas dan daging masak pindang/sup serta ulam-ulaman sebagai juadah makan tengahari |
Saya dan anak-anak bergambar kenangan dengan salah seorang qariah masjid |
Kami turut memberi kopiah dan telekung wakaf kepada
masjid tersebut. Malah kami turut tinggalkan buku-buku surah Yassin dan
Muqaddam yang dikirimkan oleh penderma dari Malaysia. Sebagai penghargaan
kepada pihak masjid, kami turut agihkan duit kepada AJK masjid dan memberi
sumbangan kepada tabung masjid bagi keperluan mereka menjalankan aktiviti agama.
Wang sumbangan rakyat Malaysia turut diberi kepada tabung masjid |
Antara telekung yang diwakafkan kepada masjid |
Tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengan anak-anak kecil ini |
Golongan mualaf menerima bantuan wang |
Pemberian pakaian kepada kaum wanita |
Kami berkesempatan melihat pam air atau telaga wakaf
sumbangan rakyat Malaysia di sini. Menurut Imam Masjid, pam air amat diperlukan
terutamanya ketika musim kemarau. Ini kerana penduduk kampung tiada bekalan air
bersih dan bekalan elektrik. Telaga atau pam air ini adalah keperluan untuk
mereka guna untuk air minuman, mandi dan bersuci serta minuman ternakan mereka. Kami turut menyerahkan wang derma bagi pembinaan 30 buah telaga wakaf (kos pembinaan adalah RM700 bagi sebuah telaga) di kampung ini dan yang sekitar dengannya.
Sebelum berangkat pulang meninggalkan kampung Toul
Pongro, kami singgah ke tempat aktiviti korban lembu yang terakhir. Setelah
acara penyembelihan lembu yang terakhir selesai, saudara Faiz Shahru mengetuai
bacaan doa selamat di situ. Kami menadah tangan bersyukur pada Yang Esa kerana
perjalanan dan rancangan kami berjalan lancar, teratur dan selamat.
Bacaan doa selamat diketuai oleh Saudara Faiz setelah selesai acara ibadah korban dan misi kemanusiaan |
Ketika bas menuju keluar dari Kampung Chhnang melewati
jalan tanah merah yang becak, kami berselisih dengan tuk-tuk besar atau 'remok' (pengangkutan awam utama) yang membawa
penduduk kampung yang pulang bekerja. Kebanyakan mereka adalah golongan wanita
muda yang bekerja di kilang.
Selamat tinggal penduduk kampung - mereka ini pekerja kilang yang baru pulang dari kerja menaiki 'remok' |
Dan itulah kenderaan dan pengangkutan utama mereka
keluar masuk ke kampung setiap hari bagi mencari rezeki. Bagi mereka, untuk
mendapatkan pendapatan sebulan RM100 pun agak sukar. Kerana itulah ada yang berganti
pakaian hanya setahun sekali. Dan ada pula yang makan daging setahun sekali
juga ketika hari raya Aidil Adha jika mendapat tajaan atau sedekah dari rakyat
Malaysia.
Bergambar kenangan dengan seorang penduduk kampung yang menerima pakaian dari suami |
Perjalanan pulang ke hotel memakan masa lebih kurang dua jam. Dek kerana
kepenatan, semuanya melelapkan mata di dalam bas.
Masing-masing kepenatan |
Namun kami berasa amat puas
hati kerana berjaya melaksanakan misi ini. Ketibaan kami di kampung disambut dengan
harapan, amanah orang kami sampaikan, bagi peserta-peserta misi ianya adalah
rekod pencapaian peribadi yang sukar dilupakan.
Peserta-peserta Misi Kemanusiaan pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pemasaran |
Walaupun sumbangan ini dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun bagi mereka yang menerimanya, ia adalah suatu rahmat dan nikmat kurniaan Illahi kepada mereka.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (riwayat Muslim).
Jauh Berjalan Luas Pandangan Tambah Pengetahuan
No comments:
Post a Comment