Trip to Hatyai via ETS
22 - 25 April 2016
Trip ke Hatyai kali ini amat berbeza kerana perjalanan kali ini menaiki keretapi KTM ETS (keretapi laju) perkhidmatan antara Bandar. ETS adalah singkatan kepada Electric Train Service. Ia berkelajuan sehingga 150 km/jam. Ia menghubungkan Malaysia - Thailand iaitu dari Gemas sehingga ke Padang Besar. Tiket keretapi ETS boleh dibeli seawal sebulan awal kerana tiket ETS amat laris dan jualan amat memberangsangkan terutama untuk hujung minggu. Untuk info lanjut jadual ETS sila klik di sini. Jadual ETS.
22 April 2016
Perjalanan kami bermula dari Bentong seawal 5.30 pagi. Kami berhenti di R&R Gombak untuk solat subuh dan sarapan pagi. Trip kali ini disertai oleh mak dan Abah yang ingin merasai pengalaman tren ETS. Kami meninggalkan kenderaan di tempat letak kereta di Jalan Pekeliling Stesyen Titiwangsa untuk 3 malam. Satu malam dicaj RM5 untuk menyimpan kenderaan di parking teksi Genting (berdekatan foodcourt stesyen bas).
Kami menaiki monorel jam 8.10 pagi dari Stesyen Titiwangsa. Anak-anak kecil ini amat teruja menaiki monorel. Ini adalah pengalaman pertama mereka menaiki monorel. Melihat kesibukan kota dengan manusia dan kenderaan yang bertali arus demi mencari rezeki di awal pagi.
Apa tu?? |
Seronok baby Zarra naik choo choo Monorel |
Tiba di stesyen KL Sentral kira-kira jam 8.45 pagi. Berjalan di dalam KL Sentral ke platform KTM ETS. Ada banyak platform di sini. Ada platform LRT, Komuter dan ERL di sini. Agak jauh juga berjalan untuk ke platform di sini dan kita perlu pastikan tiba setengah jam awal sebelum waktu berlepas.
Sementara menunggu panggilan masuk menaiki ETS di KL Sentral - ada beberapa buah kedai pertukaran wang di sini |
Selepas ke bilik air dan membuat pertukaran wang di Money Changer yang ada di KL Sentral tersebut, kami menunggu untuk ETS yang akan bergerak jam 9.30 pagi. Sebelum itu ETS ke Ipoh dan Butterworth bergerak terlebih dahulu. Setelah dipanggil dengan pembesar suara, kami menaiki ETS jam 9.30 pagi. Agak penuh juga tren tersebut menuju ke utara.
Masa pergi kedudukan kerusi mengadap ke hadapan - sampai di Butterworth mengundur pula |
Ramai pula rombongan mak jemah dan mak kiah nak ke Pulau Langkawi dalam tren tersebut. Dan ada rombongan pesara-pesara Jabatan Penjara dari KL juga. Dah macam rumah sendiri dibuatnya. Tahan je lah mata dan telinga mendengar riuh rendah rombongan cik Kiah ni.
Ruang tempat duduk penumpang dalam ETS |
Harga tiket tren ETS berbeza mengikut klasifikasi tren. Ada tiga jenis semuanya iaitu Platinum, Gold dan Silver. Yang membezakan tren dan harga tren ini adalah perhentiannya. Platinum lebih cepat, kurang berhenti mengambil penumpang dan jarak masa yang singkat. Silver lebih lama masa perjalanannya kerana banyak stop/berhenti untuk mengambil penumpang. Bagi warga emas dan OKU serta pelajar juga boleh mendapat harga tiket yang istimewa/ konsesi. Dari KL Sentral ke Padang Besar, harga tiket orang dewasa sehala adalah RM80 dan kanak-kanak RM44 (Emas/Gold pakej). Tiket boleh dibeli di semua stesyen KTM atau secara online juga. Boleh dapatkan info di sini juga : ETS info
Pemandangan indah sawah padi di Kedah/ Perlis |
Sedikit info....:Dalam tren tersebut amat selesa. Ada jualan makanan di café yang disediakan. Tapi agak mahal juga. pakej air dan nasi lemak adalah lebih kurang RM9.00. Murah sedikit daripada nasi lemak dalam Air Asia. LED TV juga disediakan di dalam tren. Kalau boring boleh la menonton movie yang ada. Masa tu tren menghidangkan cerita "Lord of the Ring". Tandas bersih dan mesra "OKU". Tempat duduk selesa dan jarak kaki yang luas. Sila bawa baju sejuk ya kerana dalam tren tu teramatlah sejuk nya sampai nak tidur pun menggigil. Tren ETS ni tiada tempat tidur macam tren KTM ekspress yang lain. Jadi semuanya tempat duduk. Di setiap gerabak kerusi yang paling depan akan ada meja khas. Senang untuk meletak makanan. Terasa 'jakun' pula pertama kali merasai pengalaman menaiki ETS ini. Beg/bagasi pun boleh diletakkan di ruang bagasi besar yang dikhaskan.
Info di skrin LED TV |
Perjalanan dari KL Sentral menaiki tren ETS Gold ini adalah selama 5 jam lebih. Kami tiba di Stesyen Padang Besar jam 3.20 petang. Mengikut jadual tren dijangka tiba jam 3.10 petang. Kelajuan maksima adalah sekitar 141km/jam. Tak de lah selaju keretapi laju di Jepun atau Europe.. tapi tetap laju daripada kereta... Dalam setiap gerabak separuh kerusi akan mengadap ke hadapan...sebahagian lagi mengadap ke belakang. Jadi jika dari KL sentral kerusi kita mengadap ke hadapan, bila tiba di Stesyen Butterworth nanti kita akan mengundur pula... so memang nak ke tak nak akan menghadap ke depan dan juga duduk mengundur naik tren ini.
Ruang Bagasi |
Sebaik tiba di Stesyen Padang Besar kami rehat sebentar kerana menunggu dan ingin berjumpa mak saudara yang kebetulan menetap di Changloon. Jika anda ingin terus ke Hatyai, ada keretapi ekspress antarabangsa Thailand terus ke Hatyai. Tiket boleh dibeli di stesyen keretapi Padang Besar ini.
Jika anda ingin menaiki kereta untuk masuk ke Hatyai, ada juga kereta sewa di sini. Kami menyewa sebuah MPV dengan bayaran RM100 untuk ke Hatyai. Ketika melalui sempadan Malaysia -Thai, pusat Imigresen Malaysia, semua penumpang perlu turun untuk cop passport. Di Imigresen Malaysia mudah urusannya dan cepat. Naik semula kenderaan dan kira-kira 600 meter kemudian akan melalui imigresen pihak Thailand pula. Jadi kami perlu turun semula dari kenderaan dan beratur untuk cop passport di sini. Dan kita perlu sediakan RM2 untuk setiap passport. RM1 untuk upah orang menulis borang masuk ke Thailand dan RM1 lagi diselitkan dalam passport ketika cop passport tersebut. Balik pun kena buat yang sama.. selitkan RM1 dalam passport tapi tiada borang lagi yang perlu diisi. Cuma perlu pastikan keratan borang putih tu ada dikepilkan bersama passport.
Dua single dan tambah satu lagi extra Bed |
Waktu di Thailand adalah lewat sejam dari Malaysia. Setelah sejam perjalanan menaiki kereta sewa, kami tiba di hotel Regency Hatyai. Pengunjung boleh walk in atau booking online untuk menempah bermalam di sini. Info tentang Hotel : Hotel Regency Hatyai . Cuma yang tak berapa nak bestnya perlu melalui satu gerai kecil yang menjual khinzir panggang di situ. Kalau tak nak lalu depan gerai BBQ ni pun boleh iaitu melalui pintu kecil restoran Hotel.
Kedudukan Hotel Regency Hatyai ini amat strategik kerana berdekatan dengan salah satu Restoran Halal yang terkenal di sana iaitu Restoran Hamid. Keluar dari Hotel ini dan jalan kaki dalam 80 meter adalah Lee Garden Plaza- tempat shopping. Dan sekitar plaza ini banyak gerai-gerai jualan pakaian dan makanan. Di sini ada beberapa gerai Muslim yang menjual makanan halal seperti Nasi Lemak, Teh Tarik, Mee Goreng , Ayam Goreng dan sebagainya dengan harga yang murah.
Wajib ambil gambar bilik air juga |
Restoran di dalam Hotel Regency yang juga menyajikan tarian tradisional Thai (belakang tu gerai yang menjual VaVi Panggang) |
Restoran Hamid yang popular |
Setelah berehat di Hotel sebentar, malam tu kami menikmati makan malam di Restoran Hamid. Restoran Hamid ini amat terkenal kerana antara restoran Halal Muslim yang awal di Hatyai. Kami order Tom Yam, Paprik Ayam, Telur Bungkus dan Sotong Goreng. Harga agak mahal tapi amat sedap dan servis cepat.
Selepas makan, kami jalan-jalan di dalam Plaza Lee Garden dan sekitarnya. Untuk Makluman, plaza ini pernah dibom beberapa tahun dahulu. Ketika untuk memasuki plaza ini, pengunjung akan melalui scanner di pintu masuk demi keselamatan pengunjung lain. Ada juga ditempatkan balai polis bergerak di depan plaza ini bagi memastikan kawasan ini selamat.
Pengunjung boleh cuci-cuci mata pelbagai barangan di sini sehingga jam 1 pagi. Keesokkan paginya peniaga lain pula yang akan menjual barangan lain di kaki lima depan Lee Garden Plaza ini. Setiap hari beginilah aktiviti di sini..
Kami balik rehat dan aktiviti tidur seterusnya..... sebab baby dah penat travel naik Encik Thomas hari ni..
Sambungan Part 2...untuk hari Kedua.
No comments:
Post a Comment