Thursday, July 18, 2013

Renungan dan Buka Minda di bulan Ramadan


Saya tertarik dengan artikel yang dikirim dan dikongsi melalui emel oleh Dato' VC UiTM hari ini.
 
Suspen dan terkesima seketika.. ia boleh berlaku kepada kita dan sesiapa jua. Adat hidup di dunia ini.. kita mahukan yang terbaik.. kita impikan yang terbaik.. kita mahu macam-macam dari pasangan kita .. dari ibu bapa kita.... kita nak itu..kita nak ini.. kadangkala tanpa kita sedari, kita mungkin melukakan hati mereka.. Ia juga mungkin berlaku antara kita sebagai anak dengan ibu bapa, adik beradik mahupun pasangan hidup kita sendiri atau antar pelajar dan guru/pensyarah atau rakan-rakan sekerja. Sama ada  disedari atau tidak,  mahupun secara sengaja atau tidak sengaja.
 
Semoga masih ada ruang dan peluang untuk kita meminta maaf dan berubah sebelum terlambat...
 
Renungan buat semua....semoga kita mendapat manfaat darinya...
 
 


Petikan dari Emel VC UiTM, Tan Sri Dato' Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar

AKAN ADAKAH PELUANG KEDUA?

 

Mereka telah berumahtangga melebihi tiga dekad dan kedua-dua anak mereka telah membina keluarga masing-masing, tinggal berasingan di daerah lain.  Aishah kini melalui empty nest syndrome, hanya tinggal bersama suaminya, Mohd Razif yang masih bekerja, di penghujung kerjayanya.  Saban tahun mereka meraikan hari ulang tahun perkahwinan, hinggalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini hubungan mereka melalui perubahan.  Kerapkali berlaku perselisihan antara mereka walaupun atas perkara remeh sahaja.  Sesungguhnya jauh di sudut hati, mereka tidak suka kepada perubahan dalam hubungan mereka itu.

 

Pada hari ulang tahun perkahwinan mereka yang lepas, Aishah begitu teruja menunggu kepulangan suaminya, Mohd Razif.  Sejak mereka menjadi suami isteri, banyak perubahan telah berlaku dalam hubungan mereka, namun kali ini Aishah berazam untuk cuba memperbaikinya.  Pasangan itu yang suatu masa dahulu umpama tidak boleh dipisahkan, kini telah semakin ‘hangat’ dek perselisihan antara mereka yang tidak habis-habis.  Seolah-olah sekarang ini mereka hanya nampak kelemahan dan kesilapan pasangan, bukan lagi seperti baru-baru mereka berkahwin dahulu, semuanya baik belaka.  Hari itu Aishah ingin melihat kalau Razif ingat pada tarikh penting dalam hidup mereka suami isteri.


Apabila terdengar bunyi loceng di pintu, Aishah meluru membukanya dan dapat melihat suaminya basah kuyup, sambil tersenyum menggenggam sejambak bunga di tangannya.  Aishah tergamam lalu tanpa banyak bicara kedua-duanya terus ke ruang tamu.  Aishah ternyata sangat gembira dengan ingatan Razif terhadap hari ulang tahun mereka.  Di saat itu mereka seolah-olah dapat melupakan masalah yang dihadapi, pertengkaran yang sering terjadi dan kerenggangan hubungan yang sedang mereka lalui.  Masing-masing meluahkan penyesalan terhadap apa yang berlaku sebelum ini dan berazam untuk memperbaikinya.


Perbualan mereka terhenti apabila telefon di bilik tidur berdering.  Aishah menjawabnya dan seorang lelaki di hujung sana berkata, “Assalamualaikum puan, saya membuat panggilan daripada balai polis.  Adakah ini nombor telefon Encik Mohd Razif Osman?”  Jawab Aishah, “Ya” dan lelaki itu berkata lagi, “Maafkan saya puan, ada kemalangan dan seorang lelaki telah meninggal dunia.  Kami dapat nombor ini daripada dompetnya.  Kami perlukan puan datang ke sini untuk mengecam jasadnya”.


Hancur luluh hati Aishah dibuatnya, dia tidak percaya apa yang didengarinya.  “Tapi suami saya ada di sini bersama saya!” katanya bersungguh-sungguh.  “Maaf puan, kejadian itu berlaku pukul 2 petang tadi, semasa dia hendak menaiki keretapi,” lelaki itu meyakinkan.  Aishah hampir hilang pertimbangan mendengar penjelasan lelaki itu.  Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku, bisik hatinya kebingungan.  Sebelum ini dia pernah terdengar juga ada cerita mengenai roh yang datang menemui orang tersayang sebelum ia meninggalkannya.

 

Aishah bergegas semula ke ruang tamu dan mendapati Razif tiada di situ.  Ya, betul! bisiknya hampa.  Razif telah pergi buat selamanya.  Rohnya yang datang tadi ingin mengucapkan selamat tinggal! Aishah tersungkur ke lantai merasai hidupnya begitu kosong seraya berdoa, “Ya Allah, berilah aku peluang sekali lagi bertemu suamiku, ingin ku cium tangannya memohon ampun terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan kami.  Ingin ku perbaiki hubungan kami suami isteri.  Berilah aku peluang menjadi penawar dalam hidupnya, penyejuk hatinya dan jadi isteri yang solehah, ya Allah.”  Bercucuran air mata Aishah penuh keinsafan dan pengharapan daripada Allah.


Tiba-tiba dia terdengar bunyi dari bilik air dan kelihatan Razif membuka pintu sambil berkata, “Sayang, abang terlupa nak bagitau yang dompet abang dicuri orang tengahari tadi.”


KITA MUNGKIN TIDAK DAPAT PELUANG KEDUA, JADI JANGAN SIA-SIAKAN SAAT-SAAT YANG TERLUANG UNTUK MEMPERBAIKI APA JUA KESILAPAN KITA.


Jika diizinkan Allah kita akan menemui sekali lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kebaikan dalam beberapa hari sahaja lagi, jadi marilah sama-sama kita berubah ke arah membuat kebaikan, terutamanya kepada kedua orang tua kita, suami atau isteri kita, adik-beradik, rakan taulan dan ramai lagi.

 

Kita tidak tahu sama ada kita akan ada lagi di hari esok atau tidak, maka eloklah kita menikmati kehidupan ini dengan sebaik-baiknya tanpa perlu apa-apa penyesalan di kemudian hari.


Famili besar saya .. ahli keluarga Mat Dong di Raub.Pahang


No comments:

Post a Comment