Saturday, December 10, 2011

Nak Bersalin Di Mana? Hospital Swasta atau Kerajaan?

Ketika bersalin anak sulung di hospital kerajaan
“Nak bersalin di mana?”

Itu antara soalan yang kerap ditanya kawan-kawan atau saudara mara bila jumpa ibu mengandung atau bakal ibu yang akan melahirkan anak. Sama ada bersalin di hospital kerajaan atau di pusat perubatan atau hospital swasta, bagi saya kedua-dua nya ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Saya pernah melalui dan merasai pengalaman bersalin di kedua-dua tempat tersebut. Anak sulung bersalin di hospital kerajaan kerana kes kecemasan (uri lekat dan air ketuban pecah di rumah, jadi terpaksa menaiki ambulan ke hospital). Anak kedua bersalin di pusat perubatan swasta di Muar (tak sempat ke Pusat Perubatan Naluri di Wangsamaju kerana sakit bersalin awal dan bayi songsang ).

Dari segi kewangan, memang la lebih murah kosnya bila bersalin di hospital kerajaan. Bagi saya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan, dengan adanya GL (Guarantee Letter dari majikan), saya layak duduk wad kelas pertama. Malah bayaran hospital pun ditanggung sepenuhnya oleh majikan..Kosnya tak sampai pun RM100.

Namun bila bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta, kosnya agak mahal. Ketika bersalin anak kedua, kosnya lebih kurang RM5,000 (kerana bersalin melalui pembedahan dan 5 hari di tahan di wad kerana anak terkena jangkitan kuman). Biasanya kalau bersalin secara normal, kosnya antara RM1,000 hingga RM2,000 (bergantung kepada ibu samada nak ambil epidural atau tidak ketika bersalin).

Dari segi Islam dan aurat, kalau di hospital kerajaan, kita tak boleh pilih doktor atau pegawai perubatan perempuan ketika di bilik bersalin atau bilik pembedahan. Dan dari pengalaman saya, yang mengadap dan menyambut bayi saya adalah 3 orang doktor pelatih lelaki dan seorang doktor pakar sakit puan lelaki…huhuhu..malu bukan kepalang rasanya. Malah bila dah jadi kes sebab uri lekat, ada lebih kurang 20 orang pula jururawat pelatih yang datang melihat dan mengadap dalam bilik bersalin tu. Itu yang tak best sebab dah jadi bahan tontonan mereka pula. Dalam Islam pun digalakkan untuk memilih doktor perempuan, jika diberi pilihan.

Jadi, itulah antara sebabnya untuk anak kedua, saya memilih doktor perempuan di Pusat Perubatan Naluri Wangsamaju. Cuma bukan nak jadi rezeki anak tu dilahirkan di situ (tak nak jadi orang KL kot) sebab dah ada tanda –tanda dan sakit bersalin awal, saya memaksa suami membawa saya ke pusat bersalin swasta di Muar (boleh la nak paksa suami ke swasta sebab keluar duit poket sendiri.. kalau tak, ikutkan orang lelaki ni, nak free je..hantar hospital kerajaan je la). Nasib baik tak bersalin di dalam kereta sebab perjalanan ke Muar mengambil masa sejam dari Jementah. Walaupun doktor yang melakukan pembedahan tu doktor lelaki, tapi hanya seorang je doktor lelaki yang terlibat. Pakar bius adalah doktor perempuan.Malah 6 orang jururawat dalam bilik bedah tu semuanya perempuan. Sekurang2nya tak ada la rasa malu sangat dan aurat pun masih boleh dijaga.

Bila bersalin di hospital kerajaan,si ibu mesti menyusukan bayi sendiri. Bayangkan jika pesakit tu baru sudah menjalani pembedahan, pasti sukar untuk si ibu bangun ke bilik air atau menyusukan bayi. Tapi di hospital kerajaan, mereka perlu bangun sendiri ke bilik air (bergantung kepada jururawat – tapi ada juga nurse yang ringan tulang, nak juga tolong hantar ke bilik air) dan bangun menyusukan bayi sendiri. Bukan senang nak bangun sendiri bila dah kena bedah… Dan si ibu juga perlu menjaga sendiri bayi tersebut sebaik sahaja bayi dilahirkan. Bayangkan kesukaran yang dihadapi jika ianya anak pertama dan baru selesai menjalani pembedahan. Malah, tiada sesiapa baik emak atau suami dibenarkan untuk menjaga si ibu yang baru melahirkan anak ini tadi. Mereka hanya boleh melawat ketika waktu melawat tengahari atau petang sahaja.

Tapi kalau di pusat perubatan swasta ni, bayi akan dijaga oleh jururawat dan diberi minum susu formula sementara menunggu susu ibu. Tak dapat dinafikan susu ibu tu penting untuk bayi. Tapi nurse akan nasihatkan ibu untuk memerah susu ke dalam botol dan susu tersebut akan diberi kepada nurse untuk diberi kepada bayi. Jadi, ibu tak perlu bersusah payah nak bangun dari katil dan fikir tentang bayi sebab jururawat akan menjaga bayi sepenuhnya. Bila dah dua atau tiga hari atau dah kuat sikit, boleh la si ibu menyusukan bayi. Malah, mak atau suami atau anak atau siapa sahaja boleh menjaga atau tidur di pusat perubatan atau hospital swasta tersebut pada bila-bila masa (untuk bilik seorang atau berdua – tapi kalau bilik ramai-ramai, mungkin sukar dan tiada privasi).



Semuanya diuruskan dengan cepat dan efisien di pusat perubatan swasta..hanya sediakan wangnya sahaja..
Apa-apapun, ianya bergantung kepada kemampuan seseorang samada nak bersalin di hospital kerajaan (lebih jimat dan murah kosnya) atau pun mahukan layanan yang hebat jika bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta. Ada kalanya kelengkapan di hospital kerajaan lebih banyak jika dibandingkan di pusat perubatan swasta. Jika ada kes-kes atau masalah yang lebih besar berlaku, pusat perubatan swasta akan merujuk kes tersebut ke hospital kerajaan juga.

Malah, kadangkala ada juga berlaku di mana perkhidmatan dan layanan baik yang kita harapkan dari pusat perubatan atau hospital swasta tidak seperti yang kita harapkan atau impikan. Walau pun wang beribu telah dihabiskan, namun layanan yang diberi tidak setimpal dengan kosnya. Malah pernah juga terdengar desas-desus dari kawan-kawan yang mengatakan kalau kita ke pusat perubatan swasta, kebanyakan ibu-ibu yang akan bersalin akan dibedah (mungkin sebab kosnya lebih mahal dan lebih keuntungan– bersalin secara normal kosnya sekitar RM1000 – RM1500 biasanya). Namun jika di hospital kerajaan, jururawat atau doktor akan cuba memastikan ibu dapat bersalin secara normal, kecuali kes-kes tertentu, maka pembedahan adalah jalan terakhir.

Walau dimana pun tempat pilihan si ibu untuk bersalin, yang penting adalah keselamatan si ibu dan juga bayi tersebut.Malah, jika kita berkemampuan, tidak salah rasanya untuk kita mengeluarkan duit lebih sedikit untuk bersalin di hospital atau pusat perubatan swasta asalkan perkhidmatannya lebih hebat dan efisien. Namun sebagai seorang Islam, kita perlu menjaga aurat kita ketika bersalin. Seboleh-bolehnya dapatkan doktor atau pegawai perubatan perempuan serta jururawat perempuan ketika bersalin.

Oleh itu, kepada bakal-bakal bapa dan suami, jika ada rezeki lebih, apa salahnya berhabis lebih sikit keluarkan duit untuk isteri bersalin di pusat perubatan swasta. Setelah penat bekerja bertahun-tahun, ianya juga seumpama hadiah buat si isteri. Malah, sekurang-kurangnya ia dapat membantu memulihkan isteri (dari segi moral) dan sebagai tanda sokongan suami buat isteri tercinta kerana sedikit sebanyak terubat juga kesakitan yang ditanggung oleh isteri. Hargailah isteri anda, wahai para bapa/ayah/papa/daddy....

3 comments:

  1. Entri yg baik, insyaallah saya akan pilih swasta supaya dpt pilih doktor perempuan islam dan berwalij secara normal

    ReplyDelete
  2. bagus info tentang perbezaan bersalin di klinik swasta dan kerajjan ni. apa-apa pon tengok kemampuan masing-masing kan..

    ReplyDelete
  3. Wah.. Perkongsian yang sangat menarik. Tq admin.. Perkara Yang Perlu Di Jangka Ketika Masuk Bilik Bersalin. Penting untuk ibu yang mengandung anak sulung, supaya nanti taklah gelabah sangat. :)

    ReplyDelete