Monday, December 12, 2011

Sales and Marketing Hero

Ketika majlis perpisahan di Bukit Gambang Resort, Kuantan

Bakat semulajadi atau Skil yang boleh dipelajari?


Tuan Haji Yunus Abd Wahab seorang mentor dan 'guru' kepada saya sepanjang saya bekerja di bahagian 'sales and marketing' di F&N Coca-Cola Sdn Bhd ketika di Kuantan. Dari seorang yang tidak tahu langsung selok-belok jualan (sales) dan pemasaran (marketing), saya telah dilatih dan diajar cara-cara menguruskan jualan dan pemasaran produk. Bukan senang untuk menjual sesuatu produk walaupun ianya dari sebuah organisasi multinasional (MNC) yang besar dan ternama di dunia. Semuanya memerlukan skil jualan, kesabaran, jati diri, azam yang kuat, persediaan dari segi mental dan fizikal bila berhadapan dengan pelanggan (customer) dan rakan kongsi (partner) serta consumer (pengguna).

Walaupun saya mempunyai ijazah dalam bidang pemasaran, tetapi bukan senang untuk mempraktikkannya. Kerana apa yang dipelajari sebelum ini adalah secara teori sahaja. Oleh itu saya perlu bekerja lebih keras dan berkali ganda untuk mempraktikan apa yang telah dipelajari dalam dunia realiti yang sebenar. Namun berbeza bagi Tuan Haji Yunus kerana beliau tidak belajar di Universiti. Beliau bekerja dari bawah dan mempelajari selok-belok perniagaan berdasarkan pengalaman kerja beliau sahaja. Ada orang memang berbakat dan dianugerahkan Tuhan dengan kebolehan semulajadi menjadi 'salesperson'. Tapi ada orang perlu mempelajari dan menuntut ilmu dalam bidang tersebut, kemudian mempraktikkannya.Saya tergolong dalam kumpulan kedua ini.

Hampir dua tahun saya 'menuntut ilmu' dengan Tuan Haji Yunus. Pengalaman yang beliau perolehi sepanjang tempoh hampir 30 tahun bekerja di syarikat bekenaan amat berguna bagi orang-orang baru seperti saya. Beliau tidak lokek ilmu untuk bekongsi pengalaman dan pengetahuan dengan pekerja di bawah seliaan beliau. Walaupun kadang-kala muka jadi merah padam dan telinga dah jadi tuli dengan leteran dan kena marah dengan beliau, namun beliau tidak menyimpannya di dalam hati.

Sebagai ketua dan majikan, apa yang beliau lakukan adalah untuk kepentingan dan kebaikan pekerja serta syarikat. Ianya bagi membantu menaikkan jualan(sales) syarikat serta market share produk tersebut. Tuan Haji Yunus amat komited dengan kerja beliau. Jarang benar saya lihat beliau mempunyai masa lapang. Sebagai Pengurus Wilayah Kawasan Pantai Timur (Regional Manager - East Coast), beliau sentiasa bekerja keras untuk mencapai sasaran jualan (sales target) bulanan bagi ketiga-tiga negeri (Pahang, Terengganu dan Kelantan). Di bawah pengurusan beliau, wilayah ini berjaya melonjak naik jualan produk serta meningkatkan  market share bagi wilayah Pantai Timur. Amat membanggakan kerana beliau merupakan satu-satunya Pengurus Wilayah (Regional Manager) Melayu di syarikat ternama ini. Dan setiap tahun, beliau dan team beliau pasti akan menaiki pentas menerima pengiktirafan dan anugerah prestij syarikat ketika "Annual Sales Convention" yang diadakan oleh syarikat di luar negara.

Tanda ingatan dan tulus ikhlas bagi menghargai jasa beliau
 Saya masih ingat lagi ketika bekerja di bawah beliau sebagai Eksekutif Pemasaran bagi wilayah Pantai Timur, kami perlu bertolak sekitar jam 3 pagi dari Kuatan ke Kota Bahru, setiap kali ada pelancaran produk baru. Ini bagi memastikan beliau akan tiba di pejabat di Kota Bharu sebelum jam 8.00 pagi. Ketepatan masa amat penting bagi seorang pemimpin dan orang 'sales'. Jika kita lambat, mungkin pelanggan kita akan 'dicuri' oleh pesaing. Dan bila kita tidak tepati masa, pelanggan juga akan lari. Itu antara yang saya pelajari dari beliau.

Oleh kerana komitmen beliau terhadap kerja begitu tinggi, beliau juga bekerja 7 hari seminggu. Ini kerana dari hari Isnin hingga Sabtu, pejabat di Kuantan beroperasi. Manakala di Kota Bharu dan Kuala Terengganu hanya cuti pada hari Jumaat. Dan kadang-kala beliau turut turun padang melihat dan menyertai team pemasaran yang mengadakan event tertentu pada hujung minggu.

Tuan Haji Yunus telah bersara dari syarikat dua tahun lepas. Namun khidmat beliau masih diperlukan oleh syarikat dan beliau dilantik bekerja semula secara kontrak untuk menerajui pasaran dan jualan negara Timur Tengah (Middle East). Walaupun saya telah meninggalkan syarikat ini kira-kira 5 tahun lepas, namun baru-baru ini saya turut bersama-sama sales team dan kakitangan syarikat tersebut untuk majlis perpisahan Tuan Haji Yunus di Bukit Gambang Resort, Kuantan. Secara peribadi, beliau merupakan idola, rakan, ayah, dan guru saya yang telah banyak membantu saya dalam karier yang mencabar ini. Mungkin rezeki saya serta usaha beliau juga, saya berjaya menjawat jawatan Pengurus Pemasaran Wilayah Selatan (Regional Marketing Services Manager -South  Region) ketika berusia 26 tahun. Tidak salah saya katakan, saya adalah pengurus perempuan Melayu yang termuda menjawat jawatan tersebut di syarikat minuman gergasi bekenaan. Beliau juga merupakan contoh anak Melayu yang berjaya kerana kedudukan beliau disanjung dan dihormati oleh semua pekerja, malah dapat duduk dan berdiri sama tinggi dengan bangsa asing yang telah berjaya di syarikat ternama dan terkemuka di dunia.

No comments:

Post a Comment