Program: Khidmat Masyarakat “ Kenali UiTM”
Tarikh Program: 30 April – 1 Mei 2012
Tempat: UiTM Kampus Segamat
PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT DEKATKAN UKHWAH DENGAN MASYARAKAT SETEMPAT
Baru-baru ini bertempat di UiTM Johor Kampus Segamat telah berlangsung dua hari program khidmat masyarakat oleh mahasiswa-mahasiswi UiTM Johor kampus Segamat bersama dengan pelajar-pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat.
Program ini dikendalikan sepenuhnya oleh 49 orang mahasiswa dan mahasiswi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perbankan Islam sebagai sebahagian tugasan penilaian semester untuk subjek Pembangunan Personal dan Etika.
Menurut Ketua Projek, Ag. Juhari Bin Abdul Rahman, program seumpama ini dapat menjalinkan ukhwah dalam diri setiap pelajar serta menerapkan nilai-nilai tanggungjawab sosial yang perlu ada dalam diri mereka. Semangat kerjasama dalam melaksanakan kerja secara berpasukan turut diterapkan.
Antara intipati penting program dua hari ini adalah memberi maklumat dan pendedahan kepada pelajar-pelajar tingkatan lima ini mengenai tatacara dan etika temuduga yang bakal mereka hadapi selepas tamat pelajaran tingkatan lima nanti. Selain menghadiri seminar temuduga kerja dan biasiswa ini, mereka turut diuji oleh panel temuduga yang dilantik dari kalangan pensyarah UiTM ketika sesi “mock interview”.
Bagi pelajar-pelajar SMKA, mereka amat teruja namun gemuruh ketika menjalani sesi temuduga kerja olok-olok (mock interview) tersebut kerana ia seumpama keadaan sebenar proses temuduga dengan majikan.
Malah, kesemua mereka amat gembira dan berbangga kerana terpilih untuk menghadiri program dua hari ini kerana pengalaman sebegini tidak dapat diperolehi di sekolah mahupun dari pembacaan buku sahaja.
“ Seronok dapat bermalam di asrama kolej di dalam kampus UiTM kerana kami dapat merasai suasana dan kehidupan sebagai mahasiswa walaupun kami bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa bulan lagi, malah ini dapat membakar semangat kami untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM” ujar Nur Izyan Nabihah Said dari SMKA Segamat.
Dalam majlis penutupan program yang turut dihadiri oleh Rektor UiTM Kampus Segamat, Prof. Madya Dr. Hj. Omar bin Samat semalam, beliau bangga dan memuji usaha murni pelajar-pelajar UiTM ini untuk mendekati masyarakat setempat dalam kesibukan mereka menghadiri kuliah kerana program seperti ini merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan UiTM sebagai pilihan terbaik untuk pelajar-pelajar tingkatan lima yang akan melanjutkan pelajaran kelak.
Malah, menurut beliau lagi, keintelektualan yang diterapkan oleh universiti adalah bermanfaat untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang sentiasa kritis dan kreatif untuk mengembangkan daya pemikirannya supaya mampu menghurai, mencerakin, merumus dan berupaya memanfaatkan ilmunya tidak sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain dan alam sekitar.
Antara pensyarah yang terlibat sebagai fasilitator dan panel temuduga |
Adik-adik dari SMKA Segamat |
'Hands on Interview' - panel Cik Mazida dan Cik Adila |
Soalan yang agak sukar dari panel Mr Muruga dan Cik Mazilah |
Rumusan di akhir sesi temuduga oleh panel - Pn Hjh Rohani dan Pn Roha |
Bergambar kenangan bersama Cikgu Fara, Kaunselor SMKA Pn Rosidah, Ustaz Jamil (Pemangku Pengetua SMKA), Ustaz Ashaari dan Koordinator Kursus dari UiTM Sgmt - Pn Noreen Noor |
Pelajar puteri SMKA |
Pelajar putera SMKA |
Saudara dan Saudari Pengerusi Majlis - Irwan dan Suhaida |
Rektor UiTM Segamat memberi sepatah dua kata serta kata-kata semangat untuk pelajar2 SMKA |
Antara tetamu dan peserta yang hadir di Dewan Karyawan UiTM Johor |
Cenderamata kenangan dari SMKA kepada Tuan Rektor UiTM Johor |
Ucapan dari Ketua Projek, saudara Juhari |
No comments:
Post a Comment