Thursday, May 7, 2009

XPDC Mencandat Sotong - Part II

Hujan Ribut di tengah laut...
2 Mei 2009



Selepas makan malam kira-kira pukul 10.45 malam, tekong mengalihkan bot ke tempat baru. Setelah dua tiga kali berpusing-pusing mengikut radar GPS mengenalpasti lubuk ikan, sauh pun diturunkan. Terdapat dua tiga buah bot lain yang turut berada di situ.

Sebaik sauh dilabuhkan, masing-masing tak sabar mencandat sotong dan memancing ikan. Amat menguji kesabaran masing-masing bila hasil tangkapan malam tu amat berkurangan. Pelik jugak... dua tiga hari lepas mengikut kata Pok Noh (tekong) dan Pok Leh, banyak hasil tangkapan sotong kat situ.

12.40 tengah malam. Hari makin gelap. Mata semakin mengantuk. Badan pun semakin penat. Kekadang terasa mual sebab bot beroleng-oleng. Angin semakin meniup kencang. Gerimis mulai turun. Pok Leh mengarahkan kami, 3 orang kaum Hawa masuk ke kabin kecil belakang tempat tekong. Kaum adam mula mencari tempat berteduh kerana hujan semakin lebat. Malangnya tempat berbumbung dalam bot tu untuk berteduh tak de la luas atau besar sangat.

Kira-kira setengah jam, hujan turun dengan lebatnya. Angin amat kencang. Beg dan alatan memancing semua dah basah dan berterabur atas bot. Suami saya dan tiga orang kawan yang duduk di dek (deck) depan bot sempat berpaut erat pada tong ais. Ombak begitu dahsyat sekali. Mungkin setinggi 3 atau 4 meter. Ombak bergulung-gulung dan amat menggerikan seolah-olah hendak menelan bot.

Masing-masing dah basah kuyup. Basah dek kerana air hujan yang lebat dan juga air laut yang menyimbah atas bot. Kami kaum hawa yang duduk dalam kabin bot pun basah sebab air laut menyimbah dek atas kabin dan masuk celah2 papan. Hanya Allah je yang tahu perasaan kami ketika itu.

Mula timbul perasaan kesal sebab pergi mencandat sotong dan mengajak kawan-kawan ikut serta. Takut juga kalau-kalau itu la kali terakhir kami menghirup udara segar dan melihat dunia ini. Macam-macam yang berlegar dalam kotak fikiran dan dalam hati kami. Masing-masing mendiamkan diri, berpegang erat pada galang kayu, dan pegang apa sahaja yang sempat dicapai bagi mengelakkan diri dari terjatuh. Masing-masing membaca ayat-ayat suci Al-Quran dalam hati dan membaca apa saja zikir yang terlintas di fikiran.

Bayangkan dua buah tong dram air yang besar pun boleh terbalik di depan dek. Pinggan mangkuk, sudu, periuk mula berterabur dan terbalik. Amat dahsyat sekali untuk digambarkan pengalaman dipukul ribut di tengah laut.

Suami saya sempat melaungkan azan ketika itu. Beliau yang duduk di depan dek menyaksikan gelombang dan ombak-ombak besar yang datang. Ibarat mati hidup semula, ia jugak sedikit sebanyak mendatangkan keinsafan kepada kami. Kalau sebelum ini kita selalu minta hujan , kita suka sangat bila hari hujan sebab best nak tidur... tapi bayangkan nelayan-nelayan di laut ketika itu.. betapa sukarnya mereka nak cari pendapatan dan bertarung nyawa di tengah laut.

Tapi saya kagum dengan tekong, Pok Noh dan awak-awak. Mereka bukan saja tenang menghadapi keadaan ketika itu, malah awak-awak tu boleh berjalan-jalan mengutip beg, alatan memancing dan barang-barang yang dah berterabur dan terbalik di dek depan. Mungkin mereka dah biasa dengan keadaan sebegitu. Tapi itu lah pengalaman pertama dipukul ribut di tengah laut bersama group mencandat yang dibawa.

Kira-kira setengah jam kemudian, hujan semakin reda. Tekong mula menghidupkan enjin bot. Tapi keadaan masih belum selamat lagi sebab laut masih bergelora. Dengan pengalaman dan kepakaran tekong, beliau membelah ombak dengan penuh berhati-hati. Ada antara geng mencandat ini yang mula mabuk laut dan muntah sebab keadaan bot yang terumbang-ambing dan tidak stabil.

Tekong mengambil keputusan untuk berteduh dan berlabuh berdekatan dengan pulau yang berhampiran. Walaupun masih hujan renyai-renyai dan keadaan laut yang bergelora, beliau nekad meneruskan perjalanan ke Pulau Lang Tengah. Terasa perjalanan amat jauh sekali walaupun sebenarnya ia hanya memakan masa lebih kurang sejam.

Ketika sampai di taman marin Pulau Lang tengah, terdapat 4 buah bot lain yang turut sama sampai di situ untuk berteduh dan berehat sementara menanti hari siang. Setelah sampai, ahli kumpulan xpdc ini mula menukar baju yang telah basah kuyup dengan air hujan dan air masin. Tak kurang jugak,ada yang mula mencari tempat untuk tidur dan berehat.


Jam 4 pagi, ada yang masih bertahan dan mula memegang joran. Dah namanya taman marin, tentu lah banyak ikan kat situ. Tak sampai 2 minit pegang joran, umpan dah mengena. Suami saya orang yang pertama mengena umpannya. Abis keliling satu bot dia berjalan nak menaikkan ikan yang kena.. ada yang meneka ikan pari, kerapu..dan macam-macam lagi... macam besar je ikan nie..


Tapi setelah 5 minit, ikan pun dinaikkan... spesis macam ikan kerisi... dan tak de la besar sangat... Kekawan lain dapat juga menaikkan ikan kat situ...Attar dapat menaikkan ikan yu.... Nabil dapat ikan kerapu... dan ada yang dapat ikan buntal jugak... Tapi sesekali rasa berat je joran tu...bila dinaikkan...alamak, terumbu karang rupanya..



Jam 7.45 pagi. Tekong dan awak-awak yang keletihan tadi mula bangun. Sauh dinaikkan dan kami mula meneruskan perjalanan ke tengah laut semula untuk memancing. Dalam perjalanan yang memakan masa sejam, kami sempat menjamah sandwich yang dibuat. Nasib baik la ada bekalan makanan lagi yang dapat diselamatkan dalam hujan ribut tu. Buah tembikai yang dibawa pun ntah ke mana-mana perginya sebab dah jadi macam bola bowling kat atas dek bot tu.





Tepat pukul 11 pagi, kami mula menaikkan joran dan mengemas alatan memancing. Cuaca amat baik dan cerah. Kami juga sempat melihat tekong dan awak-awak menaikkan bubu. Walaupun tak banyak, tapi hasilnya ada la jugak dalam 30 kilo. Ada ikan kerapu, ikan bayam, ikan pari dan pelbagai jenis ikan lagi. Pok Noh sedekahkan ikan-ikan ini kepada kami.





Sampai di jeti Penarik pukul 12.30 tengahari. Lega rasanya bila sampai di jeti dan memijak daratan. Syukur kepada Allah s.w.t kerana masih memberi ruang kepada kami untuk menghirup udara ini dan berjumpa dengan ahli keluarga yang tersayang. Mungkin kami adalah insan-insan terpilih yang telah ditentukan oleh Illahi untuk menempuh dugaan di tengah laut, namun kami tak kesal kerana apa yang berlaku adalah ketentuanNya dan pasti ada hikmahnya. Semoga apa yang berlaku memberi pengajaran dan keinsafan kepada kami semua.


Pok Noh - tekong bot yang berpengalaman, sentiasa tenang mengemudi bot.




Tiga kaum hawa - Ana, Niza dan Zillah yang turut memberanikan diri mencuba aktiviti mencandat sotong ini.


Bergambar kenangan bersama team pacat, Pok Noh (tekong) dan Pok Leh (sahabat lama di F&N Coca-Cola).


Singgah di kedai keropok lekor Adib, kepunyaan Pok Leh.

No comments:

Post a Comment