Tuesday, June 23, 2009

Ceramah

Syarahan Intelektual :
"Islam Agamaku"
oleh Aliya Yeoh bt Abdullah
20 Jun 2009


Saya berkesempatan menghadiri satu syarahan intelektual yang dianjurkan oleh UiTM Johor pada hari Sabtu lepas. Alhamdullillah, tak disangka-sangka begitu ramai hadirin dan tetamu yang hadir untuk mengikuti syarahan selama 2 jam ini. Hampir penuh semua kerusi di dewan syarahan tersebut. Kebanyakan tetamu datangnya dari sekitar daerah Segamat. Dan seperti biasa, golongan wanita yang paling ramai menghadiri majlis ini.

Tepat jam 9.30 pagi, penceramah yang dimaksudkan tiba bersama Pengarah Kampus UiTM Johor, Prof. Dr. Hj. Kamil. Saya sendiri tertarik dengan personaliti Puan Aliya Yeoh. Beliau seorang yang kecil molek, berwatakan lembut dan sopan. Beliau mempunyai blog sendiri iaitu "Musings of a Mualaf".

Rata-rata hadirin yang mendengar ceramah ini tersentuh dengan pengorbanan dan cabaran yang dilalui oleh Puan Aliya Yeoh. Tapi kecekalan dan ketabahan hati serta iltizam yang kuat telah membuatkan beliau akhirnya bergelar seorang Muslim. Ada yang sebak dan menitiskan air mata bila mendengar kisah beliau. Saya turut merasakan kesedihan itu. Tapi saya bersyukur kerana dilahirkan ke dunia ini sebagai seorang Muslim tapi perlu menempuh cabaran berliku seperti yang dilalui oleh Puan Aliya dan saudara-saudara baru yang lain.

Kisah bagaimana beliau berjuang selama 10 tahun untuk memeluk Islam ketika beliau masih bergelar seorang isteri kepada seorang lelaki berketurunan Cina, serta bagaimana penolakan keluarga beliau dan pelbagai perasaan yang menghantui beliau ketika mengharungi perjuangan dalam menukar agama, amat menyentuh perasaan.

Semoga apa yang beliau lakukan sentiasa mendapat hidayat dan keberkatan Allah S.W.T. Sesungguhnya, kita yang masih hidup di dunia ini perlu menghargai dan bersyukur dengan apa yang kita ada, mencari apa yang masih belum kita perolehi dan memperbaiki apa yang belum disempurnakan di samping mengharap keredhaan Allah S.W.T.

Nota Marketing Hero:

  • Walaupun tidak mempunyai produk untuk dijaja dan dijual, idea serta cerita-cerita kita juga boleh dijadikan produk untuk dikongsi dan dinikmati bersama

Monday, June 22, 2009

Abah

Buat Tn Hj Sahari Bin Din
Selamat Hari Bapa
21 Jun 2009


Walaupun sambutan hari bapa kali ini diadakan seminggu lebih awal pada minggu lepas, ianya merupakan peluang dan saat-saat manis dapat berkumpul bersama adik-beradik dan mak abah. Maklum la, masing-masing dah ada famili sendiri dan kini menetap di Putrajaya, Shah Alam dan Johor. Nak dapat jumpa semuanya sebulan sekali pun belum tentu. Biasanya kalau ada ahli keluarga yang menyambut hari lahir, baru kami rancang untuk balik bersama-sama pada hari yang telah ditentukan.

Bersama menantu, Cikgu Hazali
Menariknya kali ini adik bongsu, Ijai yang belanja kami dinner di Restoran SOHO Seafood, Kajang. Syukur alhamdulillah, dapat jugak la merasa duit gaji adik bongsu. Dan pada hari tu, kami sempat bermalam di rumah baru adik, Ijai dan adik ipar, Fazilah di Putrajaya Presint 11.

Nak kata setiap tahun sambut Hari Bapa atau Hari Ibu, tak jugak. Kami berempat beradik tak pernah nak sambut secara meriah pun. Tapi ingatan dengan memberi kiriman ringkas sms atau menelefon mereka adalah memadai. Cuma sesekali bila balik kampung, kami akan pergi makan-makan bersama seluruh ahli keluarga. Atau paling tidak pun, dalam setahun tu, kami akan pergi makan angin di dalam atau luar negeri bersama-sama.

Ciri-ciri Istimewa

Tapi sebagai anak, saya rasa cukup bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan oleh Allah s.w.t seorang ibu dan bapa yang penyayang, bertanggungjawab dan tegas. Saya lebih rapat dengan mak. Manakala adik2 lelaki lebih rapat dengan abah. Biasanya mak akan jadi pengantara saya dengan abah kerana abah saya merupakan seorang yang sangat tegas. Nak kata garang, hmm... kekadang tu mungkin jugak (masa kami kecil-kecil dulu pernah kena rotan). Dan mungkin kerana abah dulu seorang guru disiplin di sekolah, jJadi kekadang terbawa-bawa ke rumah pulak.

Tapi abah sebenarnya seorang yang penyayang dan ambil berat akan masalah anak-anak, adik-beradiknya dan juga pelajar-pelajarnya. Saya masih ingat lagi, setiap tahun apabila tiba bulan Ramadan, beliau akan menjemput ramai pelajar-pelajarnya datang berbuka puasa di rumah (terutamanya mereka yang tinggal di asrama). Kalau buat open-house, dah tentu beliau akan menjemput semua student dan guru di sekolah beliau. Kami empat beradik pasti kepenatan kerana kena masak dan berkejar ke sana-sini melayan tetamu.

Seorang yang aktif dan adventure

Abah juga amat aktif dalam aktiviti outdoor ini. Kalau tak salah saya, beliau pernah mendaki 5 kali Gunung Tahan. Pernah mendaki Gunung Kinabalu selepas beliau bersara dari profesion perguruan. Dan beliau sudah berpuluh kali berakit Sungai Pahang. Itu lah antara minat abah yang diwarisi oleh kami empat beradik. Dari kecil, kami dah diajar untuk berkhemah dalam hutan, mendaki Gunung Ledang, melancong dan mengembara ke negara orang. Mungkin itu lah menyebabkan kami suka mengembara dan berjalan ke tempat-tempat orang di dalam atau luar negara sehingga ke hari ini. Pantang ada kelapangan masa atau cuti panjang.

Kesedihan dalam kegembiraan

Mungkin dalam banyak-banyak perkara dalam hidup ini, saat yang paling sedih adalah ketika hendak melepaskan anak perempuan beliau. Saya pernah bertanya abah suatu ketika dulu, apakah saat yang paling sedih bagi seorang lelaki. Beliau pernah memberitahu saya, saat itu adalah ketika ibu atau mak pergi meninggalkan dunia ini dan juga ketika anak perempuan hendak kahwin.

Mungkin itulah apa yang dirasai oleh abah ketika adik perempuan saya, Nita melangsungkan perkahwinan (perkahwinan pertama dalam keluarga kami) pada tahun 2004. Dan juga ketika saya melangsungkan perkahwinan pada bulan Disember 2009. Beliau turut menikahkan kami sendiri ketika majlis akad nikah.

Debaran ketika ijabkabul oleh abah

Tapi dalam kesedihan itu, saya tahu abah pasti bersyukur dan gembira menerima menantu baru dan telah terlaksana sudah tanggungjawab beliau sebagai seorang ayah. Selama 33 tahun saya dididik, dijaga, dibesarkan dan diberi segala ilmu dan kasih sayang oleh seorang yang bergelar ayah, kini tanggungjawab itu terletak di bahu seorang suami.

Jangan jadi layang-layang

Saya masih ingat lagi ketika saya belajar di Adelaide, Australia pernah suatu hari saya menerima surat dari Abah. Itu lah surat pertama dan terakhir yang saya terima dari Abah. Abah mengirim sepucuk surat dalam bahasa Inggeris untuk saya. Bahasa Inggeris Abah jauh lebih bagus daripada bahasa Inggeris saya, mungkin kerana beliau mendapat pendidikan di sekolah Inggeris dulu. Tetapi beliau merupakan guru Bahasa Melayu, Sastera dan Sejarah mengajar tingkatan lima.

Ada satu baris ayat yang saya ingat sehingga ke hari ini. " Jangan jadi layang-layang yang cantik yang terbang tinggi di langit kerana ia pasti jatuh ke tanah jua". Ia mengingatkan saya supaya tidak mudah hanyut semasa menimba ilmu di negara orang.

Setelah beberapa tahun, pernah suatu ketika, abah juga menghantar kiriman SMS yang mengingatkan saya seperti perumpamaan layang-layang tadi. Mungkin Abah hendak mengingatkan saya supaya menjadi orang yang tidak lupa diri ketika saya berada di puncak kejayaan dalam kerjaya saya sebagai pengurus di sebuah syarikat multi nasional.

Itulah kata-kata abah yang saya pegang hingga ke hari ini.



Sewaktu pergi berbulan madu di Pataya-Bangkok yang ditaja sepenuhnya oleh abah


Syukur
Saya rasa sayalah orang yang paling bertuah atas dunia ini kerana mempunyai ayah yang terbaik bagi saya. Segala tunjuk ajar beliau membuatkan saya semakin matang dalam menempuh pancaroba kehidupan ini. Sehingga kini, saya tak tahu apa yang boleh membuatkan seorang ayah bangga dengan anak-anaknya?? Adakah ayah akan bangga jika anaknya jadi jutawan? Atau anaknya berjaya mendapat pangkat tertinggi dalam sesuatu organisasi? Atau anaknya berjaya mendapat ijazah sehingga ke peringkat PhD dan bergelar Professor? Atau anaknya seorang ahli ulama atau pendakwah terbilang? Mungkin bila saya ada anak nanti, saya akan tahu jawapannya kelak.
Apapun, kami adik-beradik cuba mencapai apa yang terbaik dalam kerjaya dan pelajaran serta kehidupan kami. Apa yang penting adalah restu dari mak dan abah. Sesungguhnya kami berdoa agar mak dan abah sentiasa dilindungi oleh Allah S.W.T, dikurniakan kesihatan yang baik berpanjangan, dipermudahkan segala urusan serta dijauhi dari sifat hasad dengki manusia, fitnah dajal atau fitnah manusia. Amin.
Kini setelah anak-anak semakin besar dan dewasa, beliau pula yang paling akrab dengan cucu. Sehingga kini abah mempunyai 3 orang cucu. Kesemua cucu abah rapat dan manja dengan abah. Sesekali fikir, kalau la abah rapat dan tak garang masa dulu dengan kami, alangkah seronoknya hidup kami masa kecil-kecil dulu. Tapi mungkin kalau abah tak tegas masa kami kecil dulu, kami mungkin tidak akan berada di tahap kami berada sekarang. Terima kasih abah dan mak....

Musim Durian


Musim Durian Tiba Lagi....
19 Jun 2009



Raja segala buah muncul lagi... Durian yang terkenal dengan gelaran raja segala buah telah mula dijual di sekitar bandar Segamat, Pagoh, Ledang dan Muar. Durian Segamat adalah antara durian yang paling popular dan enak yang sukar dilupakan. Di tepi-tepi jalan turut terdapat banyak gerai menjual buah durian. Sejak 3 minggu yang lalu, pekebun-pekebun, peraih dan pemborong durian adalah orang yang paling sibuk. Setiap pagi dan petang, pekebun-pekebun ini akan mula mengutip buah durian seawal pukul 6 pagi. Sekitar pukul 7 atau 8 pagi, mereka akan menaiki motosikal, kereta, van atau lori untuk dihantar kepada peraih atau pemborong durian.




Setibanya di gerai atau kedai peraih dan pemborong ini, buah-buah durian tadi akan diasingkan mengikut jenis , saiz dan gred durian. Seterusnya durian ini akan dikumpulkan dan diletak ke dalam bakul plastik atau rotan yang besar serta ditutup dengan suratkhabar. Dan akhirnya durian ini akan dihantar ke Johor Bahru, Kuala Lumpur, Singapura atau pusat (centre) FAMA untuk dieksport. Buah durian ini harus segera dihantar dan dijual untuk mengelakkan buah cepat busuk atau rosak.



Pemborong durian memulakan aktiviti menjual beli durian seawal 6 pagi hingga 10 malam

Begitu la proses penghantaran (supply chain management) dan rutin harian pekebun dan pemborong durian, setiap kali tiba musim durian. Dan bagi penduduk tempatan, mereka akan menunggu sehingga harga durian betul-betul jatuh. Contohnya bagi jenis durian kampung, dari RM2.00 sekilo kepada RM0.50 sekilo.


Mana yang ada kawan-kawan yang mempunyai dusun durian, ini la masanya untuk mengaku "saudara" dan mula menyendeng. Saya pun sempat membeli empat atau lima kali durian dari pekebun-pekebun durian di Pagoh dan Durian Condong. Itu pun ketika famili dari Bentong datang ke sini. Sempat la jugak tanak pulut dan masak serawa durian.


Bubur Kacang Hijau yang dicampur dengan durian

Hari Jumaat minggu lepas, ada la seorang kawan yang mempunyai dusun durian di Sri Ledang memberi durian. Dapat la juga sebakul buah durian yang disedekahkannya. Alhamdulillah... saya pun berkesempatan masak bubur kacang hijau yang dicampur dengan durian. Hmm... enak tak terkata bila dicampur dengan durian. Dapat la saya pula bersedekah untuk kawan-kawan dan jiran-jiran terdekat.


Tapi bila tiba waktu malam nak tidur, mula la terasa kepanasannya. Dah la jarang hujan dan cuaca amat panas. Masa ni la virus demam dan batuk akan mula berkeliaran mencari mangsa. Nak makan durian boleh, tapi kena banyak minum air jugak ya...


Nota Marketing Hero: Petikan dari Bernama

FAMA To Export Frozen Durians With Longer Shelf Life

KUALA LUMPUR, July 15,2008 (Bernama) -- The Federal Agriculture Marketing Authority (FAMA) will soon export durians in fresh frozen form to Singapore, Hong Kong and Australia by using technology which can help retain their flavour and colour for up to two to three years, its Director-General, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz, said Tuesday.FAMA and the Malaysian Agricultural Research Institute (Mardi) had developed technology which can help lengthen the shelf life of durians.Speaking at a durian party organised by FAMA and the Ministry of Agriculture and Agro-based Industry at Parliament House here, Mohamed Shariff said FAMA expected the farm price of local fruits to be good this year amidst forecasts of a lower harvest because of poor weather."FAMA has set up 137 buying centres in 12 major cities to help market the seasonal fruits," he added.

Nota: Bangganya saya sebab durian Malaysia dah mula menembusi pasaran antarabangsa. Dulu tahun 1995 ketika saya belajar di Australia, hanya ada durian dari Thailand sahaja.

Tuesday, June 16, 2009

Muar

Menikmati Mi Bandung di Bandar Maharani
12 Jun 2009
Daerah Muar terletak di barat laut negeri Johor. Daerah Muar terdiri daripada bandar Muar itu sendiri dan juga daerah kecil Tangkak. Muar bersempadan dengan negeri Melaka (Sg. Ramabi) di utara, daerah Segamat di timur dan daerah Batu Pahat di selatan.
Muar adalah bandar di Raja di selatan Johor. Ia pernah menjadi sebuah Kerajaan merdeka dan berdaulat yang diperintah oleh Sultan Ali dalam masa yang singkat (1855 – 1877), apabila penguasaan negeri Johor (kecuali Muar) telah diserahkan kepada Dato' Temenggong Daeng Ibrahim di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali. Sultan Ali adalah pewaris sebenar kesultanan Johor tetapi kelemahan beliau telah menyebabkan pemerintahan Johor dikuasai oleh Temenggong. Setelah beliau mangkat pada 1877, Muar akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah Johor.
Muar turut dikenali sebagai Bandar Maharani, nama yang diberikan oleh Maharaja Abu Bakar pada 1884. Muar selama bertahun-tahun adalah bandar yang kedua terbesar di Johor tetapi kedudukan tersebut telah diambil alih oleh Batu Pahat. Namun demikian, Muar masih merupakan bandar kedua terpenting dari segi pentadbiran selepas ibu negeri Johor Bahru.
Pemandangan Masjid Sultan Ismail (Masjid Jamek Kedua) dari Masjid Sultan Ibrahim
Mercu tanda terbaru bandar ini ialah Masjid Sultan Ismail (masjid Jamek Kedua ), terletak di tebing utara Sungai Muar. Ia adalah masjid terbesar di Muar dan reka bentuknya adalah replika kepada masjid Sultan Ibrahim ( masjid Jamek Pertama ) yang terletak di Jalan Petri di tebing selatan. Disiapkan pada 2002, ia menyajikan pemandangan indah bila dilihat daripada bandar Muar, yang seolah-olah ia terapung di atas sungai.
Muar turut dikenali kerana makanannya. Makanan tempatan yang paling dikenali ialah otak-otak ikan dan mee bandung Muar. Muar juga terkenal sebagai salah satu tempat di mana sate dihidangkan sebagai sarapan pagi. Kopi 434 merupakan kopi istimewa yang sering menjadi buah tangan saudara-mara dari luar Muar yang mengunjungi keluarga di Muar. Kopi ini tidak perlu ditapis kerana habuk kopi akan tenggelam dengan sendirinya selepas 5 minit.
Sedang menikmati mee bandung Kg Kenangan yang telah dibungkus di rumah saudara di Taman Harmoni, Muar
Mee Bandung boleh di dapati di:
1) Parit Bunga - sebuah kampung yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Bandar Maharani.
2) Kg.Kenangan Tun Syed Nasir Tg. Agas - di tepi parit jalan masuk pasar malam taman itu/ berdepan Sek Men Sains Muar.
3) Arked Mara di Jalan Maharani.
4) Mee Bandung Pak Abu di Jln Abdullah a.k.a Restoran Wah San

Comotnya si comel makan mee....



Sebelum pulang, kami sempat bergambar dengan tuan rumah iaitu guru subjek kimia dan Add Maths yang mengajar di Sek. Men Sains Muar.

Nota Marketing-Hero:

  • Pengunjung juga boleh membeli pek segera Mi Bandung Muar untuk dibawa pulang. Kini, lebih banyak produk IKS boleh didapati di pasar-pasar dan pasaraya. Ada juga yang memasarkan pek segera mi bandung ini secara online. Syabas !!

Monday, June 15, 2009

Menyingkap Sejarah Lama

CATATAN SEJARAH BUKIT KEPONG, MUAR
11 Jun 2009

Ketika keluarga saya dari Bentong datang mengunjungi saya di Jementah baru-baru ini, kami sempat melawat tapak bersejarah di Bukit Kepong, Muar. Lokasi tempat bersejarah ini adalah kira-kira 50 km dari Muar dan 23 km dari pekan Jementah. Apa yang membuatkan kami teruja untuk melihat tapak sejarah ini adalah kerana baru-baru ini RTM2 telah menyiarkan filem Bukit Kepong. Rasa takut dan sedih pada mulanya untuk menonton filem yang penuh tragik ini. Tapi saya kuatkan semangat untuk menonton filem ini yang diarahkan oleh Senator Jins Samsudin pada tahun 1981.

Peristiwa Bukit Kepong di Muar, Johor merupakan satu peristiwa menyayat hati yang berlaku ketika negara dilanda Darurat selepas Perang Dunia Kedua. Dalam serangan pada awal subuh, 23 Februari 1950 itu, segerombolan komunis telah menyerang balai dan berek polis Bukit Kepong yang mengorbankan 25 nyawa yang terdiri daripada 19 orang anggota polis, dua orang isteri anggota polis dan dua orang anak anggota serta dua orang awam.

Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya (PKM) semasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar. Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis.


Ia berakhir dengan tragik dalam serangan yang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat.


Keseluruhannya, pengganas seramai 180 orang berjaya menawan dan menguasai rumah pasung yang dipertahankan oleh 18 anggota polis itu.

Ruang pameran yang menempatkan kisah-kisah sejarah Bkt Kepong


Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.
Penulis bersama adik ketika melawati Balai Polis Bkt Kepong

Kebanyakan penduduk pekan adalah peniaga kecil. Ada juga penduduk yang terlibat dalam aktiviti pertanian. Antaranya ialah kelapa sawit, getah, serta dusun buah-buahan terutamanya durian. Segelintir pula terlibat dalam aktiviti menangkap ikan air tawar serta udang galah yang boleh didapati dengan mudah. Pada tahun 2006, balai polis Bukit Kepong ini juga pernah ditenggelami oleh banjir besar yang telah menyebabkan kerosakan teruk galeri pameran.

Pekan-pekan berhampiran dengan Bukit Kepong adalah Lenga, Pagoh, Gombang di selatan. Sementara Labis, Segamat, Chaah di sebelah utara. Ada juga penduduk yang terlibat dalam aktiviti menternak ayam.


Namun, kira-kira 5 km dari pekan Bukit Kepong ini, terdapat sebuah kampung iaitu Durian Condong. Tidak jauh dari kampung Durian Condong ini terdapat sebuah lagi kampung kecil iaitu Pengkalan Kota. Bagi peminat atau kaki pancing, mereka pasti mengunjungi Pengkalan Kota yang terletak di tebing Sungai Muar untuk memancing udang galah, ikan baung, patin, dan sebagainya.
Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah terdapatnya sebuah makam lama di situ. Makam ini dipercayai adalah Makam Temenggung Salleh, pemerintah daerah Muar. Ada sumber yang mengatakan kawasan ini dikenali sebagai Pengkalan Kota kerana ia pernah menjadi ibukota bagi daerah Muar yang memiliki pemerintahan tersendiri, pemerintahan oleh Raja-raja Temenggung Muar yang berasal daripada keturunan Sayid Ja'afar, kekanda kepada Bendahara Tun Habab.

Sebuah makam lama di Pengkalan Kota

Ada yang menceritakan bahawa kedatangan Temenggung Saleh ke Pengkalan Kota ini ada kena-mengena dengan Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman. Katanya lagi, setiap kali buaya-buaya di Sungai Muar lalu di Pengkalan Kota, mereka akan timbul di liku sungai yang terdekat seolah-olah memberi tabik hormat sebelum menyelam kembali setelah melepasi liku tersebut. Tapi alhamdulillah, belum pernah ada lagi kes buaya menyerang pemancing-pemancing. Cuma ada penduduk tempatan pernah melihat kelibat buaya di sungai yang banyak dengan udang galah ini.


Nota Marketing-Hero:

  • Al-Fatihah buat pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah terkorban dalam Peristiwa Bukit Kepong. Semoga roh mereka di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
  • Penulis rasa seronok bila sesekali dapat pergi memancing udang galah bersama ahli keluarga.
  • Penulis juga rasa teruja bila sesekali dapat menjejak kisah-kisah aneh dan peristiwa sejarah yang sentiasa terpahat di ingatan.
  • Mungkin Kementerian Penerangan dan Penyelidik Sejarah perlu mengambil langkah proaktif untuk mengimbau kembali kisah sejarah Bukit Kepong ini dan menaiktaraf tempat sejarah ini supaya dapat menarik pengunjung dari luar dan menyuntik semangat nasionalisme di dalam diri mereka.
  • Cadangan: Ketua Kampung dan JKK Pengkalan Kota juga perlu menyediakan kemudahan surau, tandas awam dan chalet atau homestay bagi kaki pancing dan pengunjung dari luar kawasan.


Wednesday, June 10, 2009

Cuti-Cuti Malaysia

Keropok Lekor , Keropok Losong and ICT
1st June 2009





We left the homestay which is a banglo owned by Shah and Waney around 11 a.m. Luckily we found this bungalow in the middle of the night after searching for about one hour. The bungalow has 4 bedrooms completed with kitchen facilities and equipment, ASTRO, water heater and air-cond. And , it is situated next to Seberang Takir Airport. Just a few minutes walk from the bungalow, there is a stall sells Ikan Celup Tepung (ICT). Hmm.. it was my first time heard another meaning of ICT. All this while, I only know that ICT is stand for Information and Communication Technology.. what a famous abbreviation for local people.


On the way back from TTI (Taman Tamadun Islam), we decided to stop by at Losong to buy some keropok lekor (fish cracker and fish sausage). Seems like keropok lekor has been placed a rank higher than all other local products like batik, songket, turtles eggs and so on. Why?
As you can see from the signboard/roadsign ( picture above), keropok lekor has been placed as important product by the State Government. Visitors can easily find the keropok lekor factory or stall at Losong (one of the most popular place to purchase keropok lekor in Kuala Terengganu) by following the roadsign.


There are so many keropok lekor stalls that are located here at Losong. You can easily find it on your left and right of the roadside. And frankly speaking, the stalls are situated next to each other like 50 meter away. And they are selling all the same type of products which are keropok lekor and fish cracker (keropok keping).
But I was told that the most famous keropok lekor stall among local people here are Keropok Losong Adik-Beradik and Keropok Losong Adnan. Unfortunately, the queue here is not for those who do not have patience. You can see it very clearly below where there is normally a long queue almost all day long in front of the stall where the keropok lekor are made.
Here are some pictures from one of the most popular keropok lekor stalls or shall I say factory, in Losong, Kuala Terengganu.The mixture is being hand-rolled into a sausage form. Ingredients of the mixture: Fish (Ikan Parang or Ikan Kembong), Sago Flour, Salt, Water, Ice Cubes, Pandan Leaves. There are some basic machines at the back of the house to do the mixing processing.

The sausages are thrown into boiling water for a few minutes until they are cooked and ready to be sold. This stall is so popular that the sausages are sold freshly right from the pot with people waiting patiently in a long queue.




At home, the huge and long sausages are cut into smaller pieces and thrown into the pan to be deep-fried until they turn crispy gold. Another option to take Keropok Lekor is to just steam it. This gives it a fishier flavor but tastes as good as the crispy ones according to some people.

Keropok Lekor is ready to be served with their chili sauce, or with own home-made chili sauce if one prefers or shrimp-based sauce is also common. You get the best of it if you take it right after frying when it is still hot, crispy on the outside and tender at the inside.

Marketing-Hero Note:
The State Government has spent so much money and made the effort to put up the roadsign or signboard in order to commercialize and publicize their local product. Same thing should goes to other local product like Batik, Songket, Traditional Boat, Traditional Knife/Parang, Silver Product and so on.



Tuesday, June 9, 2009

Cuti-Cuti Malaysia


Taman Tamadun Islam (TTI)
Kemegahan Rakyat Terengganu
1 Jun 2009


Gambar pintu hadapan ke monumen Islam - sesak dengan pengunjung di musim cuti sekolah

Jikalau dulu Terengganu hanya terkenal dengan Masjid Terapung, Pasar Payang dan keropok losongnya, kini negeri Terengganu boleh bermegah dengan mercu tandanya yang baru, iaitu Taman Tamadun Islam.
Taman Tamadun Islam yang dibina di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam. Taman seluas 23 hektar ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.


Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India). Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.




Kisah pengembaraan Rasulullah S.A.W dalam peristiwa Israk Mikraj juga turut diabadikan dan menjadi tarikan pengunjung untuk melihat batu tergantung/terapung.

Baby Adreanna juga tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan di "Masjid Al-Aqsa - Palestin".


Jika penat, pengunjung boleh menaiki tram yang disediakan (RM3.00 seorang) atau menyewa basikal (RM3.00 sejam) dan buggy (RM35.00 untuk 3 penumpang).

Selain itu, ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu. Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.


Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh layari: http://www.tti.com.my/

Nota Marketing Hero:

Pihak pengurusan TTI seharusnya menyediakan lebih banyak kemudahan bilik mandi di tandas yang disediakan berdekatan Masjid Kristal kerana terlalu ramai pengunjung yang beratur panjang untuk mandi di situ. Kekadang mereka ni lebih lama mandi daripada solat di Masjid Kristal ini.

Thursday, June 4, 2009

Bunga

Kenapa perlu bagi bunga?
31hb Mei 2009


Bunga memberi makna yang tersendiri kepada penerima dan pemberi. Ada orang memberi, mengirim dan menghantar bunga kepada seseorang untuk menyatakan sesuatu. Ada juga yang membeli dan membeli bunga untuk meraikan hari jadi insan yang tersayang, meraikan hari Ibu, hari Guru, ulangtahun perkahwinan, perpisahan, serta meraikan kejayaan seseorang.
Dan ada juga yang membeli dan memberi bunga sebagai tanda terima kasih, cenderamata, tanda ingatan akan tarikh-tarikh tertentu dan ucapan semoga cepat sembuh (Get Well). Tak kurang juga, ada yang membeli dan memberi bunga sebagai tanda tahniah ketika kedai baru dibuka, masuk rumah baru atau pun melahirkan rasa sedih seperti kehilangan dan kematian seseorang. Apa-apa pun, pemberian bunga itu mempunyai makna yang tersurat dan tersirat kepada seseorang. Ada yang mengatakan "When tongue has no power to reach someone’s heart, flower could represent you to say anything….. ".
Bunga pun ada pelbagai jenis... beratus-ratus jenis flora yang ada atas dunia ni.. tak terkira dan tersebut semuanya. Tapi yang paling digemari dan disukai ramai adalah bunga mawar atau ros. Selain itu bunga carnation, anggerik, tulip, kekwa, lily turut menjadi pilihan. Bagi rakyat Malaysia, ia cukup sinonim dengan bunga raya, iaitu bunga kebangsaan kita.
Namun, bagi masyarakat Melayu dan Jawa, ada istilah mandi bunga... Dan kalau orang kahwin, ada pulak istilah bunga manggar, bunga pahar dan bunga telur. Pendek kata, macam-macam yang berkaitan dengan bunga dan pelbagai kegunaan bunga.
Tapi yang menariknya, setiap kali majlis atau pesta konvokesyen, gerai bunga la yang paling menarik dan menjadi tumpuan orang ramai. Selain daripada tu, gerai fotografi dan menjual cenderamata turut mendapat perhatian. Ramai la adik-beradik, saudara-mara dan kawan-kawan serta insan-insan tersayang yang sibuk mencari bunga ketika majlis konvo.
Baru-baru ini saya berkesempatan menghadiri majlis konvo adik bongsu saya di sebuah maktab perguruan di Kubang Kerian. Beliau baru saja menamatkan KPLI (Kursus Perguruan Lepasan Ijazah).
Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman ketika membuat tempahan bunga ketika majlis konvo tersebut. Apa yang sedih dan kecewanya, ramai yang membuat tempahan bunga dari awal pagi sebelum masuk ke dewan, tapi bunga yang ditempah belum siap sehingga graduan-graduan keluar dari dewan. Petugas-petugas (terdiri dari guru-guru pelatih maktab) yang berperanan membuat bunga masih bertungkus-lumus menyiapkan tempahan-tempahan bunga walaupun semua graduan dah keluar dewan.
Antara mereka yang sibuk bertugas membungkus bunga.



Segelintir pembeli dan pelanggan yang resah menunggu bunga yang telah ditempah ketika graduan mula keluar dari dewan.


Rasa marah, geram, sakit ati, dan tertekan mula bersarang dalam hati mereka yang masih setia menunggu jambangan bunga yang telah ditempah. Kekadang rasa kesian juga kepada petugas-petugas ini. Hendak salahkan mereka seratus peratus, pun tak boleh jugak. Mungkin juga salah pihak pengurusan yang gagal membuat perancangan awal. Ramai jugak pengunjung yang sudah membuat tempahan dari awal pagi, tapi membatalkan tempahan tersebut sebab kesemua graduan sudah keluar dari dewan.
Pelik jugak la sebab biasanya bila ada majlis konvo, bunga-bunga ni sudah siap digubah sehari sebelum majlis konvo atau pada malam sebelumnya. Malah, kalau pihak pengurusan takut bunga tak laku dan tak abis dijual pun, ianya masih boleh diatasi dan dikawal. Sebab ada dua sesi, pagi dan petang untuk majlis konvo tersebut.
Saya tak pasti apa punca kegagalan mereka. Mungkin masalah kegagalan perancangan, kelewatan membeli bunga, ketidakcekapan mereka yang membungkus bunga? Kalau bunga dah dibungkus awal-awal lagi, tak perlu la pelanggan membuang masa mengisi borang untuk tempahan bunga, dan tak perlu beratur panjang. Malah pelanggan boleh membuat pilihan bunga serendah dari RM7 - RM50 sejambak dan memilih beraneka jenis bunga. Kalau dah banyak yang membuat tempahan, dan banyak jugak yang cancel atau batal tempahan bunga di saat-saat akhir, ini juga menjatuhkan imej penjual bunga atau pihak pengurusan atau persatuan.
Apa pun, saya tetap bersabar dan menunggu giliran saya untuk mendapatkan dua jambangan bunga yang telah ditempah. Itu pun setelah saya minta bunga-bunga tersebut dari petugas-petugas untuk saya gubah bunga tu sendiri. Nak cancel, duit dah dibayar. Nak beli di kedai bunga di luar, akan mengambil masa pulak. Saya pun tak berapa mahir dan tahu sangat jalan2 di Kota Bharu. Nak datang ke Maktab ini pun nasib baik ada navigator/ GPS adik. Nak harapkan signboard jalan, pun tak banyak dan kekadang confuse dan mengelirukan.


Bagi mereka di luar sana yang mungkin akan terlibat dengan jualan bunga di masa-masa akan datang, harap anda peka membuat perancangan awal dan dapat melaksanakannya dengan lebih efektif dan efisien. Gagal merancang akan membuatkan rancangan anda gagal. Malah, ianya pasti meninggalkan kenangan pahit kepada pelanggan-pelanggan anda jika anda sebagai penjual tidak dapat memenuhi impian mereka. Paling teruk, ia merupakan hari dan detik bersejarah bagi graduan-graduan untuk dikongsi bersama ahli keluarga....


Apa pun, syabas dan tahniah dari saya dan suami untuk adinda Ijai yang telah berjaya menamatkan kursus perguruan ini (walaupun pada awalnya, ini bukan lah profesion dan kerjaya yang beliau idamkan setelah memperolehi segulung ijizah dalam Kejuruteraan Mekanikal UPM beberapa tahun lepas).

Pesan seorang kakak kepada adik, walaupun tidak berjaya mendapat anugerah pelajar cemerlang di saat-saat akhir pada majlis konvo tersebut (hmm.. ada pulak yang guna networking dan cable besar) , terima lah seadanya ketentuan dan takdir Illahi. Anugerah tak penting di dunia ini tapi keikhlasan berkongsi ilmu dan mendidik anak bangsa hingga berjaya lebih mulia dari segala-galanya... Insya Allah, Allah akan membalas dan memberi keberkatan rezeki dalam apa yang kita usahakan dengan izinNya. Kerana sesungguhnya ada tiga perkara utama sebagai bekalan kita di akhirat nanti iaitu doa dari anak yang soleh dan solehah, segala sedekah dan amal jariah kita di dunia serta ilmu yang berguna yang disampai-sampaikan...


Syabas! Semoga menjadi pendidik yang cemerlang, terbilang dan disegani.

Nota Marketing-Hero:

  • Customer satisfaction, a business term, is a measure of how products and services supplied by a company meet or surpass customer expectation.
  • Customer satisfaction is an ambiguous and abstract concept and the actual manifestation of the state of satisfaction will vary from person to person and product/service to product/service.
  • The level of satisfaction can also vary depending on other options the customer may have and other products against which the customer can compare the organization's products.(Source: Wikipedia)