CATATAN SEJARAH BUKIT KEPONG, MUAR
11 Jun 2009
Ketika keluarga saya dari Bentong datang mengunjungi saya di Jementah baru-baru ini, kami sempat melawat tapak bersejarah di Bukit Kepong, Muar. Lokasi tempat bersejarah ini adalah kira-kira 50 km dari Muar dan 23 km dari pekan Jementah. Apa yang membuatkan kami teruja untuk melihat tapak sejarah ini adalah kerana baru-baru ini RTM2 telah menyiarkan filem Bukit Kepong. Rasa takut dan sedih pada mulanya untuk menonton filem yang penuh tragik ini. Tapi saya kuatkan semangat untuk menonton filem ini yang diarahkan oleh Senator Jins Samsudin pada tahun 1981.
Peristiwa Bukit Kepong di Muar, Johor merupakan satu peristiwa menyayat hati yang berlaku ketika negara dilanda Darurat selepas Perang Dunia Kedua. Dalam serangan pada awal subuh, 23 Februari 1950 itu, segerombolan komunis telah menyerang balai dan berek polis Bukit Kepong yang mengorbankan 25 nyawa yang terdiri daripada 19 orang anggota polis, dua orang isteri anggota polis dan dua orang anak anggota serta dua orang awam.
Kejadian Bukit Kepong adalah pertempuran bersenjata yang bersejarah yang berlaku antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya (PKM) semasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak ditebing sungai Muar. Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis.
Ia berakhir dengan tragik dalam serangan yang membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh dari serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis. Apabila mereka memulakan pengepongan, pihak penyerang percaya bahawa mereka akan dapat mengalahkan polis dan mengawal stesen polis tersebut dalam tempoh yang singkat.
Keseluruhannya, pengganas seramai 180 orang berjaya menawan dan menguasai rumah pasung yang dipertahankan oleh 18 anggota polis itu.
Ruang pameran yang menempatkan kisah-kisah sejarah Bkt Kepong
Balai Polis Bukit Kepong terletak diselekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Tiga belas isteri dan anak-anak anggota tinggal di berek kelamin di sebelah belakang Balai. Sistem perhubungan yang sukar adalah sebab utama penempatan pasukan polis marin di situ malah, pengangkutan utama ke Bukit Kepong adalah dengan menaiki bot menyusuri Sungai Muar.
Penulis bersama adik ketika melawati Balai Polis Bkt Kepong
Kebanyakan penduduk pekan adalah peniaga kecil. Ada juga penduduk yang terlibat dalam aktiviti pertanian. Antaranya ialah kelapa sawit, getah, serta dusun buah-buahan terutamanya durian. Segelintir pula terlibat dalam aktiviti menangkap ikan air tawar serta udang galah yang boleh didapati dengan mudah. Pada tahun 2006, balai polis Bukit Kepong ini juga pernah ditenggelami oleh banjir besar yang telah menyebabkan kerosakan teruk galeri pameran.
Kebanyakan penduduk pekan adalah peniaga kecil. Ada juga penduduk yang terlibat dalam aktiviti pertanian. Antaranya ialah kelapa sawit, getah, serta dusun buah-buahan terutamanya durian. Segelintir pula terlibat dalam aktiviti menangkap ikan air tawar serta udang galah yang boleh didapati dengan mudah. Pada tahun 2006, balai polis Bukit Kepong ini juga pernah ditenggelami oleh banjir besar yang telah menyebabkan kerosakan teruk galeri pameran.
Pekan-pekan berhampiran dengan Bukit Kepong adalah Lenga, Pagoh, Gombang di selatan. Sementara Labis, Segamat, Chaah di sebelah utara. Ada juga penduduk yang terlibat dalam aktiviti menternak ayam.
Namun, kira-kira 5 km dari pekan Bukit Kepong ini, terdapat sebuah kampung iaitu Durian Condong. Tidak jauh dari kampung Durian Condong ini terdapat sebuah lagi kampung kecil iaitu Pengkalan Kota. Bagi peminat atau kaki pancing, mereka pasti mengunjungi Pengkalan Kota yang terletak di tebing Sungai Muar untuk memancing udang galah, ikan baung, patin, dan sebagainya.
Tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah terdapatnya sebuah makam lama di situ. Makam ini dipercayai adalah Makam Temenggung Salleh, pemerintah daerah Muar. Ada sumber yang mengatakan kawasan ini dikenali sebagai Pengkalan Kota kerana ia pernah menjadi ibukota bagi daerah Muar yang memiliki pemerintahan tersendiri, pemerintahan oleh Raja-raja Temenggung Muar yang berasal daripada keturunan Sayid Ja'afar, kekanda kepada Bendahara Tun Habab.
Sebuah makam lama di Pengkalan Kota
Ada yang menceritakan bahawa kedatangan Temenggung Saleh ke Pengkalan Kota ini ada kena-mengena dengan Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman. Katanya lagi, setiap kali buaya-buaya di Sungai Muar lalu di Pengkalan Kota, mereka akan timbul di liku sungai yang terdekat seolah-olah memberi tabik hormat sebelum menyelam kembali setelah melepasi liku tersebut. Tapi alhamdulillah, belum pernah ada lagi kes buaya menyerang pemancing-pemancing. Cuma ada penduduk tempatan pernah melihat kelibat buaya di sungai yang banyak dengan udang galah ini.Nota Marketing-Hero:
- Al-Fatihah buat pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah terkorban dalam Peristiwa Bukit Kepong. Semoga roh mereka di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
- Penulis rasa seronok bila sesekali dapat pergi memancing udang galah bersama ahli keluarga.
- Penulis juga rasa teruja bila sesekali dapat menjejak kisah-kisah aneh dan peristiwa sejarah yang sentiasa terpahat di ingatan.
- Mungkin Kementerian Penerangan dan Penyelidik Sejarah perlu mengambil langkah proaktif untuk mengimbau kembali kisah sejarah Bukit Kepong ini dan menaiktaraf tempat sejarah ini supaya dapat menarik pengunjung dari luar dan menyuntik semangat nasionalisme di dalam diri mereka.
- Cadangan: Ketua Kampung dan JKK Pengkalan Kota juga perlu menyediakan kemudahan surau, tandas awam dan chalet atau homestay bagi kaki pancing dan pengunjung dari luar kawasan.
No comments:
Post a Comment