Walaupun sambutan hari bapa kali ini diadakan seminggu lebih awal pada minggu lepas, ianya merupakan peluang dan saat-saat manis dapat berkumpul bersama adik-beradik dan mak abah. Maklum la, masing-masing dah ada famili sendiri dan kini menetap di Putrajaya, Shah Alam dan Johor. Nak dapat jumpa semuanya sebulan sekali pun belum tentu. Biasanya kalau ada ahli keluarga yang menyambut hari lahir, baru kami rancang untuk balik bersama-sama pada hari yang telah ditentukan.
Ciri-ciri Istimewa
Tapi sebagai anak, saya rasa cukup bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan oleh Allah s.w.t seorang ibu dan bapa yang penyayang, bertanggungjawab dan tegas. Saya lebih rapat dengan mak. Manakala adik2 lelaki lebih rapat dengan abah. Biasanya mak akan jadi pengantara saya dengan abah kerana abah saya merupakan seorang yang sangat tegas. Nak kata garang, hmm... kekadang tu mungkin jugak (masa kami kecil-kecil dulu pernah kena rotan). Dan mungkin kerana abah dulu seorang guru disiplin di sekolah, jJadi kekadang terbawa-bawa ke rumah pulak.
Abah juga amat aktif dalam aktiviti outdoor ini. Kalau tak salah saya, beliau pernah mendaki 5 kali Gunung Tahan. Pernah mendaki Gunung Kinabalu selepas beliau bersara dari profesion perguruan. Dan beliau sudah berpuluh kali berakit Sungai Pahang. Itu lah antara minat abah yang diwarisi oleh kami empat beradik. Dari kecil, kami dah diajar untuk berkhemah dalam hutan, mendaki Gunung Ledang, melancong dan mengembara ke negara orang. Mungkin itu lah menyebabkan kami suka mengembara dan berjalan ke tempat-tempat orang di dalam atau luar negara sehingga ke hari ini. Pantang ada kelapangan masa atau cuti panjang.
Mungkin dalam banyak-banyak perkara dalam hidup ini, saat yang paling sedih adalah ketika hendak melepaskan anak perempuan beliau. Saya pernah bertanya abah suatu ketika dulu, apakah saat yang paling sedih bagi seorang lelaki. Beliau pernah memberitahu saya, saat itu adalah ketika ibu atau mak pergi meninggalkan dunia ini dan juga ketika anak perempuan hendak kahwin.
Mungkin itulah apa yang dirasai oleh abah ketika adik perempuan saya, Nita melangsungkan perkahwinan (perkahwinan pertama dalam keluarga kami) pada tahun 2004. Dan juga ketika saya melangsungkan perkahwinan pada bulan Disember 2009. Beliau turut menikahkan kami sendiri ketika majlis akad nikah.
Debaran ketika ijabkabul oleh abah
Tapi dalam kesedihan itu, saya tahu abah pasti bersyukur dan gembira menerima menantu baru dan telah terlaksana sudah tanggungjawab beliau sebagai seorang ayah. Selama 33 tahun saya dididik, dijaga, dibesarkan dan diberi segala ilmu dan kasih sayang oleh seorang yang bergelar ayah, kini tanggungjawab itu terletak di bahu seorang suami.
Jangan jadi layang-layang
Saya masih ingat lagi ketika saya belajar di Adelaide, Australia pernah suatu hari saya menerima surat dari Abah. Itu lah surat pertama dan terakhir yang saya terima dari Abah. Abah mengirim sepucuk surat dalam bahasa Inggeris untuk saya. Bahasa Inggeris Abah jauh lebih bagus daripada bahasa Inggeris saya, mungkin kerana beliau mendapat pendidikan di sekolah Inggeris dulu. Tetapi beliau merupakan guru Bahasa Melayu, Sastera dan Sejarah mengajar tingkatan lima.
Ada satu baris ayat yang saya ingat sehingga ke hari ini. " Jangan jadi layang-layang yang cantik yang terbang tinggi di langit kerana ia pasti jatuh ke tanah jua". Ia mengingatkan saya supaya tidak mudah hanyut semasa menimba ilmu di negara orang.
Setelah beberapa tahun, pernah suatu ketika, abah juga menghantar kiriman SMS yang mengingatkan saya seperti perumpamaan layang-layang tadi. Mungkin Abah hendak mengingatkan saya supaya menjadi orang yang tidak lupa diri ketika saya berada di puncak kejayaan dalam kerjaya saya sebagai pengurus di sebuah syarikat multi nasional.
Itulah kata-kata abah yang saya pegang hingga ke hari ini.
Sewaktu pergi berbulan madu di Pataya-Bangkok yang ditaja sepenuhnya oleh abah
No comments:
Post a Comment