Tuesday, November 24, 2009

Langkawi



Pengalaman Menaiki Kereta Kebel (Cable Car) di Langkawi






Pengalaman pertama menaiki Kereta Kebel di Gunung Mat Chincang memang tak dapat dilupakan. Saya sangkakan ia seperti menaiki kereta kebel di Genting Highlands. Namun sangkaan saya meleset sama sekali. Kenapa?



Ketika kami sampai di kaki gunung iaitu stesen kereta kebel ini kira-kira jam 3.30 petang, cuaca amat cantik sekali. Tiada tanda-tanda hari akan hujan, mendung atau berangin.





Namun, ketika sampai di ketinggian kira-kira 300meter dari aras laut, mula terasa debaran dan gugup menaiki kereta kebel ini. Angin mula bertiup dan terasa goyang kereta kebel yang dinaiki.

Ketika sampai di stesen puncak yang pertama pada ketinggian 652.5meter dari aras laut, cuaca mula mendung, berkabus dan berangin.


Kalau ikutkan hati, nak je turun semula ke bawah, tanpa perlu menaiki semula kereta kebel ke stesen kedua di puncak Gunung Mat Cincang tu. Tapi, apakan daya.... dengan perut yang membuyot, terpaksa la menahan ketakutan dan seram sejuk menaiki kereta kebel tu.


Di stesen kedua di puncak gunung tu, angin makin kuat dan kabus sudah agak tebal. Turun juga la untuk menikmati pemandangan indah dari puncak gunung tersebut. Tapi dek kerana kabus yang agak tebal maka jarak penglihatan amat dekat. Ia menyukarkan kami untuk melihat jambatan gantung di atas puncak tersebut.


Selepas kira2 10 minit meninjau di puncak gunung, kami pun turun menaiki kereta kebel... Hanya Tuhan saja yang tau perasaan takut dan kecut di dalam hati kerana angin kuat membuatkan kereta kebel tersebut berbuai ke kiri dan kanan. Sesekali pihak pengurusan terpaksa memperlahan dan memberhentikan kereta kebel tersebut.. Ishkkk... sayup nya bila tengok di bawah ...hanya penuh dengan hutan tebal.. Baca je la apa2 ayat yang ingat bagi menenangkan fikiran dan memtenteramkan perasaan.


Syukur...selamat sampai di kaki puncak gunung semula dalam masa 15 minit...itu pun dah terasa macam satu jam perjalanan....


Nasib baik baby dalam perut pun ok je... tak mabuk , tak meragam dan suka berjalan sama...

Monday, November 23, 2009

Tapak Kaki Sang Kelembai

Batu Maung, Penang
Anda pernah melihat tapak kaki Sang Kelembai? Mungkin remaja zaman sekarang tidak pernah mendengar cerita dongeng Sang Kelembai... tak pasti sama ada ianya benar-benar berlaku atau semata-mata kisah dongeng dan rekaan...

Tetapi tapak kaki yang lebih kurang 5 kali ganda daripada tapak kaki manusia biasa dapat dilihat di Batu Maung (rujuk gambar di atas).


Untuk melihat kebenaran dan kesahihan tapak kaki tersebut yang dipercayai kepunyaan Sang Kelembai, saya telah berkunjung ke sebuah tokong Cina yang terletak berdekatan dengan Batu Maung Seafood Restaurant tahun lepas.



Saya masih ingat lagi ketika kecil sekitar umur 12 tahun, ayah pernah membawa kami ke sini untuk melihat tapak kaki tersebut yang berada di atas batu berhampiran pantai. Namun, kini ianya telah di tempatkan di dalam tokong Cina.

Mungkin kisah dongeng ini semakin dilupakan oleh anak-anak bangsa kita yang lebih taksub dengan permainan komputer, menonton televisyen, mengadap internet dan melayari laman web sosial seperti facebook, twitter, my space dan sebagainya.




Friday, November 20, 2009

Pekan Balik Pulau

NOSTALGIA BALIK PULAU
Pasar lama di pekan Balik Pulau yang telah ditinggalkan
Balik Pulau merupakan sebuah bandar yang terletak di barat Pulau Pinang. Balik Pulau terkenal dengan buah durian dan buah pala ditanam oleh peladang Cina dan orang Melayu. Durian di sini juga amat sedap dan berbuah cantik, mungkin kerana tanahnya yang subur di kawasan bukit. Buah durian di sini diikat dengan tali bergayutan rendah di atas pokok.
Buah pala mentah yang masih belum diproses
Balik Pulau terletak di belakang Bukit Bendera dan mengadap Lautan Hindi dan Selat Melaka. Oleh itu ia terdedah kepada obak besar seperti tsunami 2004. Pekan ini agak terpencil dan lambat membangun berbanding dengan bandar Georgetown. Jalan perhubungan hanyalah jalan raya dan bot nelayan. Jalan raya dari Bayan Lepas di selatan dan dari Teluk Bahang di utara. Jalan tengah dari Relau. Jalan raya ini terpaksa mengelilingi kawasan berbukit-bukit.

Aktiviti berniaga segala jenis jeruk di Pasar Awam baru di pekan Balik Pulau

Stesen bas baru yang menggunakan khidmat Rapid Penang (dulu Yellow bus)

Kedatangan saya ke Balik Pulau, P.Pinang ketika bulan Syawal yang lepas amat menyeronokkan. Ini adalah kerana setelah 3 tahun tidak berkunjung ke sini, saya dapati amat banyak perubahan yang telah dilakukan. Jalan ke pekan Balik Pulau yang berbukit-bukau tersebut sedang dinaik-taraf. Malah kemudahan awam seperti pasar dan perhentian bas juga telah diganti baru. Dan banyak pusat-pusat kegiatan serta rekreasi, sekolah serta institusi pengajian tinggi yang lain juga telah didirikan di sini.

Jalanraya yang sedang dinaik taraf di sini.

Kalau saya imbas kembali kenangan di pekan Balik Pulau ini ketika saya meninggalkan zaman persekolahan tahun 1991-92, terlalu banyak nostalgia yang tertulis di sini. Pada ketika itu kewujudan MRSM Balik Pulau merupakan satu-satunya sekolah berasrama penuh yang boleh dibanggakan oleh penduduk tempatan. Kedai makan Melayu atau restoran makanan segera (Fast Food) pun belum ada atau amat berkurangan. Setiap hari kami hanya disajikan dengan makanan di dewan makan asrama.

Pintu masuk utama di hadapan MRSM Balik Pulau

Namun saya tetap berbangga dan gembira kerana MRSM kini semakin berubah wajah. Walaupun tidak berkesempatan untuk meninjau kawasan di dalam MRSM tersebut, sekurang-kurangnya ia mengingatkan saya dengan kenangan sewaktu di zaman persekolahan. Saya banyak menimba ilmu dan pengalaman dengan kawan-kawan dan guru-guru di sini yang mengajar saya untuk berdikari dan berjauhan dari keluarga. Ianya juga merupakan platform bagi saya untuk mengejar impian dan cita-cita.

Namun kedatangan saya ke sini lebih bermakna kerana dapat memperkenalkan suami kepada tempat yang pernah saya diami dan tinggal suatu ketika dahulu. Ianya juga amat bermakna kerana saya berpeluang untuk mengunjungi mak angkat, Pn Khadijah (Makcik Jah), seorang kakitangan di bahagian dobi di MRSM BP ini yang begitu mengambil berat tentang saya sepanjang keberadaan saya di MRSM BP ini.. maklum la, dulu nak balik kampung ketika cuti semester amat susah sekali kerana pada masa itu belum ada lebuhraya Utara Selatan.
Apabila pulang ketika cuti semester atau cuti perayaan, ianya amat memenatkan sebab perjalanan menaiki bas dari Hentian Bas di Butterworth ke Bentong mengambil masa lebih kurang 10-13 jam....

Bergambar kenangan bersama Makcik Jah (berbaju kuning)

Sesungguhnya pengalaman tinggal di asrama penuh selama dua tahun dan berjauhan dengan famili banyak mengajar saya untuk hidup berdikari. Malah, ketika di MRSM ini, banyak perkara yang saya pelajari tentang kehidupan dan ianya mematangkan saya. Berkat doa ibu bapa serta guru-guru yang cemerlang di sini juga telah menjadi faktor kepada keputusan SPM saya yang cemerlang serta membawa saya menjejakkan kaki melanjutkan pelajaran ke bumi Australia.... Terima guru-guru.....

Cendol Sitiawan

Nama asal bagi cendol ialah chorn dooi bermaksud tolong. Kerana pada ketika itu hendak membuat cendol amat sukar dan memerlukan pertolongan beberapa orang lain. Chorn dooi diambil dari bahasa Selatan Thailand (bahasa Melayu Patani), dahulunya Negara Islam Patani. Setelah ditakluki oleh kerajaan Thai maka ramai penduduk negara Patani berpindah ke negeri-negeri di Tanah Melayu dan memperkenalkan sejenis minuman manis (sumber: Wikipedia)


Cendol ialah sejenis minuman sejuk yang boleh dijumpai di negara-negara Asia Tenggara seperti di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.


Ia dibuat dari ramuan kisaran beras (sekarang hanya perlu tepung beras) dan dicampur dgn air jernih dari mendapan kapur sirih kemudian dimasak air beras tadi dan dikacau hingga cairan tapi pekat dan menggelegak. Setelah itu pekatan tadi ditekan ke tin yang ditebuk seperti siraman hujan, maka pekatan tadi terus melalui lubang tersebut dan dibiarkan sejuk didalam bekas air yang disediakan dibawah bekas berlubang tersebut. Bolehlah diwarnakan mengikut warna kesukaan, dahulunya diwarnakan dengan air daun pandan. Ia dihidangan bersama ais, air gula merah dan santan. Tetapi ditokok tambah pula dengan pulut dan susu isian manis.
Setiap kali pulang ke kampung Sg Wangi, di Sitiawan kami sekeluarga tidak akan melepaskan peluang mengunjungi sebuah gerai atau warong cendol di Jalan Lumut, berdekatan dengan sebuah kuil dan pasaraya Fajar.

Perniagaan cendol yang telah dijalankan selama berpuluh-puluh tahun oleh En James, isteri dan anak-anak beliau turut popular dan mendapat tempat di hati pengunjung yang datang dari jauh dan dekat. En James turut dijemput menyajikan cendol yang dijual beliau kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, orang-orang kenamaan serta kerabat diraja yang lain sempena majlis-majlis rasmi dan hari raya.

James bergambar kenangan bersama Sultan Perak

Harga yang dikenakan untuk semangkuk cendol biasa yang dicampur kacang merah adalah RM1.30. Manakala bagi penggemar pulut, mereka boleh memesan cendol pulut yang berharga RM1.50 semangkuk.
Keratan-keratan akbar yang menyiarkan kisah cendol James
Selain itu, yang menariknya tentang cendol James ini adalah pakaian atau uniform yang dipakai oleh kakitangannya. Mereka mengenakan kemeja putih lengan panjang beserta "bow" merah pada kolar kemeja. Tambahan pula, mereka memakainya dengan seluar panjang berwarna hitam. Walaupun perniagaan cendol ini dijalan di gerai atau warong tepi jalan, mereka berfikiran jauh dalam aspek kebersihan, persembahan, pemasaran dan penjenamaan produk mereka. Mereka mempunyai identiti tersendiri yang sukar untuk pesaing mereka tiru. Ini yang menyebabkan pengunjung akan tetap mengingati cendol James selain keenakan cendolnya.


Pastikan jika anda ke Sitiawan, anda mencuba cendol pulut dan cendol kacang merah ini. Jika tidak, pasti kunjungan anda tidak akan lengkap.

Lumut

Menurut sejarah, Lumut yang dahulunya dikenali sebagai "Tanah Merah" telah dibuka oleh seorang anak raja Selangor yang bernama Raja Engku Busu pada abad ke 17. Lumut berada di bawah pentadbiran daerah Manjung yang merupakan nama baru bagi daerah Dinding. Bandar ini terletak kira-kira 84 km ke selatan bandaraya Ipoh, ibu negeri Perak.


Terminal Jeti yang disediakan untuk pengunjung menaiki feri ke Pulau Pangkor

Lumut merupakan bandar tepi laut yang menghadap Selat Dinding dan Selat Melaka di negeri Perak. Lokasi bandar ini bersetentangan dengan Pulau Pangkor dan dikenali ramai sebagai pintu masuk ke pulau tersebut.


Lumut merupakan sebuah lokasi yang strategik dari segi maritim. Di sini terdapat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dipindahkan dari Woodland, Singapura, Pantai Teluk Batik, Pusat membina kapal selam dan juga Pusat membaiki kapal.



Selain itu, para pengunjung juga boleh membeli cenderahati hasil karangan laut, t-shirt serta pelbagai makanan hasil laut yang dikeluarkan oleh pengusaha Pulau Pangkor, Lumut dan Manjung. Terdapat banyak kedai cenderahati dan gerai-gerai yang menjual makanan hasil laut di sini.


Selain berkunjung ke Lumut, saya sekeluarga turut bermalam di Marina Cove Resort, Teluk Batik. Pemandangan yang indah kerana kedudukannya di lereng bukit serta kemudahan taman tema air yang disediakan di sini juga sesuai untuk seisi keluarga bersantai di hujung minggu dan pada musim cuti sekolah.

Marina Cove Resort yang berkonsepkan apartment

Taman Tema Air yang turut disediakan untuk pengunjung





Hari Raya


Suasana Beraya Di Kampung


Agak lama juga saya tidak menulis di blog ini. Antara faktor dan menyebabnya adalah kesuntukan masa dan kelapangan serta masalah kesihatan. Bukan tak ada bahan nak menulis, ada banyak sangat nak share. Bila dah datang mood dan idea nak menulis, nanti panjang berjela dan sampai tak tahu pulak nak berhenti menulis.


Entah la, bila kelas semua dah tamat untuk semester ini, final exam pun dah berlalu, tanda kertas exam pun dah selesai, "morning sickness" pun dah semakin berkurangan, baru la ada kelapangan nak update blog nie.. ramai jugak kekawan dan students yang tertanya2 kenapa la lama sangat tak update blog.
Memandangkan hari raya haji atau Aidil Adha pun akan berlangsung tak lama lagi, kira2 seminggu je dari sekarang, teringat la pulak suasana beraya di kampung. Maklum la, raya kali ni saya tak dapat pulang beraya dengan family sendiri.. kena ikut giliran beraya di kampung suami pulak. Tapi masa raya puasa dulu, memang beraya sakan seminggu di kampung. Dapat la beraya di Dong(Raub) , Sitiawan dan Penang.


So, raya korban kali ni, tak merasa la bakar lemang, menganyam ketupat nasi dan daun palas serta masak rendang daging kerbau. Atau pun mengacau dodol yang menggunakan gula kabung. Menu tersebut amat ekslusif dan istimewa bila beraya di Pahang je.
Menu beraya di Johor ni, lain pulak nampaknya... soto nasi, lontong/lodeh dan ketupat nasi je biasanya. Atau di Johor Bahru, ada yang masak laksa Johor dan Mi Siam kuah. Resipi ini nampaknya mudah-mudah je nak sediakan. Sehingga ke hari ini, tak nampak lagi orang bakar lemang di Johor nie bila tiba waktu raya. Ntah la.. sama ada susah nak dapatkan buluh lemang atau mereka ni malas nak mengerjakan bakar lemang ni.. Memang penat nak menjaga api lemang dan berdiang di tepi api yang panas berjam-jam.. Silap haribulan kalau tertidur sambil membakar lemang tu, boleh hangus dan berkerak la jawabnya.



Mungkin di sebabkan "morning sickness" dan alahan yang teruk di waktu pagi, saya pun tak sempat nak buat kuih raya tahun nie. Barang dan bahan-bahan untuk buat biskut raya dah lama beli, tapi sampai pagi syawal, bahan-bahan tu tak berusik pun.. agak-agaknya masih boleh dipakai lagi untuk dibuat biskut raya minggu depan untuk hari raya Aidil Adha. Kuih dan biskut raya kali ini ada yang dibeli sendiri dan ada juga yang students bagi...



Seperti biasa di pagi raya kami akan bersalam-salaman dengan semua ahli keluarga. Solat hari raya di masjid Dong, ziarah kubur arwah tok dan moyang serta berkunjung ke rumah saudara-mara. Itu antara rutin setiap kali beraya di kampung.
Opss.. seperkara lagi... mungkin kerana ini adalah sambutan hari raya pertama saya sebagai isteri bersama suami, saya terlupa untuk bersalaman dan mohon maaf di pagi raya dengan suami. Dah malam sewaktu nak tidur, baru teringat yang saya belum bersalaman dengan suami.. Nasib baik la raya sebulan.... Maklum la, selama 33 tahun sebelum ini di pagi raya bersalaman dengan mak, abah, adik beradik serta saudara-mara je.

Tapi kali ni, yang istimewa sikit sebab dapat menyambut ulang tahun ke 3 pasangan kembar Wana dan Wani (adik dan kakak)- sepupu saya.

Apa-apa pun, walau kita kena beraya di mana sekali pun, kena la terima dan bertolak ansur dengan pasangan kita. Ini merupakan pengalaman kali pertama saya beraya bersama suami. Mudah-mudahan tahun depan dapat beraya bersama ahli keluarga baru pulak...