Stesen bas baru yang menggunakan khidmat Rapid Penang (dulu Yellow bus)
Kedatangan saya ke Balik Pulau, P.Pinang ketika bulan Syawal yang lepas amat menyeronokkan. Ini adalah kerana setelah 3 tahun tidak berkunjung ke sini, saya dapati amat banyak perubahan yang telah dilakukan. Jalan ke pekan Balik Pulau yang berbukit-bukau tersebut sedang dinaik-taraf. Malah kemudahan awam seperti pasar dan perhentian bas juga telah diganti baru. Dan banyak pusat-pusat kegiatan serta rekreasi, sekolah serta institusi pengajian tinggi yang lain juga telah didirikan di sini.
Jalanraya yang sedang dinaik taraf di sini.
Kalau saya imbas kembali kenangan di pekan Balik Pulau ini ketika saya meninggalkan zaman persekolahan tahun 1991-92, terlalu banyak nostalgia yang tertulis di sini. Pada ketika itu kewujudan MRSM Balik Pulau merupakan satu-satunya sekolah berasrama penuh yang boleh dibanggakan oleh penduduk tempatan. Kedai makan Melayu atau restoran makanan segera (Fast Food) pun belum ada atau amat berkurangan. Setiap hari kami hanya disajikan dengan makanan di dewan makan asrama.
Pintu masuk utama di hadapan MRSM Balik Pulau
Namun saya tetap berbangga dan gembira kerana MRSM kini semakin berubah wajah. Walaupun tidak berkesempatan untuk meninjau kawasan di dalam MRSM tersebut, sekurang-kurangnya ia mengingatkan saya dengan kenangan sewaktu di zaman persekolahan. Saya banyak menimba ilmu dan pengalaman dengan kawan-kawan dan guru-guru di sini yang mengajar saya untuk berdikari dan berjauhan dari keluarga. Ianya juga merupakan platform bagi saya untuk mengejar impian dan cita-cita.
Bergambar kenangan bersama Makcik Jah (berbaju kuning)
Sesungguhnya pengalaman tinggal di asrama penuh selama dua tahun dan berjauhan dengan famili banyak mengajar saya untuk hidup berdikari. Malah, ketika di MRSM ini, banyak perkara yang saya pelajari tentang kehidupan dan ianya mematangkan saya. Berkat doa ibu bapa serta guru-guru yang cemerlang di sini juga telah menjadi faktor kepada keputusan SPM saya yang cemerlang serta membawa saya menjejakkan kaki melanjutkan pelajaran ke bumi Australia.... Terima guru-guru.....
No comments:
Post a Comment