Friday, November 20, 2009

Hari Raya


Suasana Beraya Di Kampung


Agak lama juga saya tidak menulis di blog ini. Antara faktor dan menyebabnya adalah kesuntukan masa dan kelapangan serta masalah kesihatan. Bukan tak ada bahan nak menulis, ada banyak sangat nak share. Bila dah datang mood dan idea nak menulis, nanti panjang berjela dan sampai tak tahu pulak nak berhenti menulis.


Entah la, bila kelas semua dah tamat untuk semester ini, final exam pun dah berlalu, tanda kertas exam pun dah selesai, "morning sickness" pun dah semakin berkurangan, baru la ada kelapangan nak update blog nie.. ramai jugak kekawan dan students yang tertanya2 kenapa la lama sangat tak update blog.
Memandangkan hari raya haji atau Aidil Adha pun akan berlangsung tak lama lagi, kira2 seminggu je dari sekarang, teringat la pulak suasana beraya di kampung. Maklum la, raya kali ni saya tak dapat pulang beraya dengan family sendiri.. kena ikut giliran beraya di kampung suami pulak. Tapi masa raya puasa dulu, memang beraya sakan seminggu di kampung. Dapat la beraya di Dong(Raub) , Sitiawan dan Penang.


So, raya korban kali ni, tak merasa la bakar lemang, menganyam ketupat nasi dan daun palas serta masak rendang daging kerbau. Atau pun mengacau dodol yang menggunakan gula kabung. Menu tersebut amat ekslusif dan istimewa bila beraya di Pahang je.
Menu beraya di Johor ni, lain pulak nampaknya... soto nasi, lontong/lodeh dan ketupat nasi je biasanya. Atau di Johor Bahru, ada yang masak laksa Johor dan Mi Siam kuah. Resipi ini nampaknya mudah-mudah je nak sediakan. Sehingga ke hari ini, tak nampak lagi orang bakar lemang di Johor nie bila tiba waktu raya. Ntah la.. sama ada susah nak dapatkan buluh lemang atau mereka ni malas nak mengerjakan bakar lemang ni.. Memang penat nak menjaga api lemang dan berdiang di tepi api yang panas berjam-jam.. Silap haribulan kalau tertidur sambil membakar lemang tu, boleh hangus dan berkerak la jawabnya.



Mungkin di sebabkan "morning sickness" dan alahan yang teruk di waktu pagi, saya pun tak sempat nak buat kuih raya tahun nie. Barang dan bahan-bahan untuk buat biskut raya dah lama beli, tapi sampai pagi syawal, bahan-bahan tu tak berusik pun.. agak-agaknya masih boleh dipakai lagi untuk dibuat biskut raya minggu depan untuk hari raya Aidil Adha. Kuih dan biskut raya kali ini ada yang dibeli sendiri dan ada juga yang students bagi...



Seperti biasa di pagi raya kami akan bersalam-salaman dengan semua ahli keluarga. Solat hari raya di masjid Dong, ziarah kubur arwah tok dan moyang serta berkunjung ke rumah saudara-mara. Itu antara rutin setiap kali beraya di kampung.
Opss.. seperkara lagi... mungkin kerana ini adalah sambutan hari raya pertama saya sebagai isteri bersama suami, saya terlupa untuk bersalaman dan mohon maaf di pagi raya dengan suami. Dah malam sewaktu nak tidur, baru teringat yang saya belum bersalaman dengan suami.. Nasib baik la raya sebulan.... Maklum la, selama 33 tahun sebelum ini di pagi raya bersalaman dengan mak, abah, adik beradik serta saudara-mara je.

Tapi kali ni, yang istimewa sikit sebab dapat menyambut ulang tahun ke 3 pasangan kembar Wana dan Wani (adik dan kakak)- sepupu saya.

Apa-apa pun, walau kita kena beraya di mana sekali pun, kena la terima dan bertolak ansur dengan pasangan kita. Ini merupakan pengalaman kali pertama saya beraya bersama suami. Mudah-mudahan tahun depan dapat beraya bersama ahli keluarga baru pulak...

No comments:

Post a Comment