Thursday, October 31, 2013

Misi Kemanusiaan UiTM Johor Ke Kemboja

 
MISI KEMANUSIAAN MENGAJAR ERTI KEHIDUPAN
 
 
Sambungan Bahagian Dua (2)

Perjalanan Misi Bermula Malam Hari Raya Aidil Adha Pertama (15 Oktober 2013)

Misi kemanusiaan yang pertama kali dianjurkan oleh Persatuan Marketeers, UiTM Johor bagi peringkat antarabangsa ini bermula dengan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada malam hari raya Aidil Adha pertama. Ada sebahagian pelajar terpaksa berkorban untuk tidak pulang ke kampung sebagai persediaan pelaksanaan misi ini.
 
Seawal jam 10.30 malam, peserta-peserta telah berkumpul di Dataran Sri Bendahari UiTM Johor. Kesemua kotak dimasukkan di bawah perut bas. Manakala beg terpaksa dibawa naik ke dalam/atas bas kerana tiada ruang kosong di bawah.
Penuhkan saf di hadapan
 
 
Teruja dalam perjalanan ke KLIA
 Kami tiba di KLIA jam 3.30 pagi (16 Oktober 2013). Kotak-kotak barangan dibawa keluar dari bas dan diletakkan di atas troli. Sementara menunggu kaunter daftar masuk dibuka jam 5 pagi, kami mencari tempat-tempat yang sesuai untuk berehat dan melelapkan mata.


Mata tengah kelat terpaksa mengangkat barang-barang


Hati berdebar takut terlebih berat bagasi

Kita posing dulu depan pintu masuk balai pelepasan KLIA


Cuba untuk melelapkan mata di kaki lima sebelum kaunter daftar masuk dibuka jam 5 pagi



Selepas selesai solat Subuh di KLIA, kami berkumpul untuk mengambil barang-barang dan beg di belakang Restoran KFC. Semua peserta menolak troli barang ke Kaunter L (check in berkumpulan) yang terletak berdekatan dengan Restoran Mc Donald's dan Secret Recipe. Disebabkan rombongan kami adalah seramai 29 orang, kami perlu membuat daftar masuk di Kaunter L untuk check in berkumpulan. Proses daftar masuk ini mengambil masa hampir sejam.
 
Tolak troli

Menunggu dan menanti di kaunter daftar masuk

Mira, Caca, Ieka dan Tyra...

Menunggu check in bagasi

Kami bernasib baik kerana urusan membawa bagasi dan 60 buah kotak pakaian serta keperluan seberat 850 kilogram berjalan lancar dan teratur semasa daftar masuk menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS), MH754 ke Phnom Penh jam 9.30 pagi.
Agak huru hara di kaunter... perlu standby salotape sebab ada kotak yang dah nak terburai
 
Bersedia untuk berlepas

Peserta paling kecil menyertai misi ini.. Annisa 3 tahun dan Qairina 2 tahun
 

Selamat pergi dan kembali peserta-peserta Misi Kemanusiaan team Marketeers, UiTM Johor
Kami berlepas tepat pada masanya. Jam 9.30 pagi pesawat MH754 meninggalkan tanah tumpahnya darahku, Malaysia. Perjalanan memakan masa 1 jam 50 minit. Kami dihidangkan dengan sarapan pagi nasi lemak dan mee goreng. Belum sempat nak melelapkan mata, kami mendarat di lapangan terbang Phnom Penh. Cuaca agak kurang baik kerana baru lepas hujan. Pendaratan pesawat juga agak kurang lancar dan agak goyang. Syukur alhamdulillah, kami selamat mendarat di bumi Kemboja.
Pasangkan tali pinggang keselamatan


Selamat mendarat  di Kemboja

Sebaik tiba di lapangan terbang di Phnom Penh jam 10.30 pagi, kami disambut oleh Encik Asyari bin Ahmad iaitu Pengerusi Eksekutif Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kemboja (ACCAM). Lapangan terbang antarabangsa ini agak kecil. Urusan imigresen dan kastam berjalan lancar dan teratur.
Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kemboja
 
Cari kotak..cari beg
 
Standby troli di Airport Phnom Penh

 Kami sekali lagi terpaksa memunggah kesemua kotak-kotak dan bagasi yang dibawa. Kami menaiki Pajero (pacuan empat roda) yang disediakan oleh pihak hotel. Sebanyak 7 buah kenderaan diperlukan untuk membawa semua peserta dan barang-barang.

Kenderaan pacuan 4 roda yang membawa kami dan barang-barang
 
Angkat berat lagi...
 
Kami di bawa ke Hotel Asia yang jaraknya kira-kira 100 meter dari Central Market, pasar terkenal untuk membeli belah. Kesemua barang-barang yang kami bawa juga tiba dengan selamatnya.
 
Yang menarik tentang hotel Asia ini ialah di dalamnya terdapat Restoran KFC yang menjual makanan halal. Pengunjung boleh membuat bayaran menggunkan duit USD ataupun Riel.

Restoran KFC

Bangunan kuning itu merupakan Central Market (Pasar) yang mempunyai 4 akses (pintu masuk)

Setelah selesai segala urusan di hotel dan menyimpan barang-barang yang dibawa, kami di bawa ke sebuah restoran Halal, Champa Mekong Restaurant,  yang menyajikan menu masakan orang Kemboja. Ianya seakan stimbot yang menyajikan sup kepala ikan dan tomyam makanan laut yang di makan dengan sayur-sayuran seperti kangkung dan sawi.

Jom makan


Pelik tapi sedap
 
Pengalaman menaiki tuk-tuk di sana amat menarik kami kerana walaupun jalan raya agak sesak, namun kecekapan pemandu tuk-tuk di sana harus dipuji. Bagi perjalanan pergi dan balik dari Hotel Asia ke restoran tersebut tambangnya adalah USD5.00. Tuk-tuk adalah pengangkutan yang amat popular di Kemboja. Kebanyakan urusniaga adalah dalam matawang US Dollar. Namun  pelancong juga boleh berurusan dalam matawang negara Kemboja iaitu Riel. RM0.80 matawang Malaysia bersamaan dengan 1,000 Riel.
 
Panik dan cuak...

Aksi potong memotong

Pengalaman baru

Cari seat belt tak ada... tawakal je naik Tuk Tuk nie..

Peace all....
 
Pada sebelah petang, kami berkesempatan menjejakkan kaki ke Central Market dan pasaraya Sorya berdekatan untuk membeli beras sebanyak 100 kilogram yang diamanahkan oleh penderma untuk disedekahkan kepada penduduk kampong. Semuanya pulang awal untuk berehat dan menantikan hari esok yang penuh cabaran.

Sambungan...

Misi Kemanusiaan UiTM Johor ke Kemboja


Misi Kemanusiaaan mengajar erti Kehidupan
Bahagian Satu (1)

Peta Cambodia/Kemboja

Mengikut sejarah, negeri-negeri Melayu Champa terbina antara abad ke-3 hingga abad ke-15 Masihi dengan kekuatan dan pengaruh yang meluas. Kini, Kemboja atau Cambodia mempunyai bilangan penduduk Melayu-Champa dianggarkan 500,000 daripada jumlah penduduk Kemboja 14 juta. Perjanjian damai di Peranchis pada tahun 1991 membuka era baru bagi Kemboja. Pemerintahan Liberal-Demokrasi mengamalkan sistem  Raja Berpelembagaan di Kemboja.

Menyorot sejarah, antara tahun 1975-1979, Phnom Penh telah jatuh ke tangan komunis Khmer Rouge.  Semua golongan cerdik pandai dan lantang bersuara, para ulama dan mufti menjadi sasaran utama kekejaman rejim Pol Pot selama hampir empat tahun mereka memerintah Kemboja. Daripada 3 juta mangsa korban yang dibunuh oleh komunis Khmer, 90,000 orang adalah umat Islam Kemboja.

Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham. Mereka mempunyai adat resam tersendiri dan telah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Akibat peristiwa hitam tersebut dan selepas hampir 30 tahun bebas dari pemerintahan kuku besi, Islam kian diterima ramai dan mula tersebar ke seluruh daerah di Kemboja. Walau bagaimana pun, majoriti umat Islam di sana hidup melarat, dihimpit kemiskinan, tiada  kemudahan asas seperti air, elektrik, makan dan minum serta tempat tinggal yang serba kekurangan tanpa kemudahan tandas.

Sungai Mekong

Malah, untuk merasai daging lembu atau kambing setahun sekali, Hari Raya Aidil Adha adalah saat yang paling dinantikan. Kebanyakan penduduk kampung ini tinggal di rumah usang, pondok-pondok tempat berteduh, madrasah, surau-surau dan masjid.

Rumah penduduk kampong di Kemboja
Oleh itu, seramai 21 orang pelajar dari UiTM cawangan Johor, kampus Segamat dan 4 orang pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan telah melaksanakan Misi Kemanusiaan dan Kesukarelawan Kemasyarakatan najuran Persatuan Marketeers ke PekampunganMuslim Cham di Kemboja baru-baru ini. Melalui program kemasyarakatan ini, usaha murni pelajar-pelajar UiTM untuk berkongsi rezeki dengan penduduk Islam Kemboja dengan menjamu juadah daging korban/aqiah dapat dilaksanakan.

PERSEDIAAN AWAL

Dua minggu sebelum berangkat untuk melaksanakan misi kemanusiaan ke Kemboja, pelajar-pelajar ini menjalankan aktiviti “campus car wash”, jualan amal dan kutipan derma di sekitar kolej dan kampus bagi mendapatkan dana dan sumbangan untuk penduduk Islam di Kemboja. Hasil dari kutipan tersebut, sebanyak lebih kurang RM7000 dapat dikumpul untuk tabung kemanusiaan. Sebanyak 1200 kilogram pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak serta permainan kanak-kanak, telekung, alatulis, tudung, keperluan mandian, berus gigi dan ubat gigi berjaya dikumpulkan hasil sumbangan warga kerja dan kakitangan UiTM Johor.

Jualan amal

Aktiviti campus car wash

Malah, Persatuan Marketeers turut menerima sumbangan untuk 30 telaga/pam air wakaf yang berharga RM700 setiap sebuah, bilik air dan tandas wakaf, serta sumbangan 7 ekor lembu korban/aqiqah untuk misi kali ini.
 
 
Sebagai persediaan untuk misi kemanusiaan ini, para pelajar juga bergotong royong memilih, mengasing dan membungkus pakaian terpakai yang dihantar oleh para penderma. Setiap kotak dilabel mengikut beberapa kategori iaitu pakaian wanita, pakaian lelaki, tudung, pakaian kanak-kanak dan pakaian bayi. Antara barang lain yang diterima adalah kasut/sandal orang dewasa, kasut kanak-kanak dan bayi, selimut, kain cadar, peralatan solat seperti sejadah, telekung, kopiah dan songkok. 5 buah kotak barang-barang permainan kanak-kanak turut diterima untuk disedekahkan kepada kanak-kanak di Kemboja.
Barang-barang serta pakaian yang diterima dua minggu sebelum ke Kemboja


Antara barangan dan pakaian yang terpaksa ditinggalkan kerana terlebih muatan


Sebahagian telah dibungkus dan dimasukkan ke dalam kotak


Setiap kotak ditimbang dan dilabel. Alamat penerima dan pengirim juga ditampal pada setiap kotak
 
Setelah dimasukkan barang-barang ke dalam kotak dan dilabel, setiap kotak perlu ditimbang bagi memastikan jumlah kotak yang dibawa tidak melebihi berat bagasi yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan. Setiap kotak tidak boleh melebihi 30 kilogram dan ada had lebar atau saiz yang dibenar. Akhirnya, kami dapat menyiapkan 60 buah kotak seberat 600 kilogram pelbagai barangan untuk dibawa ke Kemboja.
 
Bersambung....

Wednesday, October 23, 2013

Misi Kemanusiaan Persatuan Marketeers ke Kemboja


21 pelajar Persatuan Marketeers sertai Misi kemanusiaan dan kemasyarakatan kesukarelawan di Perkampungan Muslim Champa, Kemboja
 
Program Korban 5 ekor lembu di kampong Tavai, Kampong Chhnang

Di balai pelepasan KLIA

Seramai 21 orang pelajar Persatuan Marketeers dan 4 orang pensyarah dari Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, kampus Segamat  melaksanakan misi kemanusiaan dan kemasyarakatan kesukarelawan ke Kemboja baru-baru ini.

Sumbangan duit derma dari rakyat Malaysia dan warga UiTM kepada penduduk di Prey Bes, Kampong Chhnang
 
 
Antara aktiviti yang dilakukan menerusi 4 hari program berkenaan adalah ibadah korban 18 ekor lembu, pembinaan 30 perigi dan pam air wakaf, pembinaan tandas, bantuan alatulis dan barangan mandian, telekung, kopiah, buku agama, sumbangan pakaian seberat 800 kilogram yang dibawa bersama untuk diagihkan kepada penduduk tempatan serta derma berjumlah RM7,000 dari warga UiTM cawangan Johor.
Sumbangan derma untuk penduduk kampong diToul Pongro  Kampong Chhnang
 
 
Menurut ketua projek, Mohd Nairul Naim Abd Rahim, 22,  program seumpama ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat negara serantau dan dalam masa yang sama memberi kesedaran akan kemajuan dan kemakmuran negara yang harus dipertahankan.

Pemberian beras untuk golongan mualaf dan ibu tunggal
 
“Ia memberi satu pengalaman yang sangat berharga dan berbeza tapi penuh pengisian kepada para peserta terutama dari segi konsep ‘bersyukur’, ‘berkongsi rezeki’ dan ‘keikhlasan’,” menurut beliau.


Kanak-kanak di perkampungan Muslim Kemboja yang serba kekurangan
 
Dalam pada itu, pensyarah dan penasihat program, Norshahniza Sahari, 38, berkata,  program sebegini dapat membuka ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ikatan ukhwah antara umat Islam Malaysia dengan saudara seagama di Kemboja di samping memupuk kesedaran tentang tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Menyalurkan bantuan dan sumbangan pakaian kepada penduduk kampong di Kemboja
 
”Program ini dapat menyuntik semangat masyarakat terutamanya generasi muda di negara ini agar mensyukuri nikmat kerana dapat hidup aman dan tidak menghadapi sebarang masalah di tanah air”, ujar beliau lagi.

 

Singgah di Masjid Batu 8

Selain misi kemanusiaan yang mencakupi bantuan makanan, pakaian dan air bersih serta tandas,  para peserta berpeluang melihat sendiri perkara sebenar yang berlaku di Kemboja terutama dari aspek kemanusiaan selepas hampir 30 tahun bebas daripada belenggu pemerintahan kuku besi kekejaman rejim Pol Pot.

 

 
Oleh:

Norshahniza Binti Sahari

Pensyarah Pemasaran merangkap Penasihat Program Misi Kemanusiaan

 

 

Saturday, October 12, 2013

Misi Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Kesukarelawan di Perkampungan Muslim Champa, Kemboja 2013

 
Petikan dari emel saya bertarikh 10 Oktober kepada semua staff UiTM Johor.
Antara barang-barang pakaian dan keperluan yang disedekahkan oleh penderma untuk di hantar ke Kemboja
 
Assalam dan Salam Satu Segamat
Warga UiTM Johor yang dikasihi,
 
Terima kasih kepada semua warga UiTM Johor dan para dermawan yang telah menyumbang sama ada wang ringgit, keringat, tenaga dan barangan serta pakaian bagi Misi Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Kesukarelawan di Perkampungan Muslim Kemboja pada 16-19 Oktober minggu hadapan.

Sambutan dari warga UiTM,pelajar-pelajar, ahli keluarga dan rakan-rakan amat LUAR BIASA dalam tempoh dua minggu (iaitu tempoh yang amat singkat selepas mendapat kelulusan kertas kerja)


Alhamdulillah, kami berjaya mendapat penyertaan sebanyak :
 
- 7 ekor lembu untuk Qurban/Aqiqah (sasaran awal adalah 4 ekor lembu)
- 25 buah wakaf telaga/pam air ( 16 dari Segamat dan 9 buah dari Johor Bahru) ( sasaran awal hanya 5 buah wakaf telaga)
- sebuah wakaf tandas/bilik air
- 47 pasang wakaf telekung
-hampir 1000 kg barangan/ pakaian/ alat tulis/ ubat gigi/ muqaddam/ yassin/ mainan kanak2 (namun, kami cuma boleh bawa 500kg bersama dalam penerbangan nanti .. kami akan usahakan untuk baki pakaian yang lain untuk dihantar ke Kemboja)
 
Saya bagi pihak persatuan Marketeers dan Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kemboja (ACCAM) mengucapkan jutaan TERIMA KASIH kepada semua yang telah menyumbang dan sudi mengorbankan wang ringgit dan harta benda serta memberi sokongan dalam segala aktiviti yang kami jalankan seperti kutipan amal, campus car wash dan jualan amal ( jualan jajan di bilik rehat pensyarah) bagi menambah dana untuk menyempurnakan misi ini.
Dengan ini penyertaan untuk Qurban adalah ditutup.
Seramai 21 orang pelajar persatuan Markeeters dan 4 orang pensyarah PDP akan berangkat pada 16-19 Oktober 2013. Mohon doakan agar perjalanan kami dipermudahkan oleh Allah s,w.t dan segala yang dirancang berjalan lancar dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Semoga Allah memberi nikmat dunia dan akhirat kepada tuan/puan dan para dermawan semua serta dilapangkan masa, kesihatan dan kewangan agar dapat meneruskan amalan mulia ini pada masa akan dating.

Anda Buat... Anda Dapat.. Anda Hebat.. Anda Memang Luar Biasa...
 
 
Norshahniza Sahari
Penasihat Marketeers merangkap Penasihat Progam Misi Kemanusiaan
Pensyarah Pemasaran
UiTM Cawangan Johor