Thursday, October 31, 2013

Misi Kemanusiaan UiTM Johor ke Kemboja


Misi Kemanusiaaan mengajar erti Kehidupan
Bahagian Satu (1)

Peta Cambodia/Kemboja

Mengikut sejarah, negeri-negeri Melayu Champa terbina antara abad ke-3 hingga abad ke-15 Masihi dengan kekuatan dan pengaruh yang meluas. Kini, Kemboja atau Cambodia mempunyai bilangan penduduk Melayu-Champa dianggarkan 500,000 daripada jumlah penduduk Kemboja 14 juta. Perjanjian damai di Peranchis pada tahun 1991 membuka era baru bagi Kemboja. Pemerintahan Liberal-Demokrasi mengamalkan sistem  Raja Berpelembagaan di Kemboja.

Menyorot sejarah, antara tahun 1975-1979, Phnom Penh telah jatuh ke tangan komunis Khmer Rouge.  Semua golongan cerdik pandai dan lantang bersuara, para ulama dan mufti menjadi sasaran utama kekejaman rejim Pol Pot selama hampir empat tahun mereka memerintah Kemboja. Daripada 3 juta mangsa korban yang dibunuh oleh komunis Khmer, 90,000 orang adalah umat Islam Kemboja.

Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham. Mereka mempunyai adat resam tersendiri dan telah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Akibat peristiwa hitam tersebut dan selepas hampir 30 tahun bebas dari pemerintahan kuku besi, Islam kian diterima ramai dan mula tersebar ke seluruh daerah di Kemboja. Walau bagaimana pun, majoriti umat Islam di sana hidup melarat, dihimpit kemiskinan, tiada  kemudahan asas seperti air, elektrik, makan dan minum serta tempat tinggal yang serba kekurangan tanpa kemudahan tandas.

Sungai Mekong

Malah, untuk merasai daging lembu atau kambing setahun sekali, Hari Raya Aidil Adha adalah saat yang paling dinantikan. Kebanyakan penduduk kampung ini tinggal di rumah usang, pondok-pondok tempat berteduh, madrasah, surau-surau dan masjid.

Rumah penduduk kampong di Kemboja
Oleh itu, seramai 21 orang pelajar dari UiTM cawangan Johor, kampus Segamat dan 4 orang pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan telah melaksanakan Misi Kemanusiaan dan Kesukarelawan Kemasyarakatan najuran Persatuan Marketeers ke PekampunganMuslim Cham di Kemboja baru-baru ini. Melalui program kemasyarakatan ini, usaha murni pelajar-pelajar UiTM untuk berkongsi rezeki dengan penduduk Islam Kemboja dengan menjamu juadah daging korban/aqiah dapat dilaksanakan.

PERSEDIAAN AWAL

Dua minggu sebelum berangkat untuk melaksanakan misi kemanusiaan ke Kemboja, pelajar-pelajar ini menjalankan aktiviti “campus car wash”, jualan amal dan kutipan derma di sekitar kolej dan kampus bagi mendapatkan dana dan sumbangan untuk penduduk Islam di Kemboja. Hasil dari kutipan tersebut, sebanyak lebih kurang RM7000 dapat dikumpul untuk tabung kemanusiaan. Sebanyak 1200 kilogram pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak serta permainan kanak-kanak, telekung, alatulis, tudung, keperluan mandian, berus gigi dan ubat gigi berjaya dikumpulkan hasil sumbangan warga kerja dan kakitangan UiTM Johor.

Jualan amal

Aktiviti campus car wash

Malah, Persatuan Marketeers turut menerima sumbangan untuk 30 telaga/pam air wakaf yang berharga RM700 setiap sebuah, bilik air dan tandas wakaf, serta sumbangan 7 ekor lembu korban/aqiqah untuk misi kali ini.
 
 
Sebagai persediaan untuk misi kemanusiaan ini, para pelajar juga bergotong royong memilih, mengasing dan membungkus pakaian terpakai yang dihantar oleh para penderma. Setiap kotak dilabel mengikut beberapa kategori iaitu pakaian wanita, pakaian lelaki, tudung, pakaian kanak-kanak dan pakaian bayi. Antara barang lain yang diterima adalah kasut/sandal orang dewasa, kasut kanak-kanak dan bayi, selimut, kain cadar, peralatan solat seperti sejadah, telekung, kopiah dan songkok. 5 buah kotak barang-barang permainan kanak-kanak turut diterima untuk disedekahkan kepada kanak-kanak di Kemboja.
Barang-barang serta pakaian yang diterima dua minggu sebelum ke Kemboja


Antara barangan dan pakaian yang terpaksa ditinggalkan kerana terlebih muatan


Sebahagian telah dibungkus dan dimasukkan ke dalam kotak


Setiap kotak ditimbang dan dilabel. Alamat penerima dan pengirim juga ditampal pada setiap kotak
 
Setelah dimasukkan barang-barang ke dalam kotak dan dilabel, setiap kotak perlu ditimbang bagi memastikan jumlah kotak yang dibawa tidak melebihi berat bagasi yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan. Setiap kotak tidak boleh melebihi 30 kilogram dan ada had lebar atau saiz yang dibenar. Akhirnya, kami dapat menyiapkan 60 buah kotak seberat 600 kilogram pelbagai barangan untuk dibawa ke Kemboja.
 
Bersambung....

No comments:

Post a Comment