21 pelajar Persatuan Marketeers sertai Misi kemanusiaan dan kemasyarakatan kesukarelawan di Perkampungan Muslim Champa, Kemboja
Program Korban 5 ekor lembu di kampong Tavai, Kampong Chhnang |
Di balai pelepasan KLIA |
Seramai 21 orang pelajar Persatuan Marketeers dan 4 orang pensyarah dari Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, kampus Segamat melaksanakan misi kemanusiaan dan kemasyarakatan kesukarelawan ke Kemboja baru-baru ini.
Sumbangan duit derma dari rakyat Malaysia dan warga UiTM kepada penduduk di Prey Bes, Kampong Chhnang |
Antara aktiviti yang dilakukan menerusi 4 hari program berkenaan adalah ibadah korban 18 ekor lembu, pembinaan 30 perigi dan pam air wakaf, pembinaan tandas, bantuan alatulis dan barangan mandian, telekung, kopiah, buku agama, sumbangan pakaian seberat 800 kilogram yang dibawa bersama untuk diagihkan kepada penduduk tempatan serta derma berjumlah RM7,000 dari warga UiTM cawangan Johor.
Sumbangan derma untuk penduduk kampong diToul Pongro Kampong Chhnang |
Menurut ketua projek, Mohd Nairul Naim Abd Rahim, 22, program seumpama ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat negara serantau dan dalam masa yang sama memberi kesedaran akan kemajuan dan kemakmuran negara yang harus dipertahankan.
Pemberian beras untuk golongan mualaf dan ibu tunggal |
“Ia memberi satu pengalaman yang sangat berharga dan berbeza tapi penuh pengisian kepada para peserta terutama dari segi konsep ‘bersyukur’, ‘berkongsi rezeki’ dan ‘keikhlasan’,” menurut beliau.
Kanak-kanak di perkampungan Muslim Kemboja yang serba kekurangan |
Dalam pada itu, pensyarah dan penasihat program, Norshahniza Sahari, 38, berkata, program sebegini dapat membuka ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ikatan ukhwah antara umat Islam Malaysia dengan saudara seagama di Kemboja di samping memupuk kesedaran tentang tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Menyalurkan bantuan dan sumbangan pakaian kepada penduduk kampong di Kemboja |
”Program ini dapat menyuntik semangat masyarakat terutamanya generasi muda di negara ini agar mensyukuri nikmat kerana dapat hidup aman dan tidak menghadapi sebarang masalah di tanah air”, ujar beliau lagi.
Singgah di Masjid Batu 8 |
Selain misi kemanusiaan yang mencakupi bantuan makanan,
pakaian dan air bersih serta tandas, para
peserta berpeluang melihat sendiri perkara sebenar yang berlaku di Kemboja
terutama dari aspek kemanusiaan selepas hampir 30 tahun bebas daripada belenggu
pemerintahan kuku besi kekejaman rejim Pol Pot.
Norshahniza Binti Sahari
Pensyarah Pemasaran merangkap Penasihat Program Misi
Kemanusiaan
No comments:
Post a Comment