Sunday, January 7, 2018

Kembara dengan anak kecil ke Bumi Kangaru Australia dan Kiwi New Zealand 2017 (Part 2)

Part 2: Persediaan sebelum ke New Zealand


Peta New Zealand 


Sebelum berlepas memang banyak persediaan yang perlu dibuat. Memandangkan ini adalah kembara sendiri, tidak menggunakan perkhidmatan mana-mana travel agency, maka memang banyak perkara yang perlu diuruskan. Info yang dikongsi ini lebih kepada perkongsian untuk ibubapa yang membawa anak-anak kecil dan senior citizen. Antaranya ialah:

1. Membuat Itinerary
    Kami bercadang untuk mengembara ke South Island selama 8 hari 7 malam. Manakala perjalanan dari Kuala Lumpur ke Christchurch pula akan singgah di Sydney, dan tidak melalui Auckland. Beberapa tarikh juga dipilih dan disesuaikan mengikut beberapa perkara penting seperti mencari harga tiket yang masih offer atau murah, tarikh ketika cuti sekolah, serta kekosongan bilik penginapan terutamanya di hot-hot spot seperti pekan-pekan kecil di Lake Tekapo dan Te Anau kerana tempat ini biasanya fully booked ketika summer kerana kekurangan tempat penginapan. Dan tiga kali itinerary juga dipinda setelah tarikh tiket penerbangan MAS yang dibatalkan serta mengikut hajat Abah yang ingin solat Jumaat di masjid di sana. Pada asalnya laluan atau route yang dipilih seperti laluan favorite travelers di South Island ialah dari Barat ke Timur (Christchurch- Lake Tekapo- Queenstown- Dunedin- Christchurch). Tapi kami memilih sebaliknya dan bertentangan iaitu mula mengembara dari timur ke barat kerana hendak kejarkan bermalam di Dunedin untuk solat Jumaat di sana. 

Maka, terjadilah itinerary yang dirancang seperti ini (tapi akhirnya ada dua tiga tempat yang tak sempat pergi - 80% menepati dan banyak tempat2 lain tiada dalam agenda cover juga).

ATURCARA 8 HARI 7 MALAM MUSAFIR 3 MASJID DI SOUTH ISLAND, NEW ZEALAND
28 NOVEMBER (SELASA) – 8 DECEMBER 2017 (JUMAAT)

HARI/TARIKH
ATURCARA
28 Nov (Selasa)
Hari Pertama
KUALA LUMPUR-SYDNEY
·         4.00 petang - Bergerak dari Bentong ke KLIA2
·         Flight D7 222 Air Asia X  berlepas jam 23.20 (11.20PM) dari KLIA2
29 Nov (Rabu)
Hari ke 2
SYDNEY (Transit Sahaja di Airport)
·         Tiba di Sydney jam 10.45 AM
·         Makan sendiri di Airport – mandi dan solat.
·         Flight QANTAS EK5045  ke Christchurch jam 18.45 PM (6.45 PM) dari Sydney Terminal 1 International Kingsford Smith Airport *Check In fight jam 15:45*
·         Tiba di Christchurch International Airport jam 23.55 (11.55PM)
·         Bermalam di Airport Lodge Motel, 105, Roydvale Avenue, 8053 Christchurch.
·         Rehat.

30 Nov (Khamis)
Hari ke 3
CHRISTCHURCH- DUNEDIN (418 KM – 5 jam 16 min)
·         Sarapan pagi di bilik
·         Jam 8.30 am ambil kenderaan di Omega Car Rental Christchurch
·         Jam 9.30 am ke International Antartic Centre Christchurch (Optional) jika ingin merasai pengalaman salji, bagi makan penguin, 3D.
·         Singgah di Pasaraya PakNSave untuk beli barang-barang mentah (atau singgah di Pasaraya di Dunedin).
·         Makan tengahari
·         1.30 petang bergerak ke Dunedin melalui Timaru.
·         Singgah di Moeraki Builder untuk melihat batu-batu bulat semulajadi di tepi pantai.
·         Singgah di Shag Point ATAU Penguin Place di Peninsular Otago (Dunedin) untuk melihat hidupan liar (singa laut, penguin dan burung Albatross).
·         Tiba di Bandar Dunedin sekitar jam 7 malam.
·         Bermalam di Law Courts Hotel, 53, Stuart Street, 9016 Dunedin. (1 room 4A 2Children)
·         Masak untuk makan malam dan rehat.

1 Disember (Jumaat)
Hari ke 4
DUNEDIN-INVERCARGILL (226KM – 2 jam 51 min)
·         7.00 AM Sarapan pagi di apartment. Masak untuk makan tengahari sekali.
·         Melawat sekitar Dunedin, bandar yang didirikan oleh masyarakat Scotland. Melawat Dunedin Railway Station, kilang coklat Cadbury World Dunedin, University of Otago, Botanical Garden.
·         Melawat Baldwin Street (jalan paling curam di dunia untuk kawasan kediaman).
·         Solat Jumaat di Al-Huda Mosque Dunedin
·         Makan tengahari
·         Jam 2.30 petang memulakan perjalanan ke Invercargill
·         Melalui Balclutha, Clinton, Mataura, Edendale, dan Invercargill
·         Tiba sekitar jam 6.00 petang.
·         Check in di Hacienda Motel, 679 Tay Street, 9810 Invercargill (dua unit – apartment dan studio).
·         Masak untuk makan malam di motel. Rehat
·         Boleh ke Masjid Invercargill (Invercargill Islamic Centre), iaitu masjid paling selatan di dunia untuk solat Maghrib atau Isyak.


2 Disember (Sabtu)
Hari ke 5
INVERCARGILL – TE ANAU (158 KM- 1 Jam 52 Min)
INVERCARGILL- BLUFF (28KM- 20 Min)
·         7.00 AM Sarapan Pagi. Masak untuk makan tengahari.
·         Check out Motel
·         Melawat Museum Invercargill dan sekitarnya.
·         8.30 AM Menuju ke Stirling Point Bluff untuk bergambar (Pelabuhan atau pekan paling selatan di dunia).
·         10.00 AM Perjalanan menuju ke Te Anau melalui Mossburn.
·         12.30 PM Tiba di Te Anau. Makan tengahari /picnic.
·         ** JIKA SEMPAT/MASIH AWAL & CUACA MENGIZINKAN, boleh terus ke MilFord Sound untuk cruise jam 3.30 PM. (Te Anau – Milford Sound 118km – 1 jam 50 min).
·         Membeli-belah souvenir di pekan kecil Te Anau
·         Boleh menuju ke Mirror Lake untuk bergambar.
·         Check in Fiordland Hotel, 91 Luxmore Drive, 9600 Te Anau (2 bilik - tiada dapur memasak)
·         Isi Penuh Minyak kereta kerana tiada stesyen minyak di Milford.
·         Makan malam Kebab atau Maggi ( di bilik hotel tiada dapur masak)
·         Rehat.

3 Disember (Ahad)
Hari ke 6
TE ANAU – MILFORD SOUND – TE ANAU (118 KM – 1 Jam 50 Min)
TE ANAU- QUEENSTOWN (182KM – 2 Jam 15 Min)
·         6.00 AM Breakfast dan Check out Hotel
·         6.30 AM Bergerak ke Milford Sound melalui Mirror Lake (Tasik Cermin) dan terowong Homer Tunnel (terowong selorong yang panjang – laluan paling mencabar mendaki gunung dan curam).
·         8.30 AM Tiba di Parking Milford Sound dan berjalan kaki ke jeti untuk membeli tiket Ferry Cruise.
·         9.00 Menaiki Ferry Cruise di Milford Sound (Keajaiban Dunia ke 8) selama 2 jam. Boleh lihat singa laut, dolphin dan air terjun glacier.
·         12.00 Bergerak balik ke Te Anau dan berhenti bergambar di Mirror Lake.
·         2.30 PM Singgah makan tengahari di Te Anau.
·         5.00 PM Tiba di Bandar Queenstown.
·         Check in Queenstown Lakeview Holiday Park, 4 Cemetary Road, 9300 Queenstown. (1 apartment – 4A 2 Children).
·         7.00 PM Menaiki Skyline Gondola (Cable Car) untuk melihat pemandangan bandar Queenstown dari atas bukit dan matahari terbenam.
·         9.00 PM Boleh ke DF Souvenir untuk membeli souvenir (lebih murah di sini berbanding di Christchurch).
·         Ke Pasaraya PakNSave atau Countdown untuk membeli barang mentah.
·         Isi minyak kereta.
·         Rehat di bilik dan makan malam.

4 Disember (ISNIN)
Hari ke 7
QUEENSTOWN-GLENORCHY-QUEENSTOWN (46KM – 43 Min Sehala X 2)
QUEENSTOWN – ARROWTOWN ( melalui Arthurs Point 21 KM – 21 min)
ARROWTOWN- KAWARAU GORGE SUSPENSION BRIDGE (10KM – 9 min)
KAWARAU – CROMWELL Jones Family Fruit Stall (31 KM – 23 Min)
CROMWELL – WANAKA melalui Luggate( 54 KM -  40 Min)
·         6.00 Sarapan Pagi dan Masak untuk makan tengahari (ada dapur di Motel)
·         7.30 AM Bergerak ke Gleneorchy
·         8.30 AM Tiba di Gleneorchy (Tempat Penggambaran Lord of the Ring) dan bergambar
·         9.30 AM Pulang semula ke Queenstown.
·         10.30 AM Tiba di Queenstown. Bersiar-siar di sekitar Bandar Queenstown atau Tasik Wakatipu. Boleh beli Fish and Chips.
·         12.00 Makan Tengahari @Picnic di tepi Lake Wakatipu.
·         2.00 PM Bergerak ke Arrowtown melihat pekan kecil lama yang cantik.
·         3.00 PM Bergerak ke Kawarau River Bridge untuk melihat aktiviti Bungy Jumping.
·         4.00 PM Bergerak ke Cromwell untuk membeli buah dan Yogurt Ice Cream di ladang buah Jones.
·         5.30 PM Perjalanan dari Cromwell ke Wanaka
·         6.30 PM Tiba di Archway Motels & Chalets, Wanaka, 64, Hedditch Street, 9305 Wanaka ( 1 Apartment – 4A 2C)
·         Rehat dan masak untuk makan malam.

5 Disember (SELASA)
Hari ke 8
WANAKA – OMARAMA – TWIZEL (144 KM – 1 Jam 40 Min)
TWIZEL- MOUNT COOK (42 KM – 27 Min)
TWIZEL – LAKE PUKAKI- LAKE TEKAPO (57 KM – 38 Min)
·         6.30 AM Sarapan Pagi dan masak untuk makan tengahari di Motel (ada dapur)
·         7.30 AM Bersiar-siar sekitar Tasik Wanaka dan bergambar di Lonely Tree of Wanaka Lake (Sepohon pokok tunggal tengah tasik)
·         8.30 AM Boleh ke Wanaka Puzzle World.
·         9.30 AM Menuju ke museum kereta dan ke ladang bunga lavender di Wanaka.
·         Bergerak melalui Lindis Pass ke Omarama untuk melihat mengetam bulu biri-biri di The Wrinkly Rams (optional berbayar)
·         Singgah di High Country Salmon untuk merasa/beli ikan salmon segar atau memberi makan ikan salmon.
·         Bergerak ke Twizel dan berhenti makan tengahari.
·         1.00PM Jika mahu, boleh ke kaki gunung (Mount Cook National Park) untuk bergambar- 42Km X 2 ways
·         Perjalanan  diteruskan ke Tasik Pukaki dan Tasik Tekapo (tasik besar berwarna turquoise dan penuh bunga lupins yang berbunga setahun sekali sahaja pada musim panas November-December).
·         Check in Lake Tekapo Motel and Holiday Park (1 unit aprtmnt)
·         Rehat dan makan malam (ada dapur untuk memasak)
·         Lake Tekapo terkenal dengan “stargazing” bintang2 di langit dan aurora (cahaya hijau di langit).


6 Disember (RABU)
Hari ke 9
(Hari Terakhir di NZ)
LAKE TEKAPO – FAIRLIE –GERALDINE- CHRISTCHURCH ( 230 KM – 2 Jam 30 Min)
·         7.00 AM Sarapan pagi dan berkemas untuk check out
·         8.30 AM Bergambar kali terakhir di Lake Tekapo dan Church of Shepard.
·         Perjalanan pulang ke Christchurch melalui Fairlie dan Geraldine. Melalui ladang-ladang ternakan kambing, lembu dan kuda sepanjang perjalanan.
·         12.00 AM Dijangka tiba di Christchurch City. Boleh terus ke Botanical Garden dan jalan di sekitar bandar Christchurch.
·         Singgah bergambar di Univesity of Canterbury.
·         Singgah solat Zohor/Asar di Masjid Christchurch.
·         3.00 PM Menuju ke Christchurch International Airport. Drop barang/luggage di Airport.
·         3.30 PM Hantar pulang kereta. Shuttle dari depot ke Airport.
·         3.45 PM Check in Flight Emirates
·         18.45PM (6.45PM) Berlepas dari Christchurch ke Sydney Airport. (3 jam)
·         8.05 PM Tiba di Sydney
·         9.00 PM (waktu Sydney) Menuju ke Homestay Melayu Sydney, No 11, Moro Avenue  Padstow, NSW 2211  (diambil oleh kawan En Fikri – Pn Mehrimah Amat +61438 728 313)
·         Makan makan disediakan dan rehat di homestay.

7 Disember (KHAMIS)
Hari ke 10












8 Dis (JUMAAT)
Hari ke 11
SYDNEY TOUR – SYDNEY- KUALA LUMPUR
·         7.00 AM Sarapan sendiri dan berkemas
·         8.00 AM Bergerak dari Homestay ke Featherdale Wildlife Park (beli tiket sendiri) untuk melihat kangaroo, koala, Tasmanian Devil.
·         12 PM Bergerak balik ke bandar Sydney. Singgah solat Zohor di Auburn Galliopoli Mosque.
·         1.00 PM Makan tengahari di NurMuhammad Café
·         1.30 PM Melawat sekitar bandar Sydney – Darling Harbour, Paddys’ Market, Harbour Bridge, Sydney Opera House, Botanical Garden.
·         6.00 PM bergerak terus ke Sydney International Airport
·         Check in 6.40 PM untuk penerbangan D7 221 Air Asia X jam 2140 (9.40PM)
·         9.40 PM Flight balik dari Sydney ke KL

TIBA di KLIA2 jam 3.15AM (pagi). Balik Bentong.


2. Membeli Tiket Kapal Terbang

    Item ini yang agak penting dalam bajet kerana 50-60% dari bajet keseluruhan adalah bergantung kepada harga tiket kapal terbang. Sebab tu ada orang suka travel masa Winter sebab tiket flight jauh lebih murah dan hotel serta kenderaan sewa pun lebih murah.

Masalah yang saya hadapi sebelum ini adalah kerana membeli tiket flight MAS untuk 7 orang sekaligus sekitar jam 8 malam menggunakan maybank2u. Namun ketika pengesahan untuk mendapatkan TAC number, website MAS ada problem dan terus disconnected kerana ada tempoh masa tertentu untuk menunggu. Bayaran dari Maybank dah successful dan dibuat, tapi booking number. Setelah panggilan telefon kepada pihak MAS dibuat, mereka mengesahkan tiada tempahan dibuat dan mereka akan buat reverse atau refund kepada pihak Maybank semula. Maka bermula lah episod kejar mengejar dengan pihak MAS dan Maybank untuk mendapatkan duit tiket refund semula.

Tapi memandangkan tarikh yang nak kami pergi tu terlalu dekat dan harga tiket makin meningkat mahal, kami mengambil keputusan untuk memilih syarikat penerbangan lain. Jadi kami beli tiket Air Asia X. Beli untuk dua kumpulan ( 5 orang dan 2 orang) untuk kurangkan risiko jika terjadi lagi masalah macam MAS tu. Makin lewat tarikh yg dipilih pada bulan Disember, makin mahal harga tiket kerana ramai pelancong ke sana pada musim panas. Dan cuti sekolah di Australia dan New Zealand pun bermula pertengahan bulan Disember, jadi hotel penuh dan semakin mahal. 

Pengajarannya, lebih baik beli dengan menggunakan kad kredit berbanding secara online Maybank2u. Itu antara cadangan dari pihak MAS.. tak pasti betul ke tak..Tapi benda dah nak jadi kan.. tak ada rezeki namanya nak naik MAS. Tunggu punya tunggu, setelah lapan hari, dua jam sebelum nak fly ke NZ baru dapat refund. Memang agak cuak juga la.. belas-belas ribu tu... banyak boleh guna dan belanja di NZ nanti.

Dan jika kita dalam group yang ramai, cuba elakkan beli tiket sekali tempahan untuk semua. Beli tiga empat orang sekali tempah.. sebab jika problem kat tiket tu untuk satu group besar, memang masalah besar nanti. Kesilapan saya adalah kerana membeli untuk tujuh orang sekali tempahan. Nak tunggu refund memang lama..silap-silap boleh makan masa berbulan... solat hajat la selalu ketika ini.

Dari Sydney ke Christchurch kami memilih Emirates. Beli tiket dari website Emirates directly selepas check dari skyscanner.com. Lebih rasa terjamin berbanding membeli dari Expedia atau agency lain kerana pernah baca pengalaman traveller yang ada problem bila flight delay, cancel dan lain-lain. Walaupun penerbangan Emirates, tapi operated oleh Qantas dalam penerbangan dari Sydney ke Christchurch. Balik pula flight Emirates dari Christchurch ke Sydney Airbus yang dua tingkat, fuhh..memang puas hati sangat-sangat servis nya. 

Akhirnya kos untuk seorang tiket flight KL-SYD-CHC (pergi balik) dalam RM3,000 ke RM3,500 seorang (kanak-kanak ada diskaun). Saya pernah check ketika promo JetStar dan AirAsia, boleh dapat dalam RM2300- RM2,500 seorang return tiket. Beli last minute memang mahal la jawabnya..




3. Membeli Visa ke Australia

   Memandangkan kami akan singgah dan bermalam di Australia, jadi kami perlu membeli visa Australia. Ada beberapa pilihan. Samada beli sendiri secara online atau beli melalui travel agency pun boleh. Kami membeli dari Poto Travel Agency di Segamat dengan caj RM30 seorang. Jadi total RM30 X 7 = RM210. Visa ni dibeli ada waktu pagi. Dalam masa 4 jam dah siap approved untuk 6 orang. Maka bermula lagi episod duka kejar mengejar di sini... Masalah timbul lagi setelah dua hari , visa suami masih belum 'approved' lagi. Hati dah mula cuak dan mula fikir plan B jika visa suami tak diluluskan.. samada beli tiket kapal terbang lain direct ke NZ tanpa melalui Australia. Nak tinggal pun problem sebab tiada driver pula nanti.
Membeli Visa Australia di Poto Travel Segamat

 Lagi 5 hari dah nak berangkat (iaitu Hari Selasa minggu depannya) ke Australia. Hari Khamis masih belum approved. Saya cuba contact dan email kepada Cik Intan. CIk Intan ni agak popular di kalangan traveler yang nak beli visa Australia. Cuba google Cik Intan Visa Australia, mesti jumpa punya. Caj pun lebih murah rupanya iaitu RM20 untuk seorang. Cuma saya lambat tahu info ni. Bila dah timbul masalah, baru la google sana sini untuk selesaikan masalah. Baru terjumpa info pasal CIk Intan ni. Boleh contact Cik Intan di email address ni: http://eta.australia@yahoo.com. Anda hanya perlu bagi maklumat terperinci seperti nama penuh, alamat, no passport (scan passport) dan no telefon. Dan kemudian boleh transfer duit ke CIMB.

Bila Cik Intan ni cuba check dalam sistem, beliau kata dah approve Visa suami yang entah 7 kali jika tak silap telah dipohon. Biasanya selepas 12 jam, kita boleh mohon semula hingga diluluskan. 
Lega sungguh bila Cik Intan siap snap dan bagitahu visa suami dah approved. Selesai satu masalah. 

Pengajarannya, sila beli Visa awal-awal ya.. jangan last minute buat decision atau plan..Sebulan awal lebih bagus.. bukan apa, takut terpaksa naik ke pejabat embassy pula untuk apply visa dan sebagainya.... Yang ni memang saya tak jangka sungguh, sebab jarang dengar. Tapi travel agency kata memang pernah berlaku.Biasanya jika prosesnya cepat pun dalam masa kurang 12 jam dah boleh approve. Tapi kadangkala pihak embassy akan pilih secara rawak untuk check apa-apa info keselamatan dan itu yang melambatkan proses kelulusan.
       

4. Membeli travel insurance

Kami tidak membeli travel insurance semasa membeli tiket kapal terbang. Jadi kami memilih untuk membeli insurance dari syarikat pelancongan. Ada dua tiga company yang kami check dan bandingkan harga. Ada yang kira individual.. ada yang family. Akhirnya kami memilih untuk pakej family untuk kami berlima dalam RM192. Dan spouse pakej untuk mak Abah berdua dalam RM135.
Kami ambil full covered untuk insurance..risau juga sebab jalan dengan warga emas dan kanak-kanak ni ke luar negara. Sebab di luar Negara kos perubatan sangat mahal. Dan lately, kita banyak dengar kes warga emas keluar Negara dan stranded di hospital kerana sakit. Jadi, jangan ambil risiko. Biar bayar lebih asalkan kita tak rasa takut-takut dan dapat berjalan dengan bahagia.

Contoh insurance coverage oleh Zurich



5. Membuat tempahan kenderaan

Sebelum pergi NZ, lebih baik kita buat tempahan kereta terlebih dahulu. Ada banyak website untuk car rental yang boleh kita bandingkan. Antara yang pilihan rakyat Malaysia dan paling popular adalah Shoestring kerana harganya yang murah. Mereka sangat cepat membalas email dan memberi response. Saya berhubung beberapa kali melalui email dengan Cameron (owner syarikat tersebut yang sangat peramah dan suka membantu). Harganya jauh lebih murah berbanding company lain kerana syarikat ini adalah family business. Malangnya kenderaan MPV yang kami kehendaki dah ditempah oleh orang lain untuk tarikh yang kami nak, jadi kami kena cari syarikat lain.

Di Pejabat Omega Car Rental. MPV dah siap menunggu

Saya cuba dapatkan quotation atau sebut harga dari beberapa syarikat seperti Go Rentals,  Omega Car Rental, Jucy, Ace dan, Apex. Akhirnya kami memilih Omega Car Rental kerana kereta yang baru (tahun 2016), dekat dengan airport, dan beberapa faktor lain seperti car seat dan additional driver dah termasuk dalam package (free).

Ada beberapa perkara yang kita kena lihat terlebih dahulu sebelum memilih dan menyewa kenderaan. Lokasi syarikat sewa kereta ini (jika jauh dan tiada shuttle, susah pula nak ambil kereta atau pulangkan kereta ni), polisi insurance yang disediakan (lebih baik ambil zero liability sebab semua insurance cover, tak pening kepala jika berlaku apa-apa), syarat-syarat lain seperti minyak perlu dikembalikan penuh semasa memulangkan kenderaan. Dan kena tengok juga berapa kos sewa tambahan jika ambil child seat atau baby seat (wajib pakai untuk kanak-kanak bawah 7 tahun), bayaran tambahan untuk extra driver, sewa GPS Navigator dan lain-lain. Dan ada juga syarikat yang tetiba ada hidden cost pula.. 

Dengan Omega Car Rentals ni mereka juga sediakan kemudahan untuk megambil kita dari Motel dan juga menghantar kita ke airport. Boleh lawati website ini. www.omegarentalcars.com/car-rental-christchurch

Kena patuhi had laju maksima 100 km/j di NZ

Di AUstralia dan New Zealand, mereka menerima lesen memandu kita. Jadi tak perlu convert atau ambil international licence. 

6. Membuat tempahan penginapan

Kemudahan dapur yang disediakan di apartment dan motel seperti pet sejuk, alatan memasak, pisau dan pinggan mangkuk.

Keutamaan untuk dapatkan motel atau bilik di ground level atau parking kereta depan bilik terus.

Selain banyak masa digunakan untuk recce dan mencari flight murah yang menjimatkan masa penerbangan, banyak masa digunakan untuk mencari tempat penginapan. Setelah mencari melalui "Trivago", saya membuat tempahan melalui Booking.com kerana sesetengah motel boleh dibayar di sana sewaktu check in dan tidak akan dicaj sehinggalah  kita sampai/tiba di hotel/motel. Sesetengah provider perlukan credit card untuk membuat tempahan dan pengesahan. Tapi kita juga boleh bayar dengan wang tunai di sana mengikut kadar tukaran semasa. 

Ada beberapa criteria yang perlu diteliti sebelum membuat tempahan. Bukan kerana kita ni cerewet sangat, tapi kita nak yang terbaik, jimat masa dan selesa bersesuaian dengan bajet kita.

i. Lokasi
Sila check dan guna google map untuk lihat kedudukan tempat penginapan tu di mana… di dalam bandar atau jauh dari bandar. Dan lihat tourist attraction atau tempat-tempat menarik yang ada di sekitarnya. Jika motel jauh dari tempat yang nak kita tuju, mungkin akan melengahkan perjalanan kita. Sebab banyak tempat kita nak kena cover, melainkan kita banyak masa berbulan-bulan dok sana. Cadangan saya, cari lah tempat penginapan yang sesuai dan bukan jauh sangat dari town. Ada banyak holiday park atau motel yang murah, tapi jauh pula dari bandar atau pekannya bersesuaian dengan harganya. Tapi jika dicari betul-betul dan kebetulan ada offer ketika itu, boleh juga dapat tempat penginapan yang murah di tengah bandar.

Tapi jika kita bermotorhome, sila ambil kira tempat nak parking motorhome tersebut di tengah-tengah bandar. Jika berkereta, mana-mana tempat pun tak kisah.

ii. Masa untuk check in/ daftar masuk bilik
Pastikan kita lihat info untuk waktu check in dari jam berapa hingga berapa. Bukan semua tempat penginapan tu ada 24 hours counter service. Kebanyakan motel/holiday park waktu check in sebelum jam 9 malam. Jika anda lewat, sila maklumkan kepada mereka terlebih dahulu supaya mereka akan letak kunci bilik tersebut di suatu tempat tertentu.

iii. Bilik Air
Ini paling penting bagi saya sebab ada sesetengah motel atau holiday park perlu berkongsi bilik air (shared bathroom). Disebabkan saya travel dengan ahli keluarga yg ada anak kecil dan warga emas yang perlu ke tandas di waktu malam, dan tak perlu jalan jauh, jadi saya akan pastikan bilik air tu ada dalam apartment atau motel yang disewa sebelum tempah. Jika anda travel sorang, mungkin anda tak kisah shared bathroom. Lagi pun senang untuk kaum wanita menjaga aurat. Nak berendam lama dalam bilik air pun tak kisah kan.. Jika bilik/apartment yang  shared bathroom biasanya harga yang  mereka tawarkan memang lagi murah.
Bilik air dalam apartment. Tiada gayung atau cebuk dalam tandas ya... tiada paip air dalam tandas. 


iv. Apartment yang ada fasiliti dapur untuk memasak
Saya memilih motel atau apartment yang ada menyediakan kemudahan memasak. Saya akan lihat satu persatu motel yang dicari samaada mereka menyediakan dapur atau stove untuk memasak, alatan dapur, sinki, microwave dan sebagainya. Paling kurang pun mesti ada microwave. Sebab kami memang plan untuk memasak setiap hari dan kurangkan makan di luar.
Semua dapur gas di sana menggunakan tungku macam ni..  pastikan frying pan atau pot /periuk kita mempunayai permukaan yang rata.  Dapur di sana dah disambung kepada gas (macam paip air dan elektrik, jadi tiada tong gas)


v. Bilik/Apartment di tingkat bawah
Saya akan buat special request kepada motel/apartment tersebut untuk bilik atau apartment di ground floor, tingkat bawah. Saya maklumkan kepada mereka bahawa kami travel dengan anak kecil dan senior citizen, jadi kami perlukan kemudahan ini. Ada ruang special request disediakan untuk kita minta apa-apa dalam form yang kita booking online tu. Jadi semua bilik yang kami dapat di sana semuanya ground floor, atau jika tiada bilik ground floor, dapat level 1 yang dekat dengan tangga atau main entrance…Mereka sangat memahami dan cuba memenuhi segala permintaan kita. Di sana, keutamaan dan priority memang untuk keluarga yang ada anak kecil dan warga emas.

Di sesetengah holiday park atau motel ada taman permainan disediakan.

Airport Lodge Motel yang menyediakan apartment dan bilik bawah. 

Jika boleh cari apartment atau motel yang ada kemudahan laundry sekali. Dalam bilik apartment pun ada mesin basuh.  Tapi kita kena beli sabun basuh  pakaian atau detergent tu  sendiri (biasanya dalam bentuk serbuk).


7. Membuat list atau senarai barang-barang serta checklist

Untuk kemudahan kita, sila buat senarai ubat-ubatan dan juga senarai bahan makanan yang dibawa. Saya terselamat di airport NZ dan Sydney kerana ada list yang panjang ni. Mereka siap perli cakap " Great, you have the shopping list with you". Dia tak bukak beg pun... tanya sikit-sikit dan suruh jalan keluar...


8. Membeli stok barang makanan

Terima kasih Brahim, Sharifah dah yang seangkatan dengannya.. mudah kerja kami,, 

Memandangkan kami tidak mengambil mana-mana pakej percutian, dan ini percutian sendiri, syok-syok sendiri, sudah tentu kami kena makan pun sendiri. Bagi menjimatkan perbelanjaan dan nak ikut tekak selera sendiri, kami bawa banyak stok bekalan makanan dari Malaysia.

Lebih kurang RM300 dibelanjakan untuk membeli instant food dalam paket plastic seperti jenama Brahim dan Sharifah. Antara makanan segera yang telah siap dimasak ini, hanya perlu panaskan sahaja adalah nasi lemak (dan siap dengan sambalnya), nasi goreng kampong, nasi goreng Cina, nasi goreng cendawan, dan kentang putar. Semua bahan ni memang mudah dan menjimatkan masa kami di sana. Semua stok makanan ini memang cukup untuk 8 hari di sana. 

Kami bawa juga perencah kuah seperti kari ayam, kurma dan asam pedas. Tapi disebabkan kami tidak membeli ayam atau ikan di sana, jadi perencah segera ni kami tak guna pun. Jadi lebih baik kita beli instant food seperti Brahim tu. Cuma bukan semua pasaraya ada menjual jenama ni. Kami ke Tesco di KL untuk mendapatkan jenama ini. Syukur ada produk segera ni. Di Motel yang tiada dapur atau microwave pun kami boleh panaskan sahaja dalam periuk nasi.

Barang-barang makanan lain yang kami bawa adalah mi segera (WAJIB bawa ni), kicap Jalen dan ABC (dua botol kecil), sos cili Life (di sana bukan senang nak dapat sos cili ya), sup bunjut (pun tak sempat nak digunakan di sana),Nestum dan Milo (3 in 1), ikan sardin dalam tin, kiub ayam dan perencah Knorr dan biskut-biskut. Alhamdulillah semua makanan dan bekalan kami lepas masa security check dan scan tu, tanpa masalah.

Mak saya juga dah siap goreng ikan bilis (boleh makan dengan nasi lemak atau nasi putih) dan kuah kacang (tinggal masuk air dan panaskan sahaja nanti). Packing cantik-cantik, seal kan dan tulis nama atas tu  untuk mengelakkan keraguan. Jadi kami beli ketupat nasi segera dan itu kegemaran anak-anak semasa travel. 

Barang-barang makanan lain seperti beras dan telur kami beli di pasaraya di sana setiap dua hari sekali (nak beli dalam kuantiti yang banyak susah sebab naik MPV kan).

Kami bawa sekali periuk nasi kecil, sudu, sudip, fying pan non-stick atau periuk kecil untuk masak dan dua tiga bekas plastik Tupperware (tanpa jenama yang boleh masuk microwave)  dibawa juga untuk tapau makanan dalam perjalanan. Sila jangan bawa kuali ya… sebab dapur (stove gas) mereka leper dan bukan dapur tungku macam dapur kita di Malaysia. Pisau kecil pun kami bawa. Pinggan plastic kami beli di pasaraya di NZ sebab tertinggal nak masukkan dalam beg. Getah dan plastic kecil pun bawa juga sikit kot-kot perlu untuk bungkus makanan di sana. Kain buruk pun kami bawa juga. Memang lengkap alatan dapur bergerak kami ni. Sebab tu penuh satu beg besar kami masukkan segala makanan dan alatan ni. Supaya senang tak bercampur dengan baju-baju dan senang semasa pemeriksaan kastam imigresen di lapangan terbang. 

Di Australia dan New Zealand, memang agak ketat tentang barang-barang yang boleh dibawa masuk ke negara mereka. Barang tenusu dan buah-buahan segar memang dilarang bawa masuk sama sekali. Dan kita perlu isytihar atau declare semua barang yang dibawa sebab denda NZ300 dikenakan di sana jika didapati barang tersebut tak declare. Di sana memang ada anjing pengesan yang akan menghidu beg… kadangkala tak perasan ada si anjing ni tiba-tiba datang dekat menghidu beg kita. Memang suruh anak-anak baca doa sekali sebaik tiba di kaunter Imigresen tu. Dan alhamdulillah, kami terselamat dan lepas sebab dah buat list makanan yang panjang ni dan declare semua barang-barang tanpa keraguan. 

Jika nak mudahkan kerja kita dan pihak imigresen, sila buat list atau senaraikan semua makanan dan ubatan yang dibawa. Long list ini lah yang menyelamatkan kami dan menjimatkan masa kami. 

Sebenarnya, memang banyak sangat jimat bila kita masak sendiri. Almaklumlah, kami ni bertujuh.. jika nak makan di restoran, seorang NZ10 X 7 orang = NZD70 (dah RM200 sekali makan). Kalau dah lapan hari tu, mau tak parah…. Beli barang pun tak sampai beribu dek non… kat situ kita dah jimat. Lagipun budak-budak ni senang sangat nak masakkan untuk mereka.. hari-hari boleh je telan telur.. telur goreng, telur rebus, masak telur kicap, telur dadar, telur separuh masak, telur goyang.. 

Tips: 
i) Buatkan list /senarai makanan yang dibawa. 
ii) Asingkan beg makanan dan beg baju supaya senang nak lalu di imigresen nanti. Macam saya, saya seorang yang lalu di laluan declare barang-barang bersama satu beg besar makanan tu. Ahli keluarga yang lain lalu di laluan tiada barang yang diisytihar (green lane). Supaya senang kerja saya dan saya sorang je yang bersoal jawab nanti. Pandai-pandailah nak goreng mereka nanti. 
iii) Declare barang-barang tersebut semasa isi borang masuk ke negara Australia dan NZ masa atas kapal terbang tu.
iv) Dan buat lah simple menu makanan yang nak dimasak supaya senang nak beli barang2 makanan yang nak dibawa atau dibeli di sana. Dari situ kita dah boleh plan nak masak apa dan beli apa. 
v) Jangan lupa bawa sabun Taharah untuk sertu atau samak alatan yang perlu untuk memasak. Jika kita bawa sendiri alatan kita, dah jimat masa tak perlu nak sertu atau samak setiap kali tiba di motel atau hotel. 

Sebab saya travel dengan anak kecil dan warga emas, jadi kena ikut juga tekak selera mereka. 

Nasi lemak segera yang tak kurang lazatnya

Ketupat nasi segera dan kuah kacang menambat hati

Jangan lupa bawa sabun Taharah untuk sertu atau samak pinggan mangkuk jika perlu

9. Membeli baju sejuk, kasut dan beg luggage

Kami ke beberapa butik Bundle untuk mencari baju sejuk dan jaket yang tak la berapa tebal. Sebab suhu dijangka dalam 5-25°C. Jadi tak perlu bawa baju tebal macam nak main snow tu. Tapi untuk anak-anak kami beli jaket seorang satu (di kedai Bundle), stokin dan sarung tangan di kedai DIY. Baju sweater lain memang bawa juga seorang dua pasang.

Kami terpaksa beli satu beg luggage yang bersize paling besar. Sebab beg yang ada bersaiz sederhana. Sebab kami tak boleh bawa banyak beg besar kerana menggunakan MPV di sana nanti. Memang tak muat la MPV jawabnya jika semua orang nak bawa sorang satu beg. Jadi nak jimat ruang, kami beli satu beg luggage paling besar untuk masukan 5 orang punya baju. Alhamdulilllah, semasa di sana, muat 3 beg luggage (2 beg pakaian dan 1 beg makanan) dalam MPV. Yang beg-beg knapsack atau beg sandang lain boleh je selit sana sini dalam kereta.

Untuk kanak-kanak lebih baik pakai kasut bertutup kerana di sana sejuk. Dan boleh bawa juga selipar atau sandal spare supaya senang nak pergi ke bilik air.

10. Packing baju dan makanan ke dalam beg

Kami bawa baju untuk 4 hari atau 4 pasang siang dan 4 malam sahaja. Sweater atau jaket bawa dua pasang seorang. Dan satu jaket tebat sikit seorang satu. Nak bawa banyak pun tak boleh sebab kami berlima beranak kongsi satu beg luggage besar tu satu je..  semua sumbat dalam tu. Tu beg luggage yang paling besar tau, untuk 5 orang.

Sebenarnya tak perlu bawa banyak sangat baju.. sebab di setiap hotel, motel atau holiday park memang ada disediakan laundry self-service. Kita perlu sediakan coin atau duit syiling sahaja untuk mendobi. Sepanjang di sana, kami basuh baju 2 kali sahaja.

Masa nak packing baju, kita kena gulung baju-baju tu supaya kurang makan ruang dan muat nak sumbat dalam beg luggage. Sebab tu muat la semua baju dalam satu beg besar untuk kami 5 beranak. Dan pastikan kita bawa beg knapsack atau hand luggage seorang satu masa naik flight. Dalam hand luggage ni kita masukkan sepasang baju siang dan malam. Kenapa? Sebab misal kata la beg kita tercampak ke tempat lain, delay ke, beg hilang ke, sekurang-kurangnya kita ada dah pakaian standby dengan kita. Ini untuk emergency case.. sebab bila  selalu travel memang buat macam ni. Jangan lupa, satu jaket atau sweater memang perlu untuk digunakan masa dalam flight sebab sejuk dalam air plane tu.

Tips: Jika naik Air Asia jangan lupa bawa la bantal travel bentuk U tu. Sangat-sangat berguna untuk long distance flight. Dan gulung baju untuk diisi ke dalam beg untuk jimatkan ruang. 

11. Urusan transport ke airport

Memandangkan agak lama juga, lebih kurang 11 hari kami akan tinggalkan tanahair, maka kenderaan kena parking di tempat yang selamat. Kami membuat keputusan untuk tinggalkan kereta di rumah parents di Bentong, dan menyewa van dari Bentong ke KLIA2. RM600 kos van pergi dan balik dari Bentong ke KLIA2. 

12. Membuat tempahan homestay, kenderaan dan tour di Sydney.
 Ada beberapa pilihan di Sydney. Kami memang tidak bercadang untuk menyewa kenderaan di sana. Kami juga tidak mahu mengambil public transport di sana. Kerana travel dengan kanak-kanak serta senior citizen ni kena fikirkan faktor kesihatan dan keselamatan mereka juga. Akhirnya kami mengambil pakej homestay Melayu beserta makan malam di sana. Dan mereka juga menyediakan pengangkutan shuttle dari airport ke homestay dengan bayaran AUD60 sekali pergi (AUD120 pergi balik). Kami turut memilih mereka untuk city tour di Sydney.

Mereka memberi beberapa pilihan untuk city tour. Tapi akhirnya kami request untuk ke Featherdale Wilf Life Park pada sebelah pagi dan tengahari city tour ke beberapa tempat di CBD Sydney seperti Sydney Opera House, Darling Harbour dan Sydney Bridge serta sekitar Botanic Garden. Setelah tamat city tour, mereka menghantar kami terus ke airport.

Mungkin jika anda dah biasa berjalan dan masih sihat, anda boleh menggunakan public transport di sana. Ada beberapa homestay Melayu yang ada di Sydney. Kami memilih Ikhwan homestay untuk 7 sekeluarga (AUD200) dan homestay tersebut mempunyai 3 bilik tidur yang selesa. Pengangkutan pula mereka menggunakan van 12 seaters (Airport Transfer AUD60 sehala). Untuk makan tengahari di restoran yang halal, kami dibawa ke Kafe Nur Muhammad di CBD Sydney. Untuk Day City Tour pula adalah AUD300. Harga yang agak berpatutan bagi kami dan sangat selesa tak perlu nak angkut beg-beg yang berat ronda bandar Sydney.


Contact Person Homestay dan Pengangkutan di Sydne boleh hubungi: En Fikri (+61433932335)




  


No comments:

Post a Comment