Wednesday, January 3, 2018

Kembara ke Bumi Kanggaroo Dan Kiwi, New Zealand , Disember 2017 (Part 1)


New Zealand: Apa pilihan yang ada untuk ke sana?

Part 1: Persediaan sebelum ke Bumi Kangaroo dan Kiwi


Impian ke New Zealand sudah lama terpahat. Selama lebih kurang dua tahun saya membuat 'homework' dan cuba mendapatkan info tentang New Zeland. Ini kerana ketika itu anak masih kecil dan 'tabung cap ayam' belum cukup untuk menampung perbelanjaan kami.

Kebetulan kesihatan Abah (pesakit cancer Lymphoma) semakin sihat dan doktor membenarkan beliau untuk travel. Jadi kesempatan yang ada kami gunakan untuk membawa Mak dan Abah sekali ke sana. 

Terlebih dahulu, kita perlu membuat perancangan yang rapi sebelum membuat pilihan yang tepat kerana kos yang agak tinggi untuk ke sana. Saya buat beberapa perbandingan dan mempertimbangkan beberapa pilihan yang ada. Iaitu samada :
1) mengambil travel agency yang menyediakan full package (biasanya dalam RM6,000 hingga RM8,000 seorang - bergantung kepada jumlah hari dan cover satu pulau atau kedua-dua pulau North dan South Island).
2) mengambil travel agent yang menyediakan khidmat half package seperti menyediakan kenderaan atau motorhome (kita perlu drive sendiri), namun kita perlu beli tiket penerbangan sendiri. Boleh survey dari beberapa travel agent yang mempunyai konvoi motorhome seperti Trip Adik Beradik, Trip Kekawan, Trip Jelajah Dunia serta Ahmad Caravan.
3) mengembara sendiri, A to Z buat sendiri (dari beli tiket kapal terbang, susun jadual perjalanan sendiri, drive sendiri dan makan minum serta penginapan pun booking sendiri).



Pada asalnya kami bercadang untuk mengambil pilihan pertama yang menyediakan full package kerana tak mahu mengambil risiko drive sendiri di negara orang. Malah, dapat rehat sepanjang perjalanan dan menikmati keindahan sepanjang jalan. Namun disebabkan keputusan yang dibuat untuk ke New Zealand dibuat di saat-saat akhir, iaitu dua minggu sebelum tarikh untuk ke sana, jadi kebanyakan travel agency 'tak layan' dan dah fully booked.





Maka akhirnya, kami membuat keputusan untuk memandu sendiri dan membuat segala persediaan sendiri. Itu pun setelah mendapat cerita sebenar dan bertanyakan beberapa orang rakan yang pernah ke New Zealand sebelum ini. Kebanyakan mereka mencadangkan untuk drive sendiri di sana dan mempunyai itinerary sendiri kerana masa yang lebih fleksibel kerana membawa anak-anak kecil dan warga emas (kedua orang tua saya berumur 71 tahun dan 68 tahun). Kawan-kawan yang pernah ke sana meyakinkan kami bahawa memandu di New Zealand selamat dan mudah.


Setelah itu, bermulalah dua minggu persediaan yang sangat sibuk. Beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum membeli tiket kapal terbang. Antaranya laluan@route apa yang sesuai untuk ke New Zealand? Syarikat penerbangan apa yang menyediakan laluan ke New Zealand?

Pertama sekali kita perlu memilih samada hendak ke:
1) Pulau Utara sahaja (North Island - biasanya pelancong ke Auckland atau Wellington)
2) Pulau Selatan sahaja (South Island - Pelancong boleh turun ke Christchurch atau Queenstown Airport)
3) atau kedua-dua Pulau Utara dan Selatan.


Kami mengambil keputusan untuk ke Pulau Selatan (Christchurch) dan transit ke Australia supaya dapat merasai pengalaman di dua buah negara. Dah alang-alang nak ke New Zealand yang memakan masa berbelas jam, jadi ada baiknya transit di Australia dulu. Bawa anak-anak kecil dan warga emas ni perlu pertimbangkan banyak faktor.. keselesaan mereka.. makan minum dan rehat mereka agar mudah perjalanan kelak. 

Di Australia juga ada beberapa pilihan. Samada transit di Sydney, Melbourne, Perth atau Brisbane. Memandangkan anak-anak ingin merasai pengalaman melihat Koala dan Kangaroo, serta Mak Abah yang ingin melihat Sydney Opera House, maka kami membuat pilihan untuk transit di Sydney dalam penerbangan ke Christchurch. Namun kami hanya akan bermalam di Sydney dalam perjalanan pulang dari Christchurch ke Kuala Lumpur nanti. 



Akhirnya, kami perlu mencari tiket KL-SYDNEY- CHRISTCHURCH-SYDNEY-KL. Dan bermula lah misi mencari tiket murah dengan masa penerbangan yang singkat. 

Carian terbaik adalah melalui https://www.skyscanner.com.my/ atau https://www.farecompare.com/
yang membuat perbandingan harga, masa travel dan syarikat penerbangan yang ada menyediakan route/laluan tersebut. Melalui perbandingan ini (ala-ala Trivago untuk memilih hotel), kami bandingkan harga serta masa transit yang diambil.

Antara flight yang menyediakan penerbangan ke Australia atau New Zealand adalah seperti berikut:
1) MAS - direct flight KL ke Sydney, Perth, Melbourne, Brisbane, Adelaide
    MAS - direct flight KL ke Auckland (transit sejam setengah di Gold Coast)
2) Air Asia X - direct flight KL ke Sydney, Melbourne, Gold Coast, Perth
    Air Asia X - direct flight KL ke Auckland (transit sejam setengah di Gold Coast)

Setelah sampai di Australia atau Auckland, NZ anda perlu menaiki kapal terbang lain untuk ke Christchurch. Antaranya jika dari Australia, anda boleh menaiki Virgin Airlines, Qantas, Jetstar, Air New Zealand, China Airlines (dari Melbourne sahaja), Emirates (dari Sydney). 
Dan jika dari Auckland untuk ke Christchurch, anda boleh menaiki Air New Zealand, Jetstar, Virgin Airlines, Qantas. 

Alternatif lain, anda juga boleh ke Singapore (Changi Airport) untuk menaiki penerbangan terus ke Christchurch dari Changi Aiport. 

Pada awalnya kami memilih untuk menaiki MAS kerana MAS ada membuat promosi ketika itu dan  harga tiket Air Asia X lebih mahal (sebab kanak-kanak pun harga tiket orang dewasa - dengan MAS, ada diskaun untuk kanak-kanak). Tapi ketika booking tiket MAS, ada masalah besar yang melanda saya... Mau meroyan dibuatnya.... nampaknya tak ada rezeki untuk kami... dan pengajaran besar buat saya juga... Nak tunggu refund duit dari MAS pun mengambil masa 8 hari (walaupun pada asalnya mereka kata dalam 3-7 hari bekerja). Akhirnya, kami membeli tiket lain sementara menunggu duit refund dari MAS, kerana kesuntukan masa. 






Untuk keterangan lebih lanjut mengenai New Zealand, anda boleh ke laman web berikut.
https://www.newzealand.com/int/map/
Anda juga boleh boleh request map/ peta besar New Zealand untuk rujukan dengan mengisi maklumat yang diperlukan di laman web tersebut. Dalam masa dua minggu wakil pejabat dari Singapore akan poskan peta tersebut kepada anda.

Sedikit INFO mengapa kami memilih untuk ke SOUTH ISLAND, New Zealand pada musim panas (December ini). Antara sebab-sebabnya:
1. Musim panas - Bawa kanak-kanak dan warga emas pada musim panas adalah yang paling baik untuk berjalan. Sebab cuaca tak berapa sejuk atau panas. Biasa suhu antara 10 hingga 25 Celcius. Pada waktu malam agak sejuk juga, walaupun awal musim panas. Ada ada beberapa kawasan seperti ke Mt Cook dan Milford Sound, cuaca sejuk, terutama sekali setelah hujan.
2. Siangnya lebih panjang. Bayangkan lah waktu Subuh pada musim panas adalah sekitar 3.30 pagi. Syuruk jam 5.30 pagi. Jadi siang lebih lama dan senang untuk kita memulakan perjalanan. Manakala Maghribnya sekitar jam 9 malam. Dan Isyak jam 11 malam. Jadi kita boleh buat solat jamak qasar bila tiba di sesuatu destinasi. Kerana jika kita banyak singgah mana-mana tempat dalam perjalanan tu, dan tiba lewat di hotel atau motel pun, kita boleh maklumkan dahulu kepada tempat penginapan tersebut. Biasanya kaunter motel ditutup jam 9.00 malam (bukan semua motel atau holiday park buka 24 jam).
3. Bunga LUPIN hanya ada ketika musim panas sahaja antara pertengahan November hingga penghujung Disember sahaja. Jadi jika anda betul-betul teringin nak lihat bunga lupin ni yang hanya ada di beberapa negara sahaja (dan bukan semua tempat di New Zealand ada bunga ni pun), anda perlu datang ke South Island  ni pada bulan Disember.


to be continued....

No comments:

Post a Comment