Thursday, October 31, 2013

Misi Kemanusiaan UiTM Johor Ke Kemboja

 
MISI KEMANUSIAAN MENGAJAR ERTI KEHIDUPAN
 
 
Sambungan Bahagian Dua (2)

Perjalanan Misi Bermula Malam Hari Raya Aidil Adha Pertama (15 Oktober 2013)

Misi kemanusiaan yang pertama kali dianjurkan oleh Persatuan Marketeers, UiTM Johor bagi peringkat antarabangsa ini bermula dengan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada malam hari raya Aidil Adha pertama. Ada sebahagian pelajar terpaksa berkorban untuk tidak pulang ke kampung sebagai persediaan pelaksanaan misi ini.
 
Seawal jam 10.30 malam, peserta-peserta telah berkumpul di Dataran Sri Bendahari UiTM Johor. Kesemua kotak dimasukkan di bawah perut bas. Manakala beg terpaksa dibawa naik ke dalam/atas bas kerana tiada ruang kosong di bawah.
Penuhkan saf di hadapan
 
 
Teruja dalam perjalanan ke KLIA
 Kami tiba di KLIA jam 3.30 pagi (16 Oktober 2013). Kotak-kotak barangan dibawa keluar dari bas dan diletakkan di atas troli. Sementara menunggu kaunter daftar masuk dibuka jam 5 pagi, kami mencari tempat-tempat yang sesuai untuk berehat dan melelapkan mata.


Mata tengah kelat terpaksa mengangkat barang-barang


Hati berdebar takut terlebih berat bagasi

Kita posing dulu depan pintu masuk balai pelepasan KLIA


Cuba untuk melelapkan mata di kaki lima sebelum kaunter daftar masuk dibuka jam 5 pagi



Selepas selesai solat Subuh di KLIA, kami berkumpul untuk mengambil barang-barang dan beg di belakang Restoran KFC. Semua peserta menolak troli barang ke Kaunter L (check in berkumpulan) yang terletak berdekatan dengan Restoran Mc Donald's dan Secret Recipe. Disebabkan rombongan kami adalah seramai 29 orang, kami perlu membuat daftar masuk di Kaunter L untuk check in berkumpulan. Proses daftar masuk ini mengambil masa hampir sejam.
 
Tolak troli

Menunggu dan menanti di kaunter daftar masuk

Mira, Caca, Ieka dan Tyra...

Menunggu check in bagasi

Kami bernasib baik kerana urusan membawa bagasi dan 60 buah kotak pakaian serta keperluan seberat 850 kilogram berjalan lancar dan teratur semasa daftar masuk menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS), MH754 ke Phnom Penh jam 9.30 pagi.
Agak huru hara di kaunter... perlu standby salotape sebab ada kotak yang dah nak terburai
 
Bersedia untuk berlepas

Peserta paling kecil menyertai misi ini.. Annisa 3 tahun dan Qairina 2 tahun
 

Selamat pergi dan kembali peserta-peserta Misi Kemanusiaan team Marketeers, UiTM Johor
Kami berlepas tepat pada masanya. Jam 9.30 pagi pesawat MH754 meninggalkan tanah tumpahnya darahku, Malaysia. Perjalanan memakan masa 1 jam 50 minit. Kami dihidangkan dengan sarapan pagi nasi lemak dan mee goreng. Belum sempat nak melelapkan mata, kami mendarat di lapangan terbang Phnom Penh. Cuaca agak kurang baik kerana baru lepas hujan. Pendaratan pesawat juga agak kurang lancar dan agak goyang. Syukur alhamdulillah, kami selamat mendarat di bumi Kemboja.
Pasangkan tali pinggang keselamatan


Selamat mendarat  di Kemboja

Sebaik tiba di lapangan terbang di Phnom Penh jam 10.30 pagi, kami disambut oleh Encik Asyari bin Ahmad iaitu Pengerusi Eksekutif Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kemboja (ACCAM). Lapangan terbang antarabangsa ini agak kecil. Urusan imigresen dan kastam berjalan lancar dan teratur.
Pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kemboja
 
Cari kotak..cari beg
 
Standby troli di Airport Phnom Penh

 Kami sekali lagi terpaksa memunggah kesemua kotak-kotak dan bagasi yang dibawa. Kami menaiki Pajero (pacuan empat roda) yang disediakan oleh pihak hotel. Sebanyak 7 buah kenderaan diperlukan untuk membawa semua peserta dan barang-barang.

Kenderaan pacuan 4 roda yang membawa kami dan barang-barang
 
Angkat berat lagi...
 
Kami di bawa ke Hotel Asia yang jaraknya kira-kira 100 meter dari Central Market, pasar terkenal untuk membeli belah. Kesemua barang-barang yang kami bawa juga tiba dengan selamatnya.
 
Yang menarik tentang hotel Asia ini ialah di dalamnya terdapat Restoran KFC yang menjual makanan halal. Pengunjung boleh membuat bayaran menggunkan duit USD ataupun Riel.

Restoran KFC

Bangunan kuning itu merupakan Central Market (Pasar) yang mempunyai 4 akses (pintu masuk)

Setelah selesai segala urusan di hotel dan menyimpan barang-barang yang dibawa, kami di bawa ke sebuah restoran Halal, Champa Mekong Restaurant,  yang menyajikan menu masakan orang Kemboja. Ianya seakan stimbot yang menyajikan sup kepala ikan dan tomyam makanan laut yang di makan dengan sayur-sayuran seperti kangkung dan sawi.

Jom makan


Pelik tapi sedap
 
Pengalaman menaiki tuk-tuk di sana amat menarik kami kerana walaupun jalan raya agak sesak, namun kecekapan pemandu tuk-tuk di sana harus dipuji. Bagi perjalanan pergi dan balik dari Hotel Asia ke restoran tersebut tambangnya adalah USD5.00. Tuk-tuk adalah pengangkutan yang amat popular di Kemboja. Kebanyakan urusniaga adalah dalam matawang US Dollar. Namun  pelancong juga boleh berurusan dalam matawang negara Kemboja iaitu Riel. RM0.80 matawang Malaysia bersamaan dengan 1,000 Riel.
 
Panik dan cuak...

Aksi potong memotong

Pengalaman baru

Cari seat belt tak ada... tawakal je naik Tuk Tuk nie..

Peace all....
 
Pada sebelah petang, kami berkesempatan menjejakkan kaki ke Central Market dan pasaraya Sorya berdekatan untuk membeli beras sebanyak 100 kilogram yang diamanahkan oleh penderma untuk disedekahkan kepada penduduk kampong. Semuanya pulang awal untuk berehat dan menantikan hari esok yang penuh cabaran.

Sambungan...

Misi Kemanusiaan UiTM Johor ke Kemboja


Misi Kemanusiaaan mengajar erti Kehidupan
Bahagian Satu (1)

Peta Cambodia/Kemboja

Mengikut sejarah, negeri-negeri Melayu Champa terbina antara abad ke-3 hingga abad ke-15 Masihi dengan kekuatan dan pengaruh yang meluas. Kini, Kemboja atau Cambodia mempunyai bilangan penduduk Melayu-Champa dianggarkan 500,000 daripada jumlah penduduk Kemboja 14 juta. Perjanjian damai di Peranchis pada tahun 1991 membuka era baru bagi Kemboja. Pemerintahan Liberal-Demokrasi mengamalkan sistem  Raja Berpelembagaan di Kemboja.

Menyorot sejarah, antara tahun 1975-1979, Phnom Penh telah jatuh ke tangan komunis Khmer Rouge.  Semua golongan cerdik pandai dan lantang bersuara, para ulama dan mufti menjadi sasaran utama kekejaman rejim Pol Pot selama hampir empat tahun mereka memerintah Kemboja. Daripada 3 juta mangsa korban yang dibunuh oleh komunis Khmer, 90,000 orang adalah umat Islam Kemboja.

Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham. Mereka mempunyai adat resam tersendiri dan telah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Akibat peristiwa hitam tersebut dan selepas hampir 30 tahun bebas dari pemerintahan kuku besi, Islam kian diterima ramai dan mula tersebar ke seluruh daerah di Kemboja. Walau bagaimana pun, majoriti umat Islam di sana hidup melarat, dihimpit kemiskinan, tiada  kemudahan asas seperti air, elektrik, makan dan minum serta tempat tinggal yang serba kekurangan tanpa kemudahan tandas.

Sungai Mekong

Malah, untuk merasai daging lembu atau kambing setahun sekali, Hari Raya Aidil Adha adalah saat yang paling dinantikan. Kebanyakan penduduk kampung ini tinggal di rumah usang, pondok-pondok tempat berteduh, madrasah, surau-surau dan masjid.

Rumah penduduk kampong di Kemboja
Oleh itu, seramai 21 orang pelajar dari UiTM cawangan Johor, kampus Segamat dan 4 orang pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan telah melaksanakan Misi Kemanusiaan dan Kesukarelawan Kemasyarakatan najuran Persatuan Marketeers ke PekampunganMuslim Cham di Kemboja baru-baru ini. Melalui program kemasyarakatan ini, usaha murni pelajar-pelajar UiTM untuk berkongsi rezeki dengan penduduk Islam Kemboja dengan menjamu juadah daging korban/aqiah dapat dilaksanakan.

PERSEDIAAN AWAL

Dua minggu sebelum berangkat untuk melaksanakan misi kemanusiaan ke Kemboja, pelajar-pelajar ini menjalankan aktiviti “campus car wash”, jualan amal dan kutipan derma di sekitar kolej dan kampus bagi mendapatkan dana dan sumbangan untuk penduduk Islam di Kemboja. Hasil dari kutipan tersebut, sebanyak lebih kurang RM7000 dapat dikumpul untuk tabung kemanusiaan. Sebanyak 1200 kilogram pakaian lelaki, wanita dan kanak-kanak serta permainan kanak-kanak, telekung, alatulis, tudung, keperluan mandian, berus gigi dan ubat gigi berjaya dikumpulkan hasil sumbangan warga kerja dan kakitangan UiTM Johor.

Jualan amal

Aktiviti campus car wash

Malah, Persatuan Marketeers turut menerima sumbangan untuk 30 telaga/pam air wakaf yang berharga RM700 setiap sebuah, bilik air dan tandas wakaf, serta sumbangan 7 ekor lembu korban/aqiqah untuk misi kali ini.
 
 
Sebagai persediaan untuk misi kemanusiaan ini, para pelajar juga bergotong royong memilih, mengasing dan membungkus pakaian terpakai yang dihantar oleh para penderma. Setiap kotak dilabel mengikut beberapa kategori iaitu pakaian wanita, pakaian lelaki, tudung, pakaian kanak-kanak dan pakaian bayi. Antara barang lain yang diterima adalah kasut/sandal orang dewasa, kasut kanak-kanak dan bayi, selimut, kain cadar, peralatan solat seperti sejadah, telekung, kopiah dan songkok. 5 buah kotak barang-barang permainan kanak-kanak turut diterima untuk disedekahkan kepada kanak-kanak di Kemboja.
Barang-barang serta pakaian yang diterima dua minggu sebelum ke Kemboja


Antara barangan dan pakaian yang terpaksa ditinggalkan kerana terlebih muatan


Sebahagian telah dibungkus dan dimasukkan ke dalam kotak


Setiap kotak ditimbang dan dilabel. Alamat penerima dan pengirim juga ditampal pada setiap kotak
 
Setelah dimasukkan barang-barang ke dalam kotak dan dilabel, setiap kotak perlu ditimbang bagi memastikan jumlah kotak yang dibawa tidak melebihi berat bagasi yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan. Setiap kotak tidak boleh melebihi 30 kilogram dan ada had lebar atau saiz yang dibenar. Akhirnya, kami dapat menyiapkan 60 buah kotak seberat 600 kilogram pelbagai barangan untuk dibawa ke Kemboja.
 
Bersambung....

Wednesday, October 23, 2013

Misi Kemanusiaan Persatuan Marketeers ke Kemboja


21 pelajar Persatuan Marketeers sertai Misi kemanusiaan dan kemasyarakatan kesukarelawan di Perkampungan Muslim Champa, Kemboja
 
Program Korban 5 ekor lembu di kampong Tavai, Kampong Chhnang

Di balai pelepasan KLIA

Seramai 21 orang pelajar Persatuan Marketeers dan 4 orang pensyarah dari Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, kampus Segamat  melaksanakan misi kemanusiaan dan kemasyarakatan kesukarelawan ke Kemboja baru-baru ini.

Sumbangan duit derma dari rakyat Malaysia dan warga UiTM kepada penduduk di Prey Bes, Kampong Chhnang
 
 
Antara aktiviti yang dilakukan menerusi 4 hari program berkenaan adalah ibadah korban 18 ekor lembu, pembinaan 30 perigi dan pam air wakaf, pembinaan tandas, bantuan alatulis dan barangan mandian, telekung, kopiah, buku agama, sumbangan pakaian seberat 800 kilogram yang dibawa bersama untuk diagihkan kepada penduduk tempatan serta derma berjumlah RM7,000 dari warga UiTM cawangan Johor.
Sumbangan derma untuk penduduk kampong diToul Pongro  Kampong Chhnang
 
 
Menurut ketua projek, Mohd Nairul Naim Abd Rahim, 22,  program seumpama ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat negara serantau dan dalam masa yang sama memberi kesedaran akan kemajuan dan kemakmuran negara yang harus dipertahankan.

Pemberian beras untuk golongan mualaf dan ibu tunggal
 
“Ia memberi satu pengalaman yang sangat berharga dan berbeza tapi penuh pengisian kepada para peserta terutama dari segi konsep ‘bersyukur’, ‘berkongsi rezeki’ dan ‘keikhlasan’,” menurut beliau.


Kanak-kanak di perkampungan Muslim Kemboja yang serba kekurangan
 
Dalam pada itu, pensyarah dan penasihat program, Norshahniza Sahari, 38, berkata,  program sebegini dapat membuka ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ikatan ukhwah antara umat Islam Malaysia dengan saudara seagama di Kemboja di samping memupuk kesedaran tentang tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Menyalurkan bantuan dan sumbangan pakaian kepada penduduk kampong di Kemboja
 
”Program ini dapat menyuntik semangat masyarakat terutamanya generasi muda di negara ini agar mensyukuri nikmat kerana dapat hidup aman dan tidak menghadapi sebarang masalah di tanah air”, ujar beliau lagi.

 

Singgah di Masjid Batu 8

Selain misi kemanusiaan yang mencakupi bantuan makanan, pakaian dan air bersih serta tandas,  para peserta berpeluang melihat sendiri perkara sebenar yang berlaku di Kemboja terutama dari aspek kemanusiaan selepas hampir 30 tahun bebas daripada belenggu pemerintahan kuku besi kekejaman rejim Pol Pot.

 

 
Oleh:

Norshahniza Binti Sahari

Pensyarah Pemasaran merangkap Penasihat Program Misi Kemanusiaan

 

 

Saturday, October 12, 2013

Misi Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Kesukarelawan di Perkampungan Muslim Champa, Kemboja 2013

 
Petikan dari emel saya bertarikh 10 Oktober kepada semua staff UiTM Johor.
Antara barang-barang pakaian dan keperluan yang disedekahkan oleh penderma untuk di hantar ke Kemboja
 
Assalam dan Salam Satu Segamat
Warga UiTM Johor yang dikasihi,
 
Terima kasih kepada semua warga UiTM Johor dan para dermawan yang telah menyumbang sama ada wang ringgit, keringat, tenaga dan barangan serta pakaian bagi Misi Kemanusiaan dan Kemasyarakatan Kesukarelawan di Perkampungan Muslim Kemboja pada 16-19 Oktober minggu hadapan.

Sambutan dari warga UiTM,pelajar-pelajar, ahli keluarga dan rakan-rakan amat LUAR BIASA dalam tempoh dua minggu (iaitu tempoh yang amat singkat selepas mendapat kelulusan kertas kerja)


Alhamdulillah, kami berjaya mendapat penyertaan sebanyak :
 
- 7 ekor lembu untuk Qurban/Aqiqah (sasaran awal adalah 4 ekor lembu)
- 25 buah wakaf telaga/pam air ( 16 dari Segamat dan 9 buah dari Johor Bahru) ( sasaran awal hanya 5 buah wakaf telaga)
- sebuah wakaf tandas/bilik air
- 47 pasang wakaf telekung
-hampir 1000 kg barangan/ pakaian/ alat tulis/ ubat gigi/ muqaddam/ yassin/ mainan kanak2 (namun, kami cuma boleh bawa 500kg bersama dalam penerbangan nanti .. kami akan usahakan untuk baki pakaian yang lain untuk dihantar ke Kemboja)
 
Saya bagi pihak persatuan Marketeers dan Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kemboja (ACCAM) mengucapkan jutaan TERIMA KASIH kepada semua yang telah menyumbang dan sudi mengorbankan wang ringgit dan harta benda serta memberi sokongan dalam segala aktiviti yang kami jalankan seperti kutipan amal, campus car wash dan jualan amal ( jualan jajan di bilik rehat pensyarah) bagi menambah dana untuk menyempurnakan misi ini.
Dengan ini penyertaan untuk Qurban adalah ditutup.
Seramai 21 orang pelajar persatuan Markeeters dan 4 orang pensyarah PDP akan berangkat pada 16-19 Oktober 2013. Mohon doakan agar perjalanan kami dipermudahkan oleh Allah s,w.t dan segala yang dirancang berjalan lancar dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Semoga Allah memberi nikmat dunia dan akhirat kepada tuan/puan dan para dermawan semua serta dilapangkan masa, kesihatan dan kewangan agar dapat meneruskan amalan mulia ini pada masa akan dating.

Anda Buat... Anda Dapat.. Anda Hebat.. Anda Memang Luar Biasa...
 
 
Norshahniza Sahari
Penasihat Marketeers merangkap Penasihat Progam Misi Kemanusiaan
Pensyarah Pemasaran
UiTM Cawangan Johor
 
 
  

Misi Kemanusiaan dan Qurban di Kemboja 16-19 Oktober 2013

Petikan dari Emel yang saya hantar kepada semua staff UiTM Johor bertarikh 25 September 2013.
 
Misi Kemanusiaan dan Kesukarelawan Kemasyarakatan anjuran Persatuan Marketeers UiTM Cawangan Johor.


Kemboja ialah antara negara yang paling miskin di sebabkan peperangan sesama sendiri oleh regim Pol Pot atau dikenali dengan Khmer Rouge yang telah mengorbankan rakyat 1.67 juta daripada jumlah penduduk 7.89 juta pada tahun 1975. Pada keseluruhannya 90,000 atau 36% umat Islam telah terbunuh di antara tahun 1975-79. Kini bilangan penduduk Islam Champa dianggarkan lebih kurang 500,000 daripada jumlah penduduk Kemboja 14 juta. Mereka hidup berselerakan di seluruh Kemboja dengan serba kedhaifan. Anak-anak Islam Kemboja tidak bersekolah secara formal kerana ibu bapa tidak mampu untuk menyekolahkan mereka. Meraka tidak kenal air paip, televisyen, radio, telefon bimbit, kereta, pakaian cantik, rumah besar, saham, wawasan dan masa depan. Tidak ada klinik di kampung mereka. Tidak ada balai raya. 
 

Kebanyakan mereka tidak dapat makan daging,kerana daging di Kemboja amat mahal, Sekilo RM26 mata wang disana sama dengan 29ribu Rial. 29 Ribu Rial bagi orang Kemboja nilainya sangat tinggi. Kebanyakan mereka tidak dapat mencari 29ribu Riel itu dalam masa sebulan.  Oleh itu mereka hanya akan dapat makan / merasai daging itu setahun sekali di musim qurban saja, itu pun jika ada insan-insan yang bermurah hati untuk berqurban disana.
           Sumber :
http://smartqur.com/fakta-benar-umat-islam-dikemboja/
 
Kemboja mempunyai 3 musim iaitu musim sejuk, musim hujan dan musim panas/kemarau. Sepanjang enam bulan (Disember sehingga Mei), Kemboja akan mengalami kemarau di dalam musim panas. Terutamanya di kawasan yang sukar untuk memperolehi sumber air,maka dengan adanya perigi / telaga ini,masyarakat setempat dapat menggunakannya untuk beribadah,kegunaan harian,makan,minum, untuk ternakan,tanaman dan sebagainya. Bayangkan selama mana air itu ada, selagi itu ganjaran pahala dihitung ALLAH tanpa putus, maka berkekalan walau seseorang itu telah meninggal dunia dan berada di alam barzakh,insyaAllah kekal ke hari akhirat sebagai bekalan.
            Sumber:
http://www.korbanaqiqah.com.my/bmportal/?page_id=177)


Daripada Anas Bin Malik seperti hadith dari Abu Hurairah kecuali riwayatnya berbunyi , tujuh perkara akan berterusan pahala kepada hamba Allah walhal dia sudah berada di alam kubur ialah seorang yang telah mengajar ilmunya atau membina tali air atau menggali telaga atau menanam pokok (kurma) atau membina masjid atau mewakafkan Al-Quran atau meninggalkan anak yang soleh yang beristighfar untuknya selepas mati. (Hadith Anas Riwayat Bazzar)
         Sumber:


Bayaran Penyertaan
1) KORBAN /AQIQAH 1 Bahagian Lembu = RM280---> Penyertaan telah ditutup
                Seekor RM1,960 Termasuk kos untuk memasak/kenduri (Sijil akan diberi)
2) WAKAF TELAGA/PERIGI/PAM AIR 1 Perigi = RM700 (Termasuk kos pembinaan dan pengurusan  - Sijil dan Gambar akan diberi kemudian)
3) WAKAF TELEKUNG RM15 sepasang. Telekung akan di beli di Kemboja
4)WAKAF TANDAS RM1,500 (dua bilik air bertutup) di perkampungan Islam Cham (Termasuk kos pengurusan dan pembinaan)
 
 
Kami juga mengalu-alukan kepada anda yang ingin menyumbang pakaian yang masih elok tetapi tidak lagi digunakan, alatulis, buku tulis, pensil warna, sejadah, kain sarong/pelikat, kopiah, tudung, cadar, selipar, kasut dan apa-apa barangan lain yang sesuai untuk disedekahkan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal, dan fakir miskin di perkampungan Melayu Champa di Kemboja.


 

Sila hubungi :
1. Pn. Norshahniza Sahari (013-7522227) atau
2. Cik Mazlina Ismail (012-9711219) atau
3.Saudara Mohd Nairul Naim – Ketua Projek (012-5928092) bagi penyertaan korban/waqaf  dan sumbangan wang/barangan.


Jika ada unit/jabatan atau persatuan/kelab yang ingin berkongsi menyumbangkan wang untuk pembinaan wakaf telaga/pam air, anda juga boleh berbuat demikian. Telaga tersebut akan dinamakan (ada papan tanda) dengan nama penyumbang. Melakar nama Jabatan/Persatuan/Kelab dan UiTMCJ di peta dunia dalam misi kemanusiaan dan kemasyarakatan ini.

“Anda Buat..Anda Dapat.. Anda Hebat”, Insya Allah...

 

 
Norshahniza Sahari
Penasihat Program Misi Kemanusiaan dan Penasihat Persatuan Marketeers
Pensyarah Pemasaran
UiTM Cawangan Johor

 

Thursday, July 18, 2013

Renungan dan Buka Minda di bulan Ramadan


Saya tertarik dengan artikel yang dikirim dan dikongsi melalui emel oleh Dato' VC UiTM hari ini.
 
Suspen dan terkesima seketika.. ia boleh berlaku kepada kita dan sesiapa jua. Adat hidup di dunia ini.. kita mahukan yang terbaik.. kita impikan yang terbaik.. kita mahu macam-macam dari pasangan kita .. dari ibu bapa kita.... kita nak itu..kita nak ini.. kadangkala tanpa kita sedari, kita mungkin melukakan hati mereka.. Ia juga mungkin berlaku antara kita sebagai anak dengan ibu bapa, adik beradik mahupun pasangan hidup kita sendiri atau antar pelajar dan guru/pensyarah atau rakan-rakan sekerja. Sama ada  disedari atau tidak,  mahupun secara sengaja atau tidak sengaja.
 
Semoga masih ada ruang dan peluang untuk kita meminta maaf dan berubah sebelum terlambat...
 
Renungan buat semua....semoga kita mendapat manfaat darinya...
 
 


Petikan dari Emel VC UiTM, Tan Sri Dato' Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar

AKAN ADAKAH PELUANG KEDUA?

 

Mereka telah berumahtangga melebihi tiga dekad dan kedua-dua anak mereka telah membina keluarga masing-masing, tinggal berasingan di daerah lain.  Aishah kini melalui empty nest syndrome, hanya tinggal bersama suaminya, Mohd Razif yang masih bekerja, di penghujung kerjayanya.  Saban tahun mereka meraikan hari ulang tahun perkahwinan, hinggalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini hubungan mereka melalui perubahan.  Kerapkali berlaku perselisihan antara mereka walaupun atas perkara remeh sahaja.  Sesungguhnya jauh di sudut hati, mereka tidak suka kepada perubahan dalam hubungan mereka itu.

 

Pada hari ulang tahun perkahwinan mereka yang lepas, Aishah begitu teruja menunggu kepulangan suaminya, Mohd Razif.  Sejak mereka menjadi suami isteri, banyak perubahan telah berlaku dalam hubungan mereka, namun kali ini Aishah berazam untuk cuba memperbaikinya.  Pasangan itu yang suatu masa dahulu umpama tidak boleh dipisahkan, kini telah semakin ‘hangat’ dek perselisihan antara mereka yang tidak habis-habis.  Seolah-olah sekarang ini mereka hanya nampak kelemahan dan kesilapan pasangan, bukan lagi seperti baru-baru mereka berkahwin dahulu, semuanya baik belaka.  Hari itu Aishah ingin melihat kalau Razif ingat pada tarikh penting dalam hidup mereka suami isteri.


Apabila terdengar bunyi loceng di pintu, Aishah meluru membukanya dan dapat melihat suaminya basah kuyup, sambil tersenyum menggenggam sejambak bunga di tangannya.  Aishah tergamam lalu tanpa banyak bicara kedua-duanya terus ke ruang tamu.  Aishah ternyata sangat gembira dengan ingatan Razif terhadap hari ulang tahun mereka.  Di saat itu mereka seolah-olah dapat melupakan masalah yang dihadapi, pertengkaran yang sering terjadi dan kerenggangan hubungan yang sedang mereka lalui.  Masing-masing meluahkan penyesalan terhadap apa yang berlaku sebelum ini dan berazam untuk memperbaikinya.


Perbualan mereka terhenti apabila telefon di bilik tidur berdering.  Aishah menjawabnya dan seorang lelaki di hujung sana berkata, “Assalamualaikum puan, saya membuat panggilan daripada balai polis.  Adakah ini nombor telefon Encik Mohd Razif Osman?”  Jawab Aishah, “Ya” dan lelaki itu berkata lagi, “Maafkan saya puan, ada kemalangan dan seorang lelaki telah meninggal dunia.  Kami dapat nombor ini daripada dompetnya.  Kami perlukan puan datang ke sini untuk mengecam jasadnya”.


Hancur luluh hati Aishah dibuatnya, dia tidak percaya apa yang didengarinya.  “Tapi suami saya ada di sini bersama saya!” katanya bersungguh-sungguh.  “Maaf puan, kejadian itu berlaku pukul 2 petang tadi, semasa dia hendak menaiki keretapi,” lelaki itu meyakinkan.  Aishah hampir hilang pertimbangan mendengar penjelasan lelaki itu.  Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku, bisik hatinya kebingungan.  Sebelum ini dia pernah terdengar juga ada cerita mengenai roh yang datang menemui orang tersayang sebelum ia meninggalkannya.

 

Aishah bergegas semula ke ruang tamu dan mendapati Razif tiada di situ.  Ya, betul! bisiknya hampa.  Razif telah pergi buat selamanya.  Rohnya yang datang tadi ingin mengucapkan selamat tinggal! Aishah tersungkur ke lantai merasai hidupnya begitu kosong seraya berdoa, “Ya Allah, berilah aku peluang sekali lagi bertemu suamiku, ingin ku cium tangannya memohon ampun terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan kami.  Ingin ku perbaiki hubungan kami suami isteri.  Berilah aku peluang menjadi penawar dalam hidupnya, penyejuk hatinya dan jadi isteri yang solehah, ya Allah.”  Bercucuran air mata Aishah penuh keinsafan dan pengharapan daripada Allah.


Tiba-tiba dia terdengar bunyi dari bilik air dan kelihatan Razif membuka pintu sambil berkata, “Sayang, abang terlupa nak bagitau yang dompet abang dicuri orang tengahari tadi.”


KITA MUNGKIN TIDAK DAPAT PELUANG KEDUA, JADI JANGAN SIA-SIAKAN SAAT-SAAT YANG TERLUANG UNTUK MEMPERBAIKI APA JUA KESILAPAN KITA.


Jika diizinkan Allah kita akan menemui sekali lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kebaikan dalam beberapa hari sahaja lagi, jadi marilah sama-sama kita berubah ke arah membuat kebaikan, terutamanya kepada kedua orang tua kita, suami atau isteri kita, adik-beradik, rakan taulan dan ramai lagi.

 

Kita tidak tahu sama ada kita akan ada lagi di hari esok atau tidak, maka eloklah kita menikmati kehidupan ini dengan sebaik-baiknya tanpa perlu apa-apa penyesalan di kemudian hari.


Famili besar saya .. ahli keluarga Mat Dong di Raub.Pahang