Friday, July 31, 2009

Pekan Rabu Dong

Pekan Sehari @ Pekan Rabu Dong, Raub, Pahang


Nasi kerabu, nasi ayam dan nasi impit dijual serendah RM1.00 dan RM2.00 sebungkus

Daerah atau bandar Raub terletak di sebelah barat negeri Pahang Darul Makmur. Jarak antara Kuala Lumpur dan Raub adalah kira-kira 110km atau kira-kira 265km daripada Kuantan. Dahulunya Raub terkenal dan kaya dengan lombong emas. Raub mempunyai 7 mukim iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Ulu, Dong, Ulu Dong, Gali and Tras.

Seawal jam 6 pagi, peniaga-peniaga ini memulakan aktiviti menjual-beli pelbagai produk tempatan

Kampung nenek ( atau wan) saya terletak di mukim Dong. Apa yang menarik tentang mukim Dong ini adalah Pekan Rabu yang diadakan setiap hari Rabu pada sebelah pagi. Peniaga-peniaga kecil ini menjual pelbagai jenis makanan tempatan, buah-buahan, sayur-sayuran segar serta ikan-ikan sungai seperti ikan sembilang (penduduk tempatan memanggilnya ikan kalang), ikan patin, dan ikan talapia.


Antara sayur-sayuran segar yang dijual adalah pucuk manis, pucuk paku, maman, ulam raja, pucuk labu dan pelbagai ulaman lain seperti petai, jering dan kerdas.

Tapai pulut yang dibungkus dalam daun keladi

Harga makanan yang dijual di sini juga murah dan berpatutan. Antara makanan tradisional yang paling saya gemari di sini adalah tapai pulut (yang dibungkus dalam daun keladi atau daun pisang), laksam, nasi kerabu, buah kepayang, buah perah, lemang, lemang labu, kuih bakar dan kuih peria dan rojak.

Gula Kabong yang dibalut dengan daun kelapa menambah keharumannya
Antara produk tempatan yang amat sukar diperolehi di tempat lain, tetapi mudah didapati di Pekan Rabu Dong ini adalah gula kabong. Ianya seakan gula Melaka, namun kemanisan dan keharuman gula kabong ini lebih menarik berbanding gula Melaka.

Penghasilan gula kabong di mukim Dong, Sega dan Ulu Dong ini amat terkenal di kalangan penduduk tempatan, terutamanya ketika bulan Ramadan (digunakan untuk membuat bubur) dan musim perayaan (untuk membuat dodol). Baru-baru ini, gula kabong juga telah menapak selangkah lagi maju ke hadapan dengan pengkomersialannya dan dipasarkan di dalam kotak yang lebih menarik yang sesuai dijadikan buah tangan, cenderamata dan hadiah.


Tidak jauh dari Pekan Rabu Dong ini terdapat pusat rekreasi Pulau Chekas dan Lata Jarum. Ia merupakan antara destinasi pelancongan menarik untuk seisi keluarga. Lata Jarum suatu ketika dahulu amat popular dengan kes Mona Fendie dan kematian Datuk Mazlan.


Kejernihan dan kesejukan air sungai di Pulau Chekas dan Lata Jarum pasti menggamit pengunjung untuk ke sini semula.

No comments:

Post a Comment