Friday, July 3, 2009

Eko-Pelancongan: Tasik Kenyir


XPDC Memburu Kelah Merah di Tasik Kenyir
(Bahagian I)
27-30 Jun 2009


Apa ada di Tasik Kenyir? Itu lah persoalan yang diajukan kepada saya oleh beberapa orang rakan. Mungkin bagi kaki pancing, tasik Kenyir ini sinonim dengan ikan-ikan sungai yang liar dan hampir pupus. Namun, bagi bukan kaki pancing, mungkin keindahan semulajadi yang tersendiri ciptaan Yang Esa merupakan daya tarikan ke sini.

Bila saya mengatakan kepada rakan-rakan bahawa saya hendak bermalam di Tasik Kenyir yang tiada kemudahan teknologi terkini seperti TV, Radio, Internet, Playstation dan sebagainya, mereka seakan terkejut. Ada juga yang perli buat apa susah-susah masuk hutan... ikan pun banyak kat pasar.... Ada juga yang menyatakan ketidaksanggupan duduk sehari atau dua hari atau tiga hari di dalam hutan dan tasik yang terputus dengan dunia luar.
Mungkin kerana terlalu taksub dengan segala teknologi canggih atau kerana terlalu manjakan diri dengan segala kemudahan yang ada kini, kekadang kita lupa diri. Manusia zaman dulukala, sebelum kita hidup atas dunia ini bersusah-payah untuk mencari makanan. Nak makan sayur, kena tanam sayur, petik pucuk ubi, petik pucuk paku.... Nak makan ikan pulak, kena memancing atau menjala.. nak makan ayam, kena sembelih ayam dan cabut bulu ayam sendiri.. Mana ada kemudahan macam zaman moden sekarang ni.


Bila sesekali kita masuk hutan, kita akan menghargai apa yang kita ada sekarang. Dan kita juga belajar erti kesusahan untuk mendapatkan sesuatu. Tapi itu sebahagian pengalaman hidup yang mendewasakan kita. Mungkin juga ilmu yang kita dapat masa duduk di dalam hutan dan di tasik ini mengajar kita macam mana nak 'survive', hidup bekerjasama, sabar dan pelbagai nilai murni yang lain.

Bagi pembaca yang belum pernah ke sini, sedikit info untuk dikongsikan bersama. Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara. Taman Negara ini merangkumi tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan (di sebelah barat) dan Pahang (di sebelah selatan). Keluasan Tasik Kenyir ini adalah lebih kurang 209, 199 hektar. Ia turut mempunyai kira-kira 340 buah pulau-pulau kecil dan lebih 14 air terjun yang masih belum tercemar.

Taman Negara ini juga merupakan penempatan bagi haiwan-haiwan liar seperti gajah, harimau, burung enggang, babi hutan dan sebagainya. Ia juga menempatkan lebih 8,000 bunga pelbagai spesis, 2,500 pelbagai spesis pokok dan tumbuhan, serta 800 spesis orkid. Manakala bagi kaki-kaki pancing, Taman Negara ini kaya dengan spesis ikan seperti Lampam Sungai (Barboides), Kelah (Malaysian Mahsee), Toman (Snakehead), Kalui (Giant Gouramy), Sebarau, Tengas, Baung and Kelisa (Green Arowana).

Terdapat beberapa pintu masuk untuk ke Taman Negara ini. Antaranya ialah Jeti Gawi dan juga Empangan atau Stesen Jana Elektrik Sultan Mahmud Kuala Berang. Bagi pengunjung-pengunjung yang hendak ke sini, mereka perlu memohon permit di Pejabat Perhilitan di Kuala Berang atau di pintu masuk Taman Negara di Tanjung Mentong.



Surat permit kebenaran masuk ke Taman Negara dan mengambil gambar


Perjalanan kami bermula kira-kira jam 12.30 malam dari Bentong (sebuah kereta) dan Kuala Lumpur (3 buah kenderaan) pada tanggal 27 Jun. Kami melalui lebuhraya Karak, dan lebuhraya Jerangau-Jabor untuk ke Kuala Berang. Kami tiba kira-kira jam 6.40 pagi di Masjid Kuala Berang untuk solat subuh. Setelah bersarapan di gerai berhadapan dengan Pejabat Pos Kuala Berang, kami berangkat ke Stesen Jana Elektrik Sultan Mahmud.




Pemandangan empangan atau stesen jana elektrik Sultan Mahmud

Sebenarnya, ini merupakan kunjungan saya yang ke-empat ke Tasik Kenyir ini. Kali terakhir saya ke sini ialah pada tahun 2004. Mungkin kerana kesibukan kerja dan kesuntukan masa, membuatkan saya telah lama tidak ke sini. Dan saya sebenarnya bukan la kaki pancing atau peminat pancing. Cuma saya suka melancong, melawat tempat-tempat orang, mengambil gambar dan mencuba sesuatu yang baru serta minat sesuatu yang 'outdoor' dan 'adventure'. Sebab bagi saya, dengan cara ini, saya akan mendapat kawan baru, pengalaman baru serta ide-ide baru yang lebih segar.


Panorama indah Tasik Kenyir. Boat house (Rumah Bot) yang boleh disewa untuk bermalam di atas bot.

Setiba di jeti atau pengkalan Stesen Jana Elektrik Sultan Mahmud, kami diperiksa oleh pihak berkuasa. Dengan permit yang telah diperolehi terlebih dahulu, kami dibenarkan memasuki kawasan larangan ini. Rumah bot (boat house) telah sedia menanti kami. Sekitar jam 9.00 pagi, kami memunggah barang-barang ke atas bot. Kumpulan kami agak besar iaitu seramai 12 orang dari Bentong, Segamat dan Kuala Lumpur, manakala 4 orang awak-awak, penduduk tempatan dari Kuala Berang.


Sedang memungah barang-barang makanan untuk 4 hari 3 malam ke atas bot.

Kebetulan pada hari Sabtu tu, di jeti tersebut kami bertemu dengan tuan guru, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang bersama team beliau yang juga menaiki bot untuk memancing. Tak sangka pulak, dapat berjumpa orang kenamaan di sini. Tuan guru ini juga merupakan seorang yang 'simple' dan peramah.

Sempat bergambar dengan Dato' Seri

Ketika dalam perjalanan dari Jeti ke Sungai Terengan yang memakan masa selama 4 jam, ada yang sempat melelapkan mata, ada yang sibuk mengikat mata kail, dan saya pula sibuk memasak untuk makan tengahari. Tengahari tu kami masak lauk yang simple sahaja iaitu ayam masak kurma serta ulam timun dan tempoyak. Saya dan abah turut menyediakan lauk udang masak merah untuk hidangan makan malam.

Bersedia untuk dihantar ke tebing Sungai Terengan untuk meredah belantara
Sebaik tiba di Sungai Terengan, kira-kira jam 2 petang, ahli team yang lain mula sibuk menyiapkan barang-barang untuk dibawa hiking atau treking di dalam hutan. 3 bot fiber kecil digunakan untuk menghantar mereka dari Tasik Kenyir ke tebing Sungai Terengan. Seramai 13 orang ahli XPDC memulakan perjalanan meredah hutan ini yang memakan masa 2 jam untuk sampai ke lubuk kelah.


Rasa di hati hendak jugak meredah hutan belantara ni, tapi atas beberapa sebab saya terpaksa membatalkan hasrat meredah hutan. Sebenarnya kita memerlukan kekuatan mental dan fisikal sebagai persediaan meredah hutan. Kalau pacat pun takut, tengok tapak kaki gajah dan kesan tapak kaki harimau pun dah cuak, macam mana nak duduk 3 hari dalam hutan. Saya respek dengan mereka yang cekal hati meredah belantara dan sungai, berhujan dalam hutan dan sampai melecek kaki untuk sampai ke lubuk kelah.

Memancing di atas boat house yang ditemani dengan bunyi unggas, burung dan ungka

Akhirnya, tinggal la saya, suami dan seorang awak-awak (namanya King) di Sungai Terengan ini. Nasib baik la ada 5 buah boathouse yang lain di situ, jadi tak la sunyi sangat. Ada dua buah boathouse yang lebih canggih di situ mempunyai kemudahan TV dan Astro. Sesekali di tengah malam, dengar jugak la keriuhan mereka yang sedang menonton bola.



Kesemua ahli XPDC yang masuk hutan ini mempunyai minat memancing yang amat mendalam. Kesemuanya boleh dikatakan telah mencapai tahap Amatur. Nak kata professional, mungkin dalam setahun dua lagi kot. Tapi alat-alat kelengkapan memancing mereka, mak aiii... dahsyatnya..beribu-ribu ringgit kosnya. Setiap bulan mereka ni akan pergi memancing di sungai, tasik dan laut.. erkk... kolam tak main la.... Mereka bukannya nak makan ikan ni sangat. Tapi keseronokan yang dicari adalah memancing, casting, dan macam-macam istilah kaki pancing yang saya sendiri pun tak faham. Macam saya ini hanyalah tahap beginner atau suka-suka sahaja.

Bagi suami saya pula, ini merupakan kali pertama beliau mengunjungi Tasik Kenyir ini. Bila tengok ikan lampam yang umpama jinak-jinak merpati ini, hati makin teruja untuk memancing. Saya ni sebenarnya geli nak pegang cacing. Sebab tu la kalau nak memancing pun, suami yang akan sangkutkan cacing di mata kail. Dan saya ni hanya peneman setia suami yang kaki pancing. Tapi bila dah tengok suami dapat 5-6 ekor ikan, hati makin melonjak-lonjak nak join dia memancing.

Anak ikan putih sebesar dua jari yang berjaya ditawan.

Mula-mula saya hanya pakai batang buluh je untuk dijadikan rod joran yang diikat dengan tali tangsi dan mata kail. Saya tak ada joran. Suami bawa tiga batang joran. Tapi saya tak berani nak usik joran dia. Dapat la lebih kurang 8 ekor anak ikan putih sebesar dua jari. Dapat la saya goreng ikan ini untuk hidangan makan malam.



Lama-lama memancing, makin seronok pulak bila mata kail mengena dan dapat menarik naik ikan. Malam tu, saya dapat naikkan lebih kurang 22 ekor ikan. Suami pulak dapat naik ikan baung, lampam dan belut.

Ikan lampam yang sukar dijinakkan turut dapat ditawan dengan nasi

Keesokannya, saya memancing lagi. Tapi guna nasi pulak. Saya duduk di hujung dapur dalam boathouse tu. Suami saya memancing di dek depan. Dapat la ikan lampam sebesar tapak tangan. Huhuhu... memang best... tapi yang tak bestnya, saya ni penggeli. Puas memikir macam mana caranya nak cabut mata kail dari ikan yang saya dapat tu. Rasa kesian pun ada nak cabut mata kail dari mulut ikan ni. Saya guna selipar untuk elak ikan ni dari melompat-lompat di hujung mata kail, dan saya guna kain buruk untuk pegang ikan ni. Mendebarkan.... nak minta tolong suami, dia tak nak pulak tolong..dia suruh saya buat sendiri.... nak tak nak, kena la berdikari.



Hari ketiga, saya dan suami mengajak King untuk pergi mandi di sungai berdekatan. Wah, airnya amat sejuk dan jernih sekali. Maklum la, kawasan ni belum tercemar lagi. Nampak batu-batu yang pelbagai rupa dan warna. Dalam perjalanan ke sana, kami kena menempuhi pokok kayu tumpang yang menghalang perjalanan kami. Amat mencabar kerana air cetek dan perlu mengelak agar bot tak tersangkut dengan tunggul kayu.


Kejernihan air sungai yang masih belum tercemar.

Kami menunggu ahli XPDC memburu ikan kelah merah untuk pulang ke bothouse pada petang hari ketiga (Isnin) tu. Ada kisah menarik dan suspen bagi ahli-ahli XPDC ini dalam perjalanan balik tersebut.... ikuti kisah seterusnya akan datang dalam Bahagian Kedua (Part II)

Nota Marketing Hero:

Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh layari laman web ini

No comments:

Post a Comment